Tuesday 7 August 2012

26. SURAH Asy-Syu'araa'

26. SURAH Asy-Syu'araa'
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Taa, Siin, Miim.
[2]
Inilah ayat-ayat Kitab yang jelas.
[3]
Boleh jadi engkau membunuh dirimu disebabkan mereka tidak menjadi orang-orang yang beriman.
[4]
Kalaulah Kami menghendaki, tentulah Kami menurunkan kepada mereka satu tanda dari langit yang menjadikan leher mereka bongkok kepadanya, tunduk.
[5]
Dan tidak datang kepada mereka peringatan baru daripada Tuhan Yang Maha Pemurah melainkan mereka tetap berpaling jua daripadanya.
[6]
Oleh kerana mereka telah mendustakan, maka akan datanglah kepada mereka berita-berita mengenai apa yang mereka ejek-ejekan itu.
[7]
Apakah mereka tidak memerhatikan bumi, berapa banyak Kami tumbuhkan padanya dari berbagai jenis yang memberikan manfaat?
[8]
Sesungguhnya pada yang demikian terdapat satu tanda. Namun kebanyakan mereka tidak juga beriman.
[9]
Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Penyayang.
[10]
Dan ketika Tuhanmu menyeru Musa “Datangilah kaum yang zalim itu,
[11]
Iaitu kaum Firaun. Tidakkah mereka mahu bertakwa?”
[12]
Dia berkata “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku takut bahawa mereka akan mendustakan daku.
[13]
Sehingga dadaku terasa sempit dan lidahku pula tersekat-sekat. Oleh itu, utuskanlah juga kepada Harun.
[14]
Dan juga kerana aku telah bersalah kepada mereka. Oleh itu, aku takut mereka akan membunuhku”
[Sebelum itu, Nabi Musa pernah membunuh secara tidak sengaja]
[15]
Dia berfirman “Bahkan, pergilah kamu berdua bersama tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Kami bersama-sama kamu, mendengar.
[16]
Dan pergilah kamu kepada Firaun, kemudian katakanlah kepadanya 'Sesungguhnya kami adalah utusan Tuhan sekalian alam.
[17]
Bebaskanlah kaum Bani Israil bersama kami'”
[18]
Dia menjawab “Bukankah kami telah membesarkanmu dalam kalangan kami sejak kanak-kanak, dan engkau telah tinggal dalam kalangan kami beberapa tahun dari umurmu?
[19]
Dan engkau pula telah melakukan satu perbuatan (jenayah) yang telah engkau lakukan. Dan engkau termasuk orang-orang yang tidak mengenang budi?”
[20]
Dia berkata “Aku melakukan perbuatan itu sedang aku pada ketika itu termasuk orang-orang yang sesat.
[21]
Lalu aku melarikan diri daripada kamu ketika aku merasa takut kepada kamu. Kemudian Tuhanku mengurniakan daku pertimbangan, dan menjadikan daku seorang Rasul.
[22]
Dan budimu yang engkau bangkit-bangkitkan itu adalah kerana engkau telah memperhambakan kaum Bani Israil.
[23]
Firaun berkata “Siapakah Tuhan sekalian alam itu?”
[24]
Dia menjawab “Tuhan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya, kalaulah kamu meyakininya”
[25]
Dia berkata kepada orang-orang yang ada di sekelilingnya “Tidakkah kamu semua mendengar?”
[26]
Dia menegaskan lagi “Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu”
[27]
Dia berkata “Sesungguhnya Rasul yang diutuskan kepada kamu ini, benar-benar gila?”
[28]
Dia berkata “Tuhan timur dan barat dan segala yang ada di antara keduanya. Kalaulah kamu orang-orang yang memahami!”
[29]
Dia berkata “Jika engkau mengambil Tuhan yang lain daripadaku, sudah tentu aku akan menjadikan engkau dari kalangan orang-orang yang dipenjarakan”
[30]
Dia menjawab “Adakah, sekalipun aku bawakan kepadamu sesuatu yang nyata?”
[31]
Dia berkata “Jika demikian, bawakanlah ia jika betul engkau termasuk orang-orang yang benar”
[32]
Lalu dia mencampakkan tongkatnya, maka tiba-tiba ia menjadi seekor ular yang nyata.
[33]
Dan dia mengeluarkan tangannya, maka tiba-tiba ia menjadi putih bagi orang-orang yang melihatnya.
[34]
Dia berkata kepada para pembesar yang ada di sekelilingnya “Sesungguhnya orang ini seorang ahli sihir yang mahir.
[35]
Dia bertujuan hendak mengeluarkan kamu dari negeri kamu dengan sihirnya, maka apakah yang kamu syorkan?”
[36]
Mereka berkata “Tangguhkanlah terhadapnya dan saudaranya, dan hantarkanlah ke bandar-bandar, pengumpul-pengumpul,
[37]
Supaya mereka membawakan kepadamu semua ahli sihir yang mahir”
[38]
Maka berkumpullah ahli-ahli sihir pada suatu masa, pada hari yang ditentukan.
[39]
Dan dikatakan kepada orang ramai “Berkumpullah kamu semua.
[40]
Semoga kita menuruti ahli-ahli sihir itu sekiranya mereka adalah orang-orang yang menang”
[41]
Dan ketika ahli-ahli sihir tersebut datang, berkatalah mereka kepada Firaun “Benarkah kami akan beroleh habuan yang besar, sekiranya kami orang-orang yang menang?”
[42]
Dia menjawab “Benar, dan kamu akan menjadi orang-orang yang rapat”
[43]
Musa berkata kepada mereka “Campakkanlah apa yang kamu hendak campakkan”
[44]
Lalu mereka mencampakkan tali-tali mereka dan tongkat-tongkat mereka sambil berkata “Demi kekuasaan Firaun, sesungguhnya kami, sudah tentu kamilah orang-orang yang akan menang”
[45]
Kemudian Musa mencampakkan tongkatnya, tiba-tiba ia menelan apa yang mereka ada-adakan itu.
[46]
Lalu ahli-ahli sihir dengan segera merebahkan diri, bersujud,
[47]
Mereka berkata “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam,
[48]
Tuhan Musa dan Harun.
[49]
Dia berkata “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku mengizinkan kamu? Sesungguhnya dialah ketua kamu yang mengajari kamu ilmu sihir, maka kamu akan mengetahui kelak. Aku akan memotong tangan dan kaki kamu secara bersilang, kemudian aku akan menyalib kamu semuanya”
[50]
Mereka menjawab “Tiada apa yang membahayakan. Sesungguhnya kepada Tuhan kamilah kembalinya kami.
[51]
Sesungguhnya kami amat berharap agar Tuhan kami mengampunkan dosa-dosa kami, kerana kamilah orang-orang yang mula-mula beriman”
[52]
Dan Kami wahyukan kepada Musa “Keluarlah bersama hamba-hambaKu pada waktu malam. Sesungguhnya kamu akan dikejar”
[53]
Kemudian Firaun mengutuskan ke bandar-bandar, pengumpul-pengumpul,
[54]
“Sesungguhnya itu adalah satu golongan yang kecil,
[55]
Dan sesungguhnya, mereka telah menimbulkan kemarahan kita.
[56]
Dan sesungguhnya, kita semua harus berwaspada”
[57]
Dengan sebab itu, maka Kami mengeluarkan mereka dari taman-taman dan mata air,
[58]
Dan juga harta kekayaan dan kedudukan yang mulia.
[59]
Demikianlah, lalu Kami jadikan kaum Bani Israil mewarisi mereka.
[60]
Kemudian mereka (Firaun dan tenteranya) mula mengejar mereka ketika matahari sedang terbit.
[61]
Setelah kedua-dua kumpulan saling melihat, berkatalah pengikut-pengikut Musa “Sesungguhnya kita akan ditawan”
[62]
Dia menjawab “Tidak. Sesungguhnya Tuhanku bersama aku. Dia akan membimbing aku”
[63]
Lalu Kami wahyukan kepada Musa “Pukullah laut itu dengan tongkatmu” Maka terbelahlah laut tersebut, dan menjadilah tiap-tiap bahagian seperti gunung yang besar.
[64]
Dan Kami dekatkan golongan yang lain ke situ.
[65]
Dan Kami selamatkan Musa dan orang-orang yang bersamanya, semuanya.
[66]
Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain.
[67]
Sesungguhnya pada yang demikian, terdapat satu tanda. Namun kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[68]
Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Penyayang.
[69]
Dan bacakanlah kepada mereka kisah Ibrahim.
[70]
Ketika dia berkata kepada ayahnya dan kaumnya “Apakah yang kamu sembah?”
[71]
Mereka menjawab “Kami menyembah berhala-berhala, dan kami akan sentiasa tekun menyembahnya”
[72]
Dia bertanya “Adakah mereka itu mendengarkan kamu semasa kamu menyeru?
[73]
Atau mereka menguntungkan kamu atau mereka memudaratkan?”
[74]
Mereka menjawab “Tidak, bahkan kami dapati datuk nenek kami berbuat demikian”
[75]
Dia berkata “Sudahkah kamu melihat (sedalamnya) apa yang kamu sembah itu?
[76]
Kamu dan datuk nenek kamu?
[77]
Sesungguhnya mereka itu adalah musuhku, melainkan Tuhan sekalian alam.
[78]
Yang menciptakan daku, dan Dialah yang membimbing aku.
[79]
Dan Yang Dialah jua memberiku makan dan memberi minum,
[80]
Dan apabila aku sakit, maka Dialah yang mengubatiku.
[81]
Dan yang mematikan daku, kemudian Dia menghidupkan daku.
[82]
Dan yang aku harap-harapkan agar Dia mengampunkan kesalahanku pada hari kiamat.
[83]
Wahai Tuhanku, berikanlah daku ilmu pengetahuan, dan masukkanlah daku ke dalam golongan orang-orang yang soleh.
[84]
Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik dalam kalangan yang datang kemudian.
[85]
Dan jadikanlah daku dari orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun-Naiim.
[86]
Dan ampunilah ayahku, kerana sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang sesat.
[87]
Dan janganlah hinakan daku pada hari mereka dibangkitkan hidup semula”
[88]
Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak berguna lagi,
[89]
Melainkan orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang bersih.
[90]
Dan didekatkan Syurga kepada orang-orang yang bertakwa,
[91]
Dan diperlihatkan neraka dengan jelas kepada orang-orang yang terpesong.
[92]
Dan dikatakan kepada mereka “Manakah yang kamu sembah dahulu,
[93]
Yang lain dari Allah? Dapatkah mereka menolong kamu atau menolong dirinya sendiri?”
[94]
Kemudian mereka dihumbankan ke dalamnya, mereka dan orang-orang yang sesat,
[95]
Termasuk semua bala tentera Iblis.
[96]
Mereka berkata sambil bertengkar sesama sendiri di dalamnya.
[97]
“Demi Allah! Sesungguhnya kami dalam kesalahan yang nyata,
[98]
Kerana kami menyamakan kamu dengan Tuhan sekalian alam.
[99]
Dan tiadalah yang menyesatkan kami melainkan golongan yang berdosa.
[100]
Dengan sebab itu, tidaklah kami beroleh sebarang orang tengah,
[101]
Dan tiadalah juga sahabat karib.
[102]
Dan alangkah baiknya kalaulah kami dapat kembali, supaya kami menjadi dari kalangan orang-orang yang beriman”
[103]
Sesungguhnya pada yang demikian, terdapat satu tanda. Namun kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[104]
Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha penyayang.
[105]
Kaum Nuh telah mendustakan Rasul.
[106]
Ketika saudara mereka, Nuh berkata kepada mereka “Tidakkah kamu mahu bertakwa.
[107]
Sesungguhnya aku ini Rasul kepercayaan, kepada kamu.
[108]
Oleh itu, bertakwalah kepada Allah, dan taatlah kepadaku.
[109]
Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenainya. Upahku hanyalah daripada Tuhan sekalian alam.
[110]
Oleh itu, bertakwalah kepada Allah, dan taatlah kepadaku”
[111]
Mereka menjawab “Patutkah kami percaya kepadamu, sedang engkau diikuti oleh orang-orang yang rendah (taraf dan pekerjaannya)?”
[112]
Dia berkata “Dan apalah kaitan antara pengetahuanku dengan apa yang mereka lakukan?
[113]
Sebenarnya hitungan amal mereka hanyalah terserah kepada Tuhanku, kalaulah kamu menyedarinya.
[114]
Dan aku tidak akan menghalau orang-orang yang beriman.
[115]
Aku hanyalah seorang pemberi amaran yang jelas”
[116]
Mereka berkata “Jika engkau tidak mahu berhenti wahai Nuh, sudah tentu engkau akan menjadi dari kalangan orang-orang yang direjam!”
[117]
Dia berdoa “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya kaumku telah mendustakan daku.
[118]
Oleh itu, berikanlah keputusan antara aku dengan mereka, dan selamatkanlah daku berserta orang-orang beriman yang bersama-sama denganku”
[119]
Lalu Kami selamatkan dia berserta orang-orang yang bersama-sama dengannya di dalam bahtera yang penuh muatan.
[120]
Sesudah itu, Kami tenggelamkan golongan yang tinggal.
[121]
Sesungguhnya pada yang demikian, terdapat satu tanda. Namun kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[122]
Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Penyayang.
[123]
Kaum Aad telah mendustakan Rasul.
[124]
Ketika saudara mereka, Hud berkata kepada mereka “Tidakkah kamu mahu bertakwa.
[125]
Sesungguhnya aku ini seorang Rasul kepercayaan, kepada kamu.
[126]
“Oleh itu, bertakwalah kepada Allah, dan taatlah kepadaku.
[127]
Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenainya. Balasanku hanyalah daripada Tuhan sekalian alam.
[128]
Patutkah kamu mendirikan di tiap-tiap tempat yang tinggi, satu tanda yang menyukakan hati kamu.
[129]
Dan kamu pula mendirikan tempat pertahanan yang kukuh supaya kamu dapat hidup selama-lamanya?
[130]
Dan apabila kamu menyeksa, kamu menyeksa dengan kejam?
[131]
Oleh itu, bertakwalah kepada Allah dan taatlah kepadaku.
[132]
Dan bertakwalah kepada Yang telah memberikan kamu dengan apa yang kamu sedia ketahui.
[133]
Yang memberikan kamu binatang-binatang ternak dan anak-anak,
[134]
Dan taman-taman dan mata air-mata air.
[135]
Sesungguhnya aku takut, kamu akan ditimpa azab seksa hari yang besar”
[136]
Mereka menjawab “Sama saja bagi kami, engkau beri nasihat, atau tidak beri nasihat.
[137]
Semua itu, hanyalah kelaziman orang-orang dahulu kala,
[138]
Dan kami tidak mungkin akan diseksa”
[139]
Maka mereka mendustakannya, lalu Kami binasakan mereka. Sesungguhnya pada yang demikian, terdapat satu tanda. Namun kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[140]
Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Penyayang.
[141]
Kaum Thamud telah mendustakan Rasul,
[142]
Ketika saudara mereka, Soleh berkata kepada mereka “Tidakkah kamu mahu bertakwa.
[143]
Sesungguhnya aku ini Rasul kepercayaan, kepada kamu.
[144]
Oleh itu, bertakwalah kepada Allah, dan taatlah kepadaku.
[145]
Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenainya, balasanku hanyalah daripada Tuhan sekalian alam.
[146]
Adakah, bahawa kamu akan dibiarkan sentiasa bersenang-lenang di sini?
[147]
Di dalam taman-taman dan mata air-mata air,
[148]
Dan kebun-kebun tanaman dan pohon-pohon kurma yang buah mayangnya lembut?
[149]
Dan kamu memahat pula sebahagian dari gunung-ganang sebagai tempat tinggal?
[150]
Oleh itu, bertakwalah kepada Allah, dan taatlah kepadaku.
[151]
Dan janganlah kamu mentaati perintah orang-orang yang melampaui batas,
[152]
Iaitu orang-orang yang menyebarkan kerosakan di bumi, lagi tidak membuat kebaikan”
[153]
Mereka menjawab “Sesungguhnya engkau ini hanyalah dari golongan yang terkena sihir!
[154]
Engkau hanyalah seorang manusia seperti kami. Oleh itu, bawakanlah satu tanda jika betul engkau dari mereka yang benar”
[155]
Dia berkata “Ini ialah seekor unta betina, yang berhak mendapat minuman, dan kamu juga berhak mendapat minuman pada masa yang ditentukan.
[156]
Dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitkan, kerana akibatnya kamu akan dibinasakan azab hari yang besar”
[157]
Tetapi mereka membunuhnya, kemudian mereka merasa menyesal.
[158]
Lalu mereka ditimpa azab yang membinasakan. Sesungguhnya pada yang demikian itu mengandungi satu tanda. Namun kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[159]
Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dialah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Penyayang.
[160]
Kaum Lut telah mendustakan Rasul.
[161]
Ketika saudara mereka, Lut berkata kepada mereka “Tidakkah kamu mahu bertakwa.
[162]
Sesungguhnya aku ini Rasul kepercayaan, kepada kamu.
[163]
Oleh itu, bertakwalah kepada Allah, dan taatlah kepadaku.
[164]
Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenainya. Balasanku hanyalah daripada Tuhan sekalian alam.
[165]
Patutkah kamu menghampiri lelaki-lelaki dari seluruh dunia,
[Melakukan hubungan sejenis]
[166]
Dan kamu tinggalkan apa yang diciptakan oleh Tuhan kamu untuk kamu dari isteri-isteri kamu? Bahkan kamu adalah kaum yang melampaui batas!”
[167]
Mereka menjawab “Jika engkau tidak berhenti wahai Lut, nescaya engkau akan diusir keluar!”
[168]
Dia berkata “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang bencikan perbuatan kamu itu.
[169]
Wahai Tuhanku, selamatkanlah daku berserta keluargaku dari apa yang dilakukan mereka itu”
[170]
Lalu Kami selamatkan dia berserta keluarganya, semuanya.
[171]
Melainkan seorang perempuan tua yang tertinggal dalam golongan yang ditimpakan azab.
[Isterinya]
[172]
Kemudian Kami hancurkan yang lain.
[173]
Dan Kami hujani mereka dengan suatu hujan. Dan amatlah buruk hujan azab yang menimpa kaum yang telah diberikan amaran itu.
[174]
Sesungguhnya pada yang demikian, mengandungi satu tanda. Namun kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[175]
Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang Maha Kuasa, lagi Maha Penyayang.
[176]
Penduduk Aikah telah mendustakan Rasul.
[177]
Ketika Syu'aib berkata kepada mereka “Tidakkah kamu mahu bertakwa.
[178]
Sesungguhnya aku ini Rasul kepercayaan, kepada kamu.
[179]
Oleh itu, bertakwalah kepada Allah, dan taatlah kepadaku.
[180]
Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenainya. Balasanku hanyalah daripada Allah Tuhan sekalian alam.
[181]
Hendaklah kamu menyempurnakan sukatan, dan janganlah kamu menjadi golongan yang menyebabkan kerugian.
[182]
Dan timbanglah dengan timbangan yang benar.
[183]
Dan janganlah kamu mengurangkan hak-hak orang ramai, dan janganlah pula kamu melakukan kejahatan di muka bumi dengan menyebarkan kerosakan.
[184]
Dan bertakwalah kepada Yang telah menciptakan kamu dan umat-umat yang telah lalu”
[185]
Mereka menjawab “Sesungguhnya engkau ini hanyalah dari golongan yang terkena sihir.
[186]
Dan engkau hanyalah seorang manusia seperti kami. Dan sesungguhnya kami fikir engkau ini termasuk orang-orang yang berdusta.
[187]
Oleh itu, gugurkanlah atas kami ketulan-ketulan dari langit, jika engkau dari orang-orang yang benar!”
[188]
Dia berkata “Tuhanku lebih mengetahui akan apa yang kamu lakukan”
[189]
Dan mereka tetap jua mendustakannya, lalu mereka ditimpa azab seksa hari yang mendung. Sesungguhnya ia adalah azab seksa hari yang besar.
[190]
Sesungguhnya pada yang demikian, mengandungi satu tanda. Namun kebanyakan mereka tidak juga mahu beriman.
[191]
Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang Maha Kuasa, lagi Maha Penyayang.
[192]
Dan sesungguhnya, ia adalah wahyu Tuhan sekalian alam.
[Al-Quran]
[193]
Ia dibawa turun oleh Roh yang amanah (Malaikat Jibril).
[194]
Ke dalam hatimu, agar engkau menjadi salah seorang dari pemberi-pemberi amaran.
[195]
Dalam bahasa Arab yang jelas.
[196]
Dan sesungguhnya, ia juga (tersebut) di dalam Kitab-kitab agama orang-orang yang telah lalu.
[197]
Dan tidakkah menjadi tanda bagi mereka bahawa pendeta-pendeta agama Bani Israil mengetahuinya?
[198]
Dan kalaulah Kami turunkan ia kepada sesiapa yang bukan Arab,
[199]
Kemudian dia membacakannya kepada mereka, nescaya mereka tetap jua tidak akan beriman kepadanya.
[200]
Demikianlah Kami memasukkan itu ke dalam hati orang-orang yang berdosa.
[201]
Mereka tidak beriman kepadanya sehinggalah mereka melihat azab yang tidak terperi sakitnya,
[202]
Dan itu akan datang kepada mereka secara mengejut, pada ketika yang mereka tidak sedari.
[203]
Kemudian mereka akan berkata pula “Dapatkah kiranya kami diberikan tempoh?”
[204]
Bukankah mereka yang meminta disegerakan azab Kami?
[205]
Bagaimanakah pendapatmu? Sekiranya Kami biarkan mereka bergembira bertahun-tahun lamanya,
[206]
Kemudian mereka didatangi apa yang dijanjikan kepada mereka,
[207]
(Tentulah) kegembiraan yang diberikan kepada mereka itu tidak akan berguna.
[208]
Dan tidaklah Kami membinasakan mana-mana negeri melainkan terdapat padanya pemberi-pemberi amaran.
[209]
Memperingatkan, kerana Kami tidak sekali-kali berlaku zalim.
[210]
Dan ia (Al-Quran) tidak sekali-kali dibawa turun oleh syaitan-syaitan.
[211]
Dan tidaklah layak bagi mereka. Dan tidaklah pula mereka berkemampuan.
[212]
Sesungguhnya mendengarkannya pun mereka dijauhkan.
[213]
Oleh itu, janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Akibatnya engkau akan termasuk dari golongan yang dikenakan azab seksa.
[214]
Dan berikanlah peringatan kepada kaum keluargamu terdekat.
[215]
Dan hendaklah engkau merendahkan diri kepada pengikut-pengikutmu dari kalangan orang-orang yang beriman.
[216]
Dan jika mereka mengingkari kamu, maka katakanlah “Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan!”
[217]
Dan berserahlah kepada Yang Maha Kuasa, lagi Maha Penyayang,
[218]
Yang melihatmu semasa engkau berdiri,
[Bersembahyang]
[219]
Dan gerak-gerimu dalam kalangan orang-orang yang bersujud.
[220]
Sesungguhnya Dialah jua yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[221]
Mahukah Aku khabarkan kamu, kepada siapakah syaitan-syaitan itu selalu turun?
[Penghasut-penghasut]
[222]
Mereka selalu turun kepada tiap-tiap pendusta yang berdosa,
[223]
Yang mendengar bersungguh-sungguh, sedang kebanyakan mereka adalah pendusta-pendusta belaka.
[224]
Dan penyair-penyair tersebut dituruti oleh golongan yang terpesong.
[225]
Tidakkah engkau melihat bahawa mereka telah mengembara di setiap lembah?
[226]
Dan mereka memperkatakan apa yang mereka sendiri tidak mengerjakannya?
[227]
Melainkan mereka yang beriman dan berbuat baik, dan mereka pula mengingati Allah sebanyak-banyaknya, dan mempertahankan diri mereka selepas mereka dianiaya. Dan orang-orang yang melakukan sebarang kezaliman akan mengetahui kelak, ke tempat manakah mereka akan kembali.