Friday, 3 August 2012

13. SURAH Ar-R'ad

13. SURAH Ar-R'ad
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Alif, Laam, Miim, Raa’. Ini adalah ayat-ayat Kitab. Dan apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu adalah benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mempercayai.
[2]
Allah jua yang meninggikan langit tanpa tiang-tiang sebagaimana yang kamu lihat. Kemudian Dia bersemayam di atas Arasy, dan menundukkan matahari dan bulan. Tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Dialah jua yang mentadbir segala urusan. Dia menerangkan tanda-tanda satu persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan dengan Tuhan kamu.
[3]
Dan Dialah yang membentangkan muka bumi, dan menjadikan padanya gunung-ganang dan sungai-sungai. Dan dari tiap-tiap jenis buah-buahan, Dia jadikan berpasang-pasangan. Dia menutup malam kepada siang silih berganti. Sesungguhnya semua itu mengandungi tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.
[4]
Dan di bumi, terdapat beberapa bahagian yang berhampiran, dan kebun-kebun anggur, dan berjenis-jenis tanaman dan pohon-pohon kurma dari akar yang sama dan pohon-pohon dari akar yang berbeza, yang disirami dengan air yang sama. Dan Kami lebihkan buah sebahagiannya daripada yang lain. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang memahami.
[5]
Dan sekiranya engkau merasa hairan, maka hairankanlah perkataan mereka “Adakah apabila kami telah menjadi tanah, adakah kami akan berada dalam bentuk kejadian yang baru?” Mereka itulah orang-orang yang kufur kepada Tuhan mereka, dan merekalah yang dibelenggu pada leher mereka. Dan merekalah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
[6]
Dan mereka meminta kepadamu untuk menyegerakan perkara buruk sebelum kebaikan, padahal sesungguhnya telah berlaku sebelum mereka azab-azab yang serupa. Dan sesungguhnya Tuhanmu mempunyai keampunan bagi manusia sekalipun mereka zalim, dan sesungguhnya Tuhanmu jugalah amat berat azab seksaNya.
[7]
Dan berkatalah orang-orang yang kafir “Mengapa tidak diturunkan kepadanya suatu tanda daripada Tuhannya?” Sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi amaran, dan bagi tiap-tiap seorang satu petunjuk.
[8]
Allah mengetahui akan apa yang dikandung oleh tiap-tiap ibu, dan mengetahui apa yang kurang dari rahim tersebut atau apa yang lebih. Dan tiap-tiap sesuatu telah ditetapkan kadarnya di sisiNya.
[9]
Yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, Yang Maha Besar, lagi maha Tinggi.
[10]
Sama saja, sesiapa di antara kamu yang merahsiakan kata-katanya dan yang menyatakannya, dan yang bersembunyi pada waktu malam dan yang keluar berjalan pada waktu siang.
[11]
Baginya pengiring (malaikat penjaga) dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawasi dan menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada suatu kaum itu sehinggalah mereka mengubah akan apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan seseorang itu bala bencana, maka tiada sesiapapun yang dapat berpaling daripadanya, dan tiada sesiapapun yang dapat melindungi mereka melainkan Dia.
[12]
Dialah yang memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan dan memberikan harapan. Dan Dialah yang membawa naik awan yang berat.
[13]
Dan Dialah juga yang guruh dan malaikat bertasbih memujiNya, disebabkan takut kepadaNya. Dan Dialah juga yang menghantarkan petir, lalu Dia mengenakan dengannya sesiapa yang dikehendakiNya. Dan mereka mempertikaikan mengenai Allah, padahal Dia Amat berat azab seksanya.
[14]
Kuasa menerima rayuan yang benar adalah milikNya. Dan benda-benda yang mereka sembah yang lain daripadaNya, tidak akan dapat menyahut atau memberikan sesuatupun kepada mereka, tidak lebih seperti orang yang membentangkan kedua tapak tangannya kepada air supaya sampai ke mulutnya, padahal ia tidak akan sampai kepadanya. Dan tiadalah rayuan orang-orang yang kafir itu melainkan dalam kesesatan.
[15]
Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi bersujud, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa. Dan juga bayang-bayang mereka pada waktu pagi dan petang.
[16]
Bertanyalah “Siapakah Tuhan langit dan bumi?” Jawablah “Allah” Bertanyalah lagi “Jika demikian, patutkah kamu menjadikan yang lain dari Allah sebagai Pelindung, yang tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat bagi dirinya sendiri, dan tidak juga bahaya?” Bertanyalah lagi “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Atau adakah sama, kegelapan dengan cahaya? Atau adakah sekutu-sekutu yang mereka jadikan bagi Allah itu telah menciptakan sesuatu seperti ciptaanNya, sehingga ciptaan-ciptaan tersebut serupa menurut pandangan mereka?” Katakanlah “Allah jualah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu, dan Dialah Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa”
[17]
Dia menurunkan air dari langit, dan membanjiri tanah-tanah lembah menurut kadar yang telah ditetapkan, sambil membawa buih yang terapung-apung. Dan daripada apa yang dibakar dalam api untuk dijadikan barang perhiasan atau peralatan yang diperlukan, timbul juga buih seumpama itu. Demikianlah Allah memberikan contoh perbandingan mengenai perkara yang benar dan yang salah. Adapun buih itu, maka akan hilang lenyaplah ia hanyut terbuang. Dan adapun yang berfaedah kepada manusia, maka ia tetap tinggal di bumi. Demikianlah Allah menerangkan misal-misal perbandingan.
[18]
Bagi orang-orang yang menyahut seruan Tuhan mereka sahajalah balasan yang sebaik-baiknya. Dan orang-orang ingkar yang tidak menyahut seruanNya, kalaulah mereka mempunyai segala apa jua yang ada di bumi disertai sebanyak itu lagi, tentulah mereka rela menebus diri dengannya. Mereka itu disediakan baginya hitungan hisab yang seburuk-buruknya, dan tempat kembali mereka pula ialah neraka Jahanam, dan amatlah buruk tempat tinggal tersebut.
[19]
Dan adakah orang yang mengetahui bahawa Al-Quran yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu perkara yang benar, sama seperti orang yang buta? Sesungguhnya orang-orang yang mengambil peduli hal tersebut, hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
[20]
(Iaitu) orang-orang yang menyempurnakan perjanjian Allah, dan tidak merombak perjanjian tersebut.
[21]
Dan juga orang-orang yang menghubungkan apa yang disuruh Allah supaya dihubungkan, dan yang menaruh kebimbangan terhadap Tuhan mereka, dan takut akan hisab yang buruk.
[22]
Dan juga orang-orang yang bersabar kerana mengharapkan Wajah (keredhaan) Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, dan mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi mahupun secara terbuka. Dan mereka pula menolak kejahatan dengan kebaikan. Mereka semua disediakan baginya tempat kesudahan,
[23]
Syurga kekal yang mereka akan memasukinya bersama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari kalangan ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka dan anak-cucu mereka. Sedang malaikat-malaikat akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu.
[24]
(Sambil mengucapkan) “Selamat sejahtera ke atas kamu, disebabkan kesabaran kamu” Dan amatlah baik tempat kesudahan itu.
[25]
Dan orang-orang yang melanggar perjanjian Allah sesudah diikatkannya dan memutuskan perkara-perkara yang disuruh Allah supaya dihubungkan, dan menyebarkan kerosakan di muka bumi, mereka itu beroleh laknat, dan mereka beroleh tempat kesudahan yang seburuk-buruknya.
[26]
Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dialah juga yang menyempitkannya. Dan mereka bergembira dengan kehidupan dunia, sedang kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah keseronokan semata-mata berbanding hari akhirat.
[27]
Dan orang-orang kafir berkata “Mengapa tidak diturunkan kepadanya satu tanda daripada Tuhannya?“ Katakanlah “Sesungguhnya Allah menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan memberikan petunjukNya kepada sesiapa yang kembali.
[28]
(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah” Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati.
[29]
Orang-orang yang beriman dan berbuat baik, bagi merekalah kebahagiaan yang amat menggembirakan dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.
[30]
Demikianlah Kami utuskan engkau kepada suatu umat yang telah berlalu sebelumnya beberapa umat, supaya engkau membacakan kepada mereka apa yang Kami wahyukan kepadamu, sedang mereka kufur kepada Tuhan Yang Maha Pemurah. Katakanlah “Dialah Tuhanku, tiada Tuhan melainkan Dia. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah tempat kembaliku”
[31]
Dan kalaulah ada mana-mana Kitab Suci yang dengannya gunung-ganang terbongkar bergerak dari tempatnya, atau dengan sebabnya bumi dipecahbelahkan mengeluarkan isi kandungannya, atau dengan sebabnya orang-orang mati dapat berkata-kata. Bahkan segala perintah hanyalah bagi Allah. Maka tidakkah orang-orang yang beriman mengetahui bahawa kalaulah Allah menghendaki, tentulah Dia memberikan petunjuk kepada umat manusia seluruhnya. Dan orang-orang yang kafir akan sentiasa ditimpa bala bencana disebabkan apa yang mereka lakukan, atau ia akan menimpa berhampiran dengan tempat tinggal mereka, sehinggalah datang janji Allah. Sesungguhnya Allah tidak memungkiri janjiNya.
[32]
Dan sesungguhnya telah diejek-ejek Rasul-rasul sebelummu, lalu Aku biarkan orang-orang yang tidak percaya kepada Rasul-rasul berkenaan ke suatu masa tertentu, kemudian Aku timpakan mereka dengan azab. Maka tidaklah terperi seksanya azabKu itu.
[33]
Sesudah itu, adakah (diakui) Dialah yang mengawasi tiap-tiap diri untuk apa yang telah dia lakukan? Dalam pada itu, mereka tetap jua menjadikan beberapa sekutu bagi Allah. Katakanlah “Sebutkanlah mereka, atau adakah kamu hendak memberitahu Dia akan apa yang tidak diketahuiNya di bumi? Atau (kamu menyebutkan) sekadar perkataan pada zahirnya sahaja?” Sebenarnya orang-orang yang kafir itu telah diperhiaskan untuk memandang baik tipu daya mereka, dan mereka telah disekat dari Jalan (yang benar). Dan sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberikan petunjuk kepadanya.
[34]
Mereka beroleh azab dalam kehidupan dunia, dan sesungguhnya azab hari akhirat lebih menyeksakan lagi. Dan tiadalah bagi mereka, sesiapapun yang dapat melindungi mereka daripada Allah.
[35]
Sifat Syurga yang dijanjikan kepada orang-orang yang bertakwa itu ialah air sungai-sungainya sentiasa mengalir di sekitar tamannya. Makanannya kekal tidak putus-putus dan naungannya pula sentiasa redup. Itulah kesudahan usaha orang-orang yang bertakwa, sedang kesudahan usaha orang-orang yang kafir ialah neraka.
[36]
Dan orang-orang yang Kami berikan Kitab, mereka bersukacita dengan apa yang Kami turunkan kepadamu. Dan di antara beberapa kumpulan dari kalangan orang-orang itu juga ada yang mengingkari sebahagian daripadanya. Katakanlah “Sesungguhnya aku hanya diperintahkan supaya menyembah Allah, dan supaya aku tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu yang lain. KepadaNyalah aku menyeru, dan kepadaNyalah tempat kembaliku”
[37]
Dan demikianlah Kami menurunkan ia sebagai peraturan dalam bahasa Arab. Dan jika engkau turuti kehendak hawa nafsu mereka sesudah datang kepadamu pengetahuan, maka tidaklah engkau beroleh daripada Allah sesuatupun yang dapat memberikan perlindungan kepadamu.
[38]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan Rasul-rasul sebelummu, dan Kami jadikan bagi mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan. Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang Rasul itu untuk mendatangkan suatu tanda melainkan dengan izin Allah. Bagi tiap-tiap masa, ada Kitab.
[39]
Allah menghapuskan apa jua yang dikehendakiNya dan juga mengesahkan. Dan di sisiNya terdapat Ummul-Kitab (Lauh Mahfuz).
[40]
Sama ada Kami perlihatkan kepadamu sebahagian dari apa yang Kami janjikan untuk mereka atau Kami wafatkanmu, maka engkau hanyalah menyampaikan. Dan urusan Kami pula, menghitung (dan membalas) mereka.
[41]
Mengapa mereka tidak mahu memerhatikan bahawa Kami datangi daerah bumi dengan mengurangkannya sedikit demi sedikit dari sempadan-sempadannya? Dan Allah jualah yang menghakimi. Tiada sesiapapun yang dapat menghalang hukumNya, dan Dialah juga yang amat cepat hitungan hisabNya.
[42]
Dan sesungguhnya orang-orang sebelum mereka telah melancarkan rancangan. Oleh itu, bagi Allah jualah segala rancangan. Dia mengetahui apa yang diusahakan oleh tiap-tiap diri. Dan orang-orang yang kafir akan mengetahui untuk siapakah tempat kesudahan.
[43]
Dan orang-orang yang kafir itu berkata “Engkau bukanlah seorang Rasul” Katakanlah “Cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dengan kamu, dan sesiapa sahaja yang menguasai ilmu Kitab”