Tuesday 14 August 2012

46. SURAH Al-Ahqaf

46. SURAH Al-Ahqaf
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Haa, Miim.
[2]
Kitab ini diwahyukan daripada Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[3]
Tidaklah Kami menciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya melainkan dengan kebenaran dan masa yang telah ditentukan. Dan orang-orang yang kafir berpaling dari apa yang diperingatkan kepada mereka.
[4]
Katakanlah “Sudahkah kamu melihat (sedalamnya) apa yang kamu seru yang lain dari Allah itu? Tunjukkanlah kepadaku apakah yang telah mereka ciptakan dari bumi ini? Atau adakah mereka mempunyai sebarang perkongsian di langit? Bawakanlah kamu kepadaku sebuah Kitab yang terdahulu daripada ini, atau sebahagian dari ilmu pengetahuan jika betul kamu orang-orang yang benar!”
[5]
Dan tidak ada yang lebih sesat daripada orang yang menyeru yang lain dari Allah, sesuatu yang tidak dapat memberikan respon kepadanya hingga ke hari kiamat, sedang mereka (sembahan) tidak pula menyedari akan permohonan mereka.
[6]
Dan apabila manusia dihimpunkan, menjadilah mereka (sekutu) musuh kepada mereka, kerana mereka (sekutu) mendustakan penyembahan mereka.
[7]
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas, berkatalah mereka terhadap kebenaran ketika ia datang kepada mereka “Ini adalah sihir yang nyata!”
[8]
Dan mereka berkata “Dialah yang mengadakannya” Katakanlah “Sekiranya aku yang mengadakannya, maka kamu tidak berkuasa sedikitpun untuk daku terhadap Allah. Dia lebih mengetahui mengenai apa yang kamu katakan itu. Cukuplah Dia menjadi saksi antara aku dengan kamu, dan Dialah Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang”
[9]
Katakanlah lagi “Aku bukanlah yang pertama di kalangan para Rasul, dan aku tidak mengetahui apa yang akan dilakukan kepadaku dan kepada kamu. Aku tidak menuruti sesuatu melainkan apa yang diwahyukan kepadaku, dan aku tidak lain hanyalah seorang pemberi amaran yang nyata”
[10]
Katakanlah “Bagaimanakah pendapat kamu sekiranya ia adalah dari sisi Allah, dan kamu mengingkarinya, padahal terdapat seorang saksi dari Bani Israil memberikan kesaksian mengakui yang serupa sepertinya, kemudian dia beriman, sedang kamu pula sombong? Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang-orang yang zalim”
[11]
Dan orang-orang yang kafir berkata kepada orang-orang yang beriman “Kalaulah ia perkara yang baik tentulah mereka tidak mendahului kami padanya!” Dan setelah mereka tidak diberikan petunjuk dengannya, mereka berkata “Ini adalah perkara dusta dahulu kala”
[12]
Padahal telah ada sebelumnya Kitab Musa yang menjadi panduan dan rahmat. Dan ini pula sebuah Kitab yang mengesahkan, dalam bahasa Arab bagi memberikan amaran kepada orang-orang yang zalim, dan berita gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.
[13]
Sesungguhnya orang-orang yang berkata “Tuhan kami ialah Allah” Kemudian tetap teguh, maka tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati.
[14]
Merekalah penghuni Syurga, tetap kekal di dalamnya sebagai balasan bagi apa yang mereka telah kerjakan.
[15]
Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah juga. Sedang tempoh mengandungkannya berserta menceraikan susunya adalah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia mencapai kematangannya dan mencapai umur empat puluh tahun, dia berkata “Wahai Tuhanku, berikanlah daku kekuatan supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai. Dan jadikanlah juga sifat ketakwaan dalam kalangan zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadaMu, dan sesungguhnya aku dari kalangan orang-orang yang berserah diri”
[16]
Merekalah orang-orang yang Kami terima daripada mereka apa yang terbaik yang mereka telah kerjakan, dan Kami akan ampunkan kesalahan-kesalahan mereka, bersama-sama penghuni Syurga, sebagai satu janji yang benar, yang telah dijanjikan kepada mereka.
[17]
Dan orang yang berkata kepada kedua ibu bapanya “Ah! Bosan aku dengan kamu berdua! Patutkah kamu menjanjikan kepadaku bahawa aku akan dibangkitkan semula, padahal telah berlalu berbagai-bagai umat sebelumku?" Dan mereka berdua memohon pertolongan Allah “Kedukaanlah akan menimpamu! Berimanlah! Sesungguhnya janji Allah adalah benar” Lalu dia menjawab “Semuanya itu hanyalah cerita-cerita dongeng orang-orang dahulu kala!”
[18]
Mereka itu adalah orang-orang yang terbukti benar terhadap mereka Perkataan, bersama-sama umat-umat yang terdahulu daripada mereka dari kalangan jin dan manusia. Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang rugi.
[19]
Dan untuk semua, darjat yang sesuai dengan apa yang mereka telah kerjakan, dan bahawa Dia menyempurnakan bagi mereka balasan amal-amal mereka, sedang mereka tidak akan dianiaya.
[20]
Dan hari orang-orang yang kafir dihadapkan kepada neraka “Kamu telah menghabiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-lenang menikmatinya. Maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghinakan disebabkan kamu telah berlaku sombong di muka bumi tanpa alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik”
[21]
Dan ceritakanlah peristiwa saudara kaum Aad, ketika dia memberikan amaran kepada kaumnya di lembah Al-Ahqaaf. Dan telah berlalu sebelumnya dan sesudahnya pemberi-pemberi amaran bahawa “Janganlah kamu menyembah melainkan Allah, sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari yang besar”
[Nabi Hud]
[22]
Mereka menjawab “Adakah engkau datang kepada kami untuk memalingkan kami daripada tuhan-tuhan kami? Maka bawakanlah apa yang engkau ancamkan kami jika betul engkau dari kalangan orang-orang yang benar!”
[23]
Dia menjawab “Sesungguhnya pengetahuan hanya ada di sisi Allah, dan aku menyampaikan kepada kamu apa yang aku diutuskan bersamanya, tetapi aku melihat kamu satu kaum yang jahil!”
[24]
Kemudian ketika mereka melihatnya berupa awan yang menghala ke lembah-lembah mereka, mereka berkata “Ini adalah awan yang akan membawakan hujan kepada kita!” Bahkan itulah apa yang kamu meminta ia disegerakan, iaitu angin yang di dalamnya azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[25]
Yang menghancurkan segala-galanya dengan perintah Tuhannya. Maka menjadilah mereka, tidak ada yang kelihatan melainkan tempat-tempat tinggal mereka. Demikianlah Kami membalas kaum yang berdosa.
[26]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah meneguhkan mereka dalam apa yang tidak Kami meneguhkan kamu padanya, dan Kami telah jadikan bagi mereka pendengaran, penglihatan, dan hati. Namun pendengaran mereka, dan penglihatan mereka, dan hati mereka tidak mendatangkan faedah sedikitpun kepada mereka apabila mereka menolak tanda-tanda Allah. Dan mereka pula diliputi oleh apa yang mereka telah ejek-ejekan padanya.
[27]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah binasakan negeri-negeri yang ada di sekeliling kamu, dan Kami telah menerangkan tanda-tanda dengan berbagai cara, agar mereka kembali.
[28]
Dan sepatutnya mereka dibela oleh segala apa yang mereka ambil yang lain dari Allah sebagai Tuhan-tuhan yang merupakan jalan mendekatkan diri? Bahkan mereka (sembahan) telah hilang lenyap daripada mereka. Dan demikianlah kesesatan mereka dan apa yang mereka telah ada-adakan.
[29]
Dan ketika Kami menghadapkan satu rombongan jin kepadamu untuk mendengarkan Al-Quran. Ketika mereka menghadirinya, berkatalah mereka “Dengarkanlah dengan senyap!” Setelah ia selesai, kembalilah mereka kepada kaumnya sebagai pemberi amaran.
[30]
Mereka berkata “Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar sebuah Kitab yang diturunkan sesudah Musa, yang mengesahkan apa yang terdahulu daripadanya, yang memimpin kepada kebenaran dan ke jalan yang lurus.
[31]
Wahai kaum kami! Sahutlah penyeru Allah, dan berimanlah kamu kepadanya supaya Dia mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan melindungi kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[32]
Dan sesiapa yang tidak menyahut penyeruh Allah itu, maka dia tidak akan dapat melepaskan diri di muka bumi, dan dia tidak akan beroleh sesiapapun selainNya, sebagai pelindung. Mereka itu di dalam kesesatan yang nyata”
[33]
Tidakkah mereka melihat bahawa Allah jualah yang telah menciptakan langit dan bumi, yang tidak mengalami kepayahan dalam penciptaan keduanya, berkuasa pula menghidupkan makhluk-makhluk yang telah mati? Benar! Sesungguhnya Dia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[34]
Dan hari orang-orang yang kafir dihadapkan kepada neraka “Bukankah ini benar?” Mereka menjawab “Benar, demi Tuhan kami!” Dia berkata lagi “Maka rasakanlah azab seksa disebabkan keingkaran kamu”
[35]
Dan bersabarlah sebagaimana bersabarnya Rasul-rasul Ulil-Azmi dari kalangan para Rasul. Dan janganlah meminta disegerakan untuk mereka. Sesungguhnya perasaan mereka pada hari mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, seolah-olah tidak tinggal melainkan sekadar satu saat di siang hari. Sebagai suatu pemberitahuan. Dan tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik.
[Rasul yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati yang tinggi]