Friday, 3 August 2012

15. SURAH Al-Hijr

15. SURAH Al-Hijr
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Alif, Laam, Raa’. Ini adalah ayat-ayat Kitab iaitu Al-Quran yang jelas.
[2]
(Akan) ada masanya orang-orang yang kafir, merasa teringin kalaulah mereka telah menjadi orang-orang Islam.
[3]
Biarkanlah mereka makan dan bergembira dan dilalaikan oleh angan-angan. Kemudian mereka akan mengetahui kelak.
[4]
Dan tidaklah Kami binasakan (penduduk) sesebuah negeri melainkan mengikut ketentuan takdir yang diketahui.
[5]
Tidak ada satu umat pun yang dapat mendahului ajalnya dan tidak pula dapat melewatkan.
[6]
Dan mereka berkata “Wahai orang yang kepadanya diturunkan Peringatan, sesungguhnya engkau adalah orang gila.
[7]
Sepatutnya engkau bawakan malaikat kepada kami jika betul engkau dari orang-orang yang benar!”
[8]
Tidaklah Kami menurunkan Malaikat melainkan dengan kebenaran, dan mereka pada ketika itu tidak lagi diberikan tempoh.
[9]
Sesungguhnya Kami, Kamilah yang menurunkan Peringatan (Al-Quran), dan sesungguhnya Kamilah yang memelihara dan menjaganya.
[10]
Dan demi sesungguhnya! Kami juga telah mengutuskan sebelummu dalam kalangan kaum-kaum yang telah lalu.
[11]
Dan tiadalah seorang Rasul yang datang kepada mereka, melainkan mereka juga mempersenda dan mengejek-ejeknya.
[12]
Demikianlah Kami memasukkan ia ke dalam hati orang-orang yang berdosa.
[13]
Mereka tidak percaya kepadanya, padahal telahpun berlaku sunnatullah (membinasakan) orang-orang yang telah lalu.
[14]
Dan kalaupun Kami bukakan kepada mereka mana-mana pintu langit, kemudian mereka dapat naik ke dalamnya.
[15]
Tentulah mereka juga akan berkata “Hanya mata kami yang telah disilapkan penglihatannya, dan kami adalah kaum yang telah disihir”
[16]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah jadikan di langit, buruj-buruj dan Kami hiasinya bagi orang-orang yang melihatnya.
[17]
Dan Kami memeliharanya dari tiap-tiap syaitan yang direjam.
[18]
Melainkan mereka yang mencuri-curi dengar, maka dia diikuti api yang menyala, lagi nyata kelihatan.
[19]
Dan bumi Kami bentangkan, dan meletakkan padanya gunung-ganang yang teguh berdiri. Dan menumbuhkan padanya tiap-tiap sesuatu menurut ukuran.
[20]
Dan Kami jadikan untuk kamu di dalamnya segala keperluan hidup, dan juga makhluk-makhluk yang kamu bukanlah pemberi rezekinya.
[21]
Dan tidak ada satupun melainkan di sisi Kami sahajalah khazanahnya, dan Kami tidak menurunkannya melainkan menurut kadarnya tertentu.
[22]
Dan Kami hantarkan angin sebagai pemindah benih. Kemudian Kami turunkan air dari langit, dan Kami berikan kamu meminumnya. Dan bukanlah kamu yang menyimpannya.
[23]
Dan sesungguhnya Kami, Kamilah yang menghidupkan dan yang mematikan, dan Kamilah yang kekal memiliki segala-galanya.
[24]
Dan sesungguhnya, Kami telah mengetahui orang-orang yang terdahulu daripada kamu, dan sesungguhnya Kami mengetahui juga orang-orang yang terkemudian.
[25]
Dan sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang akan menghimpunkan mereka semua. Sesungguhnya Dialah yang Maha Bijaksana, lagi Maha Mengetahui.
[26]
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada tanah liat kering daripada lumpur yang diubah.
[27]
Dan jin, Kami jadikan dia sebelum itu daripada api yang menusuk.
[28]
Dan ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia daripada tanah liat kering daripada lumpur yang diubah.
[29]
Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, dan Aku tiupkan padanya rohKu, maka hendaklah kamu bersujud kepadanya”
[30]
Maka bersujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali,
[31]
Melainkan Iblis. Dia enggan bersama mereka yang bersujud.
[32]
Dia berfirman “Wahai Iblis, apakah yang menjadi sebab engkau tidak turut bersama mereka yang bersujud itu?”
[33]
Dia menjawab “Aku tidak sepatutnya bersujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia daripada tanah liat kering daripada lumpur yang diubah”
[34]
Dia berfirman “Keluarlah daripadanya (syurga), kerana sesungguhnya kamu tersingkir.
[35]
Dan sesungguhnya laknat itu tetap akan menimpamu hingga ke hari kiamat”
[36]
Dia berkata “Wahai Tuhanku! Jika demikian, berikanlah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan”
[37]
Dia berfirman “Maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberikan tempoh.
[38]
Hingga ke hari yang telah ditentukan”
[39]
Dia berkata “Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, demi sesungguhnya aku akan memperelokkan kepada mereka di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,
[40]
Melainkan hamba-hambaMu yang mukhlis di kalangan mereka”
[Orang yang diberi taufik hidayah daripada Allah]
[41]
Dia berfirman “Inilah jalan yang lurus, kepadaKu.
[42]
Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang kuasa terhadap mereka, melainkan sesiapa yang menurutimu dari kalangan orang-orang yang sesat.
[43]
Dan sesungguhnya neraka Jahanam itu, tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka.
[44]
Ia mempunyai tujuh pintu. Tiap-tiap pintu untuk golongan tertentu dari mereka”
[45]
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa ditempatkan di dalam beberapa Taman, dengan pancaran mata air-mata air.
[46]
“Masuklah kamu ke dalamnya dalam keadaan selamat sejahtera”
[47]
Dan Kami keluarkan akan apa yang ada dalam hati mereka, perasaan hasad dengki sehingga menjadilah bersaudara, sambil duduk berhadap-hadap di atas singgahsana.
[48]
Mereka tidak akan disentuh susah payah di dalamnya, dan tidak pula mereka sekali-kali akan dikeluarkan daripadanya.
[49]
Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu, bahawasanya Aku, Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[50]
Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya.
[51]
Dan khabarkanlah kepada mereka mengenai tetamu Nabi Ibrahim.
[Malaikat]
[52]
Ketika mereka masuk mendapatkannya dan berkata “Selamat sejahtera!” Dia menjawab “Sesungguhnya kami merasa takut kepada kamu”
[53]
Mereka menjawab “Janganlah takut, sesungguhnya kami hendak menggembirakanmu dengan seorang anak lelaki yang bakal menjadi seorang yang berilmu”
[54]
Dia berkata “Betulkah kamu menggembirakan daku, padahal aku sudah tua. Dan dengan cara bagaimanakah berita gembira yang kamu khabarkan ini?”
[55]
Mereka menjawab “Kami menyampaikan khabar gembira kepadamu dengan kebenaran. Oleh itu, janganlah engkau menjadi dari kalangan orang-orang yang berputus asa”
[56]
Dia berkata “Dan tiadalah yang berputus asa dari rahmat Tuhannya melainkan orang-orang yang sesat”
[57]
Dia bertanyakan pula “Apakah urusan kamu wahai Utusan Tuhan (selain itu)?”
[58]
Mereka menjawab “Sesungguhnya kami diutuskan kepada suatu kaum yang berdosa.
[59]
Melainkan keluarga Nabi Lut. Sesungguhnya kami akan menyelamatkan mereka semuanya.
[60]
Melainkan isterinya" Kami telah tentukan bahawa sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang tinggal.
[61]
Maka apabila utusan tersebut datang kepada keluarga Nabi Lut,
[62]
Dia berkata “Sesungguhnya kamu orang-orang yang tidak dikenali”
[63]
Mereka menjawab “Sebenarnya kami datang kepadamu membawa apa yang selalu mereka dustakan.
[64]
Juga membawa kepadamu kebenaran. Dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar.
[65]
Oleh itu, bawalah pergi keluargamu pada sebahagian dari waktu malam dan ikutilah mereka dari belakang, dan janganlah seorangpun di antara kamu berpaling, dan teruskanlah perjalanan ke arah yang diperintahkan kepada kamu”
[66]
Dan Kami wahyukan kepadanya urusan tersebut bahawa mereka akan dibinasakan pada waktu pagi, sehingga terputus keturunannya.
[67]
Dan datanglah penduduk bandar itu dengan riang gembira.
[68]
Dia berkata “Sesungguhnya mereka ini tetamuku, maka janganlah kamu memalukan aku.
[69]
Dan takutilah kamu kepada Allah dan janganlah kamu menghinakan daku”
[70]
Mereka menjawab “Bukankah kami telah melarangimu dari dunia?”
[71]
Dia berkata “Di sini anak-anak perempuanku, jika kamu hendak berbuat.
[72]
Demi umurmu (wahai Muhammad), sesungguhnya mereka membuta tuli dalam kemabukan kemaksiatan mereka.
[73]
Akhirnya mereka dibinasakan oleh pekikan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit.
[74]
Dan Kami jadikannya tunggang-terbalik, dan Kami hujani atasnya dengan batu dari tanah yang dibakar.
[75]
Sesungguhnya yang demikian itu, mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang memerhatikan dan memikirkannya.
[76]
Dan sesungguhnya ia terletak di jalan yang tetap.
[Dilalui manusia]
[77]
Sesungguhnya yang demikian, mengandungi satu tanda kepada orang-orang yang beriman.
[78]
Dan sesungguhnya penduduk Aikah adalah orang-orang yang berlaku zalim.
[79]
Lalu Kami balas mereka. Dan sesungguhnya kedua-duanya itu terletak di jalan yang terang.
[Dilalui manusia]
[80]
Dan demi sesungguhnya, penduduk Al-Hijr (kaum Thamud) telah mendustakan Rasul-rasul.
[81]
Dan Kami juga telah berikan kepada mereka tanda-tanda Kami. Dalam pada itu, mereka tetap jua berpaling daripadanya.
[82]
Dan mereka memahat sebahagian dari gunung-ganang, sebagai tempat tinggal dalam keadaan aman.
[83]
Meskipun demikian, mereka dibinasakan jua oleh pekikan suara yang menggempakan bumi pada waktu pagi.
[84]
Maka apa yang mereka telah usahakan itu, tidak dapat menolong mereka sedikitpun.
[85]
Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan kebenaran. Dan sesungguhnya Saat tetap akan datang. Oleh itu, biarkanlah dan layanlah mereka dengan cara yang baik.
[86]
Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah yang menciptakan sekalian makhluk, lagi Yang Maha Mengetahui.
[87]
Dan sesungguhnya, Kami telah berikan kepadamu tujuh ayat yang diulang-ulang bacaannya (surah Al-Fatihah), dan Al-Quran yang agung.
[88]
Janganlah engkau menujukan pandanganmu kepada apa yang Kami berikan kepada beberapa golongan di antara mereka, dan janganlah pula engkau merasa dukacita terhadap mereka. Dan sebaliknya hendaklah engkau merendahkan diri kepada orang-orang yang beriman.
[89]
Dan katakanlah “Sesungguhnya aku ini adalah seorang pemberi amaran yang nyata”
[90]
Sama seperti Kami menurunkan kepada orang-orang yang membahagi-bahagi.
[91]
(Iaitu) mereka yang menjadikan Al-Quran terbahagi kepada bahagian-bahagian.
[92]
Demi Tuhanmu! Kami akan menyoal mereka semuanya,
[93]
Mengenai apa yang mereka telah lakukan.
[94]
Oleh itu, sampaikanlah dengan cara terang-terangan akan apa yang diperintahkan kepadamu, dan berpalinglah dari kaum yang menyekutukan (Allah).
[95]
Sesungguhnya cukuplah Kami bagimu terhadap orang-orang yang mengejek-ejek dan mempersendakan,
[96]
(Iaitu) mereka yang mengadakan tuhan yang lain bersama-sama Allah, maka kelak mereka akan mengetahui.
[97]
Dan demi sesungguhnya, Kami mengetahui bahawa engkau bersusah hati dengan sebab apa yang mereka katakan.
[98]
Oleh itu, bertasbihlah engkau dengan memuji Tuhanmu, dan jadilah dari kalangan orang-orang yang bersujud.
[99]
Dan sembahlah Tuhanmu, sehingga datang kepadamu perkara yang diyakini (Ajal).