Sunday 12 August 2012

33. SURAH Al-Ahzab

33. SURAH Al-Ahzab
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Wahai Nabi! Bertakwalah kepada Allah, dan janganlah menuruti orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[2]
Dan turutilah akan apa yang diwahyukan kepadamu daripada Tuhanmu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[3]
Dan berserahlah kepada Allah, dan cukuplah Allah sebagai Pentadbir urusanmu.
[4]
Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang itu memiliki dua hati di dalam rongganya. Dan Dia tidak pula menjadikan isteri-isteri yang kamu ziharkan itu sebagai ibu kamu. Dan Dia, tidak menjadikan anak-anak angkat kamu sebagai anak kamu sendiri. Itu hanyalah perkataan di mulut kamu sahaja. Dan Allah mengatakan yang benar dan Dialah jua yang menunjukkan jalan.
[5]
Panggillah mereka (anak-anak angkat itu) dengan cara berbinkan ayah-ayah mereka sendiri. Itulah yang lebih adil di sisi Allah. Sekiranya kamu tidak mengetahui ayah-ayah mereka, maka (panggillah mereka sebagai) saudara-saudara kamu seagama dan sebagai maula-maula kamu. Dan kamu tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, sebaliknya yang disengajakan oleh hati kamu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[6]
Nabi itu lebih utama bagi orang-orang beriman berbanding diri mereka sendiri. Dan isteri-isterinya pula adalah ibu-ibu mereka. Dan orang-orang yang mempunyai tali pertalian kekeluargaan itu, lebih berhak (mewarisi) di kalangan mereka menurut Kitab Allah berbanding orang-orang beriman dan orang-orang Muhajirin, melainkan jika kamu hendak berbuat baik kepada saudara-saudara (seagama). Demikianlah telah tertulis di dalam Kitab.
[7]
Dan ketika Kami mengambil daripada Nabi-nabi, perjanjian mereka, dan daripada engkau sendiri, dan daripada Nuh, dan Ibrahim, dan Musa, dan Isa ibni Maryam. Dan Kami telah mengambil daripada mereka, perjanjian yang teguh.
[8]
Agar Dia menyoal orang-orang yang benar mengenai kebenarannya. Dan Dia telah menyediakan untuk orang-orang yang kafir, azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[9]
Wahai orang-orang beriman, kenangkanlah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu, ketika kamu didatangi tentera (Al-Ahzab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut dan angkatan tentera yang kamu tidak melihatnya (malaikat). Dan Allah sentiasa melihat akan apa yang kamu lakukan.
[10]
Ketika mereka datang kepada kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir kamu. Dan ketika pandangan mata kamu tidak berketentuan arah dan hati pula menjadi resah gelisah, dan kamu masing-masing membuat sangkaan terhadap Allah dengan berbagai-bagai sangkaan.
[11]
Pada saat itulah diuji orang-orang beriman, dan digoncangkan dengan goncangan yang amat dahsyat.
[12]
Dan ketika orang-orang munafik dan orang-orang yang terdapat penyakit di dalam hatinya berkata “Allah dan RasulNya tidak menjanjikan kepada kita melainkan tipu daya belaka”
[13]
Dan ketika segolongan di antara mereka berkata “Wahai penduduk Yathrib, tidak ada tempat bagi kamu, maka kembalilah” Dan sebahagian dari mereka meminta izin kepada Nabi sambil berkata “Sesungguhnya rumah-rumah kami terdedah” Padahal ia tidaklah terdedah. Mereka hanya hendak melarikan diri.
[14]
Dan kalaulah ia diserang dari segenap penjurunya, kemudian mereka diajak berpaling tadah, sudah tentu mereka akan melakukannya juga, dan mereka tidak akan bertangguh mengenai itu melainkan sebentar sahaja.
[15]
Padahal sesungguhnya, mereka telah mengikat janji dengan Allah sebelum itu, iaitu mereka tidak akan berpaling undur. Dan perjanjian Allah itu akan ditanya.
[16]
Katakanlah “Kalaulah kamu melarikan diri daripada kematian atau pembunuhan, maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali akan mendatangkan faedah kepada kamu. Dan tidak juga kamu akan menikmati kesenangan hidup melainkan sebentar sahaja”
[17]
Katakanlah “Siapakah yang dapat melindungi kamu daripada Allah jika Dia hendak menimpakan bala bencana kepada kamu, atau jika Dia hendak memberikan rahmat kepada kamu?” Dan mereka tidak akan beroleh pelindung atau penolong pun selain Allah.
[18]
Dan Allah mengetahui akan orang-orang yang menghalangi di antara kamu, dan orang-orang yang berkata kepada saudara-saudaranya “Marilah bersama kami” sedang mereka tidak turut berperang melainkan sedikit sahaja.
[19]
Mereka bersikap kedekut terhadap kamu. Namun apabila datang ketakutan (ancaman musuh), engkau akan melihat mereka memandangmu dengan keadaan mata mereka berpusing-pusing seperti orang yang pitam dari kematian. Kemudian apabila hilang perasaan takut itu, mereka mencela kamu dengan lidah yang tajam, sambil kedekut untuk melakukan kebaikan. Mereka itu tidak beriman, lalu Allah gugurkan amal-amal mereka. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
[20]
Mereka menyangka bahawa tentera Al-Ahzab itu belum pergi. Dan kalaulah tentera Al-Ahzab itu kembali semula, tentulah mereka suka kiranya mereka berada jauh di padang pasir bersama-sama orang-orang Arab Badwi sambil bertanyakan khabar mengenai kamu. Dan kalaulah juga mereka bersama-sama kamu, mereka tidak akan turut berperang melainkan sebentar sahaja.
[21]
Demi sesungguhnya bagi kamu, telah ada pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan Allah dan hari akhirat, dan dia pula mengingati Allah sebanyak-banyaknya.
[22]
Dan pada masa orang-orang beriman melihat tentera Al-Ahzab, berkatalah mereka “Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami, dan benarlah apa yang dikatakan Allah dan RasulNya” Dan ia tidak menambahkan mereka melainkan iman dan penyerahan diri.
[23]
Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar pada apa yang telah dijanjikannya kepada Allah. Maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya (syahid), dan di antaranya juga ada yang menunggu giliran. Dan mereka tidak mengubah sedikitpun (janji).
[24]
Agar Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka, dan menyeksa orang-orang munafik jika Dia kehendaki, atau Dia menerima taubat mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[25]
Dan Allah telah menghalau kembali orang-orang yang kafir itu dengan keadaan mereka geram. Mereka tidak beroleh sebarang kebaikan pun. Dan cukuplah Allah bagi orang-orang yang beriman dalam peperangan. Dan Allah Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa.
[26]
Dan Dia menurunkan golongan Ahli Kitab yang membantu mereka (tentera musuh) dari benteng-benteng mereka, setelah diisikan ke dalam hati mereka perasaan gerun. Sebahagian di antaranya kamu bunuh, dan sebahagian lagi kamu tawan.
[27]
Dan Dia membuatkan kamu mewarisi tanah-tanah mereka, rumah-rumah mereka dan harta benda mereka, dan tanah-tanah yang belum kamu jejaki. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[28]
Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu “Sekiranya kamu semua mahukan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka marilah supaya aku berikan mut'ah kepada kamu, dan melepaskan kamu dengan pelepasan yang sebaik-baiknya.
[29]
Dan sekiranya kamu semua mahukan Allah dan RasulNya dan negeri akhirat, maka sesungguhnya Allah menyediakan untuk orang-orang yang berbuat baik di kalangan kamu, pahala yang besar”
[30]
Wahai isteri-isteri Nabi, sesiapa di antara kamu yang melakukan suatu perbuatan keji yang nyata, nescaya akan digandakan azab seksa baginya dua kali ganda. Dan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.
[31]
Dan sesiapa di antara kamu semua yang tetap taat kepada Allah dan RasulNya dan mengerjakan amal yang baik, Kami akan berikannya pahala amalnya itu dua kali, dan Kami sediakan pula baginya limpah kurnia yang mulia.
[32]
Wahai isteri-isteri Nabi, kamu semua bukanlah seperti mana-mana perempuan lain sekiranya kamu tetap bertakwa. Oleh itu, janganlah kamu berkata-kata manja kerana yang demikian itu boleh menimbulkan keinginan orang yang mempunyai penyakit di dalam hatinya. Namun berkatalah dengan kata-kata yang sopan.
[33]
Dan hendaklah kamu duduk diam di rumah kamu dan janganlah kamu menampilkan diri sepertimana penampilan orang-orang Jahiliah zaman dahulu. Dan dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat. Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Allah hanyalah bermaksud menghapuskan perkara-perkara yang akan mencemarkan diri kamu wahai Ahlul Bait dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya.
[34]
Dan ingatlah akan apa yang dibacakan di rumah kamu dari ayat-ayat Allah dan hikmah pengetahuan (hadis-hadis). Sesungguhnya Allah Maha Halus tadbirNya, lagi Maha Mendalam pengetahuanNya.
[35]
Sesungguhnya lelaki Islam dan Perempuan Islam, lelaki beriman dan Perempuan beriman, lelaki yang taat dan Perempuan yang taat, lelaki yang benar dan Perempuan yang benar, lelaki yang sabar dan Perempuan yang sabar, lelaki yang merendah diri dan Perempuan yang merendah diri, lelaki yang bersedekah dan Perempuan yang bersedekah, lelaki yang berpuasa dan Perempuan yang berpuasa, lelaki yang memelihara kehormatannya dan Perempuan yang memelihara kehormatannya, lelaki yang mengingati Allah sebanyak-banyaknya dan Perempuan yang mengingati, Allah telah menyediakan bagi mereka semua keampunan dan pahala yang besar.
[36]
Dan tidaklah patut bagi orang-orang beriman, lelaki mahupun Perempuan, apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu, mempunyai hak mengenai urusan mereka. Dan sesiapa yang tidak taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata.
[37]
Dan ketika engkau berkata kepada seorang yang telah dikurniakan oleh Allah nikmat kepadanya dan engkau juga telah berbuat baik kepadanya “Janganlah menceraikan isterimu dan bertakwalah kepada Allah” Sambil engkau menyembunyikan di dalam hatimu perkara yang Allah akan menyatakannya jua. Dan engkau pula takut kepada (cacian) manusia padahal Allah jualah yang berhak engkau takuti. Kemudian setelah Zaid mengakhiri keperluan terhadap isterinya (menceraikannya), Kami kahwinkan engkau dengannya supaya tidak ada keberatan atas orang-orang yang beriman untuk berkahwin dengan isteri-isteri anak-anak angkat mereka apabila mereka telah menyelesaikan keperluan terhadap mereka (isteri). Dan sememangnya perkara yang dikehendaki oleh Allah itu tetap akan berlaku.
[38]
Tidak ada sebarang keberatan yang ditanggung oleh Nabi dalam apa yang telah ditetapkan oleh Allah baginya. Sebagai suatu Sunnatullah, yang berlaku juga kepada orang-orang yang telah lalu. Dan perintah Allah itu adalah suatu ketetapan yang pasti berlaku.
[39]
(Mereka) adalah orang-orang yang menyampaikan syariat Allah. Dan mereka takut kepadaNya, dan mereka tidak takut kepada sesiapapun melainkan Allah. Dan cukuplah Allah sebagai Penghitung.
[40]
Bukanlah Muhammad itu ayah (sebenar) kepada sesiapapun dari kalangan kamu, tetapi dia adalah Rasul Allah dan penutup Nabi-nabi. Dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[41]
Wahai orang-orang beriman, ingatlah Allah dengan ingatan yang sebanyak-banyaknya.
[42]
Dan bertasbihlah kamu kepadaNya pada waktu pagi dan petang.
[43]
Dialah yang memberikan rahmat kepada kamu, dan malaikatNya juga, agar mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya. Dan Dia sentiasa Melimpah-limpah rahmatNya kepada orang-orang yang beriman.
[44]
Sambutan penghormatan yang akan diberikan kepada mereka semasa menemuiNya “Selamat sejahtera” Dan Dia telah menyediakan untuk mereka pahala balasan yang mulia.
[45]
Wahai Nabi, sesungguhnya Kami mengutuskanmu sebagai saksi, dan pembawa berita gembira dan juga pemberi amaran.
[46]
Dan juga sebagai penyeru yang mengajak kepada Allah dengan izinNya. Dan sebagai lampu yang menerangi.
[47]
Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan kepada orang-orang beriman, bahawa mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar daripada Allah.
[48]
Dan janganlah engkau turuti kehendak orang-orang yang kafir dan orang-orang munafik, dan abaikanlah sahaja celaan mereka, dan berserahlah kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi Pelindung.
[49]
Wahai orang-orang beriman, apabila kamu mengahwini Perempuan-Perempuan beriman, kemudian kamu menceraikan mereka sebelum kamu menyentuhnya, maka tidak ada masa idah atas mereka yang perlu kamu hitung. Oleh itu, berikanlah mut’ah kepada mereka, dan lepaskanlah mereka dengan pelepasan yang sebaik-baiknya.
[50]
Wahai Nabi, sesungguhnya Kami telah halalkan bagimu isteri-isterimu yang engkau berikan mas kahwinnya, dan apa yang dimiliki oleh tangan kananmu (hamba-hamba perempuan) dari apa yang telah dikurniakan Allah kepadamu, dan anak-anak perempuan saudara lelaki ayahmu dan anak-anak perempuan saudara perempuan ayahmu, dan anak-anak perempuan saudara lelaki emakmu dan anak-anak perempuan saudara perempuan emakmu yang telah berhijrah bersama-sama kamu, dan mana-mana perempuan beriman yang menyerahkan dirinya kepada Nabi sekiranya Nabi berminat mengahwininya. Perkahwinan yang demikian adalah khas bagimu semata-mata, dan tidak bagi orang-orang beriman. Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang Kami telah wajibkan kepada mereka mengenai isteri-isteri mereka dan apa yang dimiliki oleh tangan kanan mereka agar tidak menjadi keberatan bagimu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[51]
Engkau boleh menangguhkan sesiapa yang engkau kehendaki di kalangan mereka dan engkau boleh mendatangi sesiapa yang engkau kehendaki. Dan sesiapa yang engkau hendak datanginya kembali dari kalangan mereka yang engkau telah sisihkan itu, maka tidaklah menjadi kesalahan bagimu. Yang demikian itu adalah lebih dekat untuk menenteramkan pandangan mereka, dan menjadikan mereka tidak bersedih hati, dan menjadikan mereka redha akan apa yang engkau berikan kepada mereka semua. Dan Allah sedia mengetahui akan apa yang ada di dalam hati kamu. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
[52]
Tidak halal bagimu mengahwini perempuan-perempuan lain sesudah itu, dan juga tidak boleh menggantikan mereka dengan isteri-isteri baru sekalipun engkau tertarik pada kecantikan mereka, melainkan apa yang dimiliki oleh tangan kananmu. Dan Allah sentiasa Mengawasi tiap-tiap sesuatu.
[53]
Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu masuk ke rumah Nabi melainkan kamu diberi keizinan untuk menghadiri jamuan, tanpa menunggu-nunggu masa sajiannya. Tetapi apabila kamu dijemput, maka masuklah. Kemudian setelah kamu makan maka hendaklah bersurai tanpa melanjutkan perbualan. Sesungguhnya yang demikian itu mengganggu Nabi sehingga dia merasa malu (hendak menyatakannya) kepada kamu, sedang Allah tidak malu dari menyatakan kebenaran. Dan apabila kamu meminta sesuatu yang harus diminta daripada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah kepada mereka dari balik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan kamu tidak dibenarkan langsung menyakiti Rasul Allah dan tidak juga mengahwini isteri-isterinya selama-lamanya sesudahnya. Sesungguhnya yang demikian itu amatlah besar di sisi Allah.
[54]
Sekiranya kamu menyatakan sesuatu atau kamu menyembunyikannya, maka sesungguhnya Allah sentiasa Mengetahui akan segala-galanya.
[55]
Tidak ada salahnya bagi mereka (isteri-isteri Nabi tanpa tabir) terhadap ayah-ayah mereka, anak lelaki mereka, saudara lelaki mereka, anak lelaki saudara lelaki mereka, anak lelaki saudara perempuan mereka, perempuan Islam mereka, dan apa yang dimiliki oleh tangan kanan mereka. Dan bertakwalah kamu kepada Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
[56]
Sesungguhnya Allah dan malaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucapkanlah salam sejahtera dengan penuh penghormatan kepadanya.
[Nabi Muhammad s.a.w]
[57]
Sesungguhnya orang-orang yang melakukan perkara yang tidak diredhai oleh Allah dan RasulNya, Allah melaknat mereka di dunia dan di akhirat, dan menyediakan untuk mereka azab seksa yang menghinakan.
[58]
Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang beriman lelaki mahupun perempuan untuk yang lain dari apa yang mereka lakukan, maka sesungguhnya mereka telah memikul tuduhan dusta dan dosa yang nyata.
[59]
Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan perempuan-perempuan beriman supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya. Yang demikian lebih sesuai agar mereka dikenali sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[60]
Sekiranya orang-orang munafik, dan orang-orang yang berpenyakit di dalam hatinya, dan orang-orang yang menyebarkan berita-berita dusta di bandar itu tidak berhenti, nescaya Kami akan mendesakmu untuk memerangi mereka. Sesudah itu mereka tidak lagi menjadi tetanggamu melainkan sebentar sahaja,
[61]
Dalam keadaan terlaknat. Di mana sahaja mereka ditemui, mereka ditangkap dan dibunuh habis-habisan.
[62]
Sebagai Sunnatullah bagi orang yang telah lalu. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan pada Sunnatullah itu.
[63]
Manusia bertanyakan kepadamu mengenai Saat. Katakanlah “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanyalah di sisi Allah” Dan tahukah kamu, boleh jadi Saat itu telah hampir.
[64]
Sesungguhnya Allah telah melaknat orang-orang kafir dan menyediakan bagi mereka api yang marak menjulang,
[65]
kekal mereka di dalamnya selama-lamanya. Mereka tidak akan beroleh sesiapapun yang akan menjadi pelindung mahupun penolong.
[66]
Hari muka mereka dibolik-balikkan di dalam neraka, mereka berkata “Alangkah baiknya kalaulah kami dahulu taat kepada Allah dan taat kepada Rasul Allah”
[67]
Dan mereka berkata lagi “Wahai Tuhan kami, sesungguhnya kami telah mematuhi kehendak para pemimpin dan para pembesar kami, dan mereka telah menyesatkan kami dari jalan (yang benar).
[68]
Wahai Tuhan kami, timpakanlah mereka azab sengsara dua kali ganda, dan laknatlah mereka dengan laknat yang sebesar-besarnya!”
[69]
Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah mencaci Musa, lalu Allah membersihkannya dari apa yang mereka lontarkan itu. Dan dia adalah seorang yang mulia di sisi Allah.
[70]
Wahai orang-orang beriman, bertakwalah kepada Allah, dan ucapkanlah perkataan yang benar,
[71]
Nescaya Allah memperbaiki bagimu amal-amalmu, dan mengampunkan dosa-dosamu. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai pencapaian yang besar.
[72]
Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah kepada langit dan bumi dan gunung-ganang, tetapi mereka enggan memikulnya kerana bimbang terhadapnya. Namun manusia sanggup pula memikulnya. Sesungguhnya dia itu amat zalim, lagi jahil.
[73]
Akibatnya Allah akan menyeksa lelaki dan perempuan munafik, berserta lelaki dan perempuan yang menyekutukan (Allah). Namun Allah menerima taubat lelaki dan perempuan yang beriman. Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.