Tuesday 7 August 2012

22. SURAH Al-Hajj

22. SURAH Al-Hajj
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya kegoncangan Saat itu, suatu perkara yang amat besar.
[Kiamat]
[2]
Pada hari kamu melihatnya, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan apa yang disusuinya, dan tiap-tiap perempuan mengandung akan keguguran apa yang dikandungnya. Dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidaklah mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat.
[3]
Dan ada di antara manusia yang membantah berhubungan dengan Allah tanpa ilmu, dan dia pula menuruti tiap-tiap syaitan pemberontak.
[4]
Yang telah ditetapkan kepadanya bahawa sesiapa yang menjadikannya sebagai kawan, maka sesungguhnya dia akan menyesatkannya dan memimpinnya kepada azab neraka.
[5]
Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh keraguan mengenai kebangkitan, maka sesungguhnya Kami, Kami telah menciptakan kamu daripada tanah, kemudian daripada setitis air mani, kemudian daripada sebuku darah beku, kemudian daripada seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan. Agar Kami menunjukkan kepada kamu. Dan Kami menetapkan pula di dalam kandungan rahim itu, apa yang Kami kehendaki hingga ke suatu masa yang ditentukan. Kemudian Kami mengeluarkan kamu sebagai bayi. Bahawa kamu mudah-mudahan sampai ke usia dewasa. Dan ada di antara kamu yang mati, dan ada pula yang dikembalikan ke peringkat usia nyanyuk sehingga dia tidak mengetahui apapun akan sesuatu yang telah diketahuinya. Dan engkau memerhatikan bumi yang tandus, kemudian apabila Kami menurunkan air menimpanya, maka hiduplah ia, dan gembur suburlah ia, dan menumbuhkan berjenis-jenis tumbuhan yang indah.
[6]
Yang demikian itu kerana Allah, Dialah Yang Sebenar-benarnya, dan Dialah yang menghidupkan yang mati, dan Dialah jua Yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[7]
Dan bahawa Saat itu tetap akan datang, tidak ada sebarang keraguan padanya, dan bahawa Allah akan membangkitkan orang-orang yang ada di dalam kubur.
[8]
Dan ada di antara manusia membantah berhubungan dengan Allah tanpa ilmu, dan tidak pula petunjuk, dan tidak mana-mana Kitab yang menerangkan.
[9]
Dia memusingkan lehernya untuk menghalangi dari jalan Allah. Dia akan beroleh kehinaan di dunia, dan Kami akan merasakannya azab yang membakar pada hari kiamat kelak.
[10]
“Ini berpunca daripada perbuatan tanganmu sendiri, dan bahawa Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya”
[11]
Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah di tepian. Kalau dia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengannya. Dan kalau pula dia ditimpa ujian, berbaliklah dia semula. Rugilah dia di dunia dan akhirat, itulah kerugian yang jelas.
[12]
Dia menyeru yang lain dari Allah, apa yang tidak dapat memudaratkannya dan apa yang tidak dapat mendatangkan kebaikan kepadanya. Itulah kesesatan yang jauh.
[13]
Dia menyeru makhluk yang sebenarnya mudaratnya lebih dekat berbanding manfaatnya. Demi sesungguhnya, itulah seburuk-buruk pelindung dan seburuk-buruk sahabat karib.
[14]
Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan berbuat baik ke dalam Taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Sesungguhnya Allah melakukan apa jua yang dikehendakiNya.
[15]
Sesiapa yang menyangka bahawa Allah tidak sekali-kali akan menolong dia (Muhammad) di dalam dunia ini dan di akhirat, maka hendaklah dia merentangkan tali ke langit, kemudian hendaklah dia menjerut dirinya. Namun hendaklah dia melihat, adakah rancangannya itu dapat menghapuskan apa yang menimbulkan kemarahan?
[16]
Dan demikianlah Kami menurunkannya sebagai ayat-ayat yang jelas. Dan bahawa Allah memberikan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya.
[17]
Sesungguhnya orang-orang beriman, orang-orang Yahudi, orang-orang Saabiein, orang-orang Nasrani, orang-orang Majusi, dan orang-orang yang menyekutukan (Allah), sesungguhnya Allah akan menghakimi di antara mereka pada hari kiamat. Sesungguhnya Allah sentiasa Memerhatikan dan Menyaksikan tiap-tiap sesuatu.
[18]
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah, kepada Dialah bersujud segala yang ada di langit dan di bumi, dan matahari, dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang bergerak, dan sebahagian besar dari kalangan manusia? Dan banyak pula berhak ditimpakan azab. Dan sesiapa yang dihinakan oleh Allah, maka dia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa jua yang dikehendakiNya.
[19]
Inilah dua penentang yang membantah berhubungan dengan Tuhan mereka. Maka orang-orang yang kafir akan diguntingkan bagi mereka pakaian dari api, dan akan dicurahkan atas kepala mereka air panas yang menggelegak,
[20]
Yang akan meleburkan dengannya apa yang ada di dalam perut mereka, dan kulit.
[21]
Dan mereka pula disediakan batang-batang besi.
[22]
Tiap-tiap kali mereka hendak keluar daripadanya, dari kesakitan, mereka dikembalikan semula kepadanya “Rasakanlah azab seksa yang membakar!”
[23]
Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman dan berbuat baik ke dalam Taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Mereka dihiaskan di situ dengan gelang-gelang emas dan mutiara, dan pakaian mereka di situ dari sutera.
[24]
Dan mereka diberikan petunjuk kepada mengucapkan kata-kata yang baik, dan diberikan pula petunjuk ke jalan Yang Amat Terpuji.
[25]
Sesungguhnya orang-orang yang kafir, dan menghalangi dari jalan Allah dan Masjid Al-Haraam yang Kami jadikan ia untuk seluruh umat manusia sama ada yang tinggal menetap di situ atau yang datang berziarah. Dan sesiapa yang berazam melakukan sebarang perbuatan terlarang dengan cara yang zalim di dalamnya, Kami akan merasakannya azab yang tidak terperi sakitnya.
[26]
Dan ketika Kami tentukan bagi Ibrahim tempat Kaabah (untuk dibinanya) “Janganlah engkau sekutukan sesuatupun denganKu, dan sucikanlah rumahKu bagi orang-orang yang bertawaf, orang-orang yang berdiri, yang rukuk, dan yang sujud.
[27]
Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan ibadat Haji, nescaya mereka akan datang kepada kamu dengan berjalan kaki, dan dengan menunggang tiap-tiap unta kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh.
[28]
Agar mereka menyaksikan pelbagai manfaat bagi mereka, dan menyebut nama Allah pada hari-hari tertentu disebabkan pengurniaanNya kepada mereka, binatang-binatang ternak. Dengan yang demikian, makanlah kamu daripadanya dan berikanlah makan kepada orang susah, yang fakir lagi miskin.
[29]
Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan menyempurnakan nazar-nazarnya, dan melakukan tawaf di Rumah yang tua sejarahnya itu”
[30]
Demikianlah. Dan sesiapa yang menghormati hukum-hakam Allah, maka ia menjadi kebaikan baginya di sisi Tuhannya. Dan dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, melainkan apa yang dibacakan kepada kamu. Dan jauhilah kekotoran syirik penyembahan berhala, dan jauhilah perkataan dusta,
[31]
Dengan tulus kepada Allah, dan tidak mempersekutukan sesuatu apapun denganNya. Dan sesiapa yang mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Allah, maka seolah-olah dia telah jatuh dari langit lalu disambar burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.
[32]
Demikianlah. Dan sesiapa yang mengagungkan Syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya ia adalah dari kewarakan hati.
[33]
Kamu beroleh berbagai-bagai faedah padanya hingga ke suatu masa tertentu. Kemudian tempat untuk menyembelihnya ialah di Rumah yang tua sejarahnya itu.
[34]
Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan suatu upacara, agar mereka menyebut nama Allah atas segala pengurniaanNya kepada mereka, binatang-binatang ternak. Dan Tuhan kamu semua ialah Tuhan Yang Maha Esa, maka hendaklah kamu berserah kepadaNya. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang tunduk.
[35]
Iaitu orang-orang yang apabila disebutkan nama Allah gerun gementarlah hati mereka, dan orang-orang yang sabar terhadap kesusahan yang menimpa mereka, dan orang-orang yang mendirikan sembahyang, dan mendermakan sebahagian apa yang Kami berikan kepadanya.
[36]
Dan Kami jadikan unta dan lembu sebahagian dari syiar Allah untuk kamu. Padanya terdapat kebaikan. Oleh itu, sebutlah nama Allah ketika ia berdiri dan ketika ia tumbang. Kemudian makanlah daripadanya, dan berikanlah makan kepada orang-orang miskin yang tidak meminta dan orang-orang miskin yang meminta. Demikianlah Kami menundukkan ia untuk kamu supaya kamu bersyukur.
[37]
Daging dan darah mereka itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadaNya adalah kewarakan daripada kamu. Demikianlah Dia menundukkan ia untuk kamu supaya kamu membesarkan Allah untuk apa yang Dia telah membimbing kamu. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.
[38]
Sesungguhnya Allah mempertahankan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang khianat, lagi tidak bersyukur.
[39]
Diizinkan bagi orang-orang yang diperangi, kerana mereka telah dianiaya. Dan sesungguhnya, Allah Amat Berkuasa menolong mereka.
[40]
Iaitu mereka yang diusir dari tempat tinggal mereka tanpa sebarang alasan yang benar, semata-mata kerana mereka berkata “Tuhan kami ialah Allah” Dan kalaulah Allah tidak menyekat sebahagian manusia oleh sebahagian yang lain, nescaya runtuhlah tempat-tempat pertapaan dan gereja-gereja dan tempat-tempat sembahyang, dan juga masjid-masjid yang sentiasa disebut nama Allah sebanyak-banyaknya di dalamnya. Dan sesungguhnya, Allah akan menolong sesiapa yang menolongNya. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa.
[41]
Iaitu mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka akan mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, dan mereka menyuruh berbuat baik dan melarang dari berbuat salah. Dan bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.
[42]
Dan jika mereka mendustakanmu, maka sesungguhnya sebelum mereka, kaum Nuh, Aad, dan Thamud juga telah mendustakan.
[43]
Dan kaum Ibrahim dan kaum Lut.
[44]
Dan penduduk Madyan. Dan Musa juga telah didustakan. Maka Aku berikan tempoh kepada orang-orang yang kafir itu, lalu Aku timpakan mereka dengan azab seksa. Oleh itu, perhatikanlah bagaimana hukumanKu.
[45]
Dan bukan sedikit negeri-negeri yang Kami binasakan dengan sebab kezaliman penduduknya, lalu runtuh ranaplah ia di atas bumbung-bumbung. Dan bukan sedikit pula telaga yang telah terbiar, dan istana yang ternama.
[46]
Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya mereka menjadi orang-orang yang mempunyai hati yang dengannya dapat memahami, atau mempunyai telinga yang dengannya dapat mendengar? Kerana sebenarnya bukanlah mata yang buta, tetapi yang buta itu ialah hati yang ada di dalam dada.
[47]
Dan mereka meminta kepadamu menyegerakan kedatangan azab, padahal Allah tidak sekali-kali akan memungkiri janjiNya. Dan sesungguhnya, satu hari di sisi Tuhanmu adalah seperti seribu tahun dari apa yang kamu hitung.
[48]
Dan bukan sedikit negeri-negeri yang Aku berikan tempoh, sedang penduduknya berlaku zalim. Kemudian Aku menimpakannya azab seksa. Dan kepada Akulah tempat kembali.
[49]
Katakanlah “Wahai sekalian manusia, aku tidak lain hanyalah seorang pemberi amaran yang jelas”
[50]
Maka orang-orang yang beriman dan berbuat baik akan beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia.
[51]
Dan orang-orang yang berusaha menentang untuk membatalkan ayat-ayat Kami, mereka itulah penghuni neraka.
[52]
Dan tidaklah Kami mengutuskan sebelummu seorang Rasul atau seorang Nabi melainkan apabila dia membacakan, syaitan melemparkan terhadap bacaannya itu. Lalu Allah segera menghapuskan apa yang dilemparkan oleh syaitan itu, kemudian Allah menetapkan ayat-ayatNya. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[53]
Kerana Dia hendak menjadikan apa yang dilemparkan oleh syaitan itu sebagai suatu ujian bagi orang-orang yang ada penyakit di dalam hati mereka, dan juga yang hatinya keras membatu. Dan sesungguhnya, mereka yang zalim itu sentiasa berada dalam perpecahan yang jauh.
[54]
Dan supaya orang-orang yang beroleh ilmu mengetahui bahawa ia benar daripada Tuhanmu, lalu mereka beriman kepadanya, dan mudah-mudahan tunduk berserah terhadapnya. Dan sesungguhnya, Allah sentiasa memimpin orang-orang yang beriman ke jalan yang lurus.
[55]
Dan orang-orang yang kafir akan tetap dalam keraguan terhadapnya sehinggalah datang kepada mereka Saat secara mengejut, atau datang kepada mereka azab hari yang gersang.
[56]
Kuasa pemerintahan pada hari itu hanyalah bagi Allah. Dia akan menghakimi di antara mereka. Maka orang-orang yang beriman dan berbuat baik, ditempatkan di dalam Taman yang penuh dengan nikmat.
[57]
Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan ayat-ayat Kami, maka mereka beroleh azab seksa yang menghinakan.
[58]
Dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, kemudian terbunuh atau mati, sudah tentu Allah akan mengurniakan kepada mereka limpah kurnia yang baik. Dan sesungguhnya Allah, Dialah jua sebaik-baik pemberi.
[59]
Sudah tentu Dia akan memasukkan mereka ke tempat yang mereka sukai. Dan sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.
[60]
Demikianlah. Dan sesiapa yang membalas sama seperti yang dilakukan kepadanya, kemudian dia dianiaya lagi, demi sesungguhnya Allah akan menolongnya. Dan sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.
[61]
Yang demikian itu kerana Allah jualah yang memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam. Dan sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Melihat.
[62]
Yang demikian itu kerana Allah, Dialah Yang Sebenar-benarnya, dan bahawa segala yang mereka sembah yang lain daripadaNya, itulah yang salah. Dan Allah, Dialah jua Yang Maha Tinggi, lagi Maha Besar.
[63]
Tidakkah engkau memerhatikan bahawa Allah telah menurunkan air dari langit, lalu menjadilah bumi ini hijau? Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi lemah-lembut, dan Maha Mendalam pengetahuanNya.
[64]
Segala yang ada di langit dan di bumi adalah kepunyaanNya. Dan sesungguhnya Allah, Dialah jua Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
[65]
Tidakkah engkau melihat bahawa Allah telah menundukkan apa yang ada di bumi, dan kapal-kapal belayar di laut dengan perintahNya? Dan Dia menahan langit daripada runtuh menimpa bumi melainkan dengan izinNya. Sesungguhnya Allah Amat melimpah belas kasihanNya dan rahmatNya kepada umat manusia.
[66]
Dan Dialah yang menghidupkan kamu, kemudian Dia mematikan kamu, kemudian Dia menghidupkan kamu kembali. Sesungguhnya manusia sangatlah tidak bersyukur.
[67]
Bagi tiap-tiap umat, Kami adakan satu syariat tertentu untuk mereka jalani, maka janganlah mereka membantahmu dalam urusan itu. Dan ajaklah kepada Tuhanmu, kerana sesungguhnya engkau berada di atas jalan yang lurus.
[68]
Dan jika mereka mengemukakan bantahan kepadamu, maka katakanlah “Allah lebih mengetahui akan apa yang kamu lakukan.
[69]
Allah akan mengadili di antara kamu semua pada hari kiamat, mengenai apa yang kamu berselisihan padanya”
[70]
Bukankah engkau telah mengetahui bahawasanya Allah mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi? Sesungguhnya yang demikian itu telah tertulis di dalam Kitab. Sesungguhnya itu amatlah mudah bagi Allah.
[Lauh Mahfuz]
[71]
Dan mereka menyembah yang lain dari Allah, iaitu apa yang Dia tidak menurunkan sebarang keterangan membenarkannya, dan apa yang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Maka tiadalah bagi orang-orang yang zalim itu sesiapapun yang dapat memberikan pertolongan.
[72]
Dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat Kami yang jelas, engkau akan melihat pada muka orang-orang yang kafir itu, penolakan, hampir-hampir saja mereka hendak menyerang orang-orang yang membacakan ayat-ayat Kami kepada mereka. Katakanlah “Jika demikian, mahukah aku khabarkan kepada kamu yang lebih buruk daripada itu? Iaitu neraka yang telah dijanjikan oleh Allah kepada orang-orang yang kafir, dan itulah seburuk-buruk tempat kembali!”
[73]
Wahai umat manusia, telah diadakan satu contoh perbandingan, maka dengarkanlah mengenainya. Sesungguhnya mereka yang kamu sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat menciptakan seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuknya. Dan sekiranya lalat itu mengambil sesuatu daripada mereka sekalipun, mereka tidak dapat jua mengambilnya semula daripadanya. Sama saja lemahnya yang menyembah dan yang disembah.
[74]
Mereka itu tidak menghormati Allah mengikut penghormatan yang selayaknya. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa, lagi Maha Kuasa.
[75]
Allah memilih utusan-utusan dari kalangan malaikat dan dari kalangan manusia. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[76]
Dia mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka. Dan kepada Allah jualah kembalinya segala urusan.
[77]
Wahai orang-orang beriman, rukuklah dan sujudlah, dan beribadatlah kepada Tuhan kamu, dan berbuat baiklah supaya kamu berjaya.
[78]
Dan berjihadlah untuk Allah dengan jihad keranaNya. Dialah yang memilih kamu. Dan tidak diletakkan ke atas kamu sebarang kesusahan dalam perkara agama, agama ayah kamu Ibrahim. Dia menamakan kamu orang-orang Islam dari dahulu lagi, dan di dalam (Al-Quran) ini, supaya Rasulullah menjadi saksi ke atas kamu, dan supaya kamu pula mudah-mudahan menjadi saksi kepada umat manusia. Oleh itu, dirikanlah sembahyang, dan tunaikanlah zakat, dan berpegang teguhlah kepada Allah! Dialah Pelindung kamu, sebagai sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan.