Sunday 12 August 2012

38. SURAH Sad

38. SURAH Sad
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Saad. Demi Al-Quran yang penuh dengan peringatan.
[2]
Bahkan mereka yang kafir itu adalah dalam kesombongan dan penentangan.
[3]
Berapa banyak umat-umat yang terdahulu daripada mereka, Kami binasakan? Kemudian mereka memohon pertolongan pada ketika yang bukan lagi untuk melepaskan diri.
[4]
Dan mereka juga telah merasa hairan, disebabkan didatangi seorang pemberi amaran dari kalangan mereka sendiri. Dan juga mereka berkata “Orang ini adalah seorang ahli sihir, lagi pendusta.
[5]
Patutkah dia menjadikan tuhan-tuhan yang berbilang itu sebagai satu tuhan? Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang menakjubkan!”
[6]
Dan keluarlah juga para pemimpin dari kalangan mereka “Teruskanlah dan tetap tekunlah terhadap tuhan-tuhan kamu. Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang sangat dituntut.
[7]
Kami tidak pernah mendengarkan mengenai ini dalam agama terakhir. Ini tidak lain hanyalah rekaan semata-mata.
[8]
Patutkah wahyu itu diturunkan kepada dia di antara kita?” Bahkan mereka berada dalam keraguan mengenai perutusanKu. Bahkan mereka belum lagi merasai azab seksaKu.
[9]
Atau adakah di sisi mereka perbendaharaan rahmat Tuhanmu Yang Maha Kuasa, lagi Yang Maha Melimpah pemberianNya?
[10]
Atau adakah mereka yang menguasai langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya? Maka biarkanlah mereka naik mengikut apa cara sekalipun.
[11]
Satu pasukan tentera dari kumpulan-kumpulan, yang kelak pasti akan dikalahkan.
[12]
Sebelum mereka, kaum Nuh, dan Aad, dan Firaun yang mempunyai kerajaan yang kuat, telah juga mendustakan.
[13]
Begitu juga Thamud, kaum Lut, dan penduduk Aikah. Merekalah kumpulan-kumpulan.
[14]
Tidak semuanya, melainkan telah mendustakan Rasul-rasul. Maka berhaklah mereka ditimpakan azabKu.
[15]
Dan orang-orang ini juga, tidak menunggu melainkan satu pekikan suara yang tidak baginya, kelewatan.
[16]
Dan mereka berkata “Wahai Tuhan kami! Segerakanlah bahagian kami, sebelum datang hari hitungan amal”
[17]
Bersabarlah terhadap apa sahaja yang mereka katakan itu. Dan ingatlah akan hamba Kami Daud yang mempunyai kekuatan. Sesungguhnya dia juga sentiasa kembali.
[18]
Sesungguhnya Kami telah menundukkan gunung-ganang turut bertasbih bersama-samanya, pada waktu petang dan pada ketika terbit matahari.
[19]
Berserta burung-burung dalam keadaan berkumpul. Semuanya bersamanya sentiasa kembali.
[20]
Dan Kami kuatkan kerajaannya, dan Kami kurniakan kepadanya hikmah kebijaksanaan dan kepetahan berkata-kata.
[21]
Dan sudahkah sampai kepadamu berita orang yang berselisih? Ketika mereka memanjat dinding mihrab.
[22]
Iaitu ketika mereka masuk menemui Daud, lalu terkejutlah dia melihatkan mereka. Mereka berkata “Janganlah takut, (kami hanyalah) dua orang yang berselisih, salah seorang dari kami telah berlaku zalim kepada yang lain. Oleh itu, hakimilah kami dengan kebenaran, dan janganlah berat sebelah, dan pimpinlah kami ke jalan yang lurus.
[23]
Sesungguhnya ini adalah saudaraku. Dia mempunyai sembilan puluh sembilan ekor kambing betina dan aku pula mempunyai seekor sahaja. Namun dia berkata 'Serahkanlah ia kepadaku. Dan dia telah mengalahkan daku dalam perdebatan'”
[24]
Dia (Nabi Daud) berkata “Sesungguhnya dia telah berlaku zalim kepadamu dengan meminta kambingmu itu kepada kambing-kambingnya. Dan sesungguhnya kebanyakan orang-orang yang bergaul dan berhubungan, sebahagiannya akan berlaku zalim kepada sebahagian yang lain, melainkan orang-orang yang beriman dan berbuat baik. Hanya sedikit mereka!” Dan Daud tersedar yang Kami sebenarnya sedang mengujinya, lalu dia memohon keampunan Tuhannya sambil merebahkan diri bersujud dan bertaubat.
[25]
Kemudian Kami ampunkan itu baginya. Dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan yang hampir di sisi Kami dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.
[26]
Wahai Daud, sesungguhnya Kami telah menjadikanmu khalifah di bumi, maka berikanlah keputusan di antara manusia dengan kebenaran. Dan janganlah menuruti hawa nafsu, kerana itu akan menyesatkanmu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang-orang yang sesat dari jalan Allah, akan beroleh azab berat disebabkan mereka melupakan hari perhitungan.
[27]
Dan tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya tanpa tujuan. Yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu disebabkan azab neraka.
[28]
Patutkah Kami memperlakukan orang-orang yang beriman dan berbuat baik itu sama seperti orang-orang yang menyebarkan kerosakan di muka bumi? Atau patutkah Kami jadikan orang-orang yang bertakwa itu sama seperti orang-orang yang berdosa?
[29]
Sebuah Kitab yang Kami turunkan kepadamu, Kitab yang diberkati, untuk mereka fahami kandungan ayat-ayatnya, dan untuk orang-orang yang berakal sempurna mengambil peringatan.
[Al-Quran]
[30]
Dan Kami kurniakan kepada Daud (seorang anak) Sulaiman. Seorang hamba yang terbaik. Sesungguhnya dia sentiasa kembali.
[31]
Ketika dipersembahkan kepadanya pada suatu petang, sekumpulan baka kuda yang terbaik.
[32]
Dan dia (Nabi Sulaiman) berkata “Sesungguhnya aku telah mengutamakan benda yang baik dari mengingati Tuhanku, sehinggalah mereka (kuda) terselindung oleh tirai (malam)”
[33]
“Kembalikan ia kepadaku” Lalu dia mengusap-usap kaki dan leher (kuda tersebut).
[34]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji Sulaiman, dan Kami telah meletakkan di atas takhta kebesarannya satu jasad (yang tidak sempurna), lalu dia kembali.
[35]
Katanya “Wahai Tuhanku! Ampunilah aku, dan kurniakanlah kepadaku sebuah kerajaan yang tidak akan ada pada sesiapapun yang terkemudian daripadaku. Sesungguhnya Engkau, Engkaulah jua yang sentiasa Melimpah kurniaNya”
[36]
Dan Kami tundukkan baginya angin yang bertiup baik menurut perintahnya, ke mana sahaja yang dia tujukan.
[37]
Dan juga Jin dan syaitan. Golongan-golongan yang pandai mendirikan bangunan, dan menjadi penyelam.
[38]
Dan yang lain yang terikat dalam rantai-rantai belenggu.
[39]
“Inilah pemberian Kami. Oleh itu, berikanlah (kepada sesiapa yang engkau suka), atau tahanlah (untuk diri sendiri) tanpa perhitungan”
[40]
Dan sesungguhnya dia mempunyai kedudukan yang hampir lagi mulia di sisi Kami, dan tempat kembali yang sebaik-baiknya.
[41]
Dan ingatlah akan hamba Kami, Ayub ketika dia berdoa kepada Tuhannya “Sesungguhnya aku diganggu oleh syaitan dengan kesusahan dan kesakitan”
[42]
(Allah berfirman) “Hentakkanlah dengan kakimu” (Lalu terpancarlah air) “Ini adalah air sejuk untuk mandian dan untuk minuman (bagi menyembuhkan penyakitmu)”
[43]
Dan Kami kurniakan kepadanya keluarganya, dan Kami gandakan bilangan mereka, sebagai suatu rahmat daripada Kami dan sebagai suatu peringatan bagi orang-orang yang berakal sempurna.
[44]
“Dan Ambillah dengan tanganmu seikat (jerami), kemudian pukullah (isterimu) dengannya. Dan janganlah engkau rosakkan sumpahmu” Sesungguhnya Kami mendapatinya seorang yang sabar, seorang hamba terbaik. Sesungguhnya dia sentiasa kembali.
[45]
Dan ingatlah akan hamba-hamba Kami, Ibrahim, Ishak, dan Yaakub, yang mempunyai kekuatan dan pandangan yang mendalam.
[46]
Sesungguhnya Kami telah memilih mereka disebabkan sifat murni, iaitu sifat sentiasa mengingati negeri akhirat.
[47]
Dan sesungguhnya mereka di sisi Kami, termasuk orang-orang terpilih yang terbaik.
[48]
Dan ingatlah akan lsmail, Alyasak, dan Zulkifli. Dan mereka juga adalah dari kalangan orang-orang yang terbaik.
[49]
Ini adalah sebuah Peringatan. Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang bertakwa, disediakan tempat kembali yang sebaik-baiknya,
[50]
Iaitu Syurga ‘Adn, yang terbuka pintu-pintunya untuk mereka.
[51]
Di dalamnya mereka berbaring. Mereka meminta di situ buah-buahan dan minuman yang banyak.
[52]
Dan di sisi mereka bidadari-bidadari yang redup pandangannya, lagi sebaya.
[53]
Inilah apa yang dijanjikan kepada kamu untuk hari hitungan amal!
[54]
Sesungguhnya inilah limpah kurnia Kami, yang tidak ada batasnya.
[55]
Demikianlah. Dan sesungguhnya bagi orang-orang yang zalim pula adalah seburuk-buruk tempat kembali,
[56]
Iaitu neraka Jahanam yang mereka akan menderita bakarannya. Sebagai seburuk-buruk tempat menetap.
[57]
Inilah, maka biarkanlah mereka merasakannya, air panas yang menggelegak berserta air bernanah.
[58]
Dan berbagai macam jenis yang lain serupa itu.
[59]
(Penjaga neraka berkata kepada ketua-ketua golongan kafir) “Inilah serombongan besar yang masuk berasak-asak bersama-sama kamu” (Ketua-ketua berkata) “Mereka tidak perlu dialu-alukan. Sesungguhnya mereka akan menderita bakaran neraka”
[60]
Mereka menjawab “Bahkan kamulah yang tidak perlu dialu-alukan, kerana kamulah yang membawakan ini kepada kami, dan amatlah buruk sebagai tempat menetap”
[61]
Mereka berkata lagi “Wahai Tuhan kami! Sesiapa yang membawakan ini kepada kami, maka tambahkanlah dia azab seksa dua kali ganda di dalam neraka ini”
[62]
Dan mereka akan berkata “Mengapa kita tidak melihat orang-orang yang dahulu kita anggap sebagai orang-orang bersalah?
[63]
Adakah kita dahulu mengejek-ejek mereka? Atau mata kita tidak dapat melihat mereka?
[64]
Sesungguhnya semua itu adalah benar iaitu perbalahan penduduk neraka.
[65]
Katakanlah “Sesungguhnya aku hanyalah seorang pemberi amaran, dan tiada tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, Yang kekuasaanNya mengatasi segala-galanya,
[66]
Tuhan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Yang Maha Kuasa, lagi Yang sentiasa Mengampuni”
[67]
Katakanlah lagi “Ia adalah berita yang besar.
[68]
Yang kamu mengingkarinya.
[69]
Tiadalah bagiku sebarang pengetahuan mengenai penduduk alam tinggi, semasa mereka bersoal jawab.
[Kisah Nabi Adam]
[70]
Tidaklah diwahyukan kepadaku melainkan kerana sesungguhnya aku ini seorang pemberi amaran yang nyata”
[71]
Ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia daripada tanah.
[72]
Dan apabila Aku sempurnakan kejadiannya, dan Aku tiupkan padanya roh dariKu, maka rebahkanlah diri bersujud kepadanya”
[73]
Kemudian bersujudlah sekalian malaikat,
[74]
Melainkan Iblis. Dia berlaku sombong, dan menjadilah dia dari golongan yang kafir.
[75]
Dia berfirman “Wahai lblis! Apakah yang menghalangimu supaya kamu turut bersujud kepada yang Aku telah ciptakan dengan TanganKu? Adakah engkau berlaku sombong, atau engkau termasuk golongan yang tertinggi?”
[76]
Dia menjawab “Aku lebih baik daripadanya. Engkau ciptakan daku daripada api, sedang dia Engkau ciptakan daripada tanah”
[77]
Dia berfirman “Jika begitu, keluarlah engkau daripadanya (syurga), kerana sesungguhnya engkau adalah terlaknat.
[78]
Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatKu itu terus-menerus hingga ke hari kiamat!”
[79]
Dia berkata “Wahai Tuhanku! Kalau begitu, berikanlah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan”
[80]
Dia berfirman “Dengan itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberikan tempoh.
[81]
Hingga ke suatu masa yang telah ditentukan.
[82]
Dia berkata “Demi kekuasaanMu, aku akan menyesatkan mereka, semuanya,
[83]
Melainkan hamba-hambaMu di kalangan mereka yang terpilih”
[84]
Dia berfirman “Sesungguhnya kebenaran, dan hanya yang benar yang Aku firmankan.
[85]
Demi sesungguhnya! Aku akan memenuhi neraka Jahanam bersamamu dan orang-orang yang menurutimu di kalangan mereka semuanya”
[86]
Katakanlah “Aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah untuknya, dan bukanlah aku dari kalangan orang-orang yang mengada-adakan”
[87]
Ia tidak lain hanyalah peringatan bagi penduduk seluruh alam.
[88]
Dan demi sesungguhnya, kamu akan mengetahui kandungannya dalam beberapa waktu lagi.