Tuesday 7 August 2012

27. SURAH An-Naml

27. SURAH An-Naml
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Taa, siin. Ini adalah ayat-ayat Al-Quran, Kitab yang jelas,
[2]
Menjadi petunjuk dan berita gembira bagi orang-orang yang beriman,
[3]
Iaitu mereka yang mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, dan mereka yakin akan hari akhirat.
[4]
Sesungguhnya orang-orang yang tidak percayakan hari akhirat, Kami jadikan perbuatan-perbuatan mereka kelihatan baik kepada mereka. Oleh itu, terbiarlah mereka meraba-raba dalam kesesatan.
[5]
Merekalah orang-orang yang akan beroleh azab seksa yang buruk dan mereka pula pada hari akhirat adalah orang-orang yang paling rugi.
[6]
Dan sesungguhnya engkau diberikan Al-Quran dari sisi Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
[7]
Ketika Musa berkata kepada keluarganya “Sesungguhnya aku melihat api. Aku akan bawakan khabar mengenainya kepada kamu, atau aku akan bawakan sepuntung api daripadanya, supaya kamu dapat memanaskan diri.
[8]
Dan apabila dia tiba kepadanya, dia diseru “Berkat yang melimpah-limpah kepada orang yang berada dekat dengan api ini dan sesiapa yang ada di sekitarnya. Dan Maha Suci Allah, Tuhan sekalian alam.
[9]
Wahai Musa, sesungguhnya Akulah Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[10]
Dan campakkanlah tongkatmu" Maka setelah dia melihatnya bergerak-gerak seperti seekor ular, berpalinglah dia melarikan diri dengan tidak menoleh lagi “Wahai Musa, janganlah takut. Sesungguhnya Rasul-rasul itu semasa kehadiranKu, tidak sepatutnya merasa takut,
[11]
Tetapi sesiapa yang melakukan kesalahan, kemudian dia mengubahnya dengan kebaikan sesudah kejahatan, maka sesungguhnya Aku Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[12]
Dan masukkanlah tanganmu ke dalam belahan dadamu (baju), nescaya keluarlah ia putih tanpa cacat cela. Di antara sembilan tanda-tanda untuk dibawakan kepada Firaun dan orang-orangnya. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang fasik.
[13]
Dan ketika sampai tanda-tanda Kami kepada Firaun dan kaumnya dengan nyata, berkatalah mereka “Ini adalah sihir yang nyata!”
[14]
Dan mereka mengingkarinya secara zalim dan sombong, sedang hati mereka meyakininya. Oleh itu, lihatlah kesudahan orang-orang yang melakukan kerosakan.
[15]
Dan sesungguhnya, Kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Daud dan Sulaiman. Dan mereka berkata “Segala puji bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberikan kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman”
[16]
Dan Sulaiman mewarisi Daud. Dan dia berkata “Wahai umat manusia, kami telah diajarkan bahasa burung-burung, dan kami telah diberikan segala sesuatu. Sesungguhnya semua ini adalah limpah kurnia yang terbukti”
[17]
Dan dihimpunkan untuk Sulaiman bala tenteranya, dari kalangan jin dan manusia dan burung. Dan mereka diatur dalam barisan.
[18]
Sehingga apabila mereka tiba ke lembah semut, berkatalah seekor semut “Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu, agar Sulaiman dan tenteranya tidak memijak kamu, semasa mereka tidak sedari”
[19]
Lalu tersenyumlah dia (Nabi Sulaiman) mendengarkan kata-katanya, dan berkata “Wahai Tuhanku, ilhamilah daku agar sentiasa bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan agar aku sentiasa mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai. Dan masukkanlah daku dengan limpah rahmatMu ke dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”
[20]
Dan dia memeriksa kumpulan burung dan berkata “Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia termasuk mereka yang tidak hadir?
[21]
Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksaan yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, melainkan ia bawakan kepadaku alasan yang terang”
[22]
Kemudian ia yang tidak lama ghaibnya, lalu ia berkata “Aku mengetahui sesuatu yang engkau tidak ketahui. Dan aku datang kepadamu dari negeri Saba’ dengan membawa khabar berita yang diyakini.
[23]
Sesungguhnya aku mendapati seorang perempuan yang memerintah mereka (rakyatnya), dan dia telah dianugerahkan segala sesuatu dan dia pula memiliki singgahsana yang besar.
[24]
Aku mendapatinya berserta kaumnya bersujud kepada matahari, bukan kepada Allah. Dan syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka akan perbuatan mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar). Oleh itu, mereka tidak beroleh petunjuk,
[25]
Mereka tidak bersujud kepada Allah yang mengeluarkan apa yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu zahirkan.
[26]
Allah! Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang agung”
[27]
Dia berkata “Kami akan fikirkan, apakah benar apa yang engkau sampaikan itu, atau engkau termasuk golongan yang berdusta.
[28]
Pergilah dengan membawa suratku ini, dan campakkanlah kepada mereka. Kemudian berundurlah daripada mereka, dan perhatikanlah apakah reaksi mereka”
[29]
Berkatalah dia “Wahai para pembesar! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia.
[30]
Sesungguhnya ia daripada Sulaiman, dan sesungguhnya ia (tertulis) 'Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang,
[31]
Janganlah kamu meninggikan diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri.'
[32]
Dia berkata lagi “Wahai para pembesar, nasihatilah aku dalam urusanku ini. Aku tidak pernah memutuskan sesuatu keputusan sehinggalah kamu hadir bersamaku”
[33]
Mereka menjawab “Kita memiliki kekuatan dan kekuasaan yang besar. Namun perintah terserah kepadamu. Maka fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan”
[34]
Dia berkata “Sesungguhnya raja-raja, apabila memasuki sesebuah negeri, mereka membinasakannya, dan mereka jadikan penduduknya yang mulia hina-sehinanya. Dan sedemikian itulah yang mereka akan lakukan.
[35]
Dan sesungguhnya aku akan menghantarkan hadiah kepada mereka, lalu menunggu, apakah yang akan dibawa balik oleh para utusan”
[36]
Maka apabila datang menghadap Sulaiman, dia berkata “Tidaklah wajar kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan oleh Allah kepadaku lebih baik daripada apa yang telah diberikanNya kepada kamu. Bahkan kamulah yang bersuka cita dengan hadiah kamu ini.
[37]
Kembalilah kepada mereka, dan demi sesungguhnya kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari situ dengan keadaan hina-sehinanya, sebagai orang-orang tawanan”
[38]
Dia berkata pula “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawakan kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang menghadapku dalam keadaan berserah diri?”
[39]
Berkatalah Ifrit dari golongan jin “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu. Dan sesungguhnya aku amatlah gagah untuknya, lagi amanah”
[40]
Berkatalah pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum matamu berkelip!” Setelah dia melihat singgahsana berkenaan di hadapannya, berkatalah dia “Ini adalah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku sama ada aku bersyukur atau aku tidak bersyukur. Dan sesiapa yang bersyukur, maka dia bersyukur hanya untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur, maka sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”
[41]
Dia berkata pula “Ubahkanlah singgahsananya itu untuknya, supaya kita melihat adakah dia dapat mengenal atau dia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mengenal”
[42]
Maka ketika dia datang menghadap, dikatakan "Serupa inikah singahsanamu?” Dia menjawab “Ia seakan-akan sepertinya. Dan kami telah diberikan pengetahuan sebelumnya, dan kami adalah orang yang berserah diri”
[43]
Dan dia telah dipalingkan oleh apa yang disembahnya yang lain dari Allah. Sesungguhnya dia (pada ketika itu) termasuk orang-orang yang kafir.
[44]
Dikatakan lagi “Masuklah ke dalam istana ini” Maka tatkala dilihatnya, disangkanya ia sebuah kolam air, lalu disingsingkannya pakaian dari kedua betisnya. Dia (Nabi Sulaiman) berkata “Sesungguhnya ia hanyalah istana yang dilapisi kaca” (Mendengarkan demikian), dia berdoa “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri, dan aku menyerahkan diri bersama-sama Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam”
[45]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan kepada kaum Thamud, saudara mereka Soleh “Sembahlah Allah!” Maka tiba-tiba mereka menjadi dua puak yang berbalah.
[Mukmin dan kafir]
[46]
Dia berkata “Wahai kaumku, mengapa kamu meminta disegerakan keburukan sebelum kebaikan? Alangkah baiknya kalau kamu memohon keampunan kepada Allah supaya kamu diberikan rahmat”
[47]
Mereka menjawab “Kami merasa nahas dan malang dengan sebabmu, dan juga pengikut-pengikutmu!” Dia berkata “Nahas dan malangnya kamu itu adalah dari sisi Allah, bahkan kamu adalah kaum yang sedang diuji”
[48]
Dan di bandar berkenaan, terdapat sembilan orang yang semata-mata melakukan kerosakan di muka bumi dan tidak melakukan kebaikan sedikitpun.
[49]
Mereka berkata “Bersumpahlah sesama yang lain dengan nama Allah, bahawa sesungguhnya kita akan membunuhnya berserta keluarganya pada waktu malam, kemudian kita akan mengatakan kepada warisnya, kita tidak menyaksikan kebinasaan keluarganya itu, dan sesungguhnya kita berkata benar”
[50]
Dan mereka merancangkan tipu daya, dan Kami pula menyusunkan rancangan, sedang mereka tidak sedari.
[51]
Oleh itu, lihatlah kesudahan tipu daya mereka, Kami telah hancurkan mereka berserta kaum mereka semuanya.
[52]
Rumah-rumah mereka runtuh ranap dengan sebab kezaliman mereka. Sesungguhnya pada yang demikian, terdapat tanda bagi orang-orang yang mahu mengetahui.
[53]
Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman, dan yang sentiasa bertakwa.
[54]
Dan Lut, ketika dia berkata kepada kaumnya “Patutkah kamu melakukan perbuatan keji sedang kamu melihat?
[55]
Mengapa kamu mendatangi lelaki, bukannya perempuan, demi nafsu. Bahkan kamu adalah kaum yang tidak mengerti”
[56]
Dan kaumnya tidak menjawab selain mereka berkata “Usirlah Lut berserta keluarganya dari bandar kamu ini. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang menjaga kebersihan dan kesucian”
[57]
Lalu Kami selamatkan dia berserta keluarganya, melainkan isterinya, Kami takdirkan dia termasuk golongan yang tinggal.
[58]
Dan Kami hujani mereka dengan suatu hujan, maka amatlah buruk hujan orang-orang yang telah diberikan amaran itu.
[59]
Katakanlah “Segala puji bagi Allah dan selamat sejahteralah kepada hamba-hambaNya yang dipilihNya" Manakah yang lebih baik? Allah atau apa yang mereka sekutukan?
[60]
Atau Yang telah menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan air dari langit untuk kamu? Lalu Kami tumbuhkan dengannya taman-taman yang indah, yang kamu tidak mungkin dapat menumbuhkan pohon-pohonnya. Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Bahkan mereka adalah kaum yang menyeleweng.
[61]
Atau Yang telah menjadikan bumi, tempat kediaman dan telah menjadikan sungai-sungai di celah-celahnya dan telah menjadikan untuknya gunung-ganang yang kukuh, dan telah menjadikan di antara dua laut, sekatan? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Bahkan kebanyakan mereka tidak mengerti.
[62]
Atau Yang memberikan respon kepada orang yang menderita apabila dia berdoa kepadaNya, dan Dia menghapuskan kesusahan, dan menjadikan kamu sebagai khalifah di muka bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Amatlah sedikit di antara kamu yang beringat.
[63]
Atau Yang membimbing kamu ketika dalam kegelapan daratan dan lautan, dan yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum rahmatNya? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Maha Tinggilah Allah dari apa yang mereka sekutukan.
[64]
Atau Yang memulakan kejadian sekalian makhluk, kemudian Dia mengulanginya. Dan yang menyediakan bagi kamu dari langit dan bumi? Adakah sebarang tuhan yang lain bersama-sama Allah? Katakanlah “Tunjukkanlah bukti-bukti kamu, jika betul kamu orang-orang yang benar”
[65]
Katakanlah lagi “Tiada sesiapapun di langit dan di bumi yang mengetahui perkara yang ghaib melainkan Allah!” Dan tidaklah pula mereka mengetahui bilakah masing-masing akan dibangkitkan hidup semula.
[66]
Bahkan mereka telah berkali-kali diperingatkan akan hari akhirat, namun mereka berada dalam keraguan mengenainya dan mereka buta mengenainya.
[67]
Dan orang-orang yang kafir itu berkata “Adakah sesudah kami menjadi tanah, demikian juga datuk nenek kami, kami semua akan dikeluarkan semula?
[68]
Demi sesungguhnya, kami telah dijanjikan dengan ini dari dahulu lagi, kami dan juga datuk nenek kami. Ini hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala”
[69]
Katakanlah “Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa”
[70]
Dan janganlah bersedih hati terhadap mereka dan janganlah pula resah-gelisah disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.
[71]
Dan mereka bertanya “Bilakah yang telah dijanjikan itu, jika betul kamu orang-orang yang benar?”
[72]
Katakanlah “Boleh jadi, telah hampir di belakang kamu sebahagian dari apa yang kamu minta disegerakan itu”
[73]
Dan sesungguhnya, Tuhanmu sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada umat manusia tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur.
[74]
Dan sesungguhnya, Tuhanmu sedia mengetahui apa yang terpendam di dalam dada mereka dan apa yang mereka nyatakan.
[75]
Dan tiada suatupun yang tersembunyi di langit dan di bumi, melainkan tertulis di dalam Kitab yang nyata.
[Lauh Mahfuz]
[76]
Sesungguhnya Al-Quran ini menceritakan kepada Bani Israil mengenai kebanyakan apa yang mereka berselisihan padanya.
[77]
Dan sesungguhnya, ia menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.
[78]
Sesungguhnya Tuhanmu akan memutuskan di antara mereka dengan peraturanNya. Dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.
[79]
Oleh itu, berserahlah kepada Allah, sesungguhnya engkau berada di atas kebenaran yang nyata.
[80]
Sesungguhnya engkau tidak akan dapat menjadikan orang-orang yang mati itu mendengar, dan tidak juga dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar, apabila mereka berpaling berundur.
[81]
Dan engkau tidak akan dapat memberikan petunjuk kepada orang-orang yang buta dari kesalahan mereka. Engkau tidak akan dapat memperdengarkan melainkan hanya kepada orang-orang yang beriman akan tanda-tanda Kami, kerana mereka adalah orang-orang yang berserah diri.
[82]
Maka apabila telah dipenuhi Perkataan terhadap mereka, Kami keluarkan untuk mereka sejenis makhluk dari bumi yang akan mengatakan kepada mereka, bahawa manusia tidak lagi meyakini tanda-tanda Kami.
[83]
Dan hari Kami himpunkan dari tiap-tiap umat, segolongan yang mendustakan tanda-tanda Kami, lalu mereka diatur dalam barisan.
[84]
Sehingga apabila mereka datang, Dia berfirman “Adakah kamu mendustakan tanda-tandaKu tanpa terlebih dahulu kamu mengetahuinya secara menyeluruh? Atau apakah yang kamu telah lakukan?”
[85]
Maka terpenuhilah Perkataan ke atas mereka disebabkan kezaliman mereka, lalu mereka terdiam membisu.
[86]
Tidakkah mereka memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan malam untuk mereka berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang? Sesungguhnya pada yang demikian itu mengandungi tanda-tanda bagi kaum yang beriman.
[87]
Dan hari ditiupkan sangkakala, maka terkejutlah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, melainkan mereka yang dikehendaki Allah. Dan semuanya akan datang kepadaNya dengan keadaan tunduk patuh.
[88]
Dan engkau melihat gunung-ganang yang engkau sangka tetap pada tempatnya, padahal ia bergerak seperti bergeraknya awan-awan. (Demikianlah) perbuatan Allah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sekukuh-kukuhnya. Sesungguhnya Dia Amat mendalam PengetahuanNya akan apa yang kamu lakukan.
[89]
Sesiapa yang datang dengan kebaikan, maka dia akan beroleh yang lebih baik daripadanya, dan mereka pula akan selamat dari kejadian-kejadian yang mengerikan pada hari itu.
[90]
Dan sesiapa yang datang dengan kejahatan, maka sudah tentu mereka akan ditumuskan mukanya ke dalam api neraka “Kamu tidak diberikan balasan melainkan apa yang kamu telah lakukan”
[91]
(Katakanlah) “Aku hanya diperintahkan supaya menyembah Tuhan negeri ini yang telah menjadikannya suci lagi dihormati, dan adalah milikNya segala sesuatu. Dan aku diperintahkan supaya tetap menjadi dari kalangan orang-orang yang berserah diri (Islam),
[92]
Dan supaya aku sentiasa membacakan Al-Quran” Oleh itu, sesiapa yang menerima petunjuk, maka dia hanya menerima petunjuk untuk dirinya sendiri dan sesiapa yang sesat, maka katakanlah “Sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi amaran”
[93]
Dan katakanlah “Segala puji bagi Allah, Dia akan memperlihatkan kepada kamu tanda-tandaNya supaya kamu dapat mengetahuinya. Dan Tuhanmu tidaklah lalai dari apa yang kamu lakukan”