Tuesday 7 August 2012

18. SURAH Al-Kahf

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Segala puji bagi Allah yang telah menurunkan kepada hambaNya, Kitab. Dan tidak menjadikan padanya sesuatu yang bengkok.
[2]
Sebagai bimbingan lurus yang memberikan amaran akan azab seberat-beratnya dari sisiNya, dan memberikan berita gembira kepada orang-orang beriman yang mengerjakan amal-amal soleh, bahawa mereka akan beroleh balasan yang baik.
[3]
Kekal di dalamnya selama-lamanya.
[4]
Dan juga untuk memberikan amaran kepada orang-orang yang berkata “Allah mengambil anak”
[5]
Mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan pun mengenainya, dan tidak pula bagi datuk nenek mereka. Besar sungguh perkataan yang keluar dari mulut mereka. Mereka hanyalah mengatakan perkara yang dusta.
[6]
Dan boleh jadi engkau akan membunuh dirimu di atas jejak tapak kaki mereka, menanggung sedih, sekiranya mereka enggan beriman kepada keterangan ini.
[7]
Sesungguhnya Kami, Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi itu sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji siapakah di antara mereka yang lebih baik amalannya.
[8]
Dan sesungguhnya, Kami akan jadikan apa yang ada di atasnya sebagai tanah yang tandus.
[9]
Adakah engkau menyangka, bahawa kisah Ashaabul Kahfi dan Ar-Raqiim itu adalah sesuatu yang menakjubkan di antara tanda-tanda Kami?
[10]
Ketika serombongan orang-orang muda berundur ke gua, dan mereka berdoa “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisiMu, dan sempurnakanlah bagi kami petunjuk lurus dalam urusan kami”
[11]
Lalu Kami tutup pendengaran mereka di dalam gua berkenaan, bertahun-tahun yang banyak bilangannya.
[Menidurkan mereka]
[12]
Kemudian Kami bangunkan mereka, untuk Kami buktikan siapakah dari dua golongan di antara mereka yang lebih tepat kiraannya mengenai lamanya masa mereka tinggal.
[13]
Kami ceritakan kepadamu perihal mereka dengan kebenaran. Sesungguhnya mereka itu adalah orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahkan lagi mereka dengan petunjuk.
[14]
Dan Kami kuatkan hati mereka semasa mereka berdiri dengan berkata “Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi. Kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripadaNya. (Jika tidak) tentulah kami mengatakan sesuatu yang dahsyat”
[Berdiri di hadapan Raja Dikyanus yang zalim]
[15]
(Mereka berkata sesama sendiri) “Kaum kita telah mengambil beberapa tuhan yang lain dari Allah. Sepatutnya mereka mengemukakan keterangan nyata yang membenarkannya? Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan pendustaan terhadap Allah.
[16]
Dan oleh kerana kamu telah beredar daripada mereka dan dari apa yang mereka sembah yang lain dari Allah, maka berundurlah ke gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan rahmatNya kepada kamu, dan memudahkan bagi kamu urusan kamu”
[17]
Dan engkau akan melihat matahari ketika terbit, cenderung ke arah kanan gua mereka. Dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka ke arah kiri, sedang mereka berada di suatu lapangan di dalamnya. Yang demikian adalah dari tanda-tanda Allah. Sesiapa yang diberikan petunjuk oleh Allah, maka dialah yang berada dalam petunjuk. Dan sesiapa yang disesatkanNya, maka engkau tidak sekali-kali akan beroleh sebarang penolongpun yang dapat memberikan petunjuk kepadanya.
[18]
Dan engkau akan menyangka mereka sedar, padahal mereka tidur, dan Kami membolak-balikkan mereka ke sebelah kanan dan ke sebelah kiri. Sedang anjing mereka menghulurkan kedua kaki hadapannya berhampiran pintu gua. Jika engkau melihat mereka, tentulah engkau akan berpaling daripada mereka, dan tentulah engkau akan merasa sepenuh-penuh ketakutan kepada mereka.
[19]
Dan demikianlah Kami bangunkan mereka, supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya “Berapa lama kamu tinggal?” (sebahagian dari) mereka menjawab “Kita telah tinggal selama sehari atau sebahagian dari sehari” (Sebahagian lagi) mereka berkata “Tuhan kamu lebih mengetahui mengenai lamanya kamu tinggal. Sekarang utuskanlah salah seorang dari kamu dengan membawa wang perak kamu ini ke bandar. Kemudian biarkanlah dia mencari dan memilih mana-mana jenis makanan yang baik lagi halal. Kemudian hendaklah dia bawakan untuk kamu sedikit habuan daripadanya. Dan hendaklah dia berwaspada. Dan janganlah biarkan sesiapapun menyedari akan hal kamu.
[20]
Sesungguhnya jika mereka mengetahui akan hal kamu, tentulah mereka akan merejam kamu, atau mengembalikan kamu kepada agama mereka. Dan jika berlaku demikian, kamu tidak sekali-kali akan berjaya selama-lamanya”
[21]
Dan demikianlah Kami jadikan mereka diketahui (umum) supaya mereka (orang ramai) mengetahui bahawa janji Allah itu adalah benar, dan bahawa Saat (Kiamat) tidak ada sebarang keraguan padanya, tatkala mereka berselisihan sesama sendiri mengenai urusan mereka. Kemudian (sebahagian dari manusia) mereka berkata “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua) mereka, Tuhan mereka jualah yang lebih mengetahui akan mereka” Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak raja) berkata pula “Sesungguhnya kami akan membina rumah peribatan di sisi (gua) mereka”
[22]
(Sebahagian) mereka akan berkata “(Bilangan Ashaabul Kahfi itu) tiga orang, yang keempatnya ialah anjing mereka” Dan sebahagian pula berkata “Lima orang, yang keenamnya ialah anjing mereka” Secara meneka-neka apa yang tidak terlihat. Dan sebahagian yang lain berkata “Tujuh orang, dan yang kelapan ialah anjing mereka” Katakanlah “Tuhanku lebih mengetahui akan bilangan mereka, tiada yang mengetahui bilangannya melainkan sedikit” Dan janganlah engkau berbahas dengan sesiapapun mengenai mereka melainkan dengan bahasan yang terang, dan jangan pula meminta penjelasan mengenai mereka kepada sesiapapun di kalangan mereka.
[23]
Dan janganlah berkata mengenai sesuatu “Bahawa aku akan melakukan yang demikian itu, esok”
[24]
Melainkan InsyaAllah. Dan ingatlah akan Tuhanmu sekiranya engkau lupa. Dan katakanlah “Mudah-mudahan Tuhanku akan memberikanku petunjuk yang lebih dekat kepada kebenaran daripada ini”
[25]
Dan mereka telah tinggal di dalam gua mereka, tiga ratus tahun, dan tambah sembilan.
[26]
Katakanlah “Allah jua yang lebih mengetahui mengenai (masa) mereka tinggal. BagiNyalah segala rahsia langit dan bumi. Terang sungguh penglihatanNya! Dan terang sungguh pendengaranNya. Tidak ada bagi mereka pelindung selain Dia, dan Dia pula tidak menjadikan sesiapapun untuk masuk campur dalam PerintahNya”
[27]
Dan bacalah apa yang diwahyukan kepadamu dari kitab Tuhanmu. Tiada sesiapapun yang dapat mengubah kalimah-kalimahNya. Dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat tempat berlindung selain daripadaNya.
[28]
Dan jadikanlah dirimu bersabar terhadap orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pagi dan petang, yang mengharapkan WajahNya (keredhaan) semata-mata. Dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana mahukan kesenangan hidup di dunia. Dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami jadikan hatinya lalai dari mengingati Kami, dan dia pula menuruti hawa nafsunya, dan urusannya melampaui batas.
[29]
Dan katakanlah “Kebenaran itu adalah daripada Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu, biarkanlah dia beriman. Dan sesiapa yang mahu, biarkanlah dia mengingkarinya” Sesungguhnya Kami telah menyediakan untuk orang-orang yang berlaku zalim api neraka, yang mereka akan diselubungi dinding-dindingnya. Dan sekiranya mereka meminta diberikan kelegaan, mereka akan diberikan kelegaan dengan air seakan-akan tembaga cair yang membakar muka. Amatlah buruk minuman tersebut, dan amatlah buruk tempat bersenang-lenang tersebut.
[30]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berbuat baik, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang melakukan amal baik.
[31]
Mereka itu, disediakan baginya syurga ‘Adn, yang mengalir di bawah mereka beberapa sungai. Mereka dihiasi di dalamnya dengan gelang-gelang tangan emas, dan memakai pakaian hijau dari sutera nipis dan tebal yang bersulam, sambil berbaring di dalamnya di atas singgahsana yang indah. Demikianlah balasan yang sebaik-baiknya dan demikianlah tempat berehat yang semolek-moleknya.
[32]
Dan berikanlah kepada mereka satu contoh perbandingan dua orang lelaki. Kami adakan bagi salah seorang di antaranya, dua kebun anggur. Dan Kami kelilingi pula ia dengan pohon-pohon kurma, dan Kami jadikan di antara keduanya itu, tanaman-tanaman lain.
[33]
Tiap satu dari kedua kebun tersebut mengeluarkan hasilnya, dan tidak dianiaya sedikitpun padanya. Dan Kami alirkan juga di antara keduanya sebatang sungai.
[34]
Dan untuknyalah sahaja buah-buahan tersebut. Lalu berkatalah dia kepada rakannya, semasa dia berbincang dengannya “Aku lebih banyak harta benda daripadamu, dan lebih berpengaruh dengan pengikut-pengikutku yang ramai”
[35]
Dan dia masuk ke dalam kebunnya, sedang dia berlaku zalim kepada dirinya sendiri, sambil dia berkata “Aku tidak fikir, semua ini akan binasa selama-lamanya.
[36]
Dan aku tidak fikir, Saat itu akan berlaku. Dan kalaulah aku dikembalikan kepada Tuhanku, tentulah aku akan mendapat tempat kembali yang lebih baik daripada ini”
[37]
Berkatalah rakan kepadanya, semasa dia berbincang dengannya “Patutkah engkau kufur kepada Yang menciptakan engkau daripada tanah, kemudian daripada setitis air mani, kemudian Dia membentukmu sebagai seorang lelaki?
[38]
Sesungguhnya Dialah Allah, Tuhanku, dan aku tidak sekutukan sesuatu apapun dengan Tuhanku.
[39]
Dan mengapa engkau tidak, semasa masuk ke kebunmu berkata “Apa sahaja yang dikehendaki oleh Allah, tiadalah kekuatan melainkan bersama Allah? Sekiranya engkau memandangku kurang berbanding kamu dalam perkara harta benda dan keturunan,
[40]
Maka mudah-mudahan Tuhanku akan mengurniakan daku yang lebih baik daripada kebunmu ini, dan akan menimpakan bala bencana dari langit sehingga menjadilah ia tanah yang licin.
[41]
Atau air kebun itu kering ditelan bumi. Dan dengan yang demikian, engkau tidak akan dapat mencarinya lagi”
[42]
Dan segala tanamannya diselubungi (bencana), lalu menjadilah dia memusing-musing kedua belah tangannya (menyesal) pada apa yang telah dibelanjakannya di dalamnya, sedang ia roboh bersama para-paranya, dan dia berkata “Alangkah baiknya sekiranya aku tidak menyekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!”
[43]
Dan dia tidak mendapat sebarang golongan pun yang dapat menolongnya, selain Allah. Dan tiada sokongan.
[44]
Pada saat yang sedemikian itulah, kekuasaan memberikan pertolongan hanyalah bagi Allah, Yang benar. Dialah sebaik-baik Pemberi pahala, dan sebaik-baik Pemberi kesudahan.
[45]
Dan kemukakanlah kepada mereka contoh perbandingan. Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur-aduklah dengannya tanaman di bumi antara satu dengan yang lain. Kemudian menjadi kering hancur ditiup angin. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[46]
Harta benda dan anak-anak itu adalah perhiasan dunia. Dan amal-amal soleh yang kekal itu, itulah yang lebih baik di sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik pula sebagai asas yang memberi harapan.
[47]
Dan hari Kami gerakkan gunung-ganang, dan engkau akan melihat muka bumi terdedah nyata. Dan Kami himpunkan mereka sehingga Kami tidak meninggalkan seorangpun dari mereka.
[48]
Dan mereka tetap akan dibawa menghadap Tuhanmu secara berbaris teratur “Kamu kini telah datang kepada Kami, sebagaimana Kami telah jadikan kamu pada mulanya. Sesungguhnya kamu dahulu mendakwa, bahawa Kami tidak akan menjadikan bagi kamu masa yang ditentukan ini”
[49]
Dan Kitab-kitab Amal tetap akan dibentangkan, dan engkau akan melihat orang-orang yang berdosa merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya. Dan mereka akan berkata “Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini sedemikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau yang besar, melainkan semua dihitungnya!” Dan mereka telah mendapati segala yang mereka kerjakan sedia tertunjuk. Dan Tuhanmu tidaklah berlaku zalim terhadap seorangpun.
[50]
Dan ketika Kami berfirman kepada malaikat “Bersujudlah kamu kepada Adam” Lalu bersujudlah mereka melainkan Iblis yang berasal dari golongan jin. Maka dia menderhakai perintah Tuhannya. Oleh itu, patutkah kamu berkehendakkan pula menjadikan Iblis berserta keturunannya itu sebagai pelindung selain daripadaKu? Sedang mereka adalah musuh bagi kamu. Amatlah buruk bagi orang-orang yang zalim itu, penggantian tersebut.
[51]
Aku tidak menjadikan mereka saksi dalam penciptaan langit dan bumi, dan tidak juga dalam penciptaan diri mereka sendiri. Dan tidak sepatutnya Aku mengambil makhluk-makhluk yang menyesatkan itu sebagai pembantu.
[52]
Dan hari Dia berfirman “Panggillah sekutu-sekutuKu yang kamu dakwakan itu” Lalu mereka memanggilnya, tetapi mereka (sekutu) tidak menyahut seruan mereka. Dan Kami jadikan di antara mereka penghalang.
[53]
Dan orang-orang yang berdosa itu tetap akan melihat neraka, maka yakinlah mereka, bahawa mereka akan jatuh ke dalamnya, dan mereka tidak akan mendapati sebarang jalanpun bagi melepaskan diri daripadanya.
[54]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah huraikan dengan berbagai-bagai cara di dalam Al-Quran ini bagi umat manusia, dari segala jenis contoh perbandingan. Dan sememangnya manusia itu, sejenis makhluk yang banyak sekali bantahannya.
[55]
Dan tiadalah yang menghalangi manusia dari beriman ketika datang petunjuk kepada mereka, dan mereka memohon keampunan Tuhan mereka, melainkan datang kepada mereka jalan orang-orang yang terdahulu, atau datang kepada mereka azab yang dilihat.
[56]
Dan tidaklah Kami mengutuskan Rasul-rasul, melainkan sebagai pemberi berita gembira dan pemberi amaran. Dan orang-orang kafir membantah dengan kesalahan bagi menghapuskan kebenaran dengannya. Dan mereka jadikan ayat-ayatKu, dan amaran yang diberikan kepada mereka sebagai ejek-ejekan.
[57]
Dan tiadalah yang lebih zalim daripada orang yang diberikan peringatan dengan ayat-ayat Tuhannya, kemudian dia berpaling daripadanya dan lupa pula akan apa yang telah dilakukan oleh kedua tangannya. Sesungguhnya Kami telah jadikan tutupan berlapis-lapis atas hati mereka, menghalangi mereka dari memahami, dan pada telinga mereka penyumbat. Oleh itu, jika engkau menyeru mereka kepada petunjuk, maka dengan keadaan yang demikian itu, mereka tidak sekali-kali akan beroleh petunjuk selama-lamanya.
[58]
Dan Tuhanmu Maha Pengampun, lagi melimpah-limpah rahmatNya. Jika Dia hendak menyeksa mereka disebabkan apa yang mereka telah usahakan, tentulah Dia menyegerakan azab tersebut untuk mereka. Tetapi bagi mereka ada waktu tertentu yang mereka tidak sekali-kali akan mendapat sebarang tempat berlindung daripadanya.
[59]
Dan (penduduk) negeri-negeri, Kami telah binasakan mereka ketika mereka melakukan kezaliman, dan Kami juga telah tetapkan satu waktu tertentu bagi kebinasaan mereka.
[60]
Dan ketika Musa berkata kepada temannya “Aku hanya akan berhenti sehinggalah aku sampai di tempat pertemuan dua laut itu atau aku akan terus (berjalan) bertahun-tahun lamanya”
[61]
Kemudian apabila mereka berdua sampai ke tempat pertemuan di antara keduanya itu, mereka lalai akan ikan mereka, lalu ia melompat menempuh jalannya ke laut.
[62]
Setelah mereka berjalan lebih jauh, berkatalah dia kepada temannya “Bawakanlah makanan kita. Sesungguhnya kita telah merasa letih dalam perjalanan kita ini”
[63]
Dia (teman) berkata “Tidakkah engkau melihat ketika kita sedang berehat di batu besar tadi? Dan sesungguhnya aku terlupa akan hal ikan tersebut. Dan tiadalah yang menyebabkan aku terlupa mengenainya untuk menyebutkannya melainkan syaitan. Dan ia telah melompat menempuh jalannya ke laut dengan cara yang aneh sekali”
[64]
Dia (Nabi Musa) berkata “Itulah yang kita kehendaki” Mereka kembali semula ke situ dengan menuruti jejak mereka.
[65]
Lalu mereka mendapati seorang dari hamba-hamba Kami yang telah Kami kurniakan kepadanya rahmat daripada Kami, dan Kami telah mengajarinya ilmu dari sisi Kami.
[66]
Musa berkata kepadanya “Bolehkah aku mengikutmu, dengan syarat engkau mengajar aku dari apa yang telah diajarkan kepadamu, petunjuk yang benar?”
[67]
Dia menjawab “Sesungguhnya engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku.
[68]
Dan bagaimanakah engkau dapat bersabar terhadap apa yang engkau belum lagi mempunyai pengetahuan mengenainya?”
[69]
Dia berkata “Engkau akan mendapati aku, InsyaaAllah orang yang sabar. Dan aku tidak akan membantah sebarang perintahmu”
[70]
Dia menjawab “Sekiranya engkau mengikutku, maka janganlah engkau bertanyakan kepadaku akan sesuatupun sehinggalah aku sendiri menerangkannya kepadamu”
[71]
Kemudian berjalanlah keduanya sehingga apabila mereka menaiki sebuah perahu, dia (Khidir) membocorkannya. Dia berkata “Patutkah engkau membocorkannya untuk menenggelamkan orang-orangnya? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan yang besar”
[72]
Dia menjawab “Bukankah aku telah katakan, bahawa engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”
[73]
Dia berkata “Janganlah engkau salahkan daku untuk apa yang aku terlupa. Dan janganlah engkau memberati daku dengan sebarang kesukaran dalam urusanku”
[74]
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka bertemu dengan seorang pemuda lalu dia membunuhnya. Dia berkata “Patutkah engkau membunuh satu jiwa yang bersih, yang tidak berdosa membunuh orang? Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perbuatan mungkar!”
[75]
Dia menjawab “Bukankah aku telah katakan kepadamu, bahawasanya engkau tidak sekali-kali akan dapat bersabar bersamaku?”
[76]
Dia berkata “Jika aku bertanyakan kepadamu mengenai sebarang perkara sesudah ini, maka janganlah engkau jadikan daku sahabatmu lagi. Kerana engkau telah beroleh daripadaku alasan-alasan yang cukup”
[77]
Kemudian keduanya berjalan lagi sehingga apabila mereka sampai kepada penduduk sebuah bandar, mereka meminta makanan kepada orang-orang di situ, dan orang-orang tersebut enggan memberikan mereka layanan yang baik. Kemudian mereka mendapati di situ dinding (sebuah rumah) yang hendak runtuh, lalu dia membinanya. Dia berkata “Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya!”
[78]
Dia menjawab “Inilah masa perpisahan antaraku denganmu, aku akan menerangkan kepadamu maksud apa yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya.
[79]
Adapun perahu itu, adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut. Dan aku membocorkannya dengan tujuan hendak mencacatkannya, kerana di belakang mereka terdapat seorang raja yang merampas tiap-tiap perahu dengan kekerasan.
[80]
Adapun pemuda tersebut, kedua ibu bapanya adalah orang-orang yang beriman, dan kami bimbang bahawa dia akan membebani mereka dengan pelanggaran dan kekufuran.
[81]
Oleh itu, kami menghendaki agar Tuhan mereka menggantikan bagi mereka yang lebih baik daripadanya, akan kebersihan jiwa dan kasih sayangnya.
[82]
Adapun dinding tersebut, adalah kepunyaan dua orang anak yatim di bandar itu. Dan di bawahnya terdapat harta simpanan kepunyaan mereka, dan ayah mereka pula seorang yang soleh. Maka Tuhanmu menghendaki bahawa mereka cukup umur dan mengeluarkan harta mereka, sebagai suatu rahmat daripada Tuhanmu. Dan aku tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan mengenai apa yang engkau tidak dapat bersabar mengenainya”
[83]
Dan mereka bertanyakan kepadamu mengenai Zulkarnain. Katakanlah “Aku akan bacakan kepada kamu mengenainya sebagai peringatan”
[84]
Sesungguhnya Kami telah meninggikannya di bumi, dan Kami berikan kepadanya jalan bagi tiap-tiap sesuatu.
[85]
Kemudian dia menempuh suatu jalan.
[86]
Sehingga apabila dia sampai ke tempat matahari terbenam, dia mendapatinya terbenam di dalam laut berlumpur hitam, dan dia mendapati di sisinya suatu kaum. Kami berfirman (mengilhamkannya) “Wahai Zulkarnain! Sama ada engkau hendak menyeksa mereka atau engkau bertindak secara baik terhadap mereka”
[87]
Dia berkata “Adapun orang yang melakukan kezaliman, maka kami akan menyeksanya. Kemudian dia akan dikembalikan kepada Tuhannya, lalu diazabkanNya dengan azab seksa yang seburuk-buruknya.
[88]
Adapun orang yang beriman dan berbuat baik, maka baginya balasan sebaik-baiknya. Dan kami akan memerintahkannya perintah-perintah kami yang mudah”
[89]
Kemudian dia menempuh jalan.
[90]
Sehingga apabila dia sampai di tempat matahari terbit, dia mendapatinya terbit di atas suatu kaum yang Kami tidak jadikan bagi mereka sebarang perlindungan daripadanya.
[91]
Demikianlah. Dan sesungguhnya Kami mengetahui secara menyeluruh akan segala yang ada padanya.
[92]
Kemudian dia menempuh jalan.
[93]
Sehingga apabila dia sampai di antara dua gunung, dia mendapati di sampingnya suatu kaum yang hampir-hampir mereka tidak dapat memahami perbicaraan.
[94]
Mereka berkata “Wahai Zulkarnain, sesungguhnya Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi. Oleh itu, setujukah kiranya kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu dengan syarat engkau membinakan di antara kami dengan mereka sebuah penghalang?”
[95]
Dia menjawab “Apa yang telah diberikan oleh Tuhanku kepadaku adalah lebih baik. Oleh itu, bantulah daku dengan kekuatan, aku akan membinakan di antara kamu dengan mereka sebuah penghalang.
[96]
Bawakanlah kepadaku ketulan-ketulan besi” Sehingga apabila dia meratakan di antara dua tebing, dia memerintahkan mereka “Tiuplah” Sehingga apabila dia menjadikannya berapi, berkatalah dia “Bawakanlah tembaga cair supaya aku tuangkan di atasnya”
[97]
Maka mereka tidak dapat melepasinya, dan tidak juga mereka dapat menebuknya.
[Yakjuj dan Makjuj]
[98]
Berkatalah dia “Ini adalah suatu rahmat daripada Tuhanku. Maka apabila tiba janji Tuhanku, Dia akan meratakannya, dan janji Tuhanku itu adalah benar”
[99]
Dan Kami biarkan sebahagian mereka pada hari itu bercampur-baur dengan yang lain. Dan akan ditiupkan sangkakala, lalu Kami akan menghimpunkan mereka semuanya sekali.
[100]
Dan Kami perlihatkan neraka Jahanam pada hari itu kepada orang-orang kafir dengan pendedahan yang jelas.
[101]
(Iaitu) orang-orang yang matanya telah tertutup dari mengingatiKu, dan tidak dapat mendengar.
[102]
Dan adakah orang-orang kafir menyangka bahawa mereka mengambil hamba-hambaKu, selain daripadaKu, dapat melindungi? Sesungguhnya Kami, Kami telah sediakan neraka Jahanam bagi orang-orang yang kafir itu sebagai tempat bertamu.
[103]
Katakanlah “Mahukah kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?
[104]
(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya di dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul lagi baik pada apa yang dilakukan”
[105]
Mereka adalah orang-orang yang ingkar akan ayat-ayat Tuhan mereka dan akan pertemuan denganNya. Oleh itu, gugurlah amal-amal mereka. Dan akibatnya, Kami tidak akan memberikan sebarang timbangan bagi mereka pada hari kiamat kelak.
[106]
Demikianlah balasan neraka Jahanam disebabkan mereka ingkar, dan mereka jadikan ayat-ayatKu dan Rasul-rasulKu sebagai ejek-ejekan.
[107]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan berbuat baik, disediakan bagi mereka Syurga-syurga Firdaus, sebagai tempat bertamu.
[108]
Kekal di dalamnya selama-lamanya. Mereka tidak teringin langsung berpindah daripadanya.
[109]
Katakanlah “Kalaulah semua jenis lautan menjadi tinta untuk (menulis) Kalimah-kalimah Tuhanku, sudah tentu akan habis kering lautan tersebut sebelum habis Kalimah-kalimah Tuhanku" walau Kami tambahkan lagi seumpamanya sebagai tambahan.
[110]
Katakanlah “Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu. Diwahyukan kepadaku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu. Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah mempersekutukan sesiapapun dalam ibadat kepada Tuhannya”
18. SURAH Al-Kahf