Sunday 12 August 2012

39. SURAH Az-Zumar

39. SURAH Az-Zumar
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Kitab ini diturunkan oleh Allah, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[2]
Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab ini kepadamu dengan kebenaran. Oleh itu, hendaklah engkau menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya.
[3]
Ingatlah! Hanya milik Allah, agama yang bersih. Dan orang-orang yang mengambil selain Dia sebagai pelindung-pelindung “Kami tidak menyembahnya melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya” Sesungguhnya Allah akan memberikan keputusan di antara mereka mengenai apa yang mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang sentiasa berdusta, lagi sentiasa kufur.
[4]
Sekiranya Allah hendak mengambil anak, tentulah Dia memilih dari apa yang diciptakanNya, mana-mana yang dikehendakiNya. Maha Sucilah Dia. Dialah Allah, Yang Maha Esa, lagi Yang Mengatasi kekuasaanNya dari segala-galanya.
[5]
Dia menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran. Dia menutup malam ke atas siang, dan menutup siang ke atas malam. Dan Dia menundukkan matahari dan bulan, masing-masing beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Ingatlah! Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.
[6]
Dia menciptakan kamu daripada diri yang satu (Adam), kemudian Dia menjadikan daripadanya isterinya (Hawa). Dan Dia mengadakan untuk kamu binatang-binatang ternak lapan pasang (jantan dan betina). Dialah yang menciptakan kamu di dalam kandungan ibu kamu dari satu kejadian ke satu kejadian, dalam tiga kegelapan. Itulah Allah Tuhan kamu. BagiNyalah kekuasaan yang mutlak. Tiada Tuhan melainkan Dia. Oleh itu, bagaimanakah kamu dapat dipesongkan?
[7]
Kalaulah kamu kufur, maka sesungguhnya Allah tidak memerlukan kamu. Sesungguhnya Dia tidak suka pada hamba-hambaNya, ketidaksyukuran. Dan jika kamu bersyukur, Dia menyukainya pada kamu. Dan seseorang yang memikul tidak akan memikul bebanan orang lain. Kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kembalinya kamu, lalu Dia akan memberitahu kamu mengenai apa yang kamu telah kerjakan. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui akan segala isi hati.
[8]
Dan apabila manusia ditimpa suatu bahaya, bersegeralah dia berdoa kepada Tuhannya dengan bertaubat kepadaNya. Kemudian apabila Dia memberikannya suatu nikmat daripadaNya, lupalah dia bagi apa yang menyebabkannya merayuNya sebelum itu, dan dia jadikan pula sekutu-sekutu bagi Allah untuk menyesatkan dari jalanNya. Katakanlah “Bersenang-senanglah engkau dengan kekufuranmu itu buat sementara, sesungguhnya engkau termasuk penghuni neraka.
[9]
Adakah dia, orang yang (telah) beribadat pada waktu malam sambil bersujud dan berdiri dengan perasaan takut akan hari akhirat dan mengharapkan rahmat Tuhannya?“ Katakanlah lagi “Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?” Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran, hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
[10]
Katakanlah (akan firmanKu ini) “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertakwalah kepada Tuhan kamu. Orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan. Dan bumi Allah ini luas. Dan orang-orang yang bersabar sahajalah yang akan disempurnakan pahala mereka yang tidak terkira”
[11]
Katakanlah “Sesungguhnya aku diperintahkan supaya aku menyembah Allah dengan mengikhlaskan segala ibadat kepadaNya.
[12]
Dan aku diperintahkan supaya menjadi orang yang paling pertama berserah diri”
[13]
Katakanlah “Sesungguhnya aku takut, jika aku menderhakai Tuhanku, akan azab hari yang besar”
[14]
Katakanlah “Allah jualah yang aku sembah dengan mengikhlaskan ibadatku kepadaNya.
[15]
Dan sembahlah kamu akan apa yang kamu kehendaki, yang lain daripadaNya” Katakanlah “Sesungguhnya orang-orang yang rugi, dia ialah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri dan keluarganya pada hari kiamat. Ingatlah, yang demikian itu adalah kerugian yang nyata”
[16]
Bagi merekalah lapisan-lapisan dari api di atas mereka, dan lapisan-lapisan dari bawah mereka. Demikianlah Allah menakutkan hamba-hambaNya. Oleh itu, bertakwalah kepadaKu wahai hamba-hambaKu!.
[17]
Dan orang-orang yang menjauhkan dirinya daripada Taghut supaya mereka tidak menyembahnya dan mereka kembali kepada Allah, bagi mereka berita yang menggembirakan. Dan gembirakanlah hamba-hambaKu itu.
[18]
(Iaitu) mereka yang mendengar Perkataan, kemudian mereka menuruti yang terbaik di antaranya. Mereka itulah orang-orang yang diberikan petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna.
[19]
Maka adakah orang yang telah ditetapkan atasnya Perkataan dari azab seksa! Dan adakah engkau berkuasa menyelamatkan orang yang berada di dalam neraka?
[20]
Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka, bagi mereka mahligai-mahligai yang tinggi bertingkat-tingkat, yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Demikianlah janji Allah. Dan Allah tidak sekali-kali memungkiri janji-janjiNya.
[21]
Tidakkah engkau memerhatikan, bahawa Allah menurunkan air dari langit, dan dialirkanNya menjadi mata air-mata air di bumi. Dan Dia mengadakan dengannya tanaman-tanaman yang berlainan warnanya. Kemudian ia menjadi kering dan kamu melihatnya menjadi kekuning-kuningan. Lalu Dia menjadikannya hancur berkecai? Sesungguhnya semua itu mengandungi peringatan yang menyedarkan orang-orang yang berakal sempurna.
[22]
Maka adakah orang yang telah dilapangkan oleh Allah hatinya untuk Islam, dan dia berada dalam cahaya daripada Tuhannya? Dan kecelakaanlah bagi yang keras membatu hatinya dari mengingati Allah. Mereka itu dalam kesesatan yang nyata.
[23]
Allah telah menurunkan sebaik-baik perkataan iaitu sebuah Kitab yang bersamaan isi kandungannya antara satu dengan yang lain, lagi berulang-ulang. Yang menjadikan kulit orang-orang yang takut kepada Tuhan mereka menggeletar. Kemudian kulit badan mereka menjadi tenang dan hati mereka pula mengingati Allah. Petunjuk Allah itu, Dia membimbing dengannya sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada baginya sebarang petunjuk.
[24]
Dan adakah dia orang yang akan menahan dengan mukanya azab buruk pada hari kiamat? Dan dikatakan kepada orang-orang yang zalim itu “Rasakanlah apa yang kamu usahakan dahulu”
[25]
Orang-orang yang terdahulu daripada mereka juga telah mendustakan, maka orang-orang itu telah didatangi azab dari arah yang mereka tidak sedari.
[26]
Dan Allah merasakan mereka kehinaan dalam kehidupan dunia, dan sesungguhnya azab seksa hari akhirat lebih besar lagi. Kalaulah mereka mengetahui.
[27]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai contoh perbandingan dalam Al-Quran ini, agar mereka mengambil pengajaran.
[28]
Al-Quran berbahasa Arab, yang tidak mengandungi sebarang yang terpesong. Agar mereka bertakwa.
[29]
Allah memberikan satu contoh perbandingan. Seorang lelaki yang dikongsi oleh beberapa orang yang bertentangan kemahuan. Dan seorang lelaki yang hanya dimiliki oleh seorang sahaja. Adakah kedua-duanya sama? Segala puji bagi Allah. Bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui.
[30]
Sesungguhnya engkau akan mati, dan sesungguhnya mereka juga akan mati.
[31]
Kemudian sesungguhnya kamu pada hari kiamat, akan saling berbantahan di hadapan Tuhan kamu.
[32]
Kemudian nyatalah bahawa tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang mereka-reka perkara-perkara dusta terhadap Allah, dan mendustakan kebenaran sebaik sahaja ia sampai kepadanya. Bukankah di neraka Jahanam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang kafir?
[33]
Dan orang yang membawa kebenaran dan beriman kepadanya, mereka itulah orang-orang yang bertakwa.
[34]
Disediakan untuk mereka apa yang mereka kehendaki di sisi Tuhan mereka. Demikianlah balasan orang-orang yang berbuat baik.
[35]
Dan Allah hendak menghapuskan bagi mereka seburuk-buruk apa yang mereka pernah lakukan, dan akan membalas mereka dengan balasan yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan.
[36]
Bukankah Allah sudah cukup untuk hambaNya? Dan mereka menakutkanmu dengan apa yang lain daripadaNya. Oleh itu, sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada baginya sebarang petunjuk.
[37]
Dan sesiapa yang diberikan petunjuk oleh Allah, maka tiada sesiapapun yang dapat menyesatkannya. Bukankah Allah Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa?
[38]
Dan jika engkau bertanyakan kepada mereka “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” Sudah tentu mereka akan menjawab “Allah” Katakanlah “Adakah kamu telah melihat (sedalamnya) apa yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Kalaulah Allah menghendaki daku dengan suatu bahaya, dapatkah mereka menghapuskan bahayaNya itu. Atau jika Dia menghendaki daku dengan suatu rahmat, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?” Katakanlah lagi “Cukuplah bagiku, Allah. KepadaNyalah berserah orang-orang yang mahu berserah diri”
[39]
Katakanlah “Wahai kaumku! Buatlah sedaya upaya kamu, sesungguhnya aku tetap juga akan berbuat. Dan kelak kamu akan mengetahui,
[40]
Siapakah yang akan didatangi azab yang menghinakannya, dan akan diturunkan kepadanya azab seksa yang kekal”
[41]
Sesungguhnya Kami, Kami telah menurunkan kepadamu Kitab untuk umat manusia dengan kebenaran. Dan sesiapa yang menerima petunjuk, maka untuk dirinya jua. Dan sesiapa yang sesat, maka kesesatannya terhadap dirinya juga. Dan engkau bukanlah seorang pengurus terhadap mereka.
[42]
Allah, Dia mengambil jiwa orang ketika matinya, dan orang yang belum mati ketika tidurnya. Kemudian Dia menahan jiwa orang yang ditetapkanNya matinya, namun menghantarkan semula kepada yang lain (orang yang tidur) untuk suatu tempoh yang telah ditentukan. Sesungguhnya pada yang demikian mengandungi tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.
[43]
Patutkah mereka mengambil yang lain dari Allah sebagai pemberi syafaat? Bertanyalah “Walaupun mereka tidak memiliki apa-apa dan tidak pula memahami?”
[44]
Katakanlah “Syafaat itu semuanya adalah kepunyaan Allah. Dialah Yang Menguasai langit dan bumi. Dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan”
[45]
Dan apabila disebutkan nama Allah semata-mata, segan liarlah hati mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat. Dan apabila disebutkan mereka yang lain dari Allah, dengan serta-merta mereka riang gembira.
[46]
Ucapkanlah “Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, Engkaulah jua yang mengadili di antara hamba-hambaMu mengenai apa yang mereka sentiasa berselisihan padanya”
[47]
Dan kalaulah orang-orang yang zalim mempunyai segala apa jua yang ada di bumi, disertai sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri mereka dengannya dari azab seksa yang buruk pada hari kiamat, setelah nyata kepada mereka daripada Allah, apa yang mereka tidak pernah fikirkan.
[48]
Dan akan jelaslah kepada mereka keburukan perkara-perkara yang mereka telah usahakan. Dan mereka pula akan diliputi oleh apa yang mereka telah ejek-ejekkan itu.
[49]
Lalu apabila manusia ditimpa suatu bahaya, dia bersegera berdoa kepada Kami. Kemudian apabila Kami memberikannya suatu nikmat daripada Kami, berkatalah dia “Aku diberikannya hanyalah disebabkan ilmu” Bahkan ia adalah ujian, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
[50]
Sesungguhnya orang-orang yang terdahulu daripada mereka telah juga mengatakan yang demikian. Maka segala yang mereka telah usahakan tidak dapat menyelamatkan mereka.
[51]
Dan mereka ditimpa perbuatan-perbuatan jahat yang mereka telah lakukan. Dan orang-orang yang zalim di kalangan golongan ini juga akan ditimpa perbuatan-perbuatan buruk yang mereka lakukan, dan mereka tidak akan dapat melepaskan diri.
[52]
Tidakkah mereka mengetahui bahawa sesungguhnya Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan menyempitkan? Sesungguhnya pada yang demikian itu mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang beriman.
[53]
Sampaikanlah “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampunkan apa-apa dosa. Sesungguhnya Dia, Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[54]
Dan bertaubatlah kepada Tuhan kamu, dan berserahlah kepadaNya, sebelum kamu didatangi azab. Kerana sesudah itu kamu tidak akan diberi pertolongan.
[55]
Dan turutilah dengan sebaik-baik, apa yang diturunkan kepada kamu daripada Tuhan kamu, sebelum kamu didatangi azab secara mengejut, sedang kamu tidak sedari.
[56]
Agar jangan seseorang berkata "Sungguh besar penyesalanku atas apa aku telah mencuaikan berhubungan dengan Allah dan bahawa aku dari kalangan orang-orang yang mengejek-ejek!"
[57]
Atau berkata "Kalaulah Allah memberikan petunjuk kepadaku, tentulah aku telah menjadi dari kalangan orang-orang yang bertakwa!"
[58]
Atau berkata semasa dia melihat azab "Kalaulah ada bagiku peluang lain, nescaya menjadilah aku dari kalangan orang-orang yang berbuat baik!”
[59]
“Benar, telah datang kepadamu Ayat-ayat keteranganKu, lalu engkau mendustakannya dan berlaku sombong. Dan engkau dari kalangan orang-orang yang ingkar!”
[60]
Dan pada hari kiamat, kamu akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah, muka mereka hitam legam. Bukankah di dalam neraka Jahanam disediakan tempat tinggal bagi orang-orang yang sombong?
[61]
Dan Allah akan membawa orang-orang yang bertakwa ke tempat selamat mereka. Mereka tidak akan disentuh sesuatu yang buruk, dan tidak pula mereka bersedih hati.
[62]
Allah Yang Menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dialah Yang Mentadbirnya dan menguasai segala-galanya.
[63]
Dialah sahaja yang menguasai kunci-kunci langit dan bumi. Dan orang-orang yang ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, mereka itu, orang-orang yang paling rugi.
[64]
Katakanlah “Patutkah kamu menyuruhku menyembah yang lain dari Allah, wahai orang-orang yang jahil?”
[65]
Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu dan kepada orang-orang yang terdahulu daripadamu “Jika engkau mempersekutukan (Tuhanmu), nescaya akan gugurlah amal-amalmu, dan engkau akan menjadi dari orang-orang yang rugi.
[66]
Kerana itu, sembahlah Allah semata-mata, dan jadilah dari kalangan orang-orang yang bersyukur”
[67]
Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang selayaknya, sedang bumi keseluruhannya pada hari kiamat adalah dalam genggamanNya. Dan langit digulung dengan tangan kananNya. Maha Sucilah Dia dan Tertinggilah Dia dari apa yang mereka sekutukan.
[68]
Dan akan ditiupkan sangkakala, maka rebah matilah segala yang ada di langit dan segala yang ada di bumi, melainkan sesiapa yang dikehendaki Allah. Dan ditiupkan kali kedua, maka dengan serta-merta mereka berdiri menunggu.
[69]
Dan akan bersinar terang-benderanglah bumi dengan cahaya Tuhannya. Dan diberikan Kitab suratan amal. Dan akan didatangkan Nabi-nabi dan saksi-saksi. Dan akan dihakimi di antara mereka dengan kebenaran, sedang mereka tidak akan dianiaya.
[70]
Dan akan disempurnakan bagi tiap-tiap diri, apa yang telah dikerjakannya, dan Dia lebih mengetahui akan apa yang mereka telah kerjakan.
[71]
Dan orang-orang yang kafir akan dihalau ke neraka Jahanam dengan berpasukan-pasukan, sehingga apabila mereka sampai kepadanya, dibukakan pintu-pintunya dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka “Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang membacakan kepada kamu ayat-ayat Tuhan kamu dan memperingatkan kamu akan pertemuan hari kamu ini?” Mereka menjawab “Benar!” Tetapi telah ditetapkan perkataan dari hukuman azab atas orang-orang yang kafir.
[72]
Dikatakan “Masukilah pintu-pintu neraka Jahanam itu dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya. Dan itulah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong"
[73]
Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka akan dibawa ke Syurga dengan berpasukan-pasukan, sehingga apabila mereka tiba kepadanya yang pintu-pintunya sedia terbuka dan berkatalah penjaga-penjaganya kepada mereka “Kesejahteraanlah ke atas kamu, dan masukilah dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya”
[74]
Dan mereka berkata “Segala puji bagi Allah yang telah menepati janjiNya kepada kami, dan yang telah menjadikan kami mewarisi bumi ini dengan sebebas-bebasnya, kami boleh mengambil tempat di dalam Syurga ini di mana sahaja kami kehendaki” Itulah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal.
[75]
Dan engkau akan melihat malaikat beredar di sekeliling Arasy sambil bertasbih memuji Tuhan mereka, dan akan diadili di antara mereka dengan kebenaran. Dan dikatakan “Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam!”