Saturday 14 July 2012

3. SURAH Ali-’Imran

3.SURAH Ali-’Imran
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Allah tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Tetap Hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbir sekalian makhlukNya.
[3]
Dia menurunkan kepadamu Kitab Suci dengan kebenaran, yang mengesahkan apa yang terdahulu sebelumnya, dan Dialah juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil
[4]
sebelumnya (Al-Quran), sebagai petunjuk bagi umat manusia, dan Dia menurunkan Al-Furqaan. Sesungguhnya orang-orang yang ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, bagi mereka azab seksa yang amat berat. Dan Allah jualah Yang Maha Kuasa, lagi berhak membalas dengan azab seksa.
[5]
Sesungguhnya Allah, tiada suatupun yang tersembunyi daripadaNya di bumi, tidak juga di langit.
[6]
Dialah yang membentuk kamu di dalam rahim sebagaimana yang dikehendakiNya. Tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[7]
Dialah yang menurunkan kepadamu Kitab Suci (Al-Quran). Di dalamnya, ayat-ayat Muhkamaat (yang tetap, tegas, dan nyata maknanya). Ia adalah ibu isi Kitab. Dan yang lain lagi adalah ayat-ayat Mutasyaabihaat (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Adapun orang-orang yang ada di dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menuruti apa yang samar-samar daripadanya (Al-Quran) untuk mencari fitnah dan mencari-cari Tafsirnya. Padahal tidak ada yang mengetahui Tafsirnya melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh dan mendalam pengetahuannya akan berkata “Kami beriman kepadanya, semuanya itu datang dari sisi Tuhan kami” Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran.
[8]
“Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pesongkan hati kami sesudah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang melimpah-limpah pemberianNya.
[9]
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkaulah yang akan menghimpunkan sekalian manusia untuk suatu hari yang tidak ada keraguan padanya” Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.
[10]
Sesungguhnya orang-orang kafir, harta benda dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan menyelamatkan mereka daripada Allah sedikitpun. Dan mereka itulah bahan bakar api neraka.
[11]
Sama seperti keadaan kaum Firaun, dan orang-orang yang terdahulu daripada mereka. Mereka juga mendustakan tanda-tanda Kami, lalu Allah menyeksa mereka disebabkan dosa-dosa mereka. Dan Allah Maha berat azab seksaNya.
[12]
Katakanlah kepada orang-orang yang kafir itu “Kamu akan dikalahkan dan akan dihimpunkan ke dalam neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat yang disediakan”
[13]
Demi sesungguhnya, telah ada satu tanda bagi kamu pada dua pasukan yang telah bertemu. Satu pasukan berperang pada jalan Allah, dan yang lain dari golongan kafir. Mereka melihat mereka (orang-orang Islam) dengan pandangan mata biasa dua kali ganda. Dan Allah sentiasa menguatkan sesiapa yang dikehendakiNya dengan memberikan pertolonganNya. Sesungguhnya pada peristiwa tersebut, terdapat satu pengajaran yang memberi keinsafan bagi orang-orang yang berfikiran.
[Perang Badar]
[14]
Dihiaskan bagi manusia, kesukaan kepada apa yang diingini, iaitu perempuan-perempuan dan anak-anak, harta benda yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak, kuda pilihan, dan binatang-binatang ternak dan kebun-kebun tanaman. Semuanya itu adalah rezeki kehidupan di dunia. Dan di sisi Allah, ada tempat kembali yang sebaik-baiknya.
[15]
Katakanlah “Mahukah aku khabarkan kepada kamu apa yang lebih baik daripada semua itu? Iaitu bagi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka, disediakan Taman-taman yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya. Di dalamnya juga terdapat isteri-isteri yang suci bersih, dan keredhaan Allah” Dan Allah sentiasa Melihat akan hamba-hambaNya.
[16]
(Iaitu) orang-orang yang berdoa dengan berkata “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah beriman, oleh itu ampunkanlah dosa-dosa kami dan peliharalah kami dari azab neraka”
[17]
(Dan juga) orang-orang yang sabar, yang benar, yang sentiasa taat, yang mendermakan hartanya, dan yang memohon keampunan pada waktu sahur.
[18]
Allah menerangkan bahawasanya tiada Tuhan melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbir dengan adil. Dan malaikat-malaikat dan orang-orang berilmu (mengakuinya juga). Tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[19]
Sesungguhnya agama di sisi Allah adalah Islam. Dan orang-orang yang diberikan Kitab itu tidak berselisihan melainkan setelah sampai kepada mereka pengetahuan yang sah mengenai kebenarannya, semata-mata disebabkan hasad dengki yang ada di antara mereka. Dan sesiapa yang ingkar akan ayat-ayat keterangan Allah, maka sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
[20]
Kemudian jika mereka berhujah membantahmu, maka katakanlah “Aku telah menyerahkan diriku kepada Allah dan demikian juga orang-orang yang mengikutku” Dan bertanyalah kepada orang-orang yang diberikan Kitab, dan orang-orang yang Ummi “Sudahkah kamu berserah diri?” Kemudian jika mereka berserah diri, maka sebenarnya mereka telah beroleh petunjuk. Dan jika mereka berpaling, maka sesungguhnya kewajipanmu hanyalah menyampaikan. Dan Allah sentiasa Melihat sekalian hambaNya.
[21]
Sesungguhnya orang-orang yang ingkar kepada tanda-tanda Allah, dan membunuh Nabi-nabi dengan jalan yang salah, dan membunuh orang-orang yang menyeru supaya berlaku adil di kalangan manusia, maka sampaikanlah berita yang menggembirakan mereka, dengan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[22]
Mereka itulah orang-orang yang telah rosak amal perbuatannya di dunia dan di akhirat. Dan mereka tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.
[23]
Tidakkah engkau pelik memikirkan terhadap orang-orang yang telah diberikan sebahagian dari Kitab, mereka diseru kepada Kitab Allah supaya ia dijadikan hakim di antara mereka. Ahli-ahli satu puak dari mereka berpaling sambil menolak.
[24]
Yang demikian kerana mereka berkata “Kami tidak sekali-kali akan disentuh api neraka melainkan dalam beberapa hari sahaja yang boleh dihitung” Mereka telah diperdayakan oleh agama mereka, oleh apa yang mereka ada-adakan sendiri.
[25]
Oleh itu, bagaimanakah pula ketika Kami himpunkan mereka pada hari yang tidak ada keraguan padanya. Dan akan disempurnakan kepada tiap-tiap seorang balasan apa yang dia telah usahakan, sedang mereka masing-masing tidak akan dianiaya.
[26]
Katakanlah “Wahai Allah yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang menghinakan sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[27]
Engkaulah yang memasukkan waktu malam ke dalam waktu siang, dan Engkaulah yang memasukkan waktu siang ke dalam waktu malam. Engkaulah yang mengeluarkan yang hidup daripada yang mati, dan Engkaulah yang mengeluarkan yang mati daripada yang hidup. Engkaulah yang memberi rezeki kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dengan tiada hitungan hisabnya”
[28]
Janganlah orang-orang beriman mengambil orang-orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang beriman. Dan sesiapa yang melakukan itu, maka tidaklah dia (mendapat) daripada Allah apapun, kecuali kerana kamu hendak menjaga diri dari suatu bahaya yang ditakuti dari pihak mereka. Dan Allah perintahkan supaya kamu berwaspada terhadapNya. Dan kepada Allah jualah tempat kembali.
[29]
Katakanlah “Jika kamu sembunyikan apa yang ada di dalam dada kamu atau kamu lahirkannya, nescaya Allah mengetahuinya. Dan Dia mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”
[30]
Hari tiap-tiap seorang akan mendapat apa sahaja kebaikan yang telah dikerjakannya. Dan demikian juga apa sahaja kejahatan yang telah dikerjakannya. Ingin kalau kiranya ada jarak yang jauh di antaranya dengan itu. Dan Allah perintahkan kamu supaya berwaspada terhadapNya. Dan Allah Amat belas kasihan kepada hamba-hambaNya.
[31]
Katakanlah “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu, dan Dia akan mengampunkan dosa-dosa kamu” Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[32]
Katakanlah “Taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Oleh itu, jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang kafir.
[33]
Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, dan keluarga Ibrahim dan keluarga Imran melebihi segala umat.
[34]
Suatu keturunan yang sebahagiannya berasal daripada sebahagian yang lain. Dan Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Mengetahui.
[35]
Ketika isteri Imran berkata “Tuhanku! Sesungguhnya aku nazarkan kepadaMu apa yang ada di dalam kandunganku sebagai seorang yang bebas, maka terimalah daripadaku. Sesungguhnya Engkaulah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”
[36]
Kemudian setelah dia melahirkannya, berkatalah dia “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan" Dan Allah sememangnya mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu, dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan "Dan bahawasanya aku menamakannya Maryam, maka lindungilah dia dengan pemeliharaanMu, demikian juga zuriat keturunannya, dari syaitan yang direjam”
[37]
Maka dia diterima oleh Tuhannya dengan penerimaan yang baik, dan dibesarkan dengan didikan yang baik, dan diserahkan untuk dipelihara oleh Zakaria. Tiap-tiap kali Zakaria masuk menemuinya di Mihrab, dia mendapati rezeki (makanan) di sisinya. Dia bertanya “Wahai Maryam daripada manakah engkau dapatkan ini?” Dia menjawab “Daripada Allah, sesungguhnya Allah memberikan rezeki kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terkira”
[38]
Ketika itu Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisiMu zuriat keturunan yang baik. Sesungguhnya Engkaulah jua yang sentiasa Mendengar doa permohonan”
[39]
Lalu dia diseru oleh malaikat ketika dia berdiri bersembahyang di Mihrab “Bahawasanya Allah memberikan khabar yang menggembirakanmu dengan (seorang anak lelaki bernama) Yahya, yang akan beriman kepada Kalimah daripada Allah, dan akan menjadi ikutan, dan akan menahan diri, dan akan menjadi seorang Nabi dari kalangan orang-orang yang soleh”
[40]
Dia berkata “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan mendapat seorang anak, padahal sesungguhnya aku telah tua dan isteriku pula mandul?” Dia berfirman “Demikianlah, Allah melakukan apa yang dikehendakiNya”
[41]
Dia berkata lagi “Wahai Tuhanku! Jadikanlah bagiku satu tanda” Dia berfirman “Tandamu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga hari melainkan dengan isyarat sahaja. Dan ingatlah Tuhanmu sebanyak-banyaknya, dan bertasbihlah memuji Allah, pada waktu malam dan pada waktu pagi”
[42]
Dan ketika malaikat berkata “Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, dan mensucikanmu, dan telah memilihmu melebihi perempuan-perempuan seluruh alam.
[43]
Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan bersujudlah, dan rukuklah bersama orang-orang yang rukuk”
[44]
Itulah sebahagian dari berita-berita ghaib yang Kami wahyukan kepadamu, sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka mencampakkan anak-anak panah masing-masing (mengundi) siapakah di antara mereka yang akan memelihara Maryam. Dan engkau juga tidak ada bersama-sama mereka ketika mereka berkelahi.
[45]
Ketika malaikat berkata “Wahai Maryam! Bahawasanya Allah memberikan khabar yang menggembirakanmu, dengan Kalimah daripada Allah. Nama anak itu Al-Masih, Isa Ibni Maryam, seorang yang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan termasuk orang-orang yang dirapatkan.
[46]
Dan dia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa dia masih kecil di dalam buaian dan sesudah dia dewasa, dan dia termasuk orang-orang yang soleh”
[47]
Dia berkata “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelakipun?” Dia berfirman “Demikianlah, Allah menjadikan apa yang dikehendakiNya. Apabila Dia berkehendak melaksanakan sesuatu, hanyalah Dia berfirman kepadanya, Jadilah, lalu menjadilah ia”
[48]
Dan Dia akan mengajarinya Kitab, dan hikmat, dan kitab-kitab Taurat, dan Injil.
[49]
Dan menjadi Rasul kepada Bani Israil “Sesungguhnya aku telah datang kepada kamu dengan membawa suatu tanda daripada tuhan kamu, iaitu aku boleh bentukkan untuk kamu daripada tanah liat bentuk seekor burung, kemudian aku tiupkan padanya, maka menjadilah ia seekor burung (hidup) dengan izin Allah. Dan aku boleh menyembuhkan orang buta dan orang yang sopak, dan aku boleh menghidupkan kembali orang-orang yang mati dengan izin Allah. Dan juga aku boleh memberitahu kamu mengenai apa yang kamu makan dan apa yang kamu simpan di rumah kamu. Sesungguhnya perkara-perkara tersebut, mengandungi suatu tanda bagi kamu jika kamu orang-orang yang beriman.
[50]
Dan mengesahkan kebenaran Kitab Taurat yang diturunkan dahulu daripadaku, dan untuk menghalalkan bagi kamu sebahagian yang telah diharamkan kepada kamu. Dan aku telah datang kepada kamu dengan membawa suatu tanda daripada Tuhan kamu. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah dan taatlah kepadaku.
[51]
Sesungguhnya Allah, Dialah Tuhanku dan Tuhan kamu, oleh itu beribadatlah kamu kepadaNya. Inilah jalan yang lurus”
[52]
Dan ketika Isa mengetahui keingkaran mereka, berkatalah dia “Siapakah penolong-penolongku untuk Allah?” Orang-orang Hawariyyuun berkata “Kamilah penolong-penolong Allah. Kami telah beriman kepada Allah, dan saksikanlah, kami adalah orang-orang yang berserah diri (Islam).
[53]
Wahai Tuhan kami! Kami telah beriman kepada apa yang telah Engkau turunkan, dan kami mengikut RasulMu. Oleh itu, sertakanlah kami berserta orang-orang yang menjadi saksi”
[54]
Dan orang-orang (yang kafir) itu merancangkan, dan Allah juga merancangkan, dan Allah jualah sebijak-bijak yang merancangkan.
[55]
Ketika Allah berfirman “Wahai Isa! Sesungguhnya Aku akan mengambilmu dengan sempurna, dan akan mengangkatmu ke sisiKu, dan akan membersihkanmu dari orang-orang kafir, dan Aku akan menjadikan orang-orang yang mengikutmu mengatasi orang-orang kafir pada hari kiamat. Kemudian kepada Akulah tempat kembalinya kamu, lalu Aku menghakimi di antara kamu akan apa yang kamu perselisihkan”
[56]
Adapun orang-orang yang kafir, maka Aku akan seksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat menolong.
[57]
Adapun orang-orang yang beriman dan berbuat baik, maka Dia akan menyempurnakan pahala mereka. Dan Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
[58]
Demikianlah yang Kami bacakan kepadamu, sebahagian dari hujah-hujah keterangan, dan Peringatan yang penuh hikmah.
[59]
Sesungguhnya bandingan Isa di sisi Allah adalah sama seperti Adam. Dia telah menciptakan Adam daripada tanah, kemudian Dia berfirman kepadanya “Jadilah!” dan menjadilah dia.
[60]
Kebenaran itu adalah daripada Tuhanmu, maka janganlah sekali-kali engkau termasuk orang-orang yang ragu.
[61]
Kemudian sesiapa yang membantahmu mengenainya sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka “Marilah kita menyeru anak-anak kami dan anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami dan perempuan-perempuan kamu, dan diri kami dan diri kamu, kemudian kita memohon dengan bersungguh-sungguh, dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang berdusta”
[62]
Sesungguhnya inilah kisah-kisah yang benar, dan tiadalah Tuhan melainkan Allah. Dan sesungguhnya Allah, Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[63]
Dan jika mereka berpaling, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan orang-orang yang berbuat kerosakan.
[64]
Katakanlah “Wahai Ahli Kitab, marilah kepada satu Kalimah yang bersamaan antara kami dengan kamu, iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan denganNya sesuatu apapun. Dan janganlah pula sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain untuk dijadikan tuhan (orang-orang yang dipuja) selain Allah” Kemudian jika mereka berpaling, maka katakanlah “Saksikanlah kamu bahawa kami adalah orang-orang Islam”
[65]
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu berani memperdebatkan mengenai Ibrahim, padahal Taurat dan Injil tidak diturunkan melainkan kemudian daripadanya. Patutkah kamu tidak mahu menggunakan akal?
[66]
Beginilah kamu, kamu telah mengajukan bantahan mengenai perkara yang kamu ada pengetahuan mengenainya, maka mengapa kamu membuat bantahan mengenai perkara yang tidak ada pada kamu sedikitpun pengetahuan mengenainya? Dan Allah jualah yang mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.
[67]
Bukanlah Ibrahim itu seorang pemeluk agama Yahudi, dan bukanlah dia seorang pemeluk agama Nasrani, tetapi dia adalah seorang Islam yang benar, dan dia pula bukanlah dari kalangan orang-orang yang menyekutukan (Allah).
[68]
Sesungguhnya orang-orang yang hampir sekali kepada Ibrahim (ialah) orang-orang yang mengikutnya dan juga Nabi ini (Muhammad) dan orang-orang beriman. Dan Allah, Dialah Pelindung dan Penolong sekalian orang-orang beriman.
[69]
Segolongan dari Ahli Kitab suka kiranya mereka dapat menyesatkan kamu, padahal mereka tidak menyesatkan melainkan dirinya sendiri, dan mereka pula tidak menyedarinya.
[70]
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu kufurkan tanda-tanda Allah padahal kamu menyaksikan kebenarannya?
[71]
Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu campur-adukkan yang benar dengan yang salah, dan kamu menyembunyikan kebenaran padahal kamu mengetahui?
[72]
Dan berkatalah segolongan dari Ahli Kitab “Berimanlah kamu kepada apa yang diturunkan kepada orang-orang beriman itu pada sebelah pagi, dan kufurlah pada petangnya supaya mereka kembali semula.
[73]
Dan janganlah kamu percaya melainkan kepada orang-orang yang mengikut agama kamu” Katakanlah “Sesungguhnya petunjuk adalah petunjuk Allah” (Mereka berkata) “(Janganlah kamu percaya) bahawa akan diberi kepada sesiapa seperti apa yang telah diberikan kepada kamu, atau mereka akan mengalahkan hujah kamu di sisi Tuhan kamu” Katakanlah “Sesungguhnya limpah kurnia itu adalah di tangan Allah, diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Meliputi pengetahuanNya”
[74]
Dia menentukan pemberian rahmatNya itu kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah mempunyai limpah kurnia yang besar.
[75]
Dan di antara Ahli Kitab, ada orang yang kalau engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, dia akan mengembalikannya kepadamu. Dan ada pula di antara mereka yang kalau engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, dia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali jika engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu kerana mereka mengatakan “Tidak ada jalan bagi kami menanggung dosa terhadap orang-orang yang Ummi" Dan mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui.
[76]
Bahkan sesiapa yang menyempurnakan janjinya dan bertakwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa.
[77]
Sesungguhnya orang-orang yang menukar janji Allah dan sumpah mereka dengan harga yang rendah, mereka tidak akan mendapat bahagian pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka, dan tidak akan memandang mereka pada hari Kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[78]
Dan sesungguhnya, di antara mereka ada yang memutar-belitkan lidahnya semasa membaca Kitab, supaya kamu menyangkanya sebahagian dari Kitab padahal ia bukanlah dari Kitab tersebut. Dan mereka pula berkata “Ia adalah dari sisi Allah” Padahal ia bukanlah dari sisi Allah. Dan mereka tergamak berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui.
[79]
Tidaklah patut bagi seorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab, dan hikmat, dan pangkat Nabi, kemudian dia tergamak mengatakan kepada orang ramai “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah” Sebaliknya “Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembah Tuhan, kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya"
[80]
Dan dia pula tidak patut menyuruh kamu menjadikan malaikat dan Nabi-nabi sebagai tuhan-tuhan. Patutkah dia menyuruh kamu dengan kekufuran sesudah kamu menjadi orang yang berserah diri (Islam)?
[81]
Dan ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada para Nabi “Dan apa jua Kitab dan Hikmat yang Aku berikan kepada kamu, kemudian datang kepada kamu seorang Rasul yang mengesahkan apa yang ada pada kamu, hendaklah kamu beriman kepadanya, dan hendaklah kamu menolongnya” Dia berfirman lagi “Sudahkah kamu mengakui dan menerima ikatan janjiKu secara yang demikian itu?” Mereka menjawab “Kami mengakui” Dia berfirman lagi “Jika demikian maka saksikanlah, dan Aku juga menjadi saksi bersama-sama kamu”
[82]
Dan sesiapa yang berpaling sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
[83]
Patutkah sesudah itu mereka mencari selain agama Allah? Padahal kepadaNyalah tunduk taat sekalian apa yang ada di langit dan di bumi, sama ada dengan sukarela atau terpaksa, dan kepadaNyalah mereka dikembalikan.
[84]
Katakanlah “Kami beriman kepada Allah, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada kami, dan kepada apa yang telah diturunkan kepada Ibrahim, lsmail, Ishak, Yaakub, dan keturunannya, dan kepada apa yang telah diberikan kepada Musa dan Isa, dan para nabi daripada Tuhan mereka. Kami tidak membeza-bezakan seseorangpun di antara mereka, dan kepada Dia jualah kami berserah diri”
[85]
Dan sesiapa yang mencari selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan dia pula pada hari akhirat kelak termasuk orang-orang yang rugi.
[86]
Bagaimanakah Allah akan memberikan petunjuk kepada suatu kaum yang kufur sesudah mereka beriman, dan sesudah menyaksikan bahawa Rasulullah itu adalah benar, dan telah datang kepada mereka bukti-bukti yang nyata. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang zalim.
[87]
Mereka itu balasannya bahawa mereka ditimpakan laknat Allah, dan malaikatNya, dan sekalian manusia.
[88]
Mereka kekal di dalamnya, tidak diringankan azab seksa daripada mereka dan mereka pula tidak akan diberi penangguhan.
[89]
Melainkan orang-orang yang bertaubat sesudah itu, dan memperbaiki keburukan mereka, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[90]
Sesungguhnya orang-orang yang kafir sesudah mereka beriman, kemudian mereka bertambah kufurnya lagi, tidak sekali-kali akan diterima taubat mereka, dan mereka itu orang-orang yang sesat.
[91]
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, dan mati sedang mereka tetap kafir, maka tidak sekali-kali akan diterima daripada seseorangpun di antara mereka, emas sepenuh bumi, walaupun dia menebus dirinya dengan itu. Mereka akan mendapat azab seksa yang tidak terperi sakitnya, dan mereka tidak akan beroleh seorang penolong pun.
[92]
Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai kebajikan dan kebaktian sebelum kamu mendermakan sebahagian apa yang kamu sayangi. Dan apa jua yang kamu dermakan, maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.
[93]
Segala jenis makanan dahulu adalah halal bagi Bani Israil, melainkan apa yang diharamkan oleh Israil (Nabi Yaakub) kepada dirinya sendiri sebelum diturunkan Kitab Taurat. Katakanlah “Maka bawakanlah kamu Kitab Taurat itu, kemudian bacakanlah ia, kalau betul kamu orang-orang yang benar.
[94]
Dan sesiapa yang mereka-reka kata-kata dusta terhadap Allah sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
[95]
Katakanlah “Benarlah Allah, dan ikutilah kamu agama Ibrahim yang lurus, dan bukanlah dia dari kalangan orang-orang yang menyekutukan (Allah).
[96]
Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia ialah Baitullah di Mekah yang diberkati, dan petunjuk bagi seluruh dunia.
[97]
Di situ terdapat tanda-tanda yang nyata; Makam Ibrahim, dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang ingkar, maka sesungguhnya Allah Maha Kaya daripada sekalian makhluk.
[98]
Katakanlah “Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu ingkarkan ayat-ayat keterangan Allah, padahal Allah sentiasa menyaksikan apa yang kamu lakukan?”
[99]
Katakanlah “Wahai Ahli Kitab! Mengapa kamu menghalangi orang-orang beriman dari menuruti jalan Allah. Mencari-cari supaya ia bengkok terpesong, padahal kamu menyaksikan?” Dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.
[100]
Wahai orang-orang beriman! Jika kamu taat akan suatu puak dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab itu, nescaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang-orang kafir sesudah kamu beriman.
[101]
Dan bagaimanakah kamu akan menjadi kafir padahal kepada kamu dibacakan ayat-ayat Allah, dan dalam kalangan kamu pula ada RasulNya? Dan sesiapa berpegang teguh kepada Allah, demi sesungguhnya dia telah beroleh petunjuk ke jalan yang lurus.
[102]
Wahai orang-orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa kepadaNya, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
[103]
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian pada tali Allah, dan janganlah bercerai-berai. Dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, kemudian Dia menyatukan hati kamu, lalu menjadilah kamu dengan nikmatNya itu orang-orang yang bersaudara. Dan kamu dahulu telahpun berada di tepi jurang neraka, lalu Dia menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjukNya.
[104]
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebajikan, dan menyuruh berbuat perkara yang baik, dan melarang dari yang salah. Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.
[105]
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah bercerai-berai dan berselisihan sesudah datang kepada mereka bukti-bukti yang jelas. Dan mereka akan beroleh azab seksa yang besar.
[106]
Hari ada muka menjadi putih berseri, dan ada muka menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya “Patutkah kamu kufur sesudah kamu beriman? Oleh itu, rasakanlah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu”
[107]
Adapun orang-orang yang putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah, mereka kekal di dalamnya.
[108]
Itulah ayat-ayat keterangan Allah, Kami bacakan kepadamu dengan kebenaran. Dan Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekalian makhlukNya.
[109]
Kepunyaan Allah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, dan kepada Allah jualah dikembalikan segala urusan.
[110]
Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi umat manusia. Kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang dari segala perkara yang salah, dan kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. Di antara mereka ada yang beriman, tetapi kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.
[111]
Mereka tidak sekali-kali akan membahayakan kamu, kecuali menyakiti (perasaan). Dan kalaulah mereka memerangi kamu, mereka akan berpaling lari membelakangi kamu. Sesudah itu, mereka tidak akan mendapat pertolongan.
[112]
Mereka diliputi kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali dengan adanya sebab daripada Allah dan adanya sebab daripada manusia (perlindungan yang diberikan oleh pihak tertentu). Dan sudah sepatutnya mereka beroleh kemurkaan Allah, dan ditimpa kemiskinan. Yang demikian itu, disebabkan mereka sentiasa ingkar akan ayat-ayat Allah, dan membunuh Nabi-nabi tanpa alasan yang benar. Semuanya itu disebabkan mereka menderhaka, dan mereka pula sentiasa melampaui batas.
[113]
Mereka juga tidaklah sama. Di kalangan ahli kitab itu ada golongan yang tetap. Mereka membaca ayat-ayat Allah pada waktu malam, sedang mereka juga bersujud.
[114]
Mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, dan melarang dari segala perkara yang salah, dan mereka pula bersegera pada mengerjakan berbagai-bagai kebajikan. Mereka itu termasuk orang-orang yang soleh.
[115]
Dan apa sahaja kebajikan yang mereka kerjakan, maka mereka tidak sekali-kali akan diingkari. Dan Allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertakwa.
[116]
Sesungguhnya orang-orang kafir, harta benda mereka dan anak-anak mereka, tidak sekali-kali akan dapat menyelamatkan mereka daripada Allah sedikitpun. Dan mereka itulah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
[117]
Bandingan apa yang mereka belanjakan dalam kehidupan dunia ini, samalah seperti angin yang membawa udara yang teramat sejuk, yang menimpa tanaman kaum yang menganiaya diri mereka sendiri, lalu membinasakannya. Dan Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
[118]
Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang bukan dari kalangan kamu menjadi orang dalam. Mereka tidak akan henti-henti berusaha mendatangkan bencana kepada kamu. Mereka suka apa yang menyusahkan kamu. Demi sesungguhnya telah nyata kebencian mereka pada pertuturan mulutnya, dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka lebih besar lagi. Dan Kami telah jelaskan kepada kamu keterangan-keterangan tersebut sekiranya kamu memahami.
[119]
Beginilah kamu, kamu menyukai mereka padahal mereka tidak menyukai kamu, sedang kamu beriman kepada segala Kitab (Allah). Dan apabila mereka bertemu dengan kamu mereka berkata “Kami beriman” Tetapi apabila mereka bersendirian, mereka menggigit hujung jari geram marah. Katakanlah “Matilah kamu dengan kemarahan kamu itu” Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui segala isi hati.
[120]
Kalau kamu beroleh kebaikan, ia menyakitkan hati mereka. Dan kalau pula kamu ditimpa bencana, mereka bergembira dengannya. Dan kalaulah kamu bersabar dan bertakwa, tipu daya mereka tidak akan membahayakan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah meliputi pengetahuanNya akan apa yang mereka lakukan.
[121]
Dan ketika engkau keluar di pagi hari dari rumah keluargamu dengan tujuan menempatkan orang-orang beriman di tempat masing-masing untuk berperang. Dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[Perang Uhud]
[122]
Ketika dua puak dari kamu merasa lemah semangat, padahal Allah Pelindung mereka. Dan kepada Allah sahajalah hendaknya orang-orang yang beriman itu bertawakal.
[123]
Dan sesungguhnya, Allah telah menolong kamu mencapai kemenangan dalam peperangan Badar, sedang kamu berkeadaan lemah. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah, supaya kamu bersyukur.
[124]
Ketika engkau berkata kepada orang-orang beriman “Tidakkah cukup bagi kamu, bahawa Tuhan kamu membantu kamu dengan tiga ribu tentera yang diturunkan?”
[125]
Dan jika kamu bersabar dan bertakwa, dan mereka datang menyerang kamu dengan serta-merta, nescaya Tuhan kamu akan membantu kamu dengan lima ribu malaikat yang bertanda masing-masing.
[126]
Dan Allah tidak menjadikannya melainkan kerana memberi khabar gembira kepada kamu, dan supaya kamu tenteram dengannya. Dan tiadalah kemenangan melainkan daripada Allah, Yang Maha kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[127]
Bahawa Dia hendak membinasakan segolongan orang-orang kafir atau menghinakan mereka, supaya mereka kembali dengan hampa kecewa.
[128]
Engkau tidak berhak sedikitpun terhadap keputusan, sama ada Dia menerima taubat mereka atau menyeksa mereka, kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.
[129]
Dan bagi Allah jualah segala yang ada di langit dan yang ada di bumi. Dia mengampuni sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[130]
Wahai orang-orang beriman! Janganlah memakan riba dengan berlipat kali ganda, dan hendaklah kamu bertakwa kepada Allah supaya kamu berjaya.
[131]
Dan peliharalah diri dari api yang disediakan untuk orang-orang yang kafir.
[132]
Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, supaya kamu diberi rahmat.
[133]
Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhan kamu, dan Taman yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.
[134]
(Iaitu) orang-orang yang mendermakan pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan rasa marahnya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara baik.
[135]
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah dan memohon keampunan akan dosa mereka. Dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka tidak lagi meneruskan apa yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui.
[136]
Orang-orang yang bersifat demikian, balasannya keampunan Tuhan mereka, dan Taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya. Dan itulah sebaik-baik balasan bagi orang-orang yang beramal.
[137]
Dan telah berlaku sebelum kamu kejadian-kejadian. Oleh itu, mengembaralah di muka bumi, dan perhatikanlah akibat orang-orang yang mendustakan.
[138]
(Al-Quran) ini ialah penerangan kepada seluruh umat manusia, petunjuk dan pengajaran bagi orang-orang yang bertakwa.
[139]
Dan janganlah kamu merasa lemah, dan janganlah pula kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi, sekiranya kamu orang-orang yang beriman.
[140]
Jika kamu mendapat luka, maka sesungguhnya kaum itu juga telah mendapat luka yang sama. Dan masa (kejayaan), Kami gilirkan antara sesama manusia, dan supaya zahir apa yang diketahui oleh Allah mengenai orang-orang yang tetap beriman, dan supaya dijadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.
[141]
Dan juga supaya Allah membersihkan orang-orang beriman, dan membinasakan orang-orang yang kafir.
[142]
Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan memasuki Syurga padahal belum nyata kepada Allah, orang-orang yang berjihad di antara kamu, dan nyata pula orang-orang yang sabar?
[143]
Demi sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid sebelum kamu menghadapinya. Dan sesungguhnya kamu telah menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya.
[144]
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang telah didahului beberapa orang Rasul. Jika demikian, sekiranya dia mati atau terbunuh, patutkah kamu berbalik? Dan sesiapa yang berbalik, maka dia tidak mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Dan Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.
[145]
Dan makhluk yang bernyawa itu tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan yang tertentu masanya. Dan sesiapa yang menghendaki balasan dunia, Kami akan berikan daripadanya, dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, Kami akan berikan juga daripadanya. Dan Kami akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.
[146]
Dan berapa banyak dari Nabi-nabi yang telah berperang dengan disertai ramai orang-orang yang taat kepada Allah. Sesungguhnya mereka tidak merasa lemah semangat pun akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan Allah. Dan mereka tidak juga lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk. Dan Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.
[147]
Dan tiadalah yang mereka ucapkan selain berdoa dengan berkata “Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau dalam urusan kami, dan teguhkanlah pendirian kami, dan berikanlah kami kemenangan ke atas kaum yang kafir"
[148]
Lalu Allah memberikan kepada mereka pahala dunia berserta pahala akhirat yang sebaik-baiknya. Dan Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.
[149]
Wahai orang-orang beriman! Sekiranya kamu taati orang-orang kafir, nescaya mereka akan mengembalikan kamu. Maka menjadilah kamu orang-orang yang rugi.
[150]
Bahkan Allah jualah Pelindung kamu, dan Dialah jua sebaik-baik Penolong.
[151]
Kami akan isikan hati orang-orang yang kafir itu dengan perasaan gerun disebabkan mereka mempersekutukan Allah dengan benda-benda yang Dia tidak menurunkan sebarang keterangan pun membenarkannya. Dan tempat kembali mereka pula ialah neraka, dan itulah seburuk-buruk tempat tinggal bagi orang-orang yang zalim.
[152]
Demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya kepada kamu ketika kamu membunuh mereka dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah, dan kamu berbalah dalam soal arahan, dan kamu menderhaka sesudah Dia memperlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai. Di antara kamu ada yang menghendaki dunia, dan di antara kamu juga ada yang menghendaki akhirat, kemudian Dia memalingkan kamu dari menewaskan mereka untuk Dia menguji kamu. Demi sesungguhnya Dia telah memaafi kamu. Dan Allah sentiasa melimpah kurniaNya kepada orang-orang yang beriman.
[Sebilangan pemanah yang meninggalkan lokasi mereka kerana terpedaya dengan harta benda tinggalan musuh yang berpura-pura berundur untuk menjalankan tipu muslihat]
[153]
Ketika kamu berundur lari dan tidak menoleh kepada sesiapapun, sedang Rasulullah memanggil kamu dari belakang kamu. Oleh sebab itu, kamu dibalas dengan kesusahan demi kesusahan, supaya kamu tidak berdukacita akan apa yang telah lepas daripada kamu, dan tidak juga akan apa yang menimpa kamu. Dan Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[Kekalahan dalam perang]
[154]
Kemudian sesudah yang menyusahkan itu, Dia menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa ngantuk yang meliputi segolongan dari kamu, sedang segolongan lain yang hanya mementingkan diri sendiri, menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang tidak benar, seperti sangkaan orang-orang jahiliah. Mereka berkata “Adakah bagi kita suatu bahagian dari perkara yang dijanjikan itu?” Katakanlah “Sesungguhnya perkara itu semuanya tertentu bagi Allah” Mereka menyembunyikan di dalam hati mereka apa yang mereka tidak nyatakan kepadamu. Mereka berkata “Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari perkara yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?” Katakanlah “Kalau kamu berada di rumah kamu sekalipun, nescaya keluar jugalah orang-orang yang telah ditakdirkan terbunuh itu ke tempat mati masing-masing” Dan (apa yang berlaku itu) dijadikan oleh Allah untuk menguji apa yang ada di dalam dada kamu, dan untuk dibersihkanNya apa yang ada di dalam hati kamu. Dan Allah sentiasa mengetahui akan segala isi hati.
[155]
Bahawasanya orang-orang yang telah berpaling di antara kamu pada hari bertemunya dua kumpulan itu, sebenarnya mereka telah digelincirkan oleh syaitan disebabkan sebahagian dari perbuatan-perbuatan yang mereka telah lakukan. Demi sesungguhnya Allah telah memaafi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.
[156]
Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah kufur dan berkata kepada saudara-saudaranya apabila mereka pergi mengembara di muka bumi, atau keluar berperang “Kalaulah mereka tinggal bersama-sama kita, tentulah mereka tidak mati dan tidak terbunuh” Akibat yang demikian itu, Allah menimbulkan penyesalan yang teramat sangat di dalam hati mereka. Dan Allah jualah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Allah sentiasa melihat akan segala yang kamu lakukan.
[157]
Dan jika kamu terbunuh pada jalan Allah, atau kamu mati, maka sesungguhnya keampunan daripada Allah dan rahmatNya itu adalah lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan.
[158]
Dan jika kamu mati atau terbunuh sekalipun, sudah tentu kepada Allah jualah kamu akan dihimpunkan.
[159]
Dan dengan sebab rahmat daripada Allah, engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka. Dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi berkeras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafilah mereka, dan pohonkanlah keampunan bagi mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad, maka berserahlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang berserah kepadaNya.
[160]
Sekiranya Allah menolong kamu, maka tidak ada sesiapapun yang akan dapat mengalahkan kamu. Dan jika Dia membiarkan kamu, maka siapakah yang akan menolong kamu selain Dia sesudah itu? Dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.
[161]
Dan tidak mungkin bagi seorang Nabi itu khianat. Dan sesiapa yang khianat, dia akan membawa bersama pada hari kiamat kelak apa yang dikhianatinya itu. Kemudian tiap-tiap orang akan disempurnakan apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak akan dianiaya.
[162]
Adakah orang yang menuruti keredhaan Allah itu sama seperti orang yang kesudahannya mendapat kemurkaan Allah? Sedang tempat kembalinya ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
[163]
Mereka itu, mempunyai tingkatan-tingkatan di sisi Allah. Dan Allah Maha Melihat akan segala yang mereka kerjakan.
[164]
Demi sesungguhnya Allah telah mengurniakan ke atas orang-orang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayatNya, dan membersihkan mereka, dan mengajari mereka Kitab dan Hikmah. Dan sesungguhnya mereka sebelum itu adalah dalam kesesatan yang nyata.
[165]
Lalu apabila kamu ditimpa kemalangan, padahal kamu telahpun menimpakan kekalahan dua kali ganda (kepada musuh-musuh), kamu berkata “Dari mana datangnya ini?” Katakanlah “Itu adalah dari diri kamu sendiri” Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[166]
Dan apa jua yang telah menimpa kamu pada hari bertemunya dua kumpulan itu, maka dengan izin Allah, dan kerana Dia hendak menzahirkan dengan nyata akan orang-orang yang beriman.
[167]
Dan juga kerana Dia hendak mengetahui siapakah orang-orang munafik. Kepada mereka dikatakan “Marilah berperang pada jalan Allah, atau pertahankanlah (diri, keluarga, dan harta benda kamu)” Mereka menjawab “Kalaulah kami mengetahui akan terjadinya peperangan, tentulah kami akan mengikut kamu” Mereka ketika itu lebih dekat kepada kufur daripada dekat kepada iman. Mereka selalu menyebut dengan mulutnya apa yang tidak ada di dalam hatinya. Dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.
[168]
Merekalah juga yang mengatakan mengenai hal saudara-saudaranya, sedang mereka sendiri duduk (tidak turut berperang) “Kalaulah mereka taati kami, tentulah mereka tidak terbunuh” Katakanlah “Jika demikian, hindarkanlah maut dari diri kamu jika betul kamu orang-orang yang benar”
[169]
Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh pada jalan Allah itu mati, bahkan mereka hidup di sisi Tuhan mereka sambil beroleh rezeki.
[170]
Mereka bersukacita dengan kurniaan Allah yang telah dilimpahkanNya kepada mereka, dan mereka bergembira dengan berita baik mengenai orang-orang yang masih tinggal di belakang, yang belum lagi menyusuli mereka, bahawa tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati.
[171]
Mereka bergembira dengan balasan nikmat daripada Allah dan limpah kurnia. Dan bahawa Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang beriman.
[172]
Iaitu orang-orang yang menjunjung perintah Allah dan RasulNya, sesudah mereka mendapat luka. Bagi orang-orang yang berbuat baik di antara mereka dan yang bertakwa, ada balasan yang amat besar.
 [173]
Orang-orang yang kepada mereka ada mengatakan “Sesungguhnya kaum itu telah mengumpulkan bala tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu merasa gerun kepadanya” Tetapi berita tersebut semakin menambahkan iman mereka, dan mereka berkata “Cukuplah Allah menjadi penolong kami, sebagai sebaik-baik Pelindung”
[174]
Setelah itu (pergi untuk berperang), mereka kembali dengan mendapat nikmat dan limpah kurnia daripada Allah. Mereka tidak disentuh suatu bencana pun, dan mereka pula menuruti keredhaan Allah. Dan Allah mempunyai limpah kurnia yang amat besar.
[Suatu peperangan yang tidak terjadi. Musuh tidak hadir untuk berperang. Sebaliknya, kebetulan di situ musim perniagaan. Maka kaum Muslimin menjalankan perdagangan lalu mendapat keuntungan yang banyak]
[175]
(Pembawa berita) yang demikian itu ialah syaitan yang menakut-nakutkan pengikut-pengikutnya. Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[176]
Dan janganlah engkau berdukacita disebabkan orang-orang yang segera menceburkan diri dalam kekufuran. Sesungguhnya mereka tidak sekali-kali akan dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Allah menetapkan Dia tidak akan memberi kepada mereka pada hari akhirat kelak, dan bagi mereka azab seksa yang amat besar.
[177]
Sesungguhnya orang-orang yang membeli kufur dengan iman, tidak sekali-kali mereka dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun. Dan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[178]
Dan jangan sekali-kali orang-orang kafir menyangka bahawa Kami membiarkan baik bagi diri mereka. Kerana sesungguhnya Kami membiarkan mereka hanyalah supaya mereka bertambah dosa, dan bagi mereka azab seksa yang menghinakan.
[179]
Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini sehingga Dia memisahkan yang buruk dari yang baik. Dan Allah tidak sekali-kali akan memperlihatkan kepada kamu perkara-perkara ghaib, akan tetapi Allah memilih dari kalangan RasulNya sesiapa yang dikehendakiNya. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-rasulNya. Dan sekiranya kamu beriman dan bertakwa, maka bagi kamu pahala yang besar.
[180]
Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan oleh Allah kepada mereka dari kemurahanNya menyangka bahawa ia baik bagi mereka. Bahkan ia buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan langit dan bumi. Dan Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan.
[181]
Demi sesungguhnya Allah telah mendengar perkataan orang-orang yang mengatakan 'Bahawasanya Allah miskin dan kami kaya' Kami akan menulis perkataan mereka itu dan perbuatan mereka membunuh Nabi-nabi tanpa alasan yang benar, dan Kami akan katakan “Rasakanlah azab seksa yang sentiasa membakar”
[182]
Yang demikian itu disebabkan perbuatan yang telah dilakukan oleh tangan kamu sendiri. Dan sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.
[183]
Orang-orang yang berkata “Sesungguhnya Allah telah perintahkan kami, supaya kami jangan beriman kepada seorang Rasul sehingga dia bawakan kepada kami korban yang dimakan api. Katakanlah “Demi sesungguhnya telah datang kepada kamu beberapa orang Rasul dahulu daripadaku dengan membawa tanda-tanda yang nyata berserta apa yang kamu katakan itu, maka mengapa kamu membunuh mereka jika kamu orang-orang yang benar?”
[184]
Dan jika mereka mendustakanmu, maka sesungguhnya Rasul-rasul yang terdahulu daripadamu juga telah didustakan. Mereka telah membawa tanda-tanda yang nyata, dan Zabur, dan Kitab yang jelas.
[185]
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu, sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sesungguhnya dia telah berjaya. Dan kehidupan di dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.
[186]
Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar daripada orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang menyekutukan (Allah), banyak yang menyakitkan hati. Namun jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan.
[187]
Dan ketika Allah mengambil perjanjian setia daripada orang-orang yang telah diberikan Kitab “Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan ia kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya” Kemudian mereka membuang itu ke belakang mereka, dan mereka menukarinya dengan harga yang rendah. Dan amatlah buruk apa yang mereka pilih itu.
[188]
Jangan sekali-kali engkau menyangka, orang-orang yang bergembira dengan apa yang mereka telah lakukan, dan mereka pula suka dipuji dengan apa yang mereka tidak lakukan, jangan sekali-kali engkau menyangka bahawa mereka akan terselamat dari seksa. Dan mereka itu akan beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.
[189]
Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi, dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[190]
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.
[191]
Orang-orang yang mengingati Allah semasa mereka berdiri, duduk, dan semasa mereka berbaring. Dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan semua ini sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.
[192]
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya sesiapa yang Engkau masukkan ke dalam neraka, maka sesungguhnya Engkau telah menghinakannya. Dan orang-orang yang zalim tidak akan beroleh seorang penolongpun.
[193]
Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya kami telah mendengar seorang penyeru yang menyeru kepada iman, katanya 'Berimanlah kamu kepada Tuhan kamu' Oleh itu, kami pun beriman. Wahai Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa kami, dan hapuskanlah daripada kami kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami bersama orang-orang yang berbakti.
[194]
Wahai Tuhan kami! Berikanlah kepada kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui Rasul-rasulMu, dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari kiamat. Sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji”
[195]
Lalu Tuhan mereka memperkenankan doa mereka “Sesungguhnya Aku tidak akan mensia-siakan amal orang-orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki mahupun perempuan, setiap kamu adalah daripada sebahagian yang lain. Oleh itu, orang-orang yang berhijrah, dan yang diusir keluar dari tempat tinggalnya, juga yang disakiti di atas jalanKu, yang berperang, dan yang terbunuh, demi sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan Allah, di sisi Dia jualah pahala yang sebaik-baiknya”
[196]
Jangan sekali-kali kamu terpedaya oleh kegiatan orang-orang yang kafir di dalam negeri.
[197]
Itu hanyalah kesenangan yang sedikit, kemudian tempat kembali mereka ialah neraka Jahannam, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
[198]
Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan mereka, mereka beroleh Taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya, sebagai tempat tinggal daripada Allah. Dan apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang berbakti.
[199]
Dan sesungguhnya di kalangan Ahli Kitab, ada orang yang beriman kepada Allah dan apa yang diturunkan kepada engkau dan apa yang diturunkan kepada mereka, sedang mereka khusyuk kepada Allah dengan tidak menukari ayat-ayat Allah dengan harga yang rendah. Mereka itu beroleh pahalanya di sisi Tuhan mereka. Sesungguhnya Allah Amat segera hitungan hisabNya.
[200]
Wahai orang-orang beriman! Bersabarlah kamu, dan kuatkanlah kesabaran kamu. Dan bersedialah dan bertakwalah kamu kepada Allah supaya kamu berjaya.