Friday 3 August 2012

16. SURAH Al-Nahl

16. SURAH Al-Nahl
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Akan tiba Perintah (azab) Allah, maka janganlah meminta disegerakan. Maha suci Allah dan Maha Tinggilah Dia dari apa yang mereka sekutukan.
[2]
Dia menurunkan malaikat membawa wahyu dengan perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari kalangan hamba-hambaNya “Berikanlah amaran bahawa tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, bertakwalah kamu kepadaKu”
[3]
Dia menciptakan langit dan bumi dengan kebenaran. Maha Tinggilah Dia dari apa yang mereka sekutukan.
[4]
Dia menciptakan manusia daripada air mani, tiba-tiba menjadilah dia seorang pembantah yang jelas.
[5]
Dan binatang-binatang ternak, Dialah jua yang menciptakannya untuk kamu. Terdapat padanya benda-benda yang memanaskan tubuh dan beberapa faedah. Dan daripadanya kamu makan.
[6]
Dan bagi kamu pada mereka, keindahan ketika kamu membawanya balik, dan ketika kamu membawanya keluar.
[7]
Dan mereka membawakan barang-barang kamu ke mana sahaja negeri yang kamu tidak dapat sampai padanya melainkan dengan menanggung susah payah. Sesungguhnya Tuhan kamu Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya.
[8]
Dan kuda, dan baghal, dan keldai untuk kamu tunggangi, dan (sebagai) perhiasan. Dan Dialah juga yang menjadikan apa yang kamu tidak ketahui.
[9]
Dan bagi Allah jualah arah laluan. Dan di antaranya, ada yang terpesong. Dan jika Dia kehendaki, tentulah Dia memberikan petunjuk kepada kamu semua.
[10]
Dialah yang menurunkan air dari langit. Sebahagian daripadanya untuk minuman kamu dan sebahagiannya lagi untuk pohon-pohon yang kamu melepaskan binatang-binatang ternak, makan padanya.
[11]
Dialah juga yang menumbuhkan bagi kamu dengannya, tanaman-tanaman dan pokok-pokok zaitun, kurma dan anggur, dan juga dari segala jenis buah-buahan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi satu tanda bagi kaum yang mahu berfikir.
[12]
Dan Dialah yang menundukkan bagi kamu malam dan siang, matahari dan bulan. Dan bintang-bintang juga ditundukkan dengan perintahNya. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda bagi kaum yang mahu memahami.
[13]
Dan apa-apa juga yang digandakan untuk kamu di bumi dengan berlainan warnanya, sesungguhnya yang demikian itu mengandungi satu tanda bagi kaum yang mahu beringat.
[14]
Dan Dialah yang menundukkan laut, supaya kamu dapat makan daripadanya daging yang segar, dan dapat pula mengeluarkan daripadanya barang-barang perhiasan untuk kamu pakai. Dan engkau akan dapat melihat kapal-kapal belayar padanya. Dan supaya kamu dapat mencari dari limpah kurniaNya. Dan supaya kamu bersyukur.
[15]
Dan Dia memacakkan di bumi itu, gunung-ganang yang teguh agar ia tidak bergoncang bersama kamu. Begitu juga sungai-sungai dan jalan-jalan, supaya kamu mendapat petunjuk.
[16]
Dan tanda-tanda panduan jalan, dan dengan bintang-bintang mereka membimbing diri mereka.
[Buruj]
[17]
Oleh itu, adakah Dia yang menciptakan semua itu sama seperti makhluk-makhluk yang tidak dapat menciptakan sesuatu? Dan patutkah kamu tidak mahu beringat?
[18]
Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah kamu dapat menghitungnya satu persatu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[19]
Dan Allah mengetahui apa yang kamu sembunyikan dan apa yang kamu zahirkan.
[20]
Dan makhluk-makhluk yang mereka sembah yang lain dari Allah itu tidaklah menciptakan sesuatupun, tetapi merekalah yang diciptakan.
[21]
Mati dan tidak hidup, dan tidaklah mereka mengetahui bilakah mereka akan dibangkitkan.
[22]
Tuhan kamu ialah Tuhan yang satu. Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, hati mereka ingkar dan mereka pula sombong.
[23]
Ketahuilah, bahawa Allah mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka zahirkan. Sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang-orang yang sombong.
[24]
Dan apabila dikatakan kepada mereka “Apakah yang diturunkan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab “Cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala”
[25]
Agar mereka memikul bebanan (dosa) mereka sendiri dengan sepenuhnya pada hari kiamat, dan bebanan orang-orang yang mereka sesatkan tanpa ilmu. Dan amatlah buruk apa yang mereka pikulkan itu.
[26]
Demi sesungguhnya, orang-orang yang terdahulu daripada mereka telah menjalankan tipu daya. Kemudian Allah binasakan bangunan mereka dari asas-asasnya, lalu bumbungnya jatuh menimpa mereka dari atas mereka, dan mereka didatangi juga azab dari arah yang mereka tidak sedari.
[27]
Kemudian pada hari kiamat, Dia menghinakan mereka sambil bertanya “Manakah sekutu-sekutuKu yang kamu berperi-peri menentang demi mereka?” Berkatalah orang-orang yang beroleh ilmu pengetahuan “Sesungguhnya kehinaan hari ini dan azab seksa, tertimpa kepada orang-orang yang kafir.
[28]
(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan menganiaya diri sendiri” Lalu mereka tunduk menyerah “Kami tidak melakukan sesuatu kejahatan” Bahkan! Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu telah kerjakan.
[29]
Oleh itu, masukilah pintu-pintu neraka Jahanam, tinggal kekallah di dalamnya. Dan sesungguhnya amatlah buruk tempat bagi orang-orang yang sombong.
[30]
Dan ditanyakan pula orang-orang yang bertakwa “Apakah yang telah diberikan oleh Tuhan kamu?” Mereka menjawab “Kebaikan” Orang-orang yang melakukan kebaikan di dunia ini beroleh balasan yang baik, dan tempat tinggal akhirat itu lebih baik lagi. Sesungguhnya itulah sebaik-baik tempat tinggal bagi orang-orang yang bertakwa.
[31]
Taman-taman Adn yang mereka akan memasukinya, yang mengalir di bawah mereka beberapa sungai. Mereka beroleh di dalamnya apa sahaja yang mereka ingini. Demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertakwa,
[32]
(Iaitu) mereka yang diambil nyawanya oleh malaikat dalam keadaan suci, sambil berkata “Selamat sejahtera ke atas kamu. Masuklah ke dalam Syurga disebabkan apa yang telah kamu kerjakan”
[33]
Tidak ada yang mereka tunggu melainkan datang kepada mereka malaikat (pencabut nyawa ), atau kedatangan Perintah Tuhanmu. Demikianlah juga yang dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu daripada mereka. Dan Allah tidak menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri.
[34]
Kemudian mereka ditimpa bencana disebabkan apa yang mereka lakukan. Dan mereka pula diliputi oleh apa yang mereka ejek-ejekkan.
[35]
Dan berkatalah orang-orang yang menyekutukan (Allah) “Kalaulah Allah menghendaki, tentulah kami tidak menyembah selain Dia sesuatupun, kami dan tidak juga datuk nenek kami. Dan tentulah kami tidak mengharamkan selain Dia sesuatupun” Sedemikian itu jugalah yang dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu daripada mereka. Dan tiadalah kewajipan atas Rasul-rasul selain dari menyampaikan dengan cara yang jelas?
[36]
Dan sesungguhnya, Kami telah mengutuskan dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul bahawa “Sembahlah Allah dan jauhilah Taghut” Maka di antara mereka, ada yang diberikan petunjuk oleh Allah dan ada pula yang berhak ditimpakan kesesatan. Oleh itu, mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan umat-umat yang mendustakan.
[37]
Jika engkau terlalu berharap agar mereka beroleh petunjuk, maka sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang berhak disesatkanNya. Dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.
[38]
Dan mereka bersumpah dengan nama Allah bersungguh-sungguh “Allah tidak akan membangkitkan semula orang-orang yang telah mati” Bahkan janji Allah tetap benar. Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
[39]
Agar Dia menerangkan kepada mereka apa yang mereka berselisihan padanya, dan supaya orang-orang yang kafir mengetahui bahawa mereka adalah orang-orang yang berdusta.
[40]
Sesungguhnya perkataan Kami kepada sesuatu apabila Kami menghendaki, hanyalah Kami berkata kepadanya “Jadilah!” Lalu menjadilah ia.
[41]
Dan orang-orang yang berhijrah kerana Allah sesudah mereka dianiaya, Kami akan menempatkan mereka di dunia ini di tempat yang baik. Dan sesungguhnya pahala di akhirat kelak lebih besar lagi, kalaulah mereka mengetahui.
[42]
(Iaitu) orang-orang yang bersabar dan berserah diri kepada Tuhannya.
[43]
Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu, melainkan dari kalangan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka. Dan bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan sekiranya kamu tidak mengetahui.
[44]
Bersama-sama (mereka) bukti-bukti jelas dan Kitab-kitab Suci. Dan Kami juga menurunkan kepadamu Peringatan (Al-Quran), agar engkau menerangkan kepada umat manusia akan apa yang telah diturunkan kepada mereka, dan agar mereka memikirkannya.
[45]
Dan adakah orang-orang yang merancangkan tipu daya keji merasa aman dari ditimbuskan oleh Allah ke dalam bumi, atau mereka didatangi azab dari arah yang mereka tidak sedari?
[46]
Atau Dia binasakan mereka semasa mereka berulang-alik? Kemudian mereka tidak akan dapat melepaskan diri.
[47]
Atau Dia membinasakan mereka sedikit demi sedikit? Namun sesungguhnya Tuhan kamu Amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya.
[48]
Tidakkah mereka melihat segala yang telah dijadikan oleh Allah, yang beredar bayang-bayangnya ke kanan dan ke kiri dalam keadaan bersujud kepada Allah, sedang mereka juga merendahkan diri?
[49]
Dan bagi Allah jualah bersujud segala apa yang ada di langit dan yang ada di bumi, dari makhluk-makhluk yang bergerak dan malaikat-malaikat, sedang mereka tidak berlaku sombong.
[50]
Mereka takut kepada Tuhan mereka yang mengatasi mereka, dan mereka mengerjakan apa yang mereka diperintahkan.
[51]
Dan Allah berfirman “Janganlah kamu mengambil (menyembah) dua tuhan, hanyalah Dia Tuhan yang satu. Dan kepada Akulah sahaja hendaknya kamu bertakwa”
[52]
Dan bagiNyalah segala yang ada di langit dan di bumi. Dan kepadaNyalah ketaatan itu selama-lamanya. Dan tidaklah patut kamu takut kepada yang lain dari Allah.
[53]
Dan apa-apa jua nikmat yang ada pada kamu, maka adalah daripada Allah. Kemudian apabila kamu ditimpa kesusahan, maka kepadaNyalah kamu meraung-raung meminta pertolongan.
[54]
Kemudian apabila Dia menghapuskan kesusahan itu daripada kamu, tiba-tiba sebahagian dari kamu mempersekutukan dengan yang lain Tuhan mereka.
[55]
Untuk menafikan apa yang Kami telah berikan kepada mereka. Oleh itu, bersenang-senanglah kamu, kemudian kamu akan mengetahui.
[56]
Dan mereka menyediakan untuk apa yang mereka tidak ketahui, sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka. Demi Allah! Sesungguhnya kamu akan ditanya mengenai apa yang kamu ada-adakan itu.
[57]
Dan mereka mengatakan Allah mempunyai anak-anak perempuan. Maha Suci Dia, sedangkan bagi mereka apa yang mereka sukai.
[Anak-anak lelaki]
[58]
Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang dari mereka, (bahawa dia beroleh) anak perempuan, muramlah wajahnya sambil menahan rasa pilu.
[59]
Dia menyembunyikan dirinya daripada orang ramai disebabkan berita buruk yang disampaikan kepadanya. (Sambil tertanya-tanya) adakah dia akan memeliharanya dalam keadaan hina, atau menanamnya di dalam tanah? Ketahuilah! Amatlah jahat apa yang mereka putuskan itu.
[60]
Bagi mereka yang tidak beriman kepada hari akhirat, sifat yang buruk, dan bagi Allah jualah sifat tertinggi. Dan Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[61]
Dan kalaulah Allah menyeksa manusia disebabkan kezaliman mereka, tentulah Dia tidak membiarkan tinggal di atasnya sesuatupun makhluk yang bergerak. Akan tetapi Dia memberikan tempoh kepada mereka hingga ke suatu masa tertentu. Kemudian apabila sampai tempoh mereka, tidaklah mereka dapat tinggal di belakang sesaatpun, dan tidak pula mereka dapat mendahuluinya.
[62]
Dan mereka mengadakan bagi Allah apa yang mereka sendiri tidak sukai, dan lidah mereka pula mengatakan perkara dusta, bahawa mereka akan beroleh kesudahan yang baik. Tidak diragukan lagi, bahawa bagi merekalah api neraka, dan bahawa merekalah orang-orang yang akan dibiarkan.
[63]
Demi Allah! Sesungguhnya Kami telah mengutuskan kepada umat-umat yang terdahulu daripadamu, tetapi syaitan memperelokkan pada pandangan mereka akan amal-amal mereka. Maka dialah sekutu mereka pada hari ini, dan mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[64]
Dan tidaklah Kami menurunkan Kitab kepadamu melainkan supaya engkau menerangkan kepada mereka akan apa yang mereka berselisih padanya, dan menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.
[65]
Dan Allah menurunkan air dari langit, dan Dia menghidupkan dengannya bumi sesudah matinya. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat satu tanda bagi kaum yang mendengar.
[66]
Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, terdapat pelajaran bagi kamu. Kami berikan minuman kepada kamu dari apa yang ada dari dalam perutnya, dari antara tahi dan darah, susu bersih lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.
[67]
Dan dari buah kurma dan anggur, kamu jadikan daripadanya minuman haram dan rezeki yang baik. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat satu tanda bagi orang-orang yang mahu menggunakan akalnya.
[68]
Dan Tuhanmu memberikan ilham kepada lebah “Hendaklah engkau mengambil di antara gunung-ganang, dan di antara pokok-pokok kayu, dan pada apa yang mereka dirikan (sebagai tempat mendirikan) sarangmu.
[Bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia]
[69]
Dan makanlah dari segala jenis buah-buahan, dan turutilah jalan-jalan Tuhanmu yang dipermudahkan” Akan keluarlah dari dalam perutnya minuman yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia. Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda bagi orang-orang yang mahu berfikir.
[Madu]
[70]
Dan Allah jualah yang menciptakan kamu, kemudian Dia akan mematikan kamu. Dan ada pula di antara kamu yang dikembalikanNya kepada peringkat umur yang lemah, sehingga menjadilah dia tidak mengingati akan sesuatu yang telah diketahuinya. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
[71]
Dan Allah telah melebihkan sebahagian kamu atas sebahagian yang lain pada rezeki. Dalam pada itu, orang-orang yang diberikan kelebihan itu tidak mahu memberikan sebahagian dari rezeki mereka kepada apa yang dimiliki oleh tangan kanan mereka (hamba-hamba mereka), supaya mereka sama terhadapnya. Dan mengapa mereka tergamak mengingkari nikmat Allah itu dengan perbuatan syirik?
[72]
Dan Allah menjadikan bagi kamu daripada diri kamu sendiri pasangan-pasangan, dan anak-anak, dan cucu-cicit, dan dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik. Maka patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah, dan mereka kufurkan pula akan nikmat Allah?
[73]
Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, yang tidak memiliki rezeki untuk mereka dari langit dan bumi. Dan mereka itu tidak berkemampuan sama sekali.
[74]
Dan janganlah kamu mengadakan sesuatu yang sebanding dengan Allah. Sesungguhnya Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.
[75]
Allah memberikan satu contoh perbandingan, seorang hamba abdi yang dimiliki, yang tidak berkuasa sesuatu apapun, dan seorang (yang merdeka) yang Kami kurniakannya rezeki yang baik daripada Kami, lalu dia mendermakan sebahagian daripadanya secara bersembunyi ataupun terbuka. Adakah kedua-dua orang itu sama? Segala puji bagi Allah, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
[76]
Dan Allah memberikan satu contoh perbandingan lagi, dua orang lelaki. Salah seorangnya kelu pekak semula jadi, yang tidak berkuasa sesuatu apapun, dan dia menjadi bebanan kepada orang yang menjaganya. Ke mana sahaja dia diarahkan pergi oleh penjaganya, tidak dapat jua dia bawakan sesuatu yang berfaedah. Adakah dia sama seperti orang yang menyuruh orang ramai berlaku adil, dan dia pula berada di atas jalan yang lurus?
[77]
Dan Allah jualah yang mengetahui segala rahsia langit dan bumi. Tidaklah kedatangan Saat itu melainkan sekelip mata, atau lebih cepat lagi. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[78]
Dan Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatupun. Kemudian Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran, penglihatan, dan hati nurani supaya kamu bersyukur.
[79]
Tidakkah mereka memerhatikan burung-burung yang dipermudahkan melayang-layang di ruang angkasa? Tiada yang menahan mereka (daripada jatuh) melainkan Allah. Sesungguhnya pada yang demikian itu, terdapat tanda-tanda bagi kaum yang beriman.
[80]
Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah tempat berehat. Dan menjadikan bagi kamu daripada kulit binatang-binatang ternak, khemah-khemah, yang kamu merasa ringan (membawanya) semasa kamu mengembara dan semasa kamu berkhemah. Dan juga daripada berjenis-jenis bulunya, pelbagai barang perhiasan rumah dan rezeki hingga ke suatu masa.
[81]
Dan Allah menjadikan bagi kamu sebahagian dari apa yang diciptakanNya, benda-benda untuk berteduh, dan Dia menjadikan bagi kamu tempat-tempat tinggal di gunung-ganang. Dan Dia menjadikan bagi kamu pakaian-pakaian yang memelihara kamu dari haba dan memelihara kamu dari keganasan kamu (peperangan). Demikianlah Dia menyempurnakan nikmatNya kepada kamu supaya kamu berserah diri.
[82]
Kemudian jika mereka masih juga berpaling, maka sesungguhnya engkau hanyalah bertanggungjawab menyampaikan dengan cara yang jelas.
[83]
Mereka mengetahui nikmat Allah, kemudian mereka mengingkarinya. Dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang kufur.
[84]
Dan hari Kami bangkitkan dari tiap-tiap umat, seorang saksi (Rasul). Kemudian tidak diizinkan bagi orang-orang yang kafir, dan mereka pula tidak diminta memohon keredhaan.
[85]
Dan apabila orang-orang yang melakukan kezaliman itu melihat azab, maka tidak akan diringankan ia daripada mereka, dan mereka pula tidak akan diberikan tempoh lagi.
[86]
Dan apabila orang-orang yang menyekutukan (Allah) melihat sekutu-sekutu mereka, mereka berkata “Wahai Tuhan kami, inilah yang kami jadikan sekutu-sekutu, yang kami sembah selainMu” Lalu dengan serta-merta mereka (sekutu-sekutu) melontar semula perkataan kepada mereka “Sesungguhnya kamu berdusta”
[87]
Dan pada hari itu, mereka semua menzahirkan ketundukannya kepada Allah, dan hilang lenyaplah daripada mereka apa yang telah mereka ada-adakan.
[88]
Orang-orang yang kafir dan menghalangi dari jalan Allah, Kami menambahkan mereka azab demi azab, disebabkan mereka menyebarkan kerosakan.
[89]
Dan hari Kami bangkitkan dalam kalangan tiap-tiap umat, seorang saksi terhadap mereka dari (golongan) mereka sendiri. Dan Kami datangkan juga engkau untuk menjadi saksi terhadap mereka ini. Dan Kami turunkan kepadamu Kitab yang menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi petunjuk, dan rahmat dan berita gembira bagi orang-orang Islam.
[90]
Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, berbuat baik, dan memberikan (bantuan kepada) kaum keluarga, dan melarang dari melakukan perbuatan-perbuatan keji dan mungkar dan penindasan. Dia mengajari kamu supaya kamu mengambil pengajaran.
[91]
Dan sempurnakanlah perjanjian-perjanjian Allah apabila kamu berjanji. Dan janganlah kamu mengingkari sumpah kamu sesudah pengesahannya, sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai saksimu. Sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.
[92]
Dan janganlah kamu menjadi seperti dia yang telah menguraikan satu persatu benang yang dipintalnya, sesudah dia selesai memintalnya dengan teguh, dengan kamu mengambil sumpah kamu sebagai tipu daya sesama kamu disebabkan adanya satu golongan yang lebih ramai daripada golongan lain. Sesungguhnya Allah hanya mahu menguji kamu dengannya, dan sudah tentu Dia akan menerangkan kepada kamu pada hari kiamat mengenai apa yang kamu berselisihan padanya.
[93]
Dan jika Allah menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu satu umat. Akan tetapi Dia menyesatkan sesiapa yang dikehendakiNya, dan memberikan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan sesungguhnya kamu akan ditanya kelak mengenai apa yang kamu telah kerjakan.
[94]
Dan janganlah kamu mengambil sumpah kamu sebagai tipu daya sesama kamu, kerana dengan yang demikian akan menyebabkan tergelincirnya kaki kamu sesudah ia teguh. Dan kamu akan merasai kemelaratan disebabkan apa yang kamu telah menghalangi dari jalan Allah. Dan bagi kamu juga disediakan azab yang besar.
[95]
Dan janganlah kamu menukar ganti perjanjian Allah dengan harga yang sedikit. Sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah, itulah yang lebih baik bagi kamu kalaulah kamu mengetahui.
[96]
Apa yang ada pada kamu akan habis, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal. Dan sesungguhnya, Kami membalas orang-orang yang bersabar dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan.
[97]
Sesiapa yang beramal soleh, baik lelaki mahupun perempuan, sedang dia beriman, maka sesungguhnya Kami akan memberikan kepadanya kehidupan yang baik. Dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih daripada apa yang mereka telah kerjakan.
[98]
Dan apabila engkau membaca Al-Quran, maka pohonkanlah perlindungan Allah dari hasutan syaitan yang direjam.
[99]
Sesungguhnya dia tidak mempunyai sebarang pengaruh ke atas orang-orang yang beriman dan yang berserah kepada Tuhan mereka.
[100]
Sesungguhnya pengaruhnya itu hanyalah ke atas orang-orang yang menjadikan dia sekutu mereka, dan orang-orang yang menyekutukan Dia.
[101]
Dan apabila Kami menukarkan satu ayat bagi menggantikan ayat yang lain, dan Allah sememangnya mengetahui akan apa yang Dia turunkan, berkatalah mereka “Sesungguhnya engkau hanyalah seorang yang mengada-adakan” Bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui kenyataan sebenar.
[102]
Katakanlah “Ia diturunkan Ruhul Qudus (Jibril) daripada Tuhanmu dengan kebenaran, untuk meneguhkan iman orang-orang yang beriman, dan menjadi petunjuk dan berita gembira bagi orang-orang Islam”
[103]
Dan demi sesungguhnya, Kami mengetahui bahawa mereka itu berkata “Sesungguhnya dia diajarkan oleh seorang manusia” (Padahal) lidah orang yang mereka sandarkan kepadanya itu adalah (berbahasa) asing, sedang ini berbahasa Arab yang jelas.
[104]
Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada mereka, dan mereka pula beroleh azab yang tidak terperi sakitnya.
[105]
Sebenarnya yang tergamak berdusta itu hanyalah orang-orang yang tidak beriman kepada ayat-ayat Allah, dan mereka itu adalah pendusta-pendusta belaka.
[106]
Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah dia beriman, melainkan orang yang dipaksa sedang hatinya terisi dengan iman. Akan tetapi sesiapa yang terbuka hatinya menerima kekufuran, maka ke atas mereka tertimpa laknat Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.
[107]
Yang demikian adalah kerana mereka lebih mengutamakan kehidupan dunia daripada hari akhirat, dan kerana Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang kufur.
[108]
Mereka itulah orang-orang yang telah dikuncikan oleh Allah hati mereka dan pendengaran mereka dan penglihatan mereka. Dan merekalah orang-orang yang lalai.
[109]
Tidak diragukan lagi, bahawa merekalah orang-orang yang rugi pada hari akhirat kelak.
[110]
Kemudian sesungguhnya, Tuhanmu adalah bagi orang-orang yang telah berhijrah sesudah mereka diberikan ujian, dan mereka yang berjihad dan bersabar. Sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu, benar-benar Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[111]
Hari tiap-tiap diri datang membela dirinya semata-mata, dan tiap-tiap diri disempurnakan balasan apa yang dia telah kerjakan, sedang mereka tidak akan dianiaya sedikitpun.
[112]
Dan Allah memberikan satu contoh, sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian dikufuri akan nikmat-nikmat Allah itu, lalu Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi disebabkan apa yang mereka telah lakukan.
[113]
Dan demi sesungguhnya, mereka telah didatangi seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, lalu mereka mendustakannya. Maka mereka ditimpakan azab sedang mereka dalam keadaan zalim.
[114]
Dan makanlah dari apa yang telah dikurniakan oleh Allah kepada kamu dari benda-benda baik lagi halal, dan bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembahNya semata-mata.
[115]
Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, darah, daging babi, dan apa yang dipersembahkan untuk yang lain dari Allah. Dan sesiapa yang terpaksa tanpa kekufuran dan tidak pula melampaui batas, sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[116]
Dan janganlah kamu berdusta disebabkan apa yang disifatkan oleh lidah kamu “Ini halal dan itu haram” Supaya kamu mengada-adakan suatu dusta terhadap Allah. Sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah, mereka itu tidak akan berjaya.
[117]
Sedikit kesenangan, dan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[118]
Dan kepada orang-orang Yahudi, Kami haramkan apa yang telah Kami ceritakan kepadamu dahulu. Dan tidaklah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.
[119]
Kemudian sesungguhnya Tuhanmu terhadap orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan kejahilannya, kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan memperbaiki diri mereka. Sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu, Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[120]
Sesungguhnya Ibrahim adalah seorang imam, yang taat kepada Allah, lagi berdiri teguh di atas dasar tauhid. Dan dia tidak pernah menjadi dari kalangan orang-orang yang menyekutukan (Allah).
[121]
Sentiasa bersyukur akan nikmat-nikmatNya. Dia telah memilihnya dan memberikan petunjuk kepadanya ke jalan yang lurus.
[122]
Dan Kami telah berikan kepadanya kebaikan di dunia. Dan sesungguhnya dia pada hari akhirat termasuk orang-orang yang soleh.
[123]
Kemudian Kami mewahyukan kepadamu, hendaklah engkau menuruti agama Ibrahim yang berdiri teguh di atas dasar tauhid. Dan bukanlah dia dari kalangan orang-orang yang menyekutukan (Allah).
[124]
Sesungguhnya hari Sabtu dijadikan (hari yang wajib dihormati) ke atas orang-orang yang telah berselisihan padanya (Yahudi). Dan sesungguhnya Tuhanmu akan menghakimi mereka pada hari kiamat, mengenai apa yang mereka berselisihan padanya.
[125]
Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik. Dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik. Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya, dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.
[126]
Dan jika kamu membalas, maka hendaklah kamu membalasnya dengan yang seimbang sebagaimana yang telah ditimpakan kepada kamu. Dan jika kamu bersabar, sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.
[127]
Dan bersabarlah, dan tidaklah berhasil kesabaranmu itu melainkan daripada Allah. Dan janganlah engkau berdukacita terhadap mereka, dan janganlah pula engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan.
[128]
Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa, dan orang-orang yang berbuat baik.