Thursday, 26 July 2012

5. SURAH Al-Maidah

5. SURAH Al-Maidah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Wahai orang-orang beriman, penuhilah dan sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu binatang-binatang ternak, melainkan apa yang akan dibacakan kepada kamu. Tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya Allah jua menetapkan hukum apa yang dikehendakiNya.
[2]
Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu mengganggu syiar-syiar agama Allah, dan jangan pula bulan-bulan haram, dan jangan binatang-binatang hadya dan binatang-binatang qala’id, dan jangan orang-orang yang menuju ke Baitullah Al-Haraam, yang bertujuan mencari limpah kurnia daripada Tuhan mereka dan keredhaan. Dan apabila kamu telah selesai dari ihram, maka bolehlah berburu. Dan jangan sekali-kali kebencian kamu kepada sesuatu kaum itu disebabkan mereka pernah menghalangi kamu dari masjid Al-Haraam, mendorong kamu menganiaya. Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan aniaya. Dan bertakwalah kepada Allah, dan sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya.
[Binatang hadya (unta, lembu, kambing, biri-biri) yang dibawa ke Kaabah untuk mendekatkan diri kepada Allah dan disembelih untuk diberi kepada fakir miskin dalam rangka ibadah haji][Binatang qala’id pula adalah binatang hadya yang dipakaikan kalung supaya diketahui bahawa ia diperuntukkan untuk dibawa ke Kaabah]
[3]
Diharamkan kepada kamu bangkai, darah, daging babi, apa yang dipersembahkan untuk yang lain dari Allah, yang mati tercekik, yang mati dipukul, yang mati jatuh dari tempat yang tinggi, yang mati ditanduk, dan yang mati diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala. Dan juga kamu merenung nasib dengan undi batang-batang anak panah (atau seumpamanya). Yang demikian itu adalah perbuatan fasik. Pada hari ini, orang-orang kafir telah berputus asa dari agama kamu. Oleh sebab itu, janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama bagi kamu. Dan sesiapa yang terpaksa disebabkan kelaparan tanpa sengaja mahu melakukan dosa, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[Memakan yang haram]
[4]
Mereka bertanyakan kepadamu “Apakah yang dihalalkan bagi mereka?” Katakanlah “Dihalalkan bagi kamu yang baik-baik, dan (buruan yang ditangkap) binatang-binatang pemburu yang telah kamu ajar. Kamu mengajar dan melatihnya sebagaimana yang telah diajarkan Allah kepada kamu. Oleh itu, makanlah dari apa yang mereka tangkap itu untuk kamu dan sebutlah nama Allah atasnya (ketika melepaskannya). Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Cepat hitungan hisabNya”
[5]
Pada masa ini dihalalkan bagi kamu yang baik-baik. Dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan kamu pula adalah halal bagi mereka. Dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan perempuan-perempuan beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu berikan mereka mas kahwinnya, sedang kamu bernikah bukan berzina, dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi teman rahsia. Dan sesiapa yang ingkar sesudah dia beriman, maka sesungguhnya gugurlah amalnya dan dia pada hari akhirat kelak termasuk orang-orang yang rugi.
[6]
Wahai orang-orang beriman, apabila kamu hendak mendirikan sembahyang, maka basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali. Dan jika kamu junub, maka bersucilah dengan mandi wajib. Dan jika kamu sakit, atau dalam keadaan musafir, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapatkan air, maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah yang bersih, iaitu sapulah muka kamu dan kedua belah tangan kamu dengannya. Allah tidak mahu menjadikan kamu menanggung sebarang kesusahan, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan hendak menyempurnakan nikmatNya kepada kamu, supaya kamu bersyukur.
[7]
Dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu dan ingatlah perjanjianNya yang telah diikatkanNya dengan kamu, ketika kamu berkata “Kami dengar dan kami taat” Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala isi hati.
[8]
Wahai orang-orang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran. Dan janganlah sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak berlaku adil. Berlaku adillah kerana ia lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.
[9]
Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan berbuat baik, mereka akan beroleh keampunan dan pahala yang besar.
[10]
Dan orang-orang yang kafir dan mendustakan tanda-tanda Kami, merekalah penghuni neraka.
[11]
Wahai orang-orang beriman, kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika suatu kaum hendak menghulurkan tangannya, lalu Dia menahan tangan mereka daripada kamu. Oleh itu, bertakwalah kamu kepada Allah. Dan kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman itu berserah diri.
[Menyerang orang Islam]
[12]
Dan demi sesungguhnya! Allah telah mengambil perjanjian setia Bani Israil, dan Kami telah mengutuskan dari kalangan mereka dua belas orang pemimpin. Dan Allah berfirman “Bahawasanya Aku berserta kamu jika kamu mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, dan kamu beriman kepada semua Rasul dan menolong mereka, dan kamu pinjamkan Allah dengan pinjaman yang baik. Sudah tentu Aku akan ampunkan dosa-dosa kamu, dan Aku akan masukkan kamu ke dalam Taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai. Dan sesiapa yang ingkar di antara kamu sesudah itu, maka sesungguhnya sesatlah dia dari jalan yang betul”
[13]
Dan kerana mereka mencabuli perjanjian setia mereka, Kami laknat mereka, dan Kami jadikan hati mereka keras membatu. Mereka sentiasa mengubah Kalimah-kalimah dari tempat-tempatnya sebenar, dan melupakan sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya. Dan engkau akan sentiasa dapat melihat perbuatan khianat yang mereka lakukan, kecuali sedikit dari mereka. Oleh itu, maafkanlah mereka dan janganlah dihiraukan. Sesungguhnya Allah suka kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalannya.
[14]
Dan di antara orang-orang yang berkata “Bahawa kami ini orang-orang Nasrani” Kami juga telah mengambil perjanjian setia mereka, lalu mereka juga melupakan sebahagian dari apa yang diperingatkan mereka dengannya. Maka Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka, hingga ke hari kiamat. Kemudian Allah akan memberitahu mereka mengenai apa yang telah mereka kerjakan.
[15]
Wahai Ahli Kitab! Demi sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami dengan menerangkan kepada kamu banyak hal dari Kitab Suci yang telah kamu sembunyikan, dan banyak abaikan. Demi sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya daripada Allah, dan sebuah Kitab yang jelas.
[16]
Dengan itulah, Allah menunjukkan jalan-jalan kesejahteraan kepada sesiapa yang mengikut keredhaanNya, dan mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya dengan izinNya. Dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.
[17]
Kafirlah orang-orang yang berkata “Bahawasanya Allah ialah Al-Masih Ibni Maryam” Katakanlah “Maka siapakah yang dapat menahan kehendak Allah sedikitpun, sekiranya Dia mahu membinasakan Al-Masih Ibni Maryam berserta ibunya, dan sekalian orang-orang yang ada di muka bumi ini semuanya?” Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya. Dia menciptakan apa jua yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[18]
Orang-orang Yahudi dan Nasrani berkata “Kami adalah anak-anak Allah lagi amat disayangiNya” Katakanlah “Maka mengapa kamu diseksa disebabkan dosa-dosa kamu? Bahkan kamu semuanya adalah manusia biasa di antara yang diciptakanNya. Dia mengampuni sesiapa yang dikehendakiNya, demikian juga Dia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya. Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya, dan kepadaNyalah tempat kembali”
[19]
Wahai Ahli Kitab! Demi sesungguhnya telah datang kepada kamu Rasul Kami yang menerangkan kepada kamu ketika terputusnya Rasul-rasul, supaya kamu tidak dengan berkata “Tidak datang kepada kami seorangpun pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran” Kerana sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang pembawa berita gembira dan juga pembawa amaran. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[20]
Dan ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya “Wahai kaumku! Kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika Dia menjadikan dalam kalangan kamu beberapa orang Nabi, dan Dia menjadikan kamu raja-raja, dan Dia memberikan kepada kamu apa yang Dia tidak pernah berikan kepada seseorangpun dari umat-umat lain.
[21]
Wahai kaumku, masuklah ke Tanah Suci (Palestin) yang telah diperintahkan Allah untuk kamu. Dan janganlah kamu berbalik undur ke belakang, maka kelak kamu akan menjadi orang-orang yang rugi”
[22]
Mereka menjawab “Wahai Musa bahawasanya di negeri itu terdapat kaum yang gagah perkasa, dan sesungguhnya kami tidak akan memasukinya sehinggalah mereka keluar daripadanya. Kemudian jika mereka keluar daripadanya, maka sesungguhnya kami akan memasukinya”
[23]
Berkatalah dua orang di antara orang-orang yang bertakwa, lagi yang telah diberikan nikmat oleh Allah kepada keduanya “Masukilah mereka melalui pintu gerbang itu. Kemudian apabila kamu memasukinya, maka sudah tentu kamulah orang-orang yang menang. Dan kepada Allah jualah hendaknya kamu berserah, jika benar kamu orang-orang yang beriman”
[24]
Mereka berkata “Wahai Musa, sesungguhnya kami tidak akan memasukinya selama-lamanya selagi mereka masih berada di dalamnya. Oleh itu, pergilah engkau bersama Tuhanmu dan perangilah mereka. Sesungguhnya kami hanya akan duduk menunggu di sini sahaja”
[25]
Dia berkata “Wahai Tuhan! Sesungguhnya aku tidak dapat menguasai selain diriku sendiri dan saudaraku (Harun). Oleh itu, pisahkanlah kami dengan kaum yang fasik itu”
[26]
(Allah) berfirman “Demi sesungguhnya ia diharamkan kepada mereka selama empat puluh tahun. Mereka akan merayau-rayau dengan bingungnya di bumi. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang fasik itu”
[27]
Dan ceritakanlah kepada mereka kisah dua orang anak Adam yang berlaku dengan sebenarnya, iaitu ketika keduanya mempersembahkan satu persembahan korban. Lalu diterima korban salah seorang di antaranya, dan tidak diterima daripada yang lain. Berkatalah (Qabil) “Sesungguhnya aku akan membunuhmu!” (Habil) menjawab “Sesungguhnya Allah hanya menerima daripada orang-orang yang bertakwa.
[28]
Jika engkau menghulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbir sekalian alam.
[29]
Sesungguhnya aku juga mahu supaya engkau kembali dengan dosaku dan dosamu sendiri. Maka dengan itu menjadilah engkau dari kalangan penghuni neraka, dan itulah balasan orang-orang yang zalim”
[30]
Kemudian nafsu jahatnya (Qabil) mendorongnya membunuh saudaranya, lalu dia membunuhnya. Oleh itu, menjadilah dia dari golongan orang-orang yang rugi.
[31]
Kemudian Allah menghantarkan seekor burung gagak mengorek-ngorek di bumi supaya diperlihatkan kepadanya cara menimbus mayat saudaranya. Dia berkata “Aduh celakanya aku! Alangkah lemah dan bodohnya aku, aku tidak tahu berbuat seperti burung gagak ini, supaya dapat menimbus mayat saudaraku?” Kemudian menjadilah dia dari golongan orang-orang yang menyesal.
[32]
Dengan sebab yang demikian itulah Kami tetapkan ke atas Bani Israil, bahawasanya sesiapa yang membunuh seorang manusia, bukan kerana orang itu (membunuh) orang lain, atau menyebarkan kerosakan di muka bumi, maka seolah-olah dia telah membunuh manusia semuanya. Dan sesiapa yang menyelamatkannya, maka seolah-olah dia telah menyelamatkan manusia semuanya. Dan sesungguhnya, telah datang kepada mereka Rasul-rasul Kami dengan membawa keterangan yang cukup terang. Kemudian sesungguhnya, kebanyakan dari mereka sesudah itu, sungguh-sungguh menjadi orang-orang yang melampaui batas di muka bumi.
[33]
Sesungguhnya balasan orang-orang yang memerangi Allah dan RasulNya dan menyebarkan kerosakan di muka bumi ialah balasan bunuh (untuk kesalahan membunuh sahaja tanpa merampas), atau disalib (membunuh dan merampas), atau dipotong tangan dan kaki mereka secara bersilang (merampas sahaja iaitu dipotong tangan kiri berserta kaki kanan ataupun sebaliknya), atau dibuang negeri (mengganggu ketenteraman awam). Yang demikian itu adalah suatu kehinaan dunia bagi mereka, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang amat besar.
[34]
Melainkan orang-orang yang bertaubat sebelum kamu dapat mengatasinya. Maka ketahuilah, bahawasanya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[35]
Wahai orang-orang beriman! Bertakwalah kepada Allah, dan carilah jalan yang boleh mendekatkan diri kepadaNya. Dan berjuanglah pada jalan Allah supaya kamu beroleh kejayaan.
[36]
Sesungguhnya orang-orang kafir, seandainya memiliki segala yang ada di muka bumi, dan mempunyai sebanyak itu lagi untuk menebus diri mereka dari azab seksa hari kiamat, nescaya tidak akan diterima daripada mereka, dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[37]
Mereka sentiasa berharap hendak keluar daripada api tersebut, padahal mereka tidak sekali-kali akan dapat keluar daripadanya. Dan bagi mereka azab seksa yang tetap kekal.
[38]
Dan lelaki dan perempuan yang mencuri, maka potonglah tangan mereka sebagai suatu balasan disebabkan apa yang mereka telah usahakan. Suatu hukuman pencegah daripada Allah, dan Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
[39]
Dan sesiapa yang bertaubat sesudah dia melakukan kejahatan dan memperbaiki, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[40]
Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? Dia menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengampuni sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[41]
Wahai Rasul Allah! Janganlah engkau berdukacita disebabkan orang-orang yang bersegera menceburkan diri dalam kekufuran, iaitu dari kalangan orang-orang yang berkata dengan mulutnya “Kami tetap beriman” Padahal hatinya tidak beriman. Demikian juga dari kalangan orang-orang Yahudi yang sangat suka mendengar berita-berita dusta. Mereka sangat suka mendengar perkataan golongan lain yang tidak pernah datang menemuimu. Mereka ini mengubah dan memindah perkataan-perkataan itu (Kitab Taurat) dari tempat-tempatnya sebenar. (Mereka) berkata “Jika disampaikan kepada kamu seperti ini maka terimalah ia, dan jika kamu diberikan yang bukan sebegini, maka berhati-hatilah” Dan sesiapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, maka engkau tidak berkuasa sama sekali (menolak) sesuatu apapun daripada Allah. Merekalah orang-orang yang Allah menghendaki, Dia tidak mahu membersihkan hati mereka. Bagi mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar.
[42]
Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram. Oleh itu, jika mereka datang kepadamu, maka adililah di antara mereka, atau berpalinglah daripada mereka. Dan jika engkau berpaling daripada mereka, maka mereka tidak akan dapat membahayakanmu sedikitpun. Dan jika engkau menghakimi, maka hakimilah di antara mereka dengan adil. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.
[43]
Dan bagaimanakah mereka meminta keputusan hukum kepadamu, padahal di sisi mereka terdapat Kitab Taurat yang mengandungi hukum Allah, kemudian mereka berpaling pula sesudah itu? Dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.
[44]
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab Taurat yang mengandungi petunjuk dan cahaya. Dengannyalah, nabi-nabi yang menyerahkan diri menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi. Demikian juga ulama mereka dan pendeta-pendetanya, kerana mereka diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hakam daripada Kitab Allah itu, dan mereka pula menjadi penjaga dan pengawasnya. Oleh itu, janganlah kamu takut kepada manusia tetapi hendaklah kamu takut kepadaKu. Dan janganlah kamu menjual ayat-ayatKu dengan harga yang sedikit. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang kafir.
[45]
Dan Kami telah tetapkan ke atas mereka di dalamnya, bahawa jiwa (dibalas) dengan jiwa, dan mata dengan mata, hidung dengan hidung, telinga dengan telinga, gigi dengan gigi, dan luka-luka hendaklah dibalas. Tetapi sesiapa yang melepaskan hak membalasnya, maka itu adalah penebus dosa baginya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.
[46]
Dan Kami utuskan pula Nabi Isa Ibni Maryam mengikut jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan Kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya. Dan Kami telah berikan kepadanya Kitab Injil yang mengandungi petunjuk dan cahaya, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari Kitab Taurat, dan menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang bertakwa.
[47]
Dan hendaklah Ahli Kitab Injil itu menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah di dalamnya. Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan Allah, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.
[48]
Dan Kami turunkan pula kepadamu Kitab dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara dan mengawasinya. Maka jalankanlah hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan Allah, dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka dengan meninggalkan kebenaran yang telah datang kepadamu. Untuk tiap-tiap umat, Kami jadikan satu Syariat dan jalan yang terang. Dan kalaulah Allah menghendaki, nescaya Dia menjadikan kamu satu umat, tetapi Dia hendak menguji kamu dengan apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu, berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan. Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, dan Dia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya.
[49]
Dan hendaklah engkau jalankan hukum di antara mereka dengan apa yang telah diturunkan Allah, dan janganlah engkau menuruti kehendak hawa nafsu mereka, dan berjaga-jagalah supaya mereka tidak memesongkanmu dari apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Kemudian jika mereka berpaling, maka ketahuilah, sesungguhnya Allah hanya hendak menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dari dosa-dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan dari umat manusia itu adalah orang-orang yang fasik.
[50]
Sesudah itu, patutkah mereka mengharapkan lagi kepada hukum-hakam jahiliah? Padahal bagi orang-orang yang yakin, tidak ada sesiapapun yang boleh membuat hukum yang lebih baik daripada Allah.
[51]
Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai sekutu. Sebahagian mereka menjadi sekutu kepada sebahagian yang lain. Dan sesiapa di antara kamu yang menjadikan mereka sekutunya, maka sesungguhnya dia adalah dari golongan mereka itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang berlaku zalim.
[52]
Dalam pada itu, engkau akan melihat orang-orang yang terdapat penyakit dalam hatinya segera berusaha mendampingkan diri kepada mereka sambil berkata “Kami takut bahawa kami akan ditimpa malang” Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan atau mendatangkan suatu hukuman dari sisiNya. Maka disebabkan itu mereka akan menyesal mengenai apa yang telah mereka sembunyikan di dalam hatinya.
[53]
Dan berkatalah orang-orang beriman “Adakah mereka ini orang-orang yang bersumpah dengan nama Allah, dengan sebenar-benar sumpahnya, bahawa mereka benar-benar akan bersama kamu?” Telah gugurlah amal-amal mereka (yang munafik itu), dan menjadilah mereka orang-orang yang rugi.
[54]
Wahai orang-orang beriman! Sesiapa di antara kamu murtad dari agamanya, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka juga kasihkan Dia. Mereka bersifat lemah-lembut terhadap orang-orang beriman dan berlaku tegas terhadap orang-orang kafir. Mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah, dan mereka tidak takut kepada sebarang celaan. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang diberikanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Luas limpah kurniaNya, lagi Maha Mengetahui.
[55]
Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, dan orang-orang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat, sedang mereka juga rukuk.
[56]
Dan sesiapa yang menjadikan Allah dan rasulNya dan orang-orang beriman itu penolongnya, maka sesungguhnya golongan Allah, itulah yang pasti menang.
[57]
Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang yang menjadikan agama kamu sebagai ejek-ejekan dan permainan dari kalangan orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum kamu, dan juga orang-orang yang menyekutukan (Allah) menjadi sekutu. Dan bertakwalah kepada Allah jika kamu benar-benar orang yang beriman.
[58]
Dan apabila kamu menyeru untuk mendirikan sembahyang, mereka menjadikannya ejek-ejekan dan permainan. Yang demikian itu kerana mereka suatu kaum yang tidak berakal.
[59]
Katakanlah “Wahai Ahli Kitab! Apakah kamu memandang kami salah, hanya kerana kami beriman kepada Allah dan beriman kepada apa yang diturunkan kepada kami, dan beriman kepada apa yang diturunkan sebelum itu? Sedang kebanyakan kamu adalah orang-orang yang fasik”
[60]
Katakanlah “Mahukah aku khabarkan kepada kamu mengenai yang lebih buruk balasannya daripada itu di sisi Allah? Iaitu orang-orang yang dilaknat Allah dan dimurkaiNya, dan orang-orang yang dijadikan di antara mereka sebagai kera dan babi, dan penyembah Taghut. Mereka inilah yang lebih buruk kedudukannya dan lebih sesat dari jalan yang betul”
[61]
Dan apabila mereka datang kepada kamu, mereka berkata “Kami telah beriman” Padahal sesungguhnya mereka itu masuk (menemui kamu) dengan kekufurannya, dan sesungguhnya mereka pergi dengannya juga. Dan Allah lebih mengetahui akan apa yang mereka sembunyikan.
[62]
Dan engkau akan melihat kebanyakan dari mereka berlumba-lumba dalam melakukan dosa dan permusuhan dan memakan yang haram. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.
[63]
Alangkah baiknya, kalau ketua-ketua agama dan pendeta-pendeta mereka melarang mereka dari mengeluarkan perkataan-perkataan dusta dan dari memakan yang haram? Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah kerjakan itu.
[64]
Dan orang-orang Yahudi berkata “Tangan Allah terbelenggu (kedekut)” Sebenarnya tangan merekalah yang terbelenggu dan mereka pula dilaknat dengan sebab apa yang mereka telah katakan. Bahkan kedua-dua tanganNya sentiasa terbuka. Dia membelanjakan sebagaimana yang Dia kehendaki. Dan demi sesungguhnya, apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu akan menjadikan kebanyakan dari mereka bertambah derhaka dan kufur. Dan Kami tanamkan perasaan permusuhan dan kebencian di antara mereka hingga ke hari kiamat. Tiap-tiap kali mereka menyalakan api peperangan, Allah memadamkannya. Dan mereka pula terus-menerus menyebarkan kerosakan di muka bumi, sedang Allah tidak suka kepada penyebar kerosakan.
[65]
Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman dan bertakwa, tentulah Kami akan hapuskan kesalahan-kesalahan mereka, dan tentulah Kami akan masukkan mereka ke dalam Taman-taman yang penuh nikmat.
[66]
Dan kalaulah mereka bersungguh-sungguh menegakkan Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka daripada Tuhan mereka (Al-Quran), nescaya mereka akan mendapat makanan dari atas mereka dan dari bawah kaki mereka. Di antara mereka ada sepuak yang adil, tetapi kebanyakan mereka, buruk keji amal perbuatannya.
[67]
Wahai Rasul Allah! Sampaikanlah apa yang telah diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu. Dan jika engkau tidak melakukannya, maka bermakna engkau tidak menyampaikan amanahNya. Dan Allah jualah yang akan memeliharamu dari orang-orang itu. Sesungguhnya Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang kafir.
[68]
Katakanlah “Wahai Ahli Kitab! Kamu tidak dikira mempunyai suatu pegangan sehinggalah kamu menegakkan ajaran Kitab-kitab Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada kamu daripada Tuhan kamu (Al-Quran)” Dan demi sesungguhnya, apa yang diturunkan kepadamu daripada Tuhanmu itu akan menambahkan kederhakaan dan kekufuran pada kebanyakan mereka. Oleh itu, janganlah engkau berdukacita terhadap kaum yang kafir itu.
[69]
Sesungguhnya orang-orang beriman, atau orang-orang Yahudi, orang-orang Sabi’in, orang-orang Nasrani, dan sesiapa sahaja di antara mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat dan berbuat baik, maka tidaklah ada kebimbangan terhadap mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati.
[70]
Demi sesungguhnya! Kami telah mengambil perjanjian setia daripada Bani Israil, dan Kami telah mengutuskan kepada mereka beberapa orang Rasul. Tiap-tiap kali datang seorang Rasul kepada mereka dengan membawa apa yang tidak disukai hawa nafsu mereka, mereka dustakan sebahagiannya, dan mereka bunuh sebahagian yang lain.
[71]
Dan mereka menyangka bahawa tidak akan berlaku sebarang bencana, lalu mereka membutakan mata dan memekakkan telinga. Kemudian Allah menerima taubat mereka, setelah itu kebanyakan dari mereka membutakan mata dan memekakkan telinga lagi, padahal Allah Maha Melihat akan apa yang mereka lakukan.
[72]
Demi sesungguhnya! Telah kafirlah orang-orang yang berkata “Bahawasanya Allah, Dialah Al-Masih Ibni Maryam” Padahal Al-Masih sendiri berkata “Wahai Bani Israil! Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu. Bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya Syurga, dan tempat kembalinya pula ialah neraka. Dan tiada seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim”
[73]
Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga” Padahal tiada Tuhan melainkan Tuhan yang Maha Esa. Dan jika mereka tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang kafir dari kalangan mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[74]
Oleh itu, tidakkah mereka mahu bertaubat kepada Allah dan memohon keampunanNya? Padahal Allah Maha pengampun, lagi Maha Penyayang.
[75]
Tidaklah Al-Masih Ibni Maryam itu melainkan seorang Rasul yang telah terdahulu sebelumnya beberapa orang Rasul, dan ibunya pula seorang perempuan yang amat benar. Mereka berdua juga memakan makanan. Lihatlah bagaimana Kami jelaskan kepada mereka keterangan-keterangan, kemudian lihatlah bagaimana mereka dipalingkan.
[76]
Katakanlah “Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu, dan tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah, Dialah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”
[77]
Katakanlah “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampaui dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah pula kamu menuruti hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan mereka juga telah sesat dari jalan yang betul”
[78]
Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa ibni Maryam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu pula melampaui batas.
[79]
Mereka sentiasa tidak berlarangan dari perbuatan mungkar yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan.
[80]
Engkau akan melihat banyak dari mereka menjadikan orang-orang yang kafir sekutu mereka. Demi sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka sediakan untuk diri mereka iaitu kemurkaan Allah kepada mereka, dan mereka tetap kekal di dalam azab.
[81]
Sekiranya mereka beriman kepada Allah dan kepada Nabi dan kepada apa yang diturunkan kepadanya, nescaya mereka tidak menjadikan orang-orang itu sebagai sekutu, akan tetapi kebanyakan dari mereka adalah orang-orang yang fasik.
[82]
Demi sesungguhnya engkau akan mendapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang yang mempersekutukan (Allah). Dan demi sesungguhnya engkau akan mendapati juga orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang beriman ialah orang-orang yang berkata “Bahawasanya kami ini ialah orang-orang Nasrani” Yang demikian itu, disebabkan terdapat di kalangan mereka pendeta-pendeta dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka tidak berlaku sombong.
[83]
Dan apabila mereka mendengar Al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah, engkau akan melihat mata mereka mencucurkan air mata disebabkan kebenaran yang mereka telah ketahui, sambil mereka berkata “Wahai Tuhan kami, kami telah beriman, oleh itu tetapkanlah kami bersama orang-orang yang menjadi saksi.
[84]
Dan tidak ada sebab bagi kami untuk tidak beriman kepada Allah dan kepada kebenaran yang telah sampai kepada kami, padahal kami teringin sangat agar Tuhan kami memasukkan kami bersama orang-orang yang soleh”
[85]
Lalu Allah memberikan pahala kepada mereka disebabkan perkataan yang telah mereka ucapkan. Taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Dan yang demikian, adalah balasan bagi orang-orang yang berusaha berbuat kebaikan.
[86]
Dan orang-orang kafir dan mendustakan tanda-tanda Kami, mereka itu penghuni neraka.
[87]
Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu haramkan benda-benda baik yang telah dihalalkan Allah untuk kamu, dan janganlah pula kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.
[88]
Dan makanlah dari apa yang telah diberikan Allah kepada kamu, iaitu yang halal lagi baik. Dan bertakwalah kepada Allah yang kepadaNya sahaja kamu beriman.
[89]
Kamu tidak dikira salah oleh Allah akan sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan, akan tetapi kamu dikira salah olehNya atas sebab sumpah yang sengaja kamu lakukan dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah. Maka jagalah sumpah kamu. Demikianlah Allah menerangkan kamu ayat-ayatNya supaya kamu bersyukur.
[90]
Wahai orang-orang beriman! Sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah kotor dan termasuk perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.
[91]
Sesungguhnya syaitan hanyalah bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di kalangan kamu dengan sebab arak dan judi, dan juga mahu memalingkan kamu dari mengingati Allah dan mendirikan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti?
[92]
Dan taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan berhati-hatilah. Dan jika kamu berpaling, maka ketahuilah bahawa kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan dengan jelas.
[93]
Tidak berdosa bagi orang-orang yang beriman dan berbuat baik pada apa yang telah mereka makan (dahulu), apabila mereka bertakwa dan beriman dan berbuat baik, kemudian mereka tetap juga bertakwa dan beriman, kemudian mereka tetap bertakwa dan berbuat kebajikan. Dan Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.
[94]
Wahai orang-orang beriman! Demi sesungguhnya Allah akan menguji kamu (semasa kamu berihram) dengan sesuatu (dari binatang buruan) yang mudah ditangkap oleh tangan kamu dan tikaman lembing-lembing kamu, supaya Allah mengetahui siapakah yang takut kepadaNya semasa dia tidak melihatNya, dan semasa dia tidak dilihat manusia. Oleh itu, sesiapa yang melampaui batas sesudah yang demikian itu, maka baginya azab yang tidak terperi sakitnya.
[95]
Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram. Dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya (menggantikannya) dengan binatang ternak yang sama dengan yang dibunuh itu, yang ditetapkan hukumnya oleh dua orang adil di antara kamu, sebagai hadiah yang disampaikan ke Kaabah (untuk disembelih dan dibahagikan kepada fakir miskin di Tanah Suci), atau bayaran kafarah, iaitu memberi makan orang-orang miskin, atau berpuasa setimpal dengannya. Agar dia merasai kesan buruk dari perbuatannya. Allah memaafkan apa yang telah lalu. Dan sesiapa yang mengulanginya, maka Allah akan menyeksanya. Dan Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa.
[96]
Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang diperoleh dari laut, sebagai bekalan bagi kamu dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran. Tetapi diharamkan ke atas kamu memburu binatang buruan darat selama kamu sedang berihram. Oleh itu, bertakwalah kepada Allah yang kepadaNya kamu akan dihimpunkan.
[97]
Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu sebagai tempat tumpuan manusia. Demikian juga bulan-bulan haram, dan hadya dan qala’id. Yang demikian itu, supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah mengetahui apa yang ada di langit, dan apa yang ada di bumi, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[98]
Ketahuilah, bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[99]
Kewajipan Rasul tidak lain hanyalah menyampaikan sahaja. Dan Allah sentiasa mengetahui apa yang kamu lahirkan, dan apa yang kamu sembunyikan.
[100]
Katakanlah “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, walaupun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu. Oleh itu, bertakwalah kepada Allah wahai orang-orang yang berakal fikiran supaya kamu berjaya”
[101]
Wahai orang-orang beriman! Janganlah kamu bertanyakan perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu. Dan jika kamu bertanyakan mengenainya ketika diturunkan Al-Quran, tentulah akan diterangkan kepada kamu. Allah memaafkan mengenai perkara-perkara tersebut, dan Allah Maha pengampun, lagi Maha penyabar.
[102]
Sesungguhnya perkara-perkara yang serupa itu pernah juga ditanyakan oleh suatu kaum dahulu sebelum kamu, kemudian mereka menjadi kafir dengan sebab pertanyaan itu.
[103]
Allah tidak sekali-kali mensyariatkan Bahirah, tidak juga Sa’ibah, tidak juga Wasilah, dan tidak juga Haam. Akan tetapi orang-orang yang kafir itu sentiasa mengada-adakan perkara dusta terhadap Allah, dan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal fikirannya.
[Amalan-amalan syirik kaum Arab Jahiliah]
[104]
Dan apabila dikatakan kepada mereka “Marilah menuruti kepada apa yang telah diturunkan Allah, dan kepada RasulNya” Mereka menjawab “Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya” Adakah, sekalipun datuk nenek mereka itu tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat petunjuk?
[105]
Wahai orang-orang beriman! Jagalah sahaja diri kamu. Orang-orang yang sesat tidak akan mendatangkan mudarat kepada kamu apabila kamu sendiri telah mendapat petunjuk. Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semua, kemudian Dia akan menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah lakukan.
[106]
Wahai orang-orang beriman! Apabila salah seorang di antara kamu hampir mati ketika berwasiat, hendaklah wasiatnya itu disaksikan dua orang yang adil di antara kamu, atau dua orang lain (yang bukan seagama) dengan kamu. (Sebagai persediaan) sekiranya kamu dalam perjalanan di muka bumi lalu kamu ditimpa bahaya kematian. (Kemudian) hendaklah kamu tahan kedua-dua saksi berkenaan sesudah selesai bersembahyang, kemudian biarkanlah mereka bersumpah dengan nama Allah jika kamu ragu-ragu “Kami tidak akan menukarnya (sumpah) untuk suatu keuntungan, walaupun orang itu dari kaum keluarga. Dan tidak pula kami menyembunyikan persaksian Allah. Sesungguhnya jika demikian, tentulah kami termasuk dalam golongan orang-orang yang berdosa”
[107]
Kemudian jika didapati bahawa kedua-duanya melakukan dosa (berdusta dalam perkara persaksiannya), maka hendaklah dua orang lain menggantikan tempat mereka dari waris-waris si mati terdekat, yang lebih berhak. Kemudian mereka bersumpah dengan nama Allah “Demi sesungguhnya, persaksian kami lebih berhak diterima daripada persaksian kedua-dua itu, dan kami tidak melampaui batas. Sesungguhnya jika demikian, tentulah kami termasuk dalam golongan orang-orang yang berdosa”
[108]
Itulah jalan yang lebih dekat bagi mereka (para saksi) memberikan keterangan persaksian menurut cara yang sebenarnya, atau supaya mereka merasa takut akan ditolak sumpah mereka sesudah mereka bersumpah. Oleh itu, bertakwalah kepada Allah dan dengarlah dengan patuh. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang fasik.
[109]
Hari Allah menghimpunkan Rasul-rasulNya lalu Dia bertanya “Apakah penerimaan yang diberikan kepada kamu?” Mereka menjawab “Tidak ada pada kami pengetahuan yang sah mengenai itu. Sesungguhnya Engkau, Engkaulah sahaja Yang Maha Mengetahui akan segala perkara ghaib”
[110]
Ketika Allah berfirman “Wahai Isa ibni Maryam! Kenangkanlah nikmatKu kepadamu dan kepada ibumu, ketika Aku menguatkanmu dengan Ruhul-Qudus, iaitu engkau dapat berkata-kata kepada manusia di dalam buaian dan sesudah dewasa. Dan ketika Aku mengajarimu menulis dan membaca, dan hikmat pengetahuan, Kitab Taurat dan Kitab Injil. Dan ketika engkau jadikan daripada tanah seperti bentuk seekor burung dengan izinKu, kemudian engkau tiupkan padanya, lalu menjadilah ia seekor burung dengan izinKu. Dan engkau menyembuhkan orang buta dan orang yang sopak dengan izinKu. Dan ketika engkau menghidupkan orang-orang mati dengan izinKu. Dan ketika Aku menghalangi Bani Israil dari membunuhmu, ketika engkau datang kepada mereka dengan membawa Mukjizat, lalu orang-orang yang kafir di antara mereka berkata “Ini tidak lain hanyalah sihir yang nyata”
[111]
Dan ketika Aku ilhamkan kepada orang-orang Hawariyyiin “Berimanlah kamu kepadaKu dan kepada RasulKu!” Mereka menjawab “Kami telah beriman, maka saksikanlah, bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berserah diri (Islam)”
[112]
Dan ketika orang-orang Hawariyyiin berkata “Wahai Isa Ibni Maryam! Dapatkah kiranya Tuhanmu berkenan menurunkan kepada kami suatu hidangan dari langit?” Dia menjawab “Bertakwalah kamu kepada Allah, jika benar kamu orang-orang yang beriman”
[113]
Mereka berkata “Kami hanya ingin makan daripadanya supaya tenang tenteram hati kami, dan juga supaya kami mengetahui dengan yakin bahawa sesungguhnya engkau telah berkata benar kepada kami, dan supaya menjadilah kami orang-orang yang menyaksikannya sendiri”
[114]
Isa ibni Maryam berkata “Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kepada kami satu hidangan dari langit untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada pada hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda daripadaMu. Dan kurniakanlah kepada kami, dan Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi”
[115]
Allah berfirman “Sesungguhnya Aku akan menurunkan ia berulang-ulang kepada kamu. Kemudian sesiapa di antara kamu yang kufur sesudah itu, maka sesungguhnya Aku akan menyeksanya dengan azab sengsara yang tidak pernah Aku seksakan kepada seseorangpun dari sekalian makhluk”
[116]
Dan ketika Allah berfirman “Wahai Isa ibni Maryam! Engkaukah yang berkata kepada manusia “Jadikanlah daku dan ibuku dua tuhan selain Allah?” Dia menjawab “Maha Suci Engkau! Tidaklah layak bagiku mengatakan sesuatu yang bukan hakku. Jika aku ada mengatakannya, maka tentulah Engkau telah mengetahuinya. Engkau mengetahui apa yang ada pada diriku, sedang aku tidak mengetahui apa yang ada pada diriMu. Sesungguhnya Engkau, Engkaulah jua Yang Maha Mengetahui perkara-perkara ghaib.
[117]
Aku tidak mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan kepadaku mengatakannya iaitu “Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu” Dan aku menjadi pengawas terhadap mereka selama aku berada dalam kalangan mereka. Kemudian apabila Engkau sempurnakan tempohku, Engkaulah sendiri yang mengawasi keadaan mereka. Dan Engkaulah yang menjadi Saksi atas tiap-tiap sesuatu.
[118]
Jika Engkau menyeksa mereka, maka sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu. Dan jika Engkau mengampuni mereka, maka sesungguhnya Engkau, Engkaulah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”
[119]
Allah berfirman “Inilah hari orang-orang yang benar mendapat manfaat daripada kebenaran mereka. Mereka beroleh Taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Allah redha terhadap mereka dan mereka pula redha terhadapNya. Itulah kejayaan yang amat besar”
[Hari pembalasan]
[120]
Allah jua yang menguasai alam langit dan bumi dan segala yang ada padanya. Dan Dialah jua yang Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.