Thursday 9 August 2012

30. SURAH Ar-Rum

30. SURAH Ar-Rum
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Alif, Laam, Miim.
[2]
Orang-orang Rom telah dikalahkan.
[3]
Di tanah terendah. Dan mereka sesudah kekalahan mereka akan mengatasi.
[4]
Dalam masa beberapa tahun. Bagi Allah jualah segala Perintah, sebelum dan sesudah. Dan pada hari tersebut, bergembiralah orang-orang yang beriman.
[5]
Dengan pertolongan Allah, Dia memberikan pertolongan kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Dialah jua yang Maha Kuasa, lagi Maha Penyayang.
[6]
Demikian janji Allah. Allah tidak pernah memungkiri janjiNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
[7]
Mereka hanya mengetahui perkara yang zahir dari kehidupan dunia sahaja, dan mereka tidak pula mahu mengambil tahu akan hari akhirat.
[8]
Tidakkah mereka berfikir dalam diri mereka, bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya itu melainkan dengan kebenaran, dan dengan satu tempoh yang telah ditentukan? Dan sesungguhnya banyak di kalangan manusia, orang-orang yang sangat ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya.
[9]
Tidakkah mereka telah mengembara di muka bumi, kemudian memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang terdahulu daripada mereka? Orang-orang itu lebih hebat kekuatannya daripada mereka, dan orang-orang itu juga telah meneroka bumi dan memakmurkannya lebih daripada kemakmuran yang dilakukan oleh mereka. Dan orang-orang itu juga telah didatangi Rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang jelas. Dengan demikian, maka Allah tidak sekali-kali menzalimi mereka, tetapi merekalah yang menzalimi diri sendiri.
[10]
Sesudah dibinasakan, maka akibat orang-orang yang melakukan kejahatan itu adalah seburuk-buruk azab, disebabkan mereka mendustakan tanda-tanda Allah dan mereka sentiasa mempersendakan.
[11]
Allah yang memulakan penciptaan, kemudian Dia mengulanginya, kemudian kepadaNyalah kamu akan dikembalikan.
[12]
Dan semasa berlakunya Saat, orang-orang yang berdosa akan berputus asa.
[Kiamat]
[13]
Dan sekutu-sekutu mereka tidak ada satupun daripadanya adalah pemberi syafaat kepada mereka, dan mereka pula akan berlaku kufur kepada sekutu-sekutu mereka itu.
[14]
Dan semasa berlakunya Saat, mereka pada hari itu akan berpecah-pecah.
[15]
Adapun orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh, maka mereka akan ditempatkan di dalam Taman sambil bersuka ria.
[16]
Dan sebaliknya orang-orang kafir yang mendustakan tanda-tanda Kami dan pertemuan hari akhirat, maka mereka akan tetap di dalam azab seksa.
[17]
Oleh itu, bertasbihlah kepada Allah semasa kamu berada pada petang hari dan semasa kamu berada pada subuh hari.
[18]
Dan bagiNyalah segala puji di langit dan di bumi, di malam dan di masa kamu berada pada tengah hari.
[19]
Dia mengeluarkan yang hidup daripada yang mati, dan mengeluarkan yang mati daripada yang hidup, dan menghidupkan bumi sesudah matinya, dan seperti itulah juga kamu akan dikeluarkan.
[20]
Dan di antara tanda-tandaNya adalah, Dia menciptakan kamu daripada tanah, kemudian tidak semena-menanya kamu menjadi manusia yang hidup bertebaran.
[21]
Dan di antara tanda-tandaNya adalah, Dia menciptakan untuk kamu, isteri-isteri daripada kamu sendiri, supaya kamu mudah-mudahan menemui ketenangan padanya. Dan dijadikanNya di antara kamu perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya pada yang demikian itu mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir.
[22]
Dan di antara tanda-tandaNya adalah kejadian langit dan bumi, dan kepelbagaian bahasa kamu dan warna (kulit) kamu. Sesungguhnya pada yang demikian mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang berpengetahuan.
[23]
Dan di antara tanda-tandaNya adalah tidurnya kamu pada waktu malam. Dan pada siang hari pula, kamu mencari (rezeki) dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya pada yang demikian mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang mendengar.
[24]
Dan di antara tanda-tandaNya, Dia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan dan memberi harapan. Dan Dia menurunkan air dari langit, dan menghidupkan bumi sesudah matinya dengannya. Sesungguhnya pada yang demikian mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang mengerti.
[25]
Dan di antara tanda-tandaNya adalah, berdirinya langit dan bumi dengan PerintahNya. Akhirnya apabila Dia menyeru kamu dengan satu seruan dari bumi, seketika itu kamu keluar.
[26]
Dan apa sahaja yang ada di langit dan di bumi adalah hak kepunyaanNya, semuanya tunduk kepadaNya.
[27]
Dan Dialah yang memulakan penciptaan, kemudian Dia mengulanginya, sedang itu amatlah mudah bagiNya. Dan bagiNyalah jua sifat tertinggi di langit dan di bumi, dan Dialah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[28]
Dia mengemukakan kepada kamu satu contoh perbandingan daripada diri kamu sendiri, iaitu relakah kamu menerima sebahagian dari hamba-hamba abdi yang kamu miliki itu menjadi rakan kongsi kamu pada apa yang Kami telah kurniakan kepada kamu, supaya kamu padanya adalah sama, sehingga kamu menjadi tidak berani kepada mereka, sebagaimana kamu tidak berani kepada diri kamu sendiri? Demikianlah Kami menjelaskan keterangan-keterangan satu persatu bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahami.
[29]
Bahkan orang-orang yang zalim itu menuruti hawa nafsu mereka tanpa ilmu. Maka tiadalah sesiapapun yang dapat memberikan petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah, dan tiada pula bagi mereka sesiapapun yang dapat membantu.
[30]
Dan hadapkanlah dirimu ke arah agama yang lurus, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia untuk menerimanya. Tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu. Itulah agama yang benar, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.
[31]
Bertaubatlah kepadaNya, dan bertakwalah kepadaNya, dan dirikanlah sembahyang dengan sempurna. Dan janganlah menjadi dari orang-orang yang menyekutukan (Allah).
[32]
Iaitu orang-orang yang menjadikan fahaman agama mereka terbahagi, dan menjadi berpuak-puak. Tiap-tiap puak merasa bangga dengan apa yang ada padanya.
[33]
Dan apabila manusia disentuh suatu kepayahan, mereka segera berdoa kepada Tuhan mereka dengan keadaan bertaubat kepadaNya. Dan apabila Dia memberikan mereka merasai suatu rahmat daripadaNya, tiba-tiba sebahagian dari mereka mempersekutukan sesuatu yang lain dengan Tuhannya.
[34]
Maka mereka mengingkari apa yang telah Kami berikan kepadanya. Oleh itu “Bersenang-senanglah, kelak kamu akan mengetahui”
[35]
Pernahkah Kami menurunkan kepada mereka sebarang keterangan, lalu ia menyuruh kepada apa yang mereka telah sekutukan denganNya itu?
[36]
Dan apabila Kami berikan manusia merasai suatu rahmat, mereka bergembira dengannya. Dan apabila mereka ditimpa suatu musibah disebabkan apa yang telah dilakukan oleh tangan mereka sendiri, tiba-tiba mereka berputus asa.
[37]
Dan mengapa mereka tidak memerhatikan bahawa Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan menyempitkan? Sesungguhnya pada yang demikian itu mengandungi tanda-tanda bagi orang-orang yang beriman.
[38]
Dan berikanlah kepada keluargamu, orang miskin, dan orang musafir akan hak masing-masing. Yang demikian adalah baik bagi orang-orang yang mengharapkan Wajah Allah (keredhaan), dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.
[39]
Dan suatu riba yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam harta manusia, maka ia tidak sekali-kali akan berkembang di sisi Allah. Dan sebaliknya suatu pemberian sedekah yang kamu berikan dengan tujuan mengharapkan Wajah Allah semata-mata, maka mereka itu akan beroleh berlipat kali ganda.
[40]
Allah jua yang menciptakan kamu. Kemudian Dia menyediakan bagi kamu. Sesudah itu Dia mematikan kamu. Kemudian Dia menghidupkan kamu semula. Adakah di antara sekutu-sekutu kamu itu sesiapa yang dapat berbuat salah satu daripada itu? Maha Suci Allah dan Tertinggilah Dia dari apa yang mereka sekutukan.
[41]
Telah timbul berbagai kerosakan di darat dan di laut disebabkan tangan-tangan manusia, kerana Dia hendak merasakan mereka sebahagian dari apa yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali.
[42]
Katakanlah “Mengembaralah kamu di muka bumi, kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu. Kebanyakan mereka adalah orang-orang yang menyekutukan (Allah)”
[43]
Dan hadapkanlah dirimu ke arah agama yang benar, sebelum datang daripada Allah, hari yang tidak dapat ditolak. Pada hari itu mereka akan berpecah-pecah.
[44]
Sesiapa yang kufur, maka terhadapnyalah kekufurannya itu, dan sesiapa yang beramal soleh, maka mereka itu membuat persiapan untuk diri mereka sendiri.
[45]
Bahawa Dia akan membalas orang-orang yang beriman dan berbuat baik dari limpah kurniaNya. Sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang-orang yang ingkar.
[46]
Dan di antara tanda-tandaNya adalah, Dia menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan supaya kamu merasai sebahagian dari rahmatNya, dan supaya kapal-kapal belayar dengan perintahNya, dan juga supaya kamu dapat mencari (rezeki) dari limpah kurniaNya, dan supaya kamu bersyukur.
[47]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan sebelummu Rasul-rasul kepada kaum masing-masing, dan mereka juga telah membawakan kepada mereka bukti-bukti yang jelas. Kemudian Kami seksa orang-orang yang berlaku zalim, dan sememangnya menjadi tanggungjawab Kami menolong orang-orang yang beriman.
[48]
Allah jualah yang menghantarkan angin, lalu ia menggerakkan awan. Kemudian Dia menyebarkannya di langit sebagaimana yang dikehendakiNya, dan dijadikanNya bergumpal-gumpal. Dan engkau akan melihat hujan keluar dari celah-celahnya. Dan apabila Dia menurunkannya menimpa sesiapa yang dikehendakiNya dari kalangan hamba-hambanya, mereka dengan serta-merta riang gembira.
[49]
Padahal mereka dahulu sebelum ia diturunkan kepada mereka, adalah dalam keadaan berputus asa.
[50]
Dan perhatikanlah olehmu akan kesan-kesan rahmat Allah, sebagaimana Dia menghidupkan bumi sesudah matinya. Sesungguhnya Dia akan menghidupkan orang-orang yang telah mati. Dan Dia maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[51]
Dan jika Kami menghantarkan angin, kemudian mereka melihatnya (tanaman) menjadi kuning kekeringan, nescaya mereka sesudah itu akan terus kembali kufur.
[52]
Dan sesungguhnya, engkau tidak mungkin dapat menjadikan orang-orang yang mati itu mendengar, dan tidak pula dapat menjadikan orang-orang yang pekak itu mendengar seruan, apabila mereka berpaling undur.
[53]
Dan engkau tidak akan dapat memberikan petunjuk kepada orang-orang yang buta dari kesesatan mereka. Engkau juga tidak dapat memperdengarkan melainkan kepada orang-orang yang beriman akan ayat-ayat keterangan Kami, kerana mereka itu adalah orang-orang yang berserah.
[54]
Allah jua yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas keadaan lemah itu, keadaan kuat. Setelah keadaan kuat itu, keadaan lemah (tua beruban). Dia menciptakan apa jua yang dikehendakiNya, dan Dialah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.
[55]
Dan semasa berlakunya Saat, orang-orang yang berdosa akan bersumpah mengatakan bahawa mereka tidak tinggal melainkan sekadar satu saat sahaja. Demikianlah mereka sentiasa dipalingkan.
[56]
Dan berkatalah pula orang-orang yang berilmu dan beriman “Demi sesungguhnya, kamu telah tinggal menurut ketetapan Allah hingga ke hari kebangkitan. Dan inilah hari kebangkitan itu, akan tetapi kamu tidak mahu mengetahui”
[57]
Dan pada hari itu, tidak bermanfaat lagi bagi orang-orang yang zalim, sebarang alasan, dan mereka pula tidak diberikan peluang untuk memohon keredhaan.
[58]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mengemukakan kepada umat manusia berbagai contoh-contoh di dalam Al-Quran ini. Dan jika engkau bawakan kepada mereka suatu tanda, sudah tentu orang-orang yang kafir itu akan berkata “Kamu ini tidak lain hanyalah orang-orang yang membuat dakwaan palsu”
[59]
Demikianlah Allah mengunci hati orang-orang yang tidak mengetahui.
[60]
Dan bersabarlah, sesungguhnya janji Allah itu benar. Dan janganlah orang-orang yang tidak tentu imannya itu menjadikan engkau resah gelisah.