Saturday, 14 July 2012

36. SURAH Ya Sin

36. SURAH Ya Sin
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Yaa, Siin.
[2]
Demi Al-Quran yang penuh hikmah,
[3]
Sesungguhnya engkau dari kalangan Rasul-rasul,
[4]
Di atas jalan yang lurus.
[5]
Yang diturunkan Yang Maha Kuasa, lagi Maha Penyayang,
[6]
Supaya engkau memberikan amaran kepada kaum yang datuk neneknya tidak diberikan peringatan, kerana itu mereka lalai.
[7]
Demi sesungguhnya, telah benarlah perkataan ke atas kebanyakan mereka, kerana itu mereka tidak beriman.
[8]
Sesungguhnya Kami jadikan belenggu pada leher mereka hingga ke dagu mereka, lalu menjadilah mereka terdongak.
[9]
Dan Kami jadikan sekatan di hadapan mereka, dan sekatan di belakang mereka. Dan Kami tutup mereka, kerana itu mereka tidak dapat melihat.
[10]
Dan sama saja bagi mereka, engkau beri amaran atau engkau tidak beri amaran, mereka juga tidak akan beriman.
[11]
Sesungguhnya amaran itu hanyalah yang engkau berikan kepada orang yang menuruti Peringatan (Al-Quran), dan takut kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, yang tidak terlihat. Oleh itu, berikanlah kepadanya berita yang menggembirakan dengan keampunan dan pahala yang mulia.
[12]
Sesungguhnya Kami, Kamilah jua yang menghidupkan orang-orang yang mati, dan Kamilah yang mencatat apa yang mereka telah kerjakan dan bekas-bekas mereka. Dan tiap-tiap sesuatu Kami kumpulkan dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuz).
[13]
Dan ceritakanlah kepada mereka satu keadaan mengenai kisah penduduk sebuah bandar iaitu ketika ia didatangi Rasul-rasul.
[14]
Ketika Kami mengutuskan kepada mereka dua orang lalu mereka mendustakan keduanya. Kemudian Kami kuatkan lagi mereka dengan yang ketiga, dan mereka berkata “Sesungguhnya kami diutuskan kepada kamu”
[15]
Mereka (penduduk bandar) menjawab “Kamu tidak lain hanyalah manusia seperti kami, dan Tuhan Yang Maha Pemurah tidak menurunkan sesuatupun. Kamu tidak lain hanyalah berdusta”
[16]
Mereka berkata “Tuhan kami mengetahui bahawa sesungguhnya kami benar-benar diutuskan kepada kamu.
[17]
Dan tugas Kami hanyalah menyampaikan dengan cara yang jelas.
[18]
Mereka berkata pula “Sesungguhnya kami merasa nahas dan malang dengan sebab kamu. Demi sesungguhnya, jika kamu tidak berhenti, tentulah kami akan merejam kamu dan sudah tentu kamu akan merasai daripada pihak kami azab seksa yang tidak terperi sakitnya”
[19]
Mereka menjawab “Nahas dan malang kamu itu disebabkan apa yang ada pada kamu. Patutkah, hanya kerana kamu diberikan nasihat pengajaran? Bahkan kamu sememangnya kaum yang melampaui batas”
[20]
Dan datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, dan berkata “Wahai kaumku! Turutilah Rasul-rasul itu.
[21]
Turutilah orang-orang yang tidak meminta kepada kamu sesuatu bayaran apapun, sedang mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk.
[22]
Dan mengapa pula aku tidak menyembah Yang telah menciptakan daku, dan yang kepadaNyalah kamu semua akan dikembalikan?
[23]
Patutkah aku mengambil beberapa tuhan yang lain daripadaNya? Jika Tuhan Yang Maha Pemurah hendak menimpakan daku dengan suatu bahaya, mereka tidak dapat jua memberikan sebarang syafaat kepadaku, dan tidak juga mereka dapat menyelamatkan daku.
[24]
Sesungguhnya aku jika begitu, sudah tentu berada dalam kesesatan yang nyata.
[25]
Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhan kamu, maka dengarkanlah aku.
[26]
Dikatakan “Masuklah ke dalam Syurga” Dia berkata “Alangkah baiknya kalaulah kaumku mengetahui.
[27]
Mengenai perkara yang menyebabkan daku diampuni Tuhanku, dan ditempatkan daku dari kalangan orang-orang yang dimuliakan”
[28]
Dan Kami tidak menurunkan kepada kaumnya sesudah dia sebarang pasukan tentera dari langit, dan tidak perlu Kami menurunkannya.
[29]
Hanya dilakukan dengan satu pekikan, maka dengan serta-merta mereka semua sunyi-sepi.
[30]
Sungguh besar kekesalan dan kekecewaan yang menimpa hamba-hamba tersebut! Tidak datang kepada mereka sebarang Rasul melainkan mereka memperolok-olokkannya.
[31]
Tidakkah mereka melihat berapa banyak umat-umat yang telah Kami binasakan sebelum mereka? Orang-orang itu tidak kembali lagi kepada mereka.
[32]
Dan tidak satupun melainkan akan dihimpunkan di hadapan Kami.
[33]
Dan satu tanda bagi mereka adalah bumi yang mati. Kami hidupkan ia dan Kami keluarkan daripadanya biji-bijian, maka daripadanya mereka makan.
[34]
Dan Kami jadikan padanya kebun-kebun kurma dan anggur, dan Kami pancarkan pula padanya beberapa mata air.
[35]
Supaya mereka makan dari buah-buahannya, yang bukan dihasilkan oleh tangan mereka. Maka patutkah mereka tidak bersyukur?
[36]
Maha Suci Dia yang telah menciptakan semuanya berpasangan. Sama ada yang dari bumi, atau dari diri mereka, atau dari apa yang mereka tidak ketahui.
[37]
Dan satu tanda lagi bagi mereka adalah malam. Kami tarik siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam kegelapan.
[38]
Dan matahari menuju ke tempat yang ditetapkan baginya. Itulah takdir Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui.
[39]
Dan bulan Kami takdirkan ia beberapa fasa, sehinggalah ia kembali seperti tandan yang kering.
[40]
Tidak mungkin bagi matahari memintas bulan, dan malam pula tidak dapat memintas siang. Dan masing-masing beredar pada garis edarannya.
[41]
Dan satu tanda lagi bagi mereka adalah Kami angkut keturunan mereka dalam kapal yang penuh muatan.
[42]
Dan Kami ciptakan untuk mereka seperti apa yang mereka telah kenderai.
[43]
Dan jika Kami kehendaki, Kami boleh saja tenggelamkan mereka. Kemudian tidak ada yang dapat memberikan pertolongan kepada mereka, dan tidak juga mereka dapat diselamatkan.
[44]
Melainkan kerana rahmat yang besar daripada Kami, dan limpah kurnia hingga ke suatu masa.
[45]
Dan apabila dikatakan kepada mereka “Takutilah kamu akan apa yang ada di hadapan kamu, dan apa yang ada di belakang kamu, supaya kamu beroleh rahmat”
[46]
Maka tidak ada satu tanda pun yang sampai kepada mereka dari tanda-tanda Tuhan mereka melainkan mereka selalu berpaling daripadanya.
[47]
Dan apabila dikatakan kepada mereka “Dermakanlah sebahagian dari apa yang dikurniakan Allah kepada kamu” Berkatalah orang-orang yang kafir itu kepada orang-orang beriman “Patutkah kami memberi makan kepada orang yang jika Allah kehendaki, Dia memberinya makan? Kamu hanyalah berada dalam kesesatan yang nyata”
[48]
Dan mereka bertanya “Bilakah apa yang dijanjikan itu? Jika betul kamu orang-orang yang benar”
[49]
Mereka itu tidak menunggu melainkan satu pekikan yang membinasakan mereka semasa mereka dalam pertikaian.
[50]
Sehingga mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan, dan tidak pula mereka sempat kembali kepada keluarganya.
[51]
Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala, maka dengan serta-merta mereka bangkit keluar dari kubur masing-masing menghadap Tuhannya.
[52]
Mereka berkata “Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari tempat tidur kami” Inilah apa yang telah dijanjikan Tuhan Yang Maha Pemurah, maka benarlah berita yang disampaikan Rasul-rasul!
[53]
Hanya dengan berlakunya satu pekikan sahaja, maka dengan serta-merta mereka dihimpunkan di hadapan Kami.
[54]
Dan pada hari itu, tidak ada seorangpun yang akan dianiaya, dan kamu tidak akan dibalas melainkan menurut apa yang kamu telah kerjakan.
[55]
Sesungguhnya penduduk Syurga pada hari itu, berada dalam keseronokan.
[56]
Mereka dengan pasangan-pasangan mereka berada di tempat yang teduh, sambil berbaring.
[57]
Mereka beroleh di dalamnya berbagai jenis buah-buahan, dan apa sahaja yang mereka kehendaki.
[58]
"Selamat sejahtera" Perkataan daripada Tuhan Yang Maha Penyayang.
[59]
“Dan berpisahlah kamu pada hari ini, wahai orang-orang yang berdosa.
[60]
Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, bahawa jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya dia musuh yang nyata bagi kamu!
[61]
Dan hendaklah kamu menyembahKu. Inilah jalan yang lurus.
[62]
Dan sesungguhnya dia telah menyesatkan golongan yang ramai di kalangan kamu, maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir?
[63]
Inilah neraka Jahanam yang kamu dijanjikan.
[64]
Rasakanlah bakarannya pada hari ini disebabkan perbuatan kufur yang kamu telah lakukan!”
[65]
Pada hari itu Kami kuncikan mulut mereka. Dan tangan-tangan mereka memberitahu Kami, dan kaki mereka pula menjadi saksi mengenai apa yang mereka telah usahakan.
[66]
Dan kalaulah Kami kehendaki, tentulah Kami hapuskan penglihatan mata mereka, sehingga mereka berlumba-lumba. Maka bagaimanakah mereka dapat melihat?
[67]
Dan kalaulah Kami kehendaki, Kami berkuasa mengubah mereka di tempat mereka. Maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan tidak juga dapat undur.
[68]
Dan sesiapa yang Kami panjangkan umurnya, Kami kembalikan semula kejadiannya, maka mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?
[Lemah serta nyanyuk]
[69]
Dan Kami tidak mengajarkan kepadanya puisi, dan ia pula tidak sesuai baginya. Ini hanyalah sebuah Peringatan dan Al-Quran (Bacaan) yang nyata.
[70]
Untuk memberi amaran kepada orang yang hidup, dan supaya terbukti Perkataan (hukuman) terhadap orang-orang yang ingkar.
[71]
Tidakkah mereka melihat, bahawa Kami telah menciptakan untuk mereka dari apa yang diciptakan Tangan Kami, binatang-binatang ternak, lalu mereka memilikinya?
[72]
Dan Kami tundukkan pula ia untuk mereka. Maka sebahagian di antaranya mereka menungganginya, dan sebahagian lagi mereka makan.
[73]
Dan mereka juga beroleh berbagai faedah padanya dan beroleh minuman. Maka mengapa mereka tidak bersyukur?
[74]
Dan mereka tergamak mengambil beberapa tuhan yang lain dari Allah supaya mereka mendapat pertolongan.
[75]
Mereka (sembahan) tidak sesekali dapat menolong mereka, dan mereka (sendiri) menjadi tentera yang dipersiapkan untuknya.
[76]
Oleh itu, janganlah engkau berdukacita disebabkan percakapan mereka. Sesungguhnya Kami mengetahui apa yang mereka sembunyikan dan apa yang mereka nyatakan.
[77]
Tidakkah manusia itu melihat, bahawa Kami telah menciptakannya daripada air mani? Kemudian dengan tiba-tiba dia menjadi penentang yang nyata.
[78]
Dan dia mengemukakan satu contoh perbandingan untuk Kami, dan lupa pula mengenai penciptaannya sambil dia bertanya “Siapakah yang dapat menghidupkan tulang-tulang yang telah hancur seperti debu?”
[79]
Katakanlah “Yang akan menghidupkannya adalah Yang telah menciptakannya pada awal mula wujudnya. Dan Dia Maha Mengetahui akan sekalian makhluk.
[80]
Iaitu Tuhan yang telah menjadikan api untuk kamu daripada pohon-pohon yang hijau, maka kamu pun selalu menyalakan api daripadanya”
[81]
Tidakkah diakui bahawa Tuhan yang menciptakan langit dan bumi, berkuasa pula menciptakan (semula) seperti mereka? Benar! Sesungguhnya Dialah Pencipta yang tidak ada bandingannya, lagi Yang Maha Mengetahui.
[82]
Sesungguhnya PerintahNya apabila Dia menghendaki sesuatu, hanyalah Dia berkata kepadanya “Jadilah” lalu menjadilah ia.
[83]
Maha Suci Tuhan yang memiliki dan menguasai tiap-tiap sesuatu, dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan.