Tuesday 7 August 2012

23. SURAH Al-Mu'minun

23. SURAH Al-Mu'minun
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman,
[2]
Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.
[3]
Dan mereka yang menjauhkan diri dari perkataan sia-sia.
[4]
Dan mereka yang menunaikan zakat.
[5]
Dan mereka yang menjaga kehormatan dirinya,
[6]
Kecuali kepada isterinya atau apa yang dimiliki oleh tangan kanannya (hamba sahaya), maka sesungguhnya mereka tidak tercela.
[7]
Kemudian sesiapa yang mengingini selain daripada itu, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas.
[8]
Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.
[9]
Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya.
[10]
Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi.
[11]
Yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya.
[12]
Dan sesungguhnya, Kami telah menciptakan manusia daripada pati daripada tanah.
[13]
Kemudian Kami menempatkan ia, air mani di dalam tempat yang kukuh.
[14]
Kemudian Kami ciptakan air mani tersebut, sebuku darah beku. Kemudian Kami ciptakan darah beku tersebut, seketul daging. Kemudian Kami ciptakan pula daging tersebut, beberapa tulang. Kemudian Kami balut tulang-tulang tersebut, daging. Setelah itu Kami bentukkan ia, ciptaan yang lain (sifat keadaannya). Maka nyatalah ketertinggian Allah sebaik-baik Pencipta.
[15]
Kemudian sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati.
[16]
Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat.
[17]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah menciptakan tujuh laluan di atas kamu. Dan Kami tidak sesekali lalai dari ciptaan-ciptaan Kami.
[18]
Dan Kami turunkan air dari langit dengan sukatan, dan Kami tempatkan ia tersimpan di bumi. Dan sesungguhnya, Kami sudah tentu pula berkuasa melenyapkannya.
[19]
Dan Kami tumbuhkan untuk kamu dengannya, kebun-kebun kurma dan anggur, (berserta) buah-buahan yang banyak di dalamnya. Dan daripadanya kamu makan.
[20]
Dan juga pokok yang tumbuh di pergunungan Tursina, yang mengeluarkan minyak dan bahan pembangkit selera bagi orang-orang yang memakannya.
[Zaitun]
[21]
Dan sesungguhnya, pada binatang-binatang ternak itu terdapat suatu pelajaran bagi kamu. Kami berikan kamu minuman dari apa yang terdapat di dalam perutnya, dan kamu beroleh faedah yang banyak padanya. Dan daripadanya juga kamu makan.
[22]
Dan di atasnya, dan di atas kapal-kapal kamu diangkut.
[23]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan Nuh kepada kaumnya lalu berkatalah dia “Wahai kaumku, sembahlah Allah, tidak ada Tuhan bagi kamu selain Dia. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertakwa?”
[24]
Tetapi ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata “Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, dia bertujuan hendak melebihkan dirinya daripada kamu. Dan kalaulah Allah menghendaki tentulah Dia menurunkan malaikat. Kami tidak pernah mendengarkan ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu.
[25]
Dia tidak lain hanyalah seorang lelaki yang menghidap penyakit gila. Oleh itu, tunggulah akan keadaannya hingga ke suatu masa”
[26]
Dia berdoa dengan berkata “Wahai Tuhanku tolonglah daku, kerana mereka mendustakan aku”
[27]
Lalu Kami wahyukan kepadanya “Binalah bahtera di bawah pemerhatian Kami, dan wahyu Kami. Kemudian apabila datang perintah Kami, dan tanur mula memancarkan air, maka masukkanlah ke dalamnya (bahtera) sepasang dari tiap-tiap jenis (jantan dan betina), dan keluargamu kecuali orang yang telah ditetapkan kalimah ke atasnya di antara mereka. Dan janganlah engkau merayu kepadaKu mengenai kaum yang zalim itu. Sesungguhnya mereka akan ditenggelamkan.
[28]
Kemudian apabila engkau dan sesiapa sahaja yang bersamamu telah berada di atas bahtera tersebut, maka katakanlah 'Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan kami dari orang-orang yang zalim.'
[29]
Dan berdoa 'Wahai Tuhanku, turunkanlah daku di tempat turun yang berkat. Dan Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi tempat'”
[30]
Sesungguhnya pada yang demikian terdapat tanda-tanda. Dan sesungguhnya Kami benar-benar menimpakan ujian.
[31]
Kemudian Kami ciptakan sesudah mereka, umat yang lain.
[32]
Dan Kami utuskan juga kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka “Sembahlah Allah, tidak ada Tuhan bagi kamu selain Dia. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertakwa?”
[33]
Dan berkatalah ketua-ketua dari kaumnya yang kafir dan mendustakan pertemuan hari akhirat, dan yang Kami mewahkan mereka dalam kehidupan dunia “Orang ini hanyalah seorang manusia seperti kamu, dia makan dari apa yang kamu makan, dan minum dari apa yang kamu minum.
[34]
Dan jika kamu taati manusia seperti kamu, tentulah kamu dengan berbuat demikian menjadi orang-orang yang rugi.
[35]
Patutkah dia menjanjikan kamu bahawa apabila kamu mati dan menjadi tanah dan tulang, kamu akan dikeluarkan (hidup) semula?
[36]
Jauh, amatlah jauh apa yang dijanjikan kepada kamu itu!
[37]
Tiadalah yang lain selain kehidupan kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup dan tidaklah kita akan dibangkitkan hidup semula.
[38]
Tidaklah dia itu melainkan seorang lelaki yang mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, dan kita tidak seharusnya mempercayainya”
[39]
Dia berdoa dengan berkata “Wahai TuhanKu, tolonglah daku, kerana mereka telah mendustakan aku”
[40]
Dia berfirman “Dalam sedikit masa lagi, mereka akan menjadi orang-orang yang menyesal”
[41]
Akhirnya mereka dibinasakan pekikan yang dahsyat, dan Kami jadikan mereka seperti kotoran daun-daun kering. Maka kebinasaanlah kesudahan bagi kaum yang zalim itu.
[42]
Kemudian Kami ciptakan sesudah mereka, umat-umat yang lain.
[43]
Suatu umat itu tidak akan dapat menyegerakan takdirnya, dan tidak pula dapat mereka melambatkannya.
[44]
Kemudian Kami mengutuskan Rasul-rasul Kami silih berganti. Tiap-tiap kali suatu umat didatangi Rasulnya, mereka mendustakannya. Lalu Kami membuat sebahagian mereka, mengikut sebahagian yang lain. Dan Kami jadikan mereka sebagai cerita-cerita. Maka kebinasaanlah kesudahan bagi orang-orang yang tidak beriman.
[45]
Kemudian Kami mengutuskan Musa berserta saudaranya Harun, membawa tanda-tanda Kami berserta bukti yang nyata,
[46]
Kepada Firaun dan kaumnya. Tetapi mereka menentang dengan sombongnya, dan menjadi kaum yang membesarkan diri.
[47]
Sehingga mereka berkata “Patutkah kita beriman kepada dua orang manusia seperti kita, sedang kaum mereka menjadi orang-orang suruhan kita?”
[48]
Maka mereka mendustakan keduanya, lalu menjadilah mereka sebahagian dari orang-orang yang dibinasakan.
[49]
Dan sesungguhnya, Kami telah berikan Musa Kitab, supaya mereka beroleh petunjuk.
[50]
Dan Kami jadikan anak Maryam (Nabi lsa) berserta ibunya sebagai suatu tanda, dan Kami telah menempatkan mereka di tanah yang tinggi, yang tenteram, berserta mata air yang mengalir.
[51]
Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda baik dan kerjakanlah amal-amal soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.
[52]
Dan sesungguhnya agama kamu ini (Islam), agama yang satu, dan Akulah Tuhan kamu. Maka bertakwalah kamu kepadaKu.
[53]
Tetapi mereka berpecah-belah dalam urusan mereka kepada beberapa pecahan. Tiap-tiap pecahan bergembira dengan apa yang ada pada mereka.
[54]
Maka biarkanlah mereka tenggelam dalam kebingungannya itu hingga ke suatu masa.
[55]
Adakah mereka menyangka bahawa apa yang Kami berikan kepada mereka dari harta benda dan anak-anak itu.
[56]
(Bermaksud) Kami menyegerakan untuk mereka kebaikan? Bahkan mereka tidak sedari.
[57]
Sesungguhnya orang-orang yang sentiasa bimbang disebabkan takut kepada Tuhan mereka.
[58]
Dan orang-orang yang beriman kepada tanda-tanda Tuhan mereka.
[59]
Dan orang-orang yang tidak mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhan mereka.
[60]
Dan orang-orang yang memberikan apa yang mereka berikan sedang hati mereka merasa gementar kerana mereka akan kembali kepada Tuhan mereka.
[61]
Mereka itulah orang-orang yang segera mengerjakan kebaikan, dan merekalah orang-orang yang mendahului dalam mencapainya.
[62]
Dan Kami tidak memberati seseorang itu melainkan apa yang terdaya olehnya. Dan di sisi Kami terdapat sebuah Kitab (suratan amal) yang menyatakan segala-galanya dengan benar, sedang mereka tidak dianiaya.
[63]
Bahkan hati mereka tenggelam dalam kekeliruan daripada ini (Al-Quran). Dan mereka mempunyai juga amal-amal (buruk) selain itu, yang mereka terus-menerus mengerjakannya.
[64]
Sehingga apabila Kami timpakan azab kepada orang-orang yang hidup bermewah-mewah di kalangan mereka, maka dengan serta-merta mereka menjerit-jerit meminta tolong.
[65]
“Janganlah kamu menjerit-jerit meminta tolong pada hari ini, sesungguhnya kamu tidak akan beroleh sebarang pertolongan Kami.
[66]
Sesungguhnya ayat-ayatKu telah berkali-kali dibacakan kepada kamu, dalam pada itu kamu berpaling undur ke belakang.
[67]
Dengan keadaan sombong terhadapnya, dan mencacinya dalam perbualan kamu di malam hari”
[68]
Oleh itu, adakah mereka tidak dapat memahami perkataan? Atau kerana telah datang kepada mereka sesuatu yang tidak pernah datang kepada datuk nenek mereka yang telah lalu?
[69]
Atau kerana mereka tidak kenal rasul mereka, lalu mereka mengingkarinya?
[70]
Atau kerana mereka mengatakan “Dia menghidap penyakit gila?” Bahkan dia telah datang kepada mereka dengan membawa kebenaran, namun kebanyakan mereka tidak suka kepada sebarang kebenaran.
[71]
Dan kalaulah kebenaran itu tunduk menuruti hawa nafsu mereka, nescaya rosak binasalah langit dan bumi dan segala yang ada padanya. Bahkan Kami berikan kepada mereka Peringatan mereka, tetapi mereka terhadap Peringatan mereka, tidak mahu menerimanya.
[72]
Atau adakah engkau meminta kepada mereka suatu bayaran? Tetapi engkau percaya bahawa bayaran Tuhanmu itu adalah lebih baik, dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi.
[73]
Dan sesungguhnya, engkau hanyalah menyeru mereka ke jalan yang lurus.
[74]
Dan sesungguhnya, orang-orang yang tidak beriman kepada hari akhirat, sudah tentu akan terpesong dari jalan tersebut.
[75]
Dan sekiranya Kami menaruh belas kasihan kepada mereka lalu Kami hapuskan kesusahan yang ada pada mereka, nescaya mereka akan tetap meraba-raba dalam kesesatan mereka yang melampaui batas itu.
[76]
Dan sesungguhnya, Kami telah menimpakan mereka dengan azab, dan mereka tidak juga tunduk patuh kepada Tuhan mereka, dan tidak pula merayu dengan merendah diri.
[77]
Sehingga apabila Kami bukakan kepada mereka sebuah pintu yang menyebabkan azab berat, maka dengan serta-merta mereka berputus asa dengan sebabnya.
[78]
Dan Dialah jua yang mengadakan bagi kamu pendengaran, dan penglihatan dan hati, tetapi amatlah sedikit kamu bersyukur.
[79]
Dan Dialah yang mengembang-biakkan kamu di bumi. Dan kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan.
[80]
Dan Dialah yang menghidupkan dan mematikan. Dan Dialah yang menentukan pertukaran malam dan siang. Maka tidakkah kamu mahu berfikir?
[81]
Dan mereka mengatakan seperti yang dikatakan oleh orang-orang terdahulu.
[82]
Kata mereka “Adakah apabila kami telah mati dan kami menjadi tanah dan tulang, adakah kami akan dibangkitkan?
[83]
Demi sesungguhnya, kami juga telah dijanjikan ini, kami dan datuk nenek kami dari dahulu lagi. Ini tidak lain hanyalah cerita dongeng orang-orang dahulu kala”
[84]
Tanyakanlah “Kepunyaan siapakah bumi ini dan segala yang ada padanya, kalaulah kamu mengetahui?”
[85]
Mereka akan menjawab “Kepunyaan Allah” Katakanlah “Mengapa kamu tidak mahu beringat?”
[86]
Tanyakanlah lagi “Siapakah Tuhan langit yang tujuh, dan Tuhan Arasy yang besar?”
[87]
Mereka akan menjawab “Allah” Katakanlah “Mengapa kamu tidak mahu bertakwa?”
[88]
Tanyakanlah lagi “Siapakah yang memegang kuasa pemerintahan tiap-tiap sesuatu, dan Dia dapat melindungi dan tidak ada suatupun yang dapat dilindungi daripadaNya? Sekiranya kamu mengetahui!”
[89]
Mereka akan menjawab “Allah” Katakanlah “Jika demikian, bagaimana kamu boleh terpedaya?”
[90]
Bahkan Kami telah bawakan kepada mereka kebenaran, dan sesungguhnya mereka benar-benar pendusta.
[91]
Allah tidak sekali-kali mengambil anak, dan tidak ada sama sekali sebarang tuhan bersamaNya. (Jika tidak) tentulah tiap-tiap tuhan itu akan mengambil apa yang dia ciptakan, dan tentulah sebahagiannya akan bertindak mengalahkan sebahagian yang lain. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sifatkan itu.
[92]
Yang mengetahui segala yang tersembunyi dan yang nyata. Dan Maha Tinggilah Dia dari apa yang mereka sekutukan.
[93]
Katakanlah “Wahai Tuhanku, seandainya Engkau hendak memperlihatkan kepadaku apa yang dijanjikan kepada mereka,
[94]
Wahai Tuhanku, maka janganlah Engkau tempatkan daku dalam kalangan kaum yang zalim itu”
[95]
Dan sesungguhnya Kami mengenai itu, Kami berkuasa saja memperlihatkan kepadamu apa yang Kami janjikan kepada mereka.
[96]
Tolaklah kejahatan dengan cara sebaik-baiknya. Kami Maha Mengetahui akan apa yang mereka sifatkan.
[97]
Dan katakanlah “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari bisikan syaitan-syaitan.
[98]
Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya mereka tidak menghampiriku”
[99]
Sehingga apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah dia “Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku.
[100]
Agar aku mengerjakan amal-amal soleh dalam apa yang telah aku tinggalkan” Tidak! Sesungguhnya itu hanyalah perkataan yang dia sahaja mengatakannya, dan di hadapan mereka terdapat alam barzakh hingga hari mereka dibangkitkan semula.
[101]
Kemudian apabila ditiupkan sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian di antara mereka, dan tidak pula mereka bertanya-tanyaan.
[102]
Kemudian sesiapa yang berat timbangannya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.
[103]
Dan sesiapa yang ringan timbangannya, maka merekalah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri. Mereka kekal di dalam neraka Jahanam.
[104]
Api neraka itu membakar muka mereka, maka tinggallah mereka di situ dengan muka yang cacat.
[105]
“Bukankah ayat-ayatKu dibacakan kepada kamu, lalu kamu mendustakannya?”
[106]
Mereka menjawab “Wahai Tuhan kami, kami telah dikalahkan oleh kecelakaan kami, dan kami adalah kaum yang sesat.
[107]
Wahai Tuhan kami, keluarkanlah kami daripadanya. Setelah itu, sekiranya kami kembali lagi, maka sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim”
[108]
Dia berfirman “Tinggal hinalah kamu di dalamnya, dan janganlah berkata-kata kepadaKu!
[109]
Sesungguhnya terdapat satu puak dari kalangan hamba-hambaKu yang memohon kepadaKu dengan berkata 'Wahai Tuhan kami, kami telah beriman. Oleh itu, ampunilah kami dan berikanlah rahmat kepada kami, dan sememangnya Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi rahmat.'
[110]
Lalu kamu jadikan mereka ejek-ejekan sehingga mereka menyebabkan kamu lupa mengingatiKu, dan kamu pula sentiasa mentertawakan mereka.
[111]
Sesungguhnya Aku membalas mereka pada hari ini disebabkan kesabaran mereka. Sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang berjaya”
[112]
Dia bertanya lagi “Berapa tahun lamanya kamu tinggal di bumi?”
[113]
Mereka menjawab “Kami tinggal selama sehari atau sebahagian dari sehari. Maka bertanyalah kepada golongan yang menjaga urusan menghitung”
[114]
Dia berfirman “Kamu tidak tinggal melainkan sedikit (masa) sahaja, kalaulah kamu menyedari.
[115]
Dan adakah patut kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu saja-saja, dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?”
[116]
Maka Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar. Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia.
[117]
Dan sesiapa yang menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah, tanpa sebarang bukti mengenainya, maka sesungguhnya hitungannya di sisi Tuhannya. Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya.
[118]
Dan berdoalah “Wahai Tuhanku, berikanlah keampunan dan kurniaan rahmat, dan sememangnya Engkaulah sahaja sebaik-baik Pemberi rahmat!”