Thursday 9 August 2012

32. SURAH As-Sajdah

32. SURAH As-Sajdah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Alif, Laam Miim.
[2]
Kitab ini, tidak ada keraguan padanya, daripada Tuhan semesta alam.
[3]
Dan mereka berkata “Dialah yang mengadakannya” Bahkan ia adalah perkara benar daripada Tuhanmu, supaya engkau berikan amaran kepada kaum yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi amaran sebelummu, semoga mereka beroleh petunjuk.
[4]
Allah jua yang menciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy. Kamu tidak akan beroleh sebarang penolong dan pemberi syafaat pun selain Dia. Oleh itu, tidakkah kamu mahu mengambil pengajaran?
[5]
Dia mentadbir urusan dari langit ke bumi. Kemudian ia akan naik kepadaNya pada masa yang sehari bersamaan seribu tahun menurut apa yang kamu hitung.
[6]
Itulah Tuhan yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata. Yang Maha Kuasa, lagi Maha Penyayang.
[7]
Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu dengan sebaik-baiknya. Dan dimulakanNya kejadian manusia daripada tanah.
[8]
Kemudian dijadikanNya keturunan manusia itu daripada ekstrak air yang hina.
[9]
Kemudian Dia menyempurnakan kejadiannya, dan meniupkan padanya dari rohNya. Dan mengadakan bagi kamu pendengaran, penglihatan, dan hati. Amatlah sedikit kamu yang bersyukur.
[10]
Dan mereka berkata “Adakah apabila kami telah hilang lenyap di dalam tanah, kami akan berada dalam bentuk kejadian yang baru?” Bahkan mereka tidak percayakan kepada pertemuan dengan Tuhannya.
[11]
Katakanlah “Nyawa kamu akan diambil oleh Malaikat Maut yang ditugaskan terhadap kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Tuhan kamu”
[12]
Dan sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka “Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar. Oleh itu, kembalikanlah kami supaya kami mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya kami telahpun yakin”
[13]
Dan kalaulah Kami menghendaki, nescaya Kami berikan kepada tiap-tiap seorang akan petunjuknya. Akan tetapi telah tetaplah Perkataan daripadaKu bahawa "Aku akan memenuhi neraka Jahanam dengan jin dan manusia bersama-sama.
[14]
Maka rasakanlah disebabkan kamu melupakan pertemuan hari kamu ini. Sesungguhnya Kami juga telah melupakan kamu. Dan rasakanlah azab kekal disebabkan apa yang kamu telah kerjakan”
[15]
Sesungguhnya yang benar-benar beriman kepada ayat-ayat keterangan Kami hanyalah orang-orang yang apabila diberikan peringatan dengannya, segera merebahkan diri bersujud, sambil bertasbih dan memuji Tuhan mereka, dan mereka tidak pula bersikap sombong.
[16]
Mereka merenggangkan diri dari tempat tidur (solat malam). Mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut dan penuh harapan. Dan mereka selalu pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami berikan kepada mereka.
[17]
Dan tidak ada seorangpun yang mengetahui apa yang telah dirahsiakan buat mereka yang baik dipandang, sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.
[18]
Dan adakah orang yang beriman itu sama seperti orang yang fasik? Mereka itu tidaklah sama.
[19]
Adapun orang-orang yang beriman dan berbuat baik, maka bagi mereka Taman, tempat tinggal yang tetap sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.
[20]
Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka adalah neraka. Tiap-tiap kali mereka hendak keluar daripadanya, mereka dikembalikan semula kepadanya, dan dikatakan kepada mereka “Rasakanlah azab neraka yang kamu telah dustakan”
[21]
Dan demi sesungguhnya, Kami akan merasakan mereka sedikit dari azab yang dekat sebelum azab yang besar, supaya mereka kembali.
[22]
Dan tiadalah yang lebih zalim daripada orang yang diberikan peringatan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian dia berpaling daripadanya. Sesungguhnya Kami tetap akan membalasnya.
[23]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah berikan kepada Musa Kitab, maka janganlah engkau merasa ragu-ragu untuk menerimanya (Al-Quran). Dan Kami jadikan ia (Kitab Taurat) petunjuk bagi kaum Bani Israil.
[24]
Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa orang pemimpin, yang memimpin mengikut Perintah Kami selama mereka bersikap sabar dan mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.
[25]
Sesungguhnya Tuhanmu sajalah yang akan mengadili di antara mereka pada hari kiamat mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.
[26]
Adakah belum jelas lagi bagi mereka, berapa banyak umat-umat yang Kami telah binasakan sebelum mereka, padahal mereka kini sentiasa berjalan melalui tempat-tempat tinggal mereka? Sesungguhnya pada yang demikian mengandungi tanda-tanda. Oleh itu, tidakkah mereka mahu mendengar?
[27]
Dan tidakkah mereka itu memerhatikan bahawasanya Kami membawakan air ke bumi yang kering, lalu Kami tumbuhkan dengannya tanaman-tanaman, yang daripadanya dimakan oleh binatang-binatang ternak mereka dan mereka sendiri? Maka mengapa mereka tidak mahu memerhatikan?
[28]
Dan mereka bertanya “Bilakah hari pembuka perbicaraan yang dikatakan itu jika betul kamu orang-orang yang benar?”
[29]
Katakanlah “Pada hari pembuka perbicaraan itu, tidak ada gunanya lagi bagi orang-orang yang kafir, iman mereka, dan mereka pula tidak diberikan tempoh”
[30]
Dan berpalinglah daripada mereka, dan tunggulah, sesungguhnya mereka juga sedang menunggu.