Sunday 12 August 2012

40. SURAH Ghaffir

40. SURAH Ghaffir
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Haa, Miim.
[2]
Kitab ini diturunkan oleh Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.
[3]
Yang Mengampunkan dosa, Yang Menerima taubat, Yang Maha Berat azab seksaNya, Yang Melimpah-limpah kurniaNya. Tiada Tuhan melainkan Dia. KepadaNyalah tempat kembali.
[4]
Tidak ada yang membantah mengenai ayat-ayat Allah melainkan orang-orang yang kafir. Oleh itu, janganlah engkau diperdayakan oleh pergerakan mereka di dalam negeri.
[5]
Sebelum mereka, kaum Nuh juga telah mendustakan, dan puak-puak yang bersekutu sesudah mereka. Dan tiap-tiap umat di antaranya telah merancangkan tipu daya terhadap Rasul mereka untuk menawannya. Dan mereka telah membantah menggunakan perkara yang salah demi menyangkal kebenaran dengannya. Kerana itu Aku tawan mereka. Maka perhatikanlah bagaimana kesan azabKu!
[6]
Dan demikianlah, telah pasti Perkataan Tuhanmu terhadap orang-orang yang kafir, bahawa mereka adalah penghuni neraka.
[7]
Mereka (malaikat) yang memikul Arasy dan yang berada di sekelilingnya, bertasbih memuji Tuhannya dan beriman kepadaNya dan memohon keampunan untuk orang-orang yang beriman “Wahai Tuhan kami! RahmatMu dan IlmuMu meliputi segala-galanya. Oleh itu, berikanlah keampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan menuruti jalanMu, dan peliharalah mereka dari azab neraka.
[8]
Wahai Tuhan kami! Dan masukkanlah mereka ke dalam Syurga Adn yang Engkau telah janjikan kepada mereka, dan sesiapa juga yang layak di kalangan ibu bapa mereka, isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka. Sesungguhnya Engkau, Engkaulah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[9]
Dan peliharalah mereka dari kejahatan-kejahatan. Dan sesiapa yang Engkau pelihara pada hari itu dari kejahatan-kejahatan, maka sesungguhnya Engkau telah mengurniakan rahmat kepadanya. Dan itulah kejayaan yang besar”
[10]
Sesungguhnya orang-orang yang kafir akan diteriakkan kepada mereka “Demi sesungguhnya! Kebencian Allah lebih besar daripada kebencianmu terhadap diri sendiri. Ketika kamu diseru kepada iman, lalu kamu mengingkari”
[11]
Mereka menjawab “Wahai Tuhan kami! Engkau telah mematikan kami dua kali, dan telah menghidupkan kami dua kali. Dan kami mengakui akan dosa-dosa kami. Oleh itu, adakah sebarang jalan untuk keluar?”
[12]
“Yang demikian kerana, apabila Allah Yang Maha Esa sahaja disembah, kamu ingkar. Dan apabila dipersekutukan sesuatu denganNya, kamu mempercayai. Maka keadilan adalah milik Allah, Yang Maha Tinggi, lagi Yang Maha Besar”
[13]
Dialah Yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tandaNya, dan yang menurunkan rezeki dari langit untuk kamu. Dan tiadalah yang mengambil pelajaran melainkan orang yang sentiasa kembali.
[14]
Dan sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, sekalipun orang-orang yang kafir tidak menyukai.
[15]
Dialah Yang Maha tinggi darjat kebesaranNya, yang memiliki Arasy. Dia menempatkan wahyu perintahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya di kalangan hamba-hambaNya, agar Dia memberikan amaran mengenai hari pertemuan,
[16]
Iaitu hari mereka keluar. Tidak akan tersembunyi kepada Allah sesuatupun mengenai mereka “Milik siapakah penguasaan pada hari ini?” Milik Allah Yang Maha Esa, lagi Yang Maha mengalahkan!
[17]
Pada hari ini, tiap-tiap diri dibalas dengan apa yang telah diusahakannya. Tidak ada ketidakadilan pada hari ini. Sesungguhnya Allah amat cepat hitungan hisabNya.
[18]
Dan berikanlah amaran kepada mereka mengenai hari yang semakin dekat itu, iaitu ketika hati (perasaan) berada di kerongkong, nazak. Orang-orang yang zalim tidak akan mendapat seorang sahabatpun, dan tidak juga pemberi syafaat yang diterima.
[19]
Dia mengetahui pandangan mata khianat, dan mengetahui apa yang tersembunyi di dalam dada.
[20]
Dan Allah memberikan keputusan dengan kebenaran, sedang yang mereka sembah yang lain daripadaNya itu, tidaklah mereka dapat memberikan sebarang keputusan. Sesungguhnya Allah, Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[21]
Tidakkah mereka mengembara di muka bumi, dan melihat bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu daripada mereka? Orang-orang itu adalah orang-orang yang lebih hebat daripada mereka akan kekuatan dan kesan-kesan (peradaban) di muka bumi. Dan sekalipun begitu, Allah binasakan mereka disebabkan dosa-dosa mereka, dan tiadalah bagi mereka sesiapapun yang dapat melindungi mereka daripada Allah.
[22]
Yang demikian kerana mereka didatangi Rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang jelas, lalu mereka ingkar, maka Allah menyeksa mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha berat azab seksaNya.
[23]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan Musa bersama Tanda-tanda Kami berserta bukti yang nyata.
[24]
Kepada Firaun, Haman, dan Qarun. Kemudian mereka berkata “Seorang ahli sihir, dan seorang pendusta!”
[25]
Sesudah dia bawakan kepada mereka kebenaran dari sisi Kami, mereka berkata “Bunuhlah anak-anak lelaki orang-orang beriman yang bersamanya, dan biarkanlah perempuan mereka” Dan tidaklah tipu daya orang-orang yang kafir itu melainkan dalam kesesatan.
[26]
Dan berkatalah Firaun “Biarkanlah aku membunuh Musa, dan biarkanlah dia memohon kepada Tuhannya! Sesungguhnya aku khuatir dia akan menukar agama kamu, atau dia akan menimbulkan kerosakan di muka bumi”
[27]
Dan Musa berkata “Sesungguhnya aku berlindung kepada Tuhanku dan Tuhan kamu dari tiap-tiap orang yang sombong, yang tidak beriman kepada hari perhitungan!”
[28]
Dan berkatalah seorang lelaki beriman dari keluarga Firaun yang menyembunyikan imannya “Patutkah kamu membunuh seorang lelaki hanya kerana dia mengatakan Tuhanku adalah Allah? Sedang dia datang kepada kamu membawa bukti-bukti yang jelas daripada Tuhan kamu? Kalau dia seorang yang berdusta maka ke atasnyalah dustanya itu, namun kalau dia seorang yang benar nescaya kamu akan ditimpakan oleh sebahagian dari apa yang diancamkannya kepada kamu itu" Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada orang yang melampaui batas, lagi pendusta.
[29]
"Wahai kaumku! Pada hari ini kepunyaan kamulah kekuasaan memerintah di muka bumi. Dan siapakah yang akan membela kita dari azab Allah sekiranya ia datang kepada kita?” Firaun berkata “Aku tidak menunjukkan kepada kamu melainkan dengan apa yang aku lihat, dan tidak pula aku menunjukkan kepada kamu melainkan jalan yang betul”
[30]
Dan berkatalah pula orang yang beriman itu “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa sebagaimana yang telah menimpa kaum-kaum bersekutu!
[31]
Seperti keadaan kaum Nuh, Aad (kaum Nabi Hud), dan Thamud (kaum Nabi Soleh), dan orang-orang sesudah mereka. Dan Allah tidak menghendaki berlaku zalim kepada hamba-hamba(Nya).
[32]
Dan wahai kaumku! Sesungguhnya aku bimbang bagi kamu, hari yang padanya jeritan-jeritan.
[33]
Hari kamu berpaling melarikan diri. Tidak ada sesiapapun yang dapat melindungi kamu daripada Allah. Dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka tidak ada baginya sebarang petunjuk.
[34]
Dan demi sesungguhnya! Yusuf telah datang kepada kamu dahulu dengan membawa bukti-bukti yang nyata, dan kamu tetap jua dalam keraguan mengenai apa yang dibawakannya kepada kamu itu sehingga apabila dia meninggal, kamu berkata “Allah tidak akan mengutuskan lagi Rasul sesudahnya” Demikianlah Allah menyesatkan sesiapa yang melampaui, lagi bersikap ragu-ragu,
[35]
(Iaitu) orang-orang yang mempertikaikan tanda-tanda Allah tanpa sebarang bukti yang sampai kepada mereka. Betapa besarnya kebencian di sisi Allah dan di sisi orang-orang beriman. Demikianlah Allah mengunci hati tiap-tiap orang yang sombong dan berlaku sewenang-wenangnya!
[36]
Dan Firaun berkata “Hai Haman! Binakanlah untukku sebuah bangunan yang tinggi, semoga aku sampai ke jalan-jalan,
[37]
Jalan-jalan langit, agar aku dapat melihat Tuhan Musa. Dan sesungguhnya aku fikir dia adalah seorang pendusta!” Demikianlah diperhiaskan kepada Firaun akan perbuatannya yang buruk supaya dipandangnya baik, dan dia dihalang dari jalan (yang benar). Dan tidaklah tipu daya Firaun itu melainkan dalam kebinasaan.
[38]
Dan berkatalah pula orang yang beriman itu “Wahai kaumku! Turutilah aku, aku akan membimbing kamu ke jalan yang benar.
[39]
Wahai kaumku! Sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah hiburan, dan sesungguhnya hari akhirat itulah tempat tinggal yang kekal.
[40]
Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat, maka dia tidak dibalas melainkan dengan yang setimpal dengannya. Dan sesiapa yang berbuat baik, baik lelaki mahupun perempuan sedang dia beriman, maka mereka itu akan memasuki Syurga. Mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu tanpa batas.
[41]
Dan wahai kaumku! Apakah bagi aku? Aku mengajak kamu kepada keselamatan, dan kamu pula mengajakku ke neraka?
[42]
Kamu mengajakku supaya aku kufurkan Allah dan mempersekutukanNya dengan apa yang aku tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya, sedang aku mengajak kamu kepada Yang Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun?
[43]
Tidak dapat dinafikan, bahawa apa yang kamu mengajak aku kepadanya itu tidak ada baginya hak sama ada di dunia mahupun di akhirat. Dan tempat kembali kita semua pula adalah kepada Allah, dan sesungguhnya orang-orang yang melampaui batas, merekalah penghuni neraka.
[44]
Dan kamu kelak pasti akan mengingat kembali apa yang aku katakan kepada kamu ini. Dan aku sentiasa menyerahkan urusanku kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Melihat akan keadaan hamba-hambaNya”
[45]
Kemudian Allah melindunginya dari kejahatan tipu daya mereka. Dan Firaun berserta kaumnya pula diselubungi azab seksa yang seburuk-buruknya,
[46]
Mereka diperlihatkan api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa di alam Barzakh). Dan pada hari berlakunya Saat pula “Masukkanlah Firaun berserta pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!”
[47]
Dan ketika mereka berbantah-bantah di dalam neraka, maka berkatalah yang lemah kepada orang-orang yang sombong “Sesungguhnya kami telah menjadi pengikut-pengikut kamu, oleh itu dapatkah kamu menolak daripada kami sebahagian dari azab neraka ini?”
[48]
Orang-orang yang sombong itu menjawab “Sesungguhnya kita semua berada di dalamnya. Sesungguhnya Allah telah menetapkan keputusan di antara hamba-hamba(Nya)”
[49]
Dan berkatalah orang-orang yang ada di dalam neraka kepada penjaga-penjaga neraka Jahanam “Pohonkanlah kepada Tuhan kamu supaya diringankan sedikit azab seksa daripada kami, walaupun sehari”
[50]
Mereka menjawab “Bukankah kamu telah didatangi Rasul-rasul kamu membawa bukti-bukti yang nyata?” Mereka menjawab “Ya, telah datang” Mereka berkata “Jika demikian, berdoalah" Bahkan tiadalah doa permohonan orang-orang yang kafir itu melainkan dalam kesesatan.
[51]
Sesungguhnya Kami, Kami tetap akan menolong Rasul-rasul Kami dan orang-orang beriman dalam kehidupan dunia dan juga pada hari berdirinya para saksi.
[52]
Iaitu pada hari yang tidak berguna lagi bagi orang-orang yang zalim alasan-alasan mereka, bahkan mereka akan beroleh laknat, dan beroleh pula seburuk-buruk tempat tinggal.
[53]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah memberikan Musa petunjuk dan Kami jadikan kaum Bani Israil mewarisi Kitab Taurat,
[54]
Sebagai petunjuk dan peringatan bagi orang-orang yang berakal sempurna.
[55]
Dan bersabarlah. Sesungguhnya janji Allah itu adalah benar. Dan pohonkanlah keampunan bagi salah silapmu, dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu pada waktu pagi dan petang.
[56]
Sesungguhnya orang-orang yang mempertikaikan tanda-tanda Tuhanmu tanpa sebarang bukti yang sampai kepada mereka, tidak ada di dalam dada mereka melainkan kebesaran, yang tidak sekali-kali mereka akan capai. Dan pohonkanlah perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia, Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[57]
Demi sesungguhnya, menciptakan langit dan bumi itu lebih besar daripada menciptakan manusia. Akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
[58]
Dan tidaklah sama yang buta dengan yang melihat, dan tidaklah juga orang-orang yang beriman dan berbuat baik dengan orang yang melakukan kejahatan. Sedikit sangat kamu beringat.
[59]
Sesungguhnya Saat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang keraguan padanya. Akan tetapi kebanyakan manusia tidak mahu beriman.
[60]
Dan Tuhan kamu berfirman “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku akan memberikan respon kepada kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong dari menyembah Aku, akan memasuki neraka Jahanam dalam keadaan hina”
[61]
Allah jua yang menjadikan malam untuk kamu supaya kamu berehat padanya, dan menjadikan siang terang-benderang. Sesungguhnya Allah sentiasa melimpah-limpah kurniaNya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.
[62]
Itulah Allah, Tuhan kamu. Yang menciptakan tiap-tiap sesuatu. Tiada Tuhan melainkan Dia. Maka bagaimanakah kamu boleh dipalingkan?
[63]
Demikianlah orang-orang yang mengingkari tanda-tanda Allah dipalingkan.
[64]
Allah jua yang menjadikan bumi sebagai tempat kediaman untuk kamu, dan langit sebagai bumbung. Dan Dia membentuk kamu dan memperelokkan rupa kamu, dan dikurniakan kepada kamu benda-benda yang baik. Itulah Allah Tuhan kamu. Maka nyatalah kelebihan dan kemurahan Allah, Tuhan semesta alam.
[65]
Dialah Yang Tetap Hidup. Tiada Tuhan melainkan Dia. Dan berdoalah dengan mengikhlaskan ibadah kamu kepadaNya. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam.
[66]
Katakanlah “Sesungguhnya aku dilarang menyembah mereka yang kamu sembah selain Allah setelah datang kepadaku bukti-bukti yang jelas daripada Tuhanku. Dan aku pula diperintahkan supaya berserah kepada Tuhan semesta alam”
[67]
Dialah yang menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada air mani, kemudian daripada sebuku darah beku, kemudian Dia mengeluarkan kamu sebagai kanak-kanak. Kemudian membiarkan kamu sehingga kamu mencapai kematangan kamu. Kemudian membiarkan kamu menjadi tua. Dan ada juga di antara kamu yang mati sebelum itu. Dan membiarkan kamu sampai ke masa yang telah ditentukan. Dan supaya kamu memahami.
[68]
Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Dan apabila Dia menetapkan jadinya sesuatu, maka hanyalah Dia berfirman kepadanya “Jadilah!” lalu menjadilah ia.
[69]
Tidakkah engkau melihat terhadap orang-orang yang mempertikai mengenai tanda-tanda Allah, bagaimanakah mereka dapat dipalingkan?
[70]
Iaitu orang-orang yang mendustakan Kitab dan apa yang dibawa oleh Rasul-rasul Kami yang Kami telah utuskan bersamanya. Maka mereka akan mengetahui kelak.
[71]
Ketika belenggu dan rantai dipasangkan pada leher mereka, sambil mereka diseret,
[72]
Ke dalam air panas yang menggelegak. Kemudian mereka dibakar dalam api neraka.
[73]
Dan dikatakan kepada mereka “Manakah yang dahulu kamu sekutukan.
[74]
Yang lain dari Allah?” Mereka menjawab “Mereka telah pergi daripada kami. Dan kami dahulupun sebenarnya tidak pernah menyeru sesuatu pun” Demikianlah Allah menyesatkan orang-orang yang ingkar.
[75]
“Yang demikian kerana kamu dahulu bersuka ria di bumi dengan cara yang tidak baik dan kerana kamu biadab.
[76]
Masukilah pintu-pintu neraka Jahanam dan kekallah di dalamnya. Dan itulah seburuk-buruk tempat bagi orang-orang yang sombong”
[77]
Dan bersabarlah, sesungguhnya janji Allah itu adalah benar. Dan sekiranya Kami perlihatkan kepadamu sebahagian dari apa yang Kami janjikan kepada mereka, atau Kami wafatkanmu, maka kepada Kamilah jua mereka akan dikembalikan.
[78]
Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutuskan beberapa orang Rasul sebelummu. Di antara mereka ada yang Kami ceritakan kisahnya kepadamu, dan ada juga di antaranya yang tidak Kami ceritakan kepada kamu. Dan tidak sepatutnya bagi seseorang Rasul itu bahawa dia membawakan suatu tanda, melainkan dengan izin Allah. Dan apabila datang perintah Allah, setelah diputuskan dengan kebenaran. Maka rugilah orang-orang yang berpegang pada perkara yang salah.
[79]
Allah jua yang menjadikan binatang ternak bagi kamu. Sebahagian di antaranya untuk kamu tunggangi, dan sebahagian lagi kamu makan.
[80]
Dan faedah-faedah lain daripada mereka untuk kamu, dan supaya kamu dapat memenuhi suatu hajat yang ada di dalam dada kamu melalui mereka. Dan di atas mereka, dan di atas kapal-kapal, kamu diangkut.
[81]
Dan Dia memperlihatkan kepada kamu tanda-tandaNya. Maka di antara tanda-tanda Allah yang mana lagikah, yang kamu nafikan?
[82]
Tidakkah mereka telah mengembara di muka bumi, kemudian melihat bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu daripada mereka? Orang-orang itu lebih ramai daripada mereka, dan lebih hebat daripada mereka akan kekuatan dan kesan-kesan (peradaban) di muka bumi. Namun apa yang telah diusahakan oleh orang-orang itu, tidak jua dapat menolongnya sedikitpun.
[83]
Kerana ketika mereka didatangi Rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang jelas, mereka juga bergembira dengan pengetahuan yang ada pada mereka sahaja. Oleh kerana itu, mereka diliputi oleh apa yang mereka ejek-ejekan.
[84]
Dan ketika mereka melihat azab Kami, mereka berkata “Kami beriman kepada Allah semata-mata, dan kami ingkar kepada apa yang kami sekutukan denganNya”
[85]
Tetapi iman mereka itu tatkala melihat azab Kami, tidak berguna lagi bagi mereka. Yang demikian hanyalah menurut Sunnatullah yang telah berlaku juga kepada hamba-hambaNya. Di situlah ruginya orang-orang yang ingkar.