31. SURAH Luqman
Dengan
nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Alif,
Laam, Miim.
[2]
Ini
adalah ayat-ayat Kitab yang mengandungi hikmat,
[3]
Menjadi
petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang mengerjakan amal-amal soleh.
[4]
Iaitu
orang-orang yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, dan mereka yakin
akan hari akhirat.
[5]
Mereka
itu, di atas petunjuk daripada Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang
berjaya.
[6]
Dan
ada di kalangan manusia, orang yang menggunakan cerita-cerita tidak berguna
bagi menyesatkan dari jalan Allah tanpa ilmu dan menjadikannya sebagai
ejek-ejekan. Merekalah orang-orang yang akan beroleh azab menghinakan.
[7]
Dan
apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Kami, berpalinglah dia dengan angkuhnya,
seolah-olah terdapat penyumbat pada kedua telinganya semasa dia mendengarnya.
Maka gembirakanlah dia dengan azab yang tidak terperi sakitnya.
[8]
Sesungguhnya
orang-orang yang beriman dan berbuat baik, bagi mereka Taman yang penuh nikmat,
[9]
Kekal
di dalamnya. Demikianlah dijanjikan Allah yang benar. Dan Dialah yang Maha
Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[10]
Dia
menciptakan langit tanpa tiang-tiang sebagaimana kamu melihatnya. Dan
mengadakan di bumi gunung-ganang yang teguh supaya ia tidak berayun
bersama-sama kamu. Dan dibiakkanNya padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami
turunkan pula air dari langit, dan Kami tumbuhkan padanya berbagai jenis
(tanaman) yang memberi manfaat.
[11]
Inilah
ciptaan Allah, maka tunjukkanlah kepadaKu apakah yang telah diciptakan oleh
makhluk-makhluk yang lain daripadaNya? Bahkan orang-orang yang zalim itu berada
dalam kesesatan yang nyata.
[12]
Dan
sesungguhnya Kami telah berikan kepada Luqman hikmat kebijaksanaan
“Bersyukurlah kepada Allah” Dan sesiapa yang bersyukur, maka dia hanya
bersyukur untuk dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur, maka
sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
[13]
Dan
ketika Luqman berkata kepada anaknya semasa dia memberikan nasihat kepadanya
“Wahai anak kesayanganku, janganlah mempersekutukan Allah, sesungguhnya
perbuatan syirik itu adalah suatu kezaliman yang besar”
[14]
Dan
Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah
mengandungkannya dengan kelemahan atas kelemahan, dan tempoh menceraikan
susunya pula adalah dalam masa dua tahun. Bersyukurlah kepadaKu dan kepada
kedua ibu bapamu. Dan kepada Akulah jua tempat kembali.
[15]
Dan
jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu
yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya, maka janganlah taati
mereka. Dan bergaullah dengan mereka di dunia ini dengan cara yang baik. Dan
turutilah jalan orang-orang yang bertaubat kepadaKu. Kemudian kepada Akulah
tempat kembali kamu semua, dan Aku akan menerangkan kepada kamu segala apa yang
kamu telah kerjakan.
[16]
“Wahai
anak kesayanganku, sesungguhnya jika ada sekalipun seberat biji sawi, dan ia
berada di dalam batu besar atau di langit mahupun di bumi, sudah tentu Allah
akan mendatangkannya. Sesungguhnya Allah Maha Halus pengetahuanNya, lagi Amat
Meliputi akan segala yang tersembunyi.
[17]
Wahai
anak kesayanganku, dirikanlah sembahyang, dan suruhlah berbuat kebaikan, dan
laranglah dari melakukan kemungkaran, dan bersabarlah atas apa yang menimpamu.
Sesungguhnya yang demikian, adalah termasuk perkara-perkara yang penting.
[18]
Dan
janganlah engkau memalingkan pipimu kepada manusia, dan janganlah pula engkau
berjalan di bumi dengan berlagak sombong. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada
tiap-tiap orang yang sombong, lagi membanggakan diri.
[19]
Dan
sederhanakanlah langkahanmu, dan rendahkanlah suaramu, sesungguhnya
seburuk-buruk suara adalah suara keldai”
[20]
Tidakkah
kamu memerhatikan bahawa Allah telah menundukkan untuk kamu apa yang ada di
langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmat-nikmatNya
yang zahir dan yang batin? Dan di kalangan manusia, ada yang membantah mengenai
Allah tanpa ilmu atau petunjuk. Dan tidak juga berdasarkan mana-mana Kitab yang
menerangkan kebenaran.
[21]
Dan
apabila dikatakan kepada mereka “Turutilah akan apa yang telah diturunkan
Allah” Mereka menjawab “Bahkan kami hanya menuruti apa yang kami dapati datuk
nenek kami padanya” Patutkah, sekalipun syaitan mengajak mereka ke dalam azab
api yang marak menjulang?
[22]
Dan
sesiapa yang menyerahkan mukanya kepada Allah sedang dia mengerjakan kebaikan,
maka sesungguhnya dia telah berpegang pada simpulan yang teguh. Dan kepada
Allah jualah kesudahan segala urusan.
[23]
Dan
sesiapa yang kufur, maka janganlah engkau bersedih hati akan kekufurannya itu.
Kepada Kamilah tempat kembalinya, kemudian Kami akan memberitahu mereka
mengenai apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
akan segala isi hati.
[24]
Kami
akan berikan mereka menikmati keseronokan untuk sementara, kemudian Kami akan
paksa mereka ke dalam azab yang amat berat.
[25]
Dan
jika engkau bertanyakan kepada mereka siapakah yang menciptakan langit dan
bumi? Sudah tentu mereka akan menjawab “Allah” Ucapkanlah “Segala puji bagi
Allah” Namun kebanyakan mereka tidak mengetahui.
[26]
Allah
jua yang memiliki segala yang ada di langit dan di bumi. Sesungguhnya Allah,
Dialah yang Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.
[27]
Dan
sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan
(menjadi tinta), dan ditambahkan lagi kepadanya tujuh lautan sesudah itu,
nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah (dituliskan). Sesungguhnya Allah
Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[28]
Soal
menciptakan kamu semua, dan soal membangkitkan kamu hidup semula, hanya seperti
seorang manusia sahaja. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[29]
Tidakkah
engkau memerhatikan bahawa Allah memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan
siang ke dalam malam, dan Dia menundukkan matahari dan bulan? Tiap-tiap satu
dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Dan sesungguhnya,
Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.
[30]
Demikianlah,
kerana Allah Dialah sahaja Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang mereka
seru yang lain daripadaNya itu adalah palsu belaka. Dan sesungguhnya Allah,
Dialah Yang Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
[31]
Tidakkah
engkau memerhatikan bahawasanya kapal-kapal belayar di lautan dengan nikmat
Kurnia Allah, untuk diperlihatkan kepada kamu sebahagian dari tanda-tandaNya?
Sesungguhnya pada yang demikian itu mengandungi tanda-tanda bagi tiap-tiap yang
bersabar, lagi sentiasa bersyukur.
[32]
Dan
apabila mereka dilanda ombak besar laksana gunung, mereka semua berdoa kepada
Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan kepadaNya semata-mata. Kemudian apabila
Dia membawa mereka ke daratan, maka sebahagian sahaja di antara mereka yang
bersederhana. Adapun yang mengingkari tanda-tanda Kami itu, hanyalah
pengkhianat, lagi amat tidak mengenang budi.
[33]
Wahai
sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu, dan takutilah akan hari yang
padanya seorang ayah tidak dapat melepaskan anaknya, dan seorang anak itu pula
tidak dapat melepaskan ayahnya sedikitpun. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar, maka janganlah
kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia, dan janganlah pula kamu diperdayakan oleh
bisikan para penghasut mengenai Allah.
[34]
Sesungguhnya
di sisi Allah jualah pengetahuan yang tepat mengenai Saat. Dan Dialah jua yang
menurunkan hujan, dan yang mengetahui apa yang ada di dalam rahim. Dan tiada
seorangpun yang mengetahui mengenai apa yang akan diusahakannya esok. Dan tiada
seorangpun yang dapat mengetahui di bumi manakah dia akan mati. Sesungguhnya
Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuanNya.