Monday 30 July 2012

8. SURAH Al-Anfal

8. SURAH Al-Anfal
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Mereka bertanyakan kepadamu mengenai harta rampasan perang. Katakanlah “Harta rampasan perang itu adalah milik Allah dan RasulNya. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan perbaikilah perhubungan di antara kamu, dan taatlah kepada Allah dan RasulNya, jika betul kamu orang-orang yang beriman”
[2]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu ialah mereka yang apabila disebutkan nama Allah, gementarlah hati mereka. Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman. Dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah.
[3]
Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.
[4]
Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan beroleh beberapa darjat ketinggian di sisi Tuhan mereka dan keampunan, dan limpah kurnia yang mulia.
[5]
Sebagaimana Tuhanmu mengeluarkanmu dari rumahmu dengan kebenaran, sedang sebahagian dari orang-orang yang beriman itu tidak menyukai.
[Untuk berjihad]
[6]
Mereka membantahmu mengenai kebenaran setelah apa yang dijadikan dengan nyata, seolah-olah mereka itu dihalau kepada kematian, sedang mereka melihat.
[7]
Dan ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan untuk kamu (hadapi), sedang kamu suka kiranya yang lain selain angkatan yang mempunyai kekuatan itu untuk kamu. Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar dengan Kalimah-kalimahNya, dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya.
[8]
Supaya Dia menegakkan yang benar dan menghapuskan yang salah, sekalipun golongan yang berdosa tidak menyukai.
[9]
Ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Dia memperkenankan permohonan kamu “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu dari malaikat yang datang berturut-turut”
[10]
Dan Allah tidak menjadikan itu melainkan sebagai berita gembira, dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya. Dan kemenangan hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[11]
Ketika kamu diliputikanNya dengan perasaan ngantuk sebagai suatu ketenteraman daripadaNya, dan menurunkan kepada kamu air dari langit untuk disucikanNya kamu dengannya, dan menghapuskan daripada kamu (gangguan) syaitan, dan untuk menguatkan hati kamu dan menetapkan dengannya tapak pendirian.
[12]
Ketika Tuhanmu mewahyukan kepada malaikat “Aku menyertai kamu, maka kuatkanlah (pendirian) orang-orang yang beriman. Aku akan mengisi hati orang-orang yang kafir itu dengan perasaan gerun. Maka pancunglah leher mereka dan potonglah tiap-tiap hujung jari mereka”
[13]
Itu kerana mereka menentang Allah dan RasulNya. Dan sesiapa yang menentang Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya.
[14]
Demikianlah, maka rasakanlah ia. Dan sesungguhnya orang-orang yang kafir, disediakan juga baginya azab neraka.
[15]
Wahai orang-orang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur daripada mereka.
[16]
Dan sesiapa berpaling undur daripada menentang mereka pada ketika itu, melainkan sebagai strategi perang, atau hendak menyatu dengan suatu pasukan, maka sesungguhnya telah tetaplah laknat daripada Allah, dan tempatnya pula ialah neraka Jahannam, sebagai seburuk-buruk tempat kembali.
[17]
Dan bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang membunuh mereka. Dan bukanlah engkau yang melemparkan ketika engkau melemparkan, akan tetapi Allah jualah yang melemparkan, untuk Dia menguji orang-orang beriman dengan pengurniaan yang baik daripadaNya. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[18]
Demikianlah, dan sesungguhnya Allah sentiasa melumpuhkan rancangan orang-orang yang kafir.
[19]
Jika kamu bertanyakan mengenai kemenangan, maka sesungguhnya telah datang kepada kamu kemenangan. Oleh itu, jika kamu berhenti, maka yang demikian itu amatlah baik bagi kamu. Dan jika kamu kembali, Kami juga akan kembali. Dan golongan kamu tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan kamu sedikitpun, sekalipun ia lebih ramai. Dan sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang beriman.
[20]
Wahai orang-orang beriman! Taatlah kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berpaling daripadanya, sedang kamu mendengar.
[21]
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang berkata “Kami dengar” Padahal mereka tidak mendengar.
[22]
Sesungguhnya makhluk yang seburuk-buruknya di sisi Allah ialah yang pekak lagi bisu, yang tidak mahu memahami sesuatupun.
[23]
Dan kalaulah Allah mengetahui ada kebaikan pada mereka, tentulah Dia menjadikan mereka dapat mendengar. Dan kalaulah Dia menjadikan mereka dapat mendengar, nescaya mereka tidak juga menerimanya sambil membenci.
[24]
Wahai orang-orang beriman, sahut dan sambutlah seruan Allah dan RasulNya apabila dia menyeru kamu kepada apa yang memberikan kamu kehidupan. Dan ketahuilah, bahawa sesungguhnya Allah berkuasa menyekat seseorang itu dengan hatinya, dan bahawa kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.
[25]
Dan jagalah diri kamu dari apa yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu. Dan ketahuilah, bahawa Allah Maha berat azab seksa(Nya).
[26]
Dan ingatlah ketika kamu sedikit bilangannya dan tertindas di bumi, takut orang menangkap dan menculik kamu. Kemudian Dia memberikan kamu tempat perlindungan dan diperkuatkan kamu dengan pertolonganNya. Dan dikurniakan pula kamu dari benda yang baik-baik, supaya kamu bersyukur.
[27]
Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul, dan mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui.
[28]
Dan ketahuilah, bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah ujian. Dan bahawa Allah, di sisi Dia jualah pahala yang besar.
[29]
Wahai orang-orang beriman! Jika kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu keterangan (yang membezakan yang benar dengan yang salah), dan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu, dan mengampuni kamu. Dan Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.
[30]
Dan ingatlah, ketika orang-orang kafir menjalankan tipu daya terhadapmu untuk menangkap dan memenjarakanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan rancangan dan Allah juga menjalankan rancangan, dan Allah jualah sebaik-baik perancang.
[31]
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami, mereka berkata “Demi sesungguhnya, kami telah mendengarnya. Kalau kami mahu, nescaya kami dapat mengatakan seperti ini. Ini tidak lain hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala”
[32]
Dan ketika mereka berkata “Wahai Allah! Jika benar itu adalah benar dari sisiMu, maka hujanilah kami dengan batu dari langit, atau datangkanlah kepada kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”
[33]
Tetapi tidak bagi Allah, Dia menyeksa mereka, sedang engkau ada di kalangan mereka. Dan tidak juga bagi Allah, Yang menyeksa mereka sedang mereka memohon keampunan.
[34]
Dan adakah bagi mereka, Allah tidak patut menyeksa mereka, sedang mereka menyekat dari masjid Al-Haraam, padahal mereka bukanlah orang-orang yang berhak menguasainya? Kerana orang-orang yang berhak menguasainya hanyalah orang-orang yang bertakwa, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
[35]
Dan tiadalah sembahyang mereka di sisi Rumah itu melainkan bersiul-siul dan bertepuk-tepuk tangan. Oleh itu, rasakanlah azab seksa dengan sebab kekufuran kamu.
[36]
Sesungguhnya orang-orang kafir yang selalu membelanjakan harta mereka untuk menghalangi jalan Allah, maka mereka tetap akan membelanjakannya, kemudian ia menjadi sesalan bagi mereka, dan mereka pula akan dikalahkan. Dan ke dalam neraka Jahannamlah, mereka akan dihimpunkan.
[37]
Dan Allah hendak membezakan yang jahat dari yang baik, dan menjadikan yang jahat itu sebahagiannya bersatu dengan sebahagian yang lain, dan ditimbunkan kesemuanya sekali, dan dimasukkan ke dalam neraka Jahannam. Mereka itu, orang-orang yang rugi.
[38]
Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu, sekiranya mereka berhenti, nescaya akan diampunkan bagi mereka apa yang telah lalu, dan sekiranya mereka kembali lagi, maka akan berlakulah kebinasaan orang-orang dahulu kala.
[39]
Dan perangilah mereka sehingga tidak ada lagi fitnah, dan menjadilah agama itu semata-mata untuk Allah. Kemudian jika mereka berhenti, maka sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang mereka kerjakan.
[40]
Dan jika mereka berpaling, maka ketahuilah bahawasanya Allah Pelindung kamu. Sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Penolong.
[41]
Dan ketahuilah, sesungguhnya apa sahaja yang kamu peroleh sebagai harta rampasan perang, maka sesungguhnya satu perlima adalah untuk (jalan) Allah, untuk RasulNya dan keluarga (Rasulullah), dan anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan ibnu-sabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang telah diturunkan oleh Kami kepada hamba Kami (Muhammad) pada hari Al-Furqaan, iaitu hari bertemunya dua angkatan tentera. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[Perang Badar]
[42]
(Iaitu) ketika kamu berada di tepi lembah yang dekat dan mereka pula berada di tepi yang jauh, sedang Kafilah (pembawa dagangan musuh) berada di tempat yang rendah daripada kamu (tepi laut). Dan kalaulah kamu mengadakan persetujuan, nescaya kamu akan berselisih dalam persetujuan itu. Akan tetapi (pertemuan yang tidak disangka-sangka itu) supaya Allah melakukan suatu urusan yang telah ditetapkan berlaku, iaitu supaya orang yang binasa itu, binasa dengan bukti yang nyata, dan supaya orang yang hidup, hidup dengan bukti yang nyata. Dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[43]
Ketika Allah memperlihatkan mereka kepadamu dalam mimpimu sedikit bilangannya. Dan kalaulah Dia perlihatkan mereka kepadamu ramai bilangannya, tentulah kamu akan merasa gerun dan tentulah kamu akan berbantah-bantah dalam urusan itu. Akan tetapi Allah telah menyelamatkan. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala isi hati.
[44]
Dan ketika Dia memperlihatkan mereka kepada kamu semasa kamu bertemu dengan mereka, sedikit bilangannya pada pandangan mata kamu, dan kamu pula diperlihatkanNya, sedikit bilangannya pada pandangan mata mereka. Kerana Allah hendak melakukan suatu urusan yang telah ditetapkan berlaku. Dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.
[45]
Wahai orang-orang beriman! Apabila kamu bertemu dengan suatu pasukan, maka hendaklah kamu tetap teguh, dan ingatlah Allah sebanyak-banyaknya, supaya kamu berjaya.
[46]
Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantah, nescaya kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu. Dan bersabarlah, sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.
[47]
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang keluar dari rumahnya dengan berlagak sambil menunjuk-nunjuk kepada orang ramai, dan menghalangi pula dari jalan Allah. Dan Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka kerjakan.
[48]
Dan ketika syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka, dan dia berkata “Pada hari ini tidak ada sesiapapun dari umat manusia yang dapat mengalahkan kamu, dan sesungguhnya aku adalah pelindung kamu” Maka apabila kedua-dua pasukan telah saling melihat, dia berundur ke belakang sambil berkata “Sesungguhnya Aku berlepas diri dari kamu. Sesungguhnya aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya. Sesungguhnya aku takut kepada Allah. Dan Allah amat berat azab seksa”
[49]
Ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang ada penyakit di dalam hatinya berkata “Orang-orang itu telah diperdayakan oleh agama mereka” Barang siapa yang bertawakal kepada Allah, maka sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[50]
Dan sekiranya engkau melihat ketika malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kafir itu dengan memukul muka mereka dan belakang mereka “Rasakanlah kamu azab seksa neraka yang membakar”
[51]
Yang demikian disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri, dan sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.
[52]
Sama seperti keadaan Firaun dan kaumnya dan orang-orang yang terdahulu daripada mereka. Mereka ingkar akan tanda-tanda Allah, lalu Allah seksa mereka dengan sebab dosa-dosa mereka. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha berat azab seksa.
[53]
Yang demikian kerana Allah tidak akan mengubah suatu nikmat yang telah dikurniakanNya kepada suatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan sesungguhnya Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[54]
Sama seperti keadaan Firaun dan kaumnya dan orang-orang yang terdahulu daripada mereka. Mereka mendustakan tanda-tanda Tuhan mereka, lalu Kami binasakan mereka dengan sebab dosa-dosa mereka, dan Kami tenggelamkan Firaun berserta pengikut-pengikutnya. Dan kesemuanya itu adalah orang-orang yang zalim.
[55]
Sesungguhnya makhluk yang paling buruk di sisi Allah ialah orang yang kafir, kerana itu mereka tidak beriman.
[56]
(Iaitu) orang-orang yang engkau telah mengikat perjanjian dengan mereka, kemudian mereka mencabuli janjinya pada setiap kalinya, sedang mereka tidak takut.
[57]
Oleh itu, jika engkau menemui mereka dalam peperangan, maka hancurkanlah mereka (di hadapan) orang-orang yang di belakang mereka. Mudah-mudahan orang-orang itu pula mengambil pengajaran.
[58]
Dan jika engkau takut akan perbuatan khianat dari suatu kaum, maka campakkanlah kepada mereka dengan cara terang-terangan dan adil. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang khianat.
[59]
Dan janganlah orang-orang yang kafir itu menyangka mereka boleh mengatasi. Sesungguhnya mereka tidak akan terlepas.
[60]
Dan persiapkanlah dengan segala kemampuan untuk (menghadapi) mereka dari segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan, dan dari pasukan-pasukan berkuda yang dapat menggentarkan musuh Allah dan musuh kamu, dan yang lain selain mereka, yang kamu tidak ketahui sedang Allah mengetahuinya. Dan apa sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan bayarannya kepada kamu, dan kamu pula tidak akan dianiaya.
[61]
Dan jika mereka cenderung kepada perdamaian, maka engkau hendaklah cenderung kepadanya juga. Dan bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[62]
Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah bagimu. Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang beriman.
[63]
Dan Dialah yang menyatupadukan hati mereka. Kalaulah engkau belanjakan segala yang ada di bumi, nescaya engkau tidak jua dapat menyatupadukan hati mereka. Akan tetapi Allah telah menyatupadukan mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[64]
Wahai Nabi, cukuplah Allah bagimu, dan bagi pengikut-pengikutmu dari kalangan orang-orang beriman.
[65]
Wahai Nabi, kobarkanlah semangat orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang. Dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir itu disebabkan mereka orang-orang yang tidak mengerti.
[66]
Kini Allah telah meringankan untuk kamu, dan Dia mengetahui bahawa pada kamu terdapat kelemahan. Oleh itu, jika ada di antara kamu seratus orang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang. Dan jika ada di antara kamu seribu orang, nescaya mereka dapat menewaskan dua ribu orang dengan izin Allah. Dan Allah berserta orang-orang yang sabar.
[67]
Tidaklah patut bagi seseorang Nabi itu memiliki orang-orang tawanan sebelum dia dapat melumpuhkan musuhnya di atas muka bumi. Kamu menghendaki harta benda dunia, sedang Allah menghendaki akhirat. Dan Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[68]
Kalaulah tidak kerana ketetapan daripada Allah yang telah terdahulu, tentulah kamu ditimpakan azab besar disebabkan apa yang kamu ambil (dari orang-orang tawanan) itu.
[69]
Maka makanlah dari apa yang kamu telah ambil itu, sebagai benda yang baik lagi halal. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[70]
Wahai Nabi, katakanlah kepada orang-orang tawanan yang ada dalam tangan kamu “Jika Allah mengetahui terdapat kebaikan di dalam hati kamu, nescaya Dia akan memberikan kepada kamu yang lebih baik daripada apa yang telah diambil daripada kamu, dan Dia akan mengampunkan dosa kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi maha Penyayang”
[71]
Dan jika mereka bermaksud hendak melakukan khianat kepadamu, maka sesungguhnya mereka telahpun melakukan khianat kepada Allah sebelum itu, lalu Dia memberikan kuasa menundukkan mereka. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[72]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berhijrah dan berjihad dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan, mereka semua menjadi sekutu antara satu dengan yang lain. Dan orang-orang yang beriman tetapi belum berhijrah, maka kamu tidak bertanggungjawab sedikitpun untuk melindungi mereka sehingga mereka berhijrah. Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara agama, maka wajiblah kamu menolongnya, melainkan terhadap kaum yang ada perjanjian setia antara kamu dengan mereka. Dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu lakukan.
[73]
Dan orang-orang kafir, sebahagiannya menjadi sekutu sebahagian yang lain. Jika kamu tidak melakukan sedemikian, nescaya akan berlakulah penindasan di muka bumi dan kerosakan yang besar.
[74]
Dan orang-orang yang beriman dan berhijrah dan berjihad pada jalan Allah, dan orang-orang yang memberikan tempat kediaman dan pertolongan, merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.
[75]
Dan orang-orang yang beriman sesudah itu, dan mereka berhijrah dan berjihad bersama-sama kamu, maka mereka termasuk golongan kamu. Namun begitu, orang-orang yang mempunyai hubungan kekeluargaan, sebahagiannya lebih berhak terhadap sesamanya (berbanding yang bukan keluarga) menurut Kitab Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.