Tuesday 7 August 2012

19. SURAH Maryam

19. SURAH Maryam
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Kaaf, Haa, Yaa, Ain, Saad.
[2]
Penjelasan mengenai rahmat Tuhanmu kepada hambaNya, Zakaria.
[3]
Ketika dia berdoa kepada Tuhannya secara rahsia.
[4]
Dia berkata “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemah tulang-tulangku, dan telah putih melepak uban kepalaku. Dan aku wahai Tuhanku tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepadaMu.
[5]
Dan sesungguhnya aku merasa bimbang mengenai pengganti-pengganti sepeninggalanku. Dan isteriku pula seorang yang mandul. Oleh itu, kurniakanlah daku dari sisiMu seorang pewaris.
[6]
Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Yaakub. Dan jadikanlah dia wahai Tuhanku seorang yang disukai”
[7]
“Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang menggembirakanmu dengan seorang anak lelaki yang bernama Yahya, yang Kami tidak pernah jadikan sebelum itu seorangpun serupa dia”
[8]
Dia bertanya “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku seorang yang mandul dan aku sendiri telah mencapai had umur yang setua-tuanya?”
[9]
Dia (Penyeru) menjawab “Demikianlah, Tuhanmu berfirman 'Hal itu mudah bagiKu. Demi sesungguhnya, Aku telah menciptakanmu dahulu sedang engkau pada ketika itu belum wujud sama sekali'”
[10]
Dia merayu lagi “Wahai Tuhanku! Jadikanlah satu tanda bagiku” Dia berkata ”Tandamu itu ialah engkau tidak akan dapat berkata-kata dengan orang ramai selama tiga malam dalam keadaan sihat”
[11]
Kemudian dia keluar mendapatkan kaumnya dari Mihrab (tempat sembahyangnya), lalu dia memberikan isyarat kepada mereka supaya bertasbih pagi dan petang.
[12]
“Wahai Yahya, terimalah Kitab itu dengan bersungguh-sungguh!” Dan Kami telah memberikannya Hikmat kebijaksanaan semasa kecil lagi.
[Taurat]
[13]
Dan rahmat dari sisi Kami, dan kesucian. Dan dia adalah seorang yang bertakwa.
[14]
Dan taat kepada kedua ibu bapanya, dan tidaklah dia seorang yang zalim derhaka.
[15]
Dan ke atasnya selamat sejahtera pada hari dia dilahirkan, pada hari dia meninggal, dan pada hari dia dibangkitkan hidup semula.
[16]
Dan bacakanlah di dalam Kitab ini kisah Maryam, ketika dia memencilkan dirinya daripada keluarganya di sebuah tempat sebelah timur.
[17]
Kemudian dia mendirikan dinding (untuk melindungi dirinya) daripada mereka. Kemudian Kami hantarkan kepadanya, Roh Kami. Lalu dia menyamarkan dirinya kepadanya sebagai seorang lelaki yang sempurna.
[Malaikat Jibril]
[18]
Dia berkata “Sesungguhnya aku berlindung kepada Tuhan Yang Maha Pemurah daripada kamu, kalaulah kamu seorang yang bertakwa”
[19]
Dia menjawab “Sesungguhnya aku hanyalah pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak lelaki yang suci”
[20]
Dia bertanya “Bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak lelaki, padahal aku tidak pernah disentuh oleh seorang lelaki pun, dan aku pula bukanlah perempuan yang jahat?”
[21]
Dia menjawab “Demikianlah Tuhanmu berfirman 'Hal itu mudah bagiKu. Dan Kami hendak menjadikan dia sebagai suatu tanda bagi umat manusia dan sebagai suatu rahmat daripada Kami. Dan ia adalah suatu perkara yang telah ditetapkan untuk berlaku'”
[22]
Maka dia (Maryam) mengandungkannya, dan dia memencilkan dirinya bersamanya ke sebuah tempat yang jauh.
[23]
Kemudian sakit akan melahirkan anak memaksanya ke pangkal sebatang pohon kurma (bersandar). Dia berkata “Alangkah baiknya jikalau aku mati sebelum ini, dan menjadilah aku sesuatu yang dilupakan dan tidak dikenang-kenang lagi!”
[24]
Lalu dia diseru dari bawahnya “Janganlah bersedih hati, sesungguhnya Tuhanmu telah menjadikan di bawahmu sebatang anak sungai.
[25]
Dan goyangkanlah ke arahmu pangkal pohon kurma itu, nescaya ia akan menggugurkan kepadamu buah kurma yang masak.
[26]
Dan makanlah dan minumlah dan tenangkanlah pandangan. Dan sekiranya engkau melihat seseorang manusia, maka katakanlah 'Sesungguhnya aku bernazar untuk berpuasa kerana Tuhan Yang Maha Pemurah. Oleh itu, aku tidak akan berkata-kata kepada sesiapapun dari kalangan manusia pada hari ini'”
[27]
Kemudian dia kembali kepada kaumnya dengan mendukung anaknya. Mereka berkata “Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan sesuatu yang sangat mengagumkan!
[28]
Wahai saudara perempuan Harun, ayahmu bukanlah seorang yang jahat, dan ibumu pula bukanlah seorang perempuan yang jahat!”
[Dia dipanggil saudara perempuan Nabi Harun kerana sifat kesolehannya seperti kesolehan Nabi Harun]
[29]
Kemudian dia segera menunjukkannya. Mereka berkata “Bagaimanakah kami boleh berkata-kata dengan seorang yang masih lagi di dalam buaian?”
[30]
Dia (Nabi Isa) menjawab “Sesungguhnya aku ini hamba Allah. Dia telah memberikan kepadaku Kitab, dan Dia telah menjadikan daku seorang Nabi.
[31]
Dan Dia menjadikan daku seorang yang berkat di mana sahaja aku berada. Dan diperintahkan daku mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat selagi aku hidup.
[32]
Dan taat kepada ibuku. Dan Dia tidak menjadikan daku seorang yang biadab.
[33]
Dan segala keselamatan dan kesejahteraan dilimpahkan ke atasku pada hari aku dilahirkan, dan pada hari aku meninggal dunia, dan pada hari aku dibangkitkan hidup semula”
[34]
Yang demikian, itulah Isa Ibni Maryam. Keterangan yang sebenar-benarnya, yang mereka berselisihan padanya.
[35]
Tidaklah layak bagi Allah bahawa Dia mengambil anak. Maha Suci Dia. Apabila menetapkan sesuatu perkara, maka hanyalah Dia berfirman kepadanya “Jadilah” lalu menjadilah ia.
[36]
Dan sesungguhnya, Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka sembahlah Dia, inilah jalan yang lurus”
[37]
Tetapi golongan-golongan dari kalangan mereka berselisihan sesama sendiri, maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu, dari apa yang disaksikan pada hari yang agung.
[38]
Sungguh jelas pendengaran dan penglihatan mereka pada hari mereka datang menghadap Kami, disebabkan orang-orang yang zalim pada masa kini berada dalam kesesatan yang nyata.
[39]
Dan berikanlah amaran kepada mereka mengenai hari penyesalan ketika diputuskan urusan itu, dan mereka telah berada dalam kelalaian dan mereka tidak beriman.
[40]
Sesungguhnya Kamilah yang mewarisi bumi dan segala yang ada di atasnya. Dan kepada Kamilah mereka akan dikembalikan.
[41]
Dan bacakanlah di dalam Kitab ini kisah Ibrahim. Sesungguhnya dia adalah seorang yang amat benar, lagi seorang Nabi.
[42]
Ketika dia berkata kepada ayahnya “Wahai ayahku, mengapa kamu menyembah apa yang tidak mendengar dan tidak melihat, dan tidak pula dapat memberikanmu kebaikan sedikitpun?
[43]
Wahai ayahku, sesungguhnya telah datang kepadaku dari pengetahuan yang tidak pernah datang kepadamu, oleh itu ikutilah daku. Aku akan memimpinmu ke jalan yang betul.
[44]
Wahai ayahku, janganlah ayah menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu menderhaka kepada Tuhan Yang Maha Pemurah.
[45]
Wahai ayahku, sesungguhnya aku bimbang bahawa kamu akan dikenakan azab daripada Tuhan Yang Maha Pemurah. Maka kerana itu, akan menjadilah ayah rakan bagi syaitan”
[46]
Dia menjawab “Patutkah engkau membenci tuhan-tuhanku wahai Ibrahim? Sekiranya engkau tidak berhenti, sudah tentu aku akan melontarmu dengan batu. Dan tinggalkanlah daku untuk suatu masa yang lama”
[47]
Dia berkata “Selamat sejahteralah ke atasmu. Aku akan memohon keampunan untukmu daripada Tuhanku. Sesungguhnya Dia sentiasa melimpah kemurahan ihsanNya kepadaku.
[48]
Dan aku akan meninggalkan kamu semua berserta apa yang kamu sembah yang lain dari Allah. Dan aku akan beribadat kepada Tuhanku. Mudah-mudahan aku dengan ibadatku kepada Tuhanku itu tidak menjadi hampa”
[49]
Maka apabila dia meninggalkan mereka berserta apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, Kami kurniakan kepadanya, Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya). Dan setiap satunya Kami jadikan Nabi.
[50]
Dan Kami kurniakan kepada mereka sebahagian dari rahmat Kami, dan Kami jadikan bagi mereka sebutan dan pujian yang tinggi.
[51]
Dan bacakanlah di dalam Kitab ini kisah Musa. Sesungguhnya dia termasuk orang yang terpilih, dan merupakan seorang Rasul dan seorang Nabi.
[52]
Dan Kami telah menyerunya dari sebelah kanan Gunung Tursina, dan Kami telah mendekatkannya untuk berdialog.
[53]
Dan Kami kurniakan kepadanya dari rahmat Kami, saudaranya Harun, seorang Nabi.
[54]
Dan bacakanlah di dalam Kitab ini kisah Ismail. Sesungguhnya dia benar dalam menepati janji dan merupakan seorang Rasul dan seorang Nabi.
[55]
Dan dia menyuruh kaumnya mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat. Dan dia adalah seorang yang diredhai di sisi Tuhannya!
[56]
Dan bacakanlah di dalam Kitab ini kisah Idris. Sesungguhnya dia merupakan seorang yang amat benar, dan seorang Nabi.
[57]
Dan Kami telah mengangkatnya ke martabat yang tinggi.
[58]
Mereka itulah sebahagian dari Nabi-nabi yang telah dikurniakan oleh Allah, nikmat kepada mereka dari keturunan Adam, dan orang-orang yang Kami bawa bersama-sama Nuh, dan dari keturunan Ibrahim, dan Israil (Nabi Yaakub), dan dari orang-orang yang Kami berikan petunjuk dan Kami pilih. Apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Tuhan Yang Maha Pemurah, mereka segera bersujud dan menangis.
[59]
Kemudian mereka digantikan oleh pengganti-pengganti yang mencuaikan sembahyang dan menuruti hawa nafsu. Maka kelak mereka akan menemui azab,
[60]
Melainkan orang-orang yang bertaubat, beriman, dan berbuat baik, maka mereka itu akan memasuki Syurga, dan mereka tidak akan dianiaya sedikitpun,
[61]
Syurga ‘Adn yang telah dijanjikan oleh Tuhan Yang Maha Pemurah kepada hamba-hambaNya sekalipun tidak terlihat. Sesungguhnya janjiNya itu tetap akan berlaku.
[62]
Mereka tidak akan mendengar di dalamnya perkataan yang buruk melainkan yang baik-baik. Dan bagi mereka di dalamnya, rezeki (makan minum) yang disediakan pagi dan petang.
[63]
Itulah Syurga yang Kami wariskan kepada orang-orang yang bertakwa.
[64]
(Berkatalah malaikat) “Kami tidak turun melainkan dengan perintah Tuhanmu. BagiNyalah jua apa yang ada di hadapan kita dan apa yang ada di belakang kita dan apa yang ada di antara itu. Dan tidaklah Tuhanmu itu lupa,
[65]
Tuhan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Oleh itu, sembahlah Dia dan bersabarlah dengan tekun dalam beribadat kepadaNya. Adakah engkau mengetahui sesiapapun yang sebanding denganNya?”
[66]
Dan manusia berkata “Apa! Apabila aku mati, adakah aku akan dibangkitkan hidup semula?”
[67]
Patutkah manusia itu tidak beringat bahawa Kami, Kami telah menciptakan dia dahulu sedang dia pada ketika itu tidak wujud sama sekali?
[68]
Oleh itu, demi Tuhanmu! Sesungguhnya Kami akan himpunkan mereka berserta syaitan-syaitan, kemudian Kami akan bawa mereka duduk melutut di sekeliling neraka Jahanam.
[69]
Sesudah itu, sesungguhnya Kami akan tarik daripada tiap-tiap golongan, orang-orang yang sangat derhaka kepada Tuhan Yang Maha Pemurah di kalangan mereka.
[70]
Dan sesungguhnya Kami lebih mengetahui akan orang-orang yang patut dibakar di dalamnya.
[71]
Dan tiada seorangpun di antara kamu melainkan akan melintasinya. Hal itu adalah suatu kemestian yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu.
[72]
Dan Kami akan bawa orang-orang yang bertakwa, dan Kami tinggalkan orang-orang yang zalim melutut di dalamnya.
[73]
Dan mereka apabila dibacakan ayat-ayat Kami yang jelas, berkatalah orang-orang yang kafir kepada orang-orang yang beriman “Yang manakah di antara dua golongan (antara kami dan kamu) yang lebih baik kedudukannya dan lebih elok pula majlis perhimpunannya?"
[74]
Dan berapa banyak kaum-kaum sebelum mereka Kami telah binasakan, sedang mereka lebih elok pemilikannya dan penampilannya.
[75]
Katakanlah “Sesiapa yang berada dalam kesesatan, maka biarkanlah Tuhan Yang Maha Pemurah memanjangkan tempoh baginya, sehingga apabila mereka melihat apa yang dijanjikan kepada mereka, sama ada hukuman ataupun Saat (kiamat), maka mereka akan mengetahui siapakah yang lebih buruk kedudukannya dan lebih lemah pula penyokong-penyokongnya”
[76]
Dan Allah akan menambahkan petunjuk kepada orang-orang yang menerima petunjuk. Dan amal-amal baik yang tetap kekal itu, lebih baik balasan pahalanya di sisi Tuhanmu dan kesudahannya.
[77]
Dan tidakkah engkau melihat akan orang yang ingkar kepada ayat-ayat Kami dan berkata “Demi sesungguhnya aku akan diberikan harta kekayaan dan anak-anak?”
[78]
Adakah dia telah mengetahui mengenai perkara yang ghaib, atau adakah dia telah mengambil perjanjian dengan Tuhan Yang Maha Pemurah?
[79]
Bahkan Kami akan tulis apa yang dikatakannya itu, dan Kami akan tambahkan baginya azab seksa, berganda-ganda.
[80]
Dan Kamilah yang mewarisinya akan apa yang dikatakannya itu, dan dia pula akan datang kepada Kami seorang diri.
[81]
Dan mereka mengambil yang lain dari Allah sebagai tuhan-tuhan, supaya ia menjadi pemberi kemuliaan kepada mereka.
[82]
Bahkan ia akan mengingkari perbuatan mereka menyembahnya, dan ia akan menjadi musuh mereka.
[83]
Tidakkah engkau mengetahui bahawa Kami telah menghantarkan syaitan-syaitan kepada orang-orang kafir untuk mengapi-apikan mereka dengan hasutan?
[84]
Oleh itu, janganlah engkau tergesa-gesa terhadap mereka. Sesungguhnya Kami hanya menghitung-hitung masa bagi mereka.
[85]
Hari Kami himpunkan orang-orang yang bertakwa untuk menghadap Tuhan Yang Maha Pemurah, dengan berpasukan-pasukan.
[86]
Dan Kami halau orang-orang yang bersalah ke neraka Jahanam, dalam keadaan dahaga.
[87]
Mereka tidak berhak mendapatkan syafaat, melainkan orang yang telah mengikat perjanjian di sisi Tuhan Yang Maha Pemurah!
[88]
Dan mereka berkata “Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil anak”
[89]
Demi sesungguhnya, kamu telah melakukan suatu perkara yang besar salahnya!
[90]
Langit nyaris-nyaris pecah kerana itu, dan bumi pula nyaris-nyaris terbelah, dan gunung-ganang nyaris-nyaris runtuh,
[91]
Kerana mereka mendakwa mengatakan Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil anak.
[92]
Padahal tidaklah layak bagi Tuhan Yang Maha Pemurah bahawa Dia mengambil anak.
[93]
Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan akan datang kepada Tuhan Yang Maha Pemurah sebagai seorang hamba.
[94]
Demi sesungguhnya! Allah telah mengira mereka dan menghitung mereka dengan suatu hitungan.
[95]
Dan mereka masing-masing akan datang menghadapNya pada hari kiamat seorang diri.
[96]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berbuat baik, Tuhan Yang Maha Pemurah akan melimpahkan mereka dengan perasaan kasih sayang.
[97]
Dan sesungguhnya, Kami memudahkannya (Al-Quran) dengan lidahmu, supaya engkau memberikan khabar gembira dengannya kepada orang-orang yang bertakwa, dan memberikan amaran dengannya kepada kaum yang menentang.
[98]
Dan berapa banyak umat-umat yang Kami telah binasakan sebelum mereka. Engkau tidak menyedari ataupun mendengar suara sayup seseorangpun dari mereka.