Monday, 30 July 2012

7. SURAH Al-A'raf

7. SURAH Al-A'raf
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Alif, Laam, Miim, Saad.
[2]
Sebuah Kitab yang diturunkan kepadamu (Muhammad). Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu mengenainya, supaya engkau berikan amaran dengannya, dan supaya menjadi peringatan bagi orang-orang beriman.
[3]
“Turutilah apa yang telah diturunkan kepada kamu daripada Tuhan kamu, dan janganlah kamu menuruti sebarang sekutu selain Dia. Amatlah sedikit kamu yang mengambil peringatan”
[4]
Dan berapa banyak negeri yang Kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari, atau ketika mereka beristirahat pada tengah hari.
[5]
Dan tidak ada yang mereka katakan ketika datang azab Kami kepada mereka, melainkan mereka berkata “Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim”
[6]
Demi sesungguhnya Kami akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan kepada mereka, dan sesungguhnya Kami juga akan menyoal Rasul-rasul tersebut.
[7]
Demi sesungguhnya Kami akan ceritakan kepada mereka dengan ilmu, dan sememangnya Kami tidak sekali-kali ghaib.
[8]
Dan timbangan (amal) pada hari itu adalah benar. Dan sesiapa yang berat timbangannya, maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.
[9]
Dan sesiapa yang ringan timbangannya, maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, disebabkan mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami.
[10]
Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya penghidupan, amatlah sedikit kamu yang bersyukur.
[11]
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, dan Kami bentukkan kamu, dan Kami berfirman kepada malaikat-malaikat “Bersujudlah kamu kepada Adam” Lalu bersujudlah mereka melainkan Iblis, dia tidaklah termasuk dalam golongan yang bersujud.
[12]
Berfirman “Apakah penghalang yang menghalangimu daripada bersujud ketika Aku memerintahkanmu?” Menjawab “Aku lebih baik daripada dia, Engkau jadikan daku daripada api sedang dia Engkau jadikan daripada tanah”
[13]
Berfirman “Turunlah engkau daripadanya (Syurga), kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya. Dan keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina”
[14]
Berkata “Berikanlah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan”
[15]
Berfirman “Sesungguhnya engkau termasuk mereka yang diberikan tempoh”
[16]
Berkata “Oleh kerana Engkau menyebabkan daku sesat, demi sesungguhnya aku akan duduk di jalanMu yang lurus.
[Untuk menghasut]
[17]
Dan aku akan datangi mereka, dari hadapan mereka dan dari belakang mereka, dan dari kanan mereka dan dari kiri mereka. Kemudian Engkau tidak akan mendapati kebanyakan mereka bersyukur”
[18]
Berfirman “Keluarlah engkau daripadanya (Syurga) sebagai makhluk yang terhina lagi terusir. Dan sesiapa di antara mereka yang menurutimu, tetaplah Aku akan memenuhi neraka Jahannam dengan kamu semuanya”
[19]
“Dan wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam Taman ini, dan makanlah sepuas-puasnya apa sahaja yang kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pohon ini, maka akan menjadilah kamu dari kalangan orang-orang yang zalim”
[20]
Setelah itu, maka syaitan membisikkan kepada mereka berdua supaya menampakkan kepada mereka akan aurat mereka yang tertutup daripada mereka, sambil dia berkata “Tidaklah Tuhan kamu melarang kamu dari pohon ini, melainkan kamu berdua akan menjadi malaikat atau menjadi dari kalangan orang-orang yang hidup kekal”
[21]
Dan dia bersumpah kepada keduanya “Sesungguhnya aku dari mereka yang memberikan nasihat kepada kamu berdua”
[22]
Dengan sebab itu, berjayalah dia menjatuhkan mereka berdua dengan tipu dayanya. Tatkala keduanya telah merasakan (dari) pohon tersebut, terdedahlah kepada keduanya akan aurat masing-masing, dan mereka mulalah menutupnya dengan daun-daun Taman. Dan Tuhan mereka menyeru mereka “Bukankah Aku telah melarang kamu berdua dari pohon itu, dan katakan kepada kamu, bahawa syaitan itu adalah musuh kamu yang nyata?”
[23]
Mereka berdua merayu “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalaulah Engkau tidak mengampuni kami dan memberikan rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari kalangan orang-orang yang rugi”
[24]
Berfirman “Turunlah, sebahagian kamu akan menjadi musuh sebahagian yang lain, dan bagi kamu disediakan tempat kediaman di bumi, dan mendapat rezeki hingga ke suatu masa”
[25]
Dia berfirman lagi “Di situ kamu akan hidup dan di situ kamu akan mati, dan daripadanya juga kamu akan dikeluarkan”
[26]
Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian bagi menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan. Dan pakaian yang berupa takwa itulah yang sebaik-baiknya. Yang demikian itu termasuk tanda-tanda kekuasaan Allah supaya mereka mengenangnya.
[27]
Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh syaitan sebagaimana dia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua bagi memperlihatkan kepada mereka aurat mereka. Sesungguhnya dia dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya Kami telah jadikan syaitan-syaitan, teman bagi orang-orang yang tidak beriman.
[28]
Dan apabila mereka melakukan suatu perbuatan keji, mereka berkata “Kami dapati datuk nenek kami mengerjakannya, dan Allah perintahkan kami mengerjakannya” Katakanlah “Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menyuruh mengerjakan perbuatan keji. Patutkah kamu mengatakan terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui?”
[29]
Katakanlah “Tuhanku menyuruh berlaku adil. Dan hadapkanlah muka kamu dengan betul di setiap masjid (mendirikan sembahyang), dan beribadatlah kepadaNya dengan mengikhlaskan amal agama kamu kepadaNya semata-mata. Sebagaimana Dia telah menjadikan kamu pada mulanya, kamu akan kembali"
[30]
Sebahagian diberikan petunjuk oleh Allah. Dan sebahagian lagi telah pasti kesesatan bagi mereka, kerana sesungguhnya mereka telah menjadikan syaitan-syaitan, sekutu-sekutu selain Allah. Dan mereka menyangka pula, bahawa mereka berada dalam petunjuk.
[31]
Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias di setiap masjid, dan makanlah dan minumlah, dan janganlah kamu melampaui. Sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.
[32]
Katakanlah “Siapakah yang mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkanNya untuk hamba-hambaNya, dan demikian juga benda-benda baik lagi halal?” Katakanlah “Semua itu untuk orang-orang beriman dalam kehidupan dunia, khususnya pada hari kiamat” Demikianlah Kami jelaskan tanda-tanda Kami satu persatu bagi orang-orang yang mengetahui.
[33]
Katakanlah “Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi. Dan perbuatan dosa, dan penindasan tanpa alasan yang benar, kamu mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah sedang Dia tidak menurunkan sebarang keterangan membenarkannya, dan kamu mengatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak ketahui.
[34]
Dan bagi tiap-tiap umat ada waktu, dan apabila tiba waktunya, tidak dapat mengundurkannya walaupun sesaat, dan tidak juga dapat mendahulukannya.
[35]
Wahai anak-anak Adam! Jika datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu yang menceritakan kepada kamu ayat-ayatKu, maka sesiapa yang bertakwa dan memperbaiki, tidak ada kebimbangan terhadap mereka, dan tidak pula mereka bersedih hati.
[36]
Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan yang angkuh terhadapnya, merekalah penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.
[37]
Dan tidak ada yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah atau yang mendustakan ayat-ayatNya. Orang-orang itu akan mendapat bahagian mereka dari apa yang telah tersurat, sehingga apabila datang kepada mereka utusan-utusan Kami yang mengambil nyawa mereka, bertanyalah mereka “Dimanakah yang kamu pohon selain Allah?” Mereka menjawab “Semuanya telah hilang lenyap daripada kami” Dan mereka menjadi saksi terhadap diri mereka sendiri, bahawa mereka adalah orang-orang yang ingkar.
[38]
Dia berfirman “Masuklah kamu ke dalam neraka bersama umat-umat terdahulu daripada kamu, dari kalangan jin dan manusia" Tiap-tiap satu umat yang masuk, mengutuk akan saudaranya. Sehingga apabila mereka semua berhimpun di dalamnya, berkatalah golongan akhir mengenai golongan pertama di antara mereka “Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang telah menyesatkan kami. Oleh itu, berikanlah kepada mereka azab seksa dua kali ganda dari neraka” Dia berfirman “Kamu masing-masing disediakan dua kali ganda tetapi kamu tidak mengetahui”
[39]
Dan berkatalah pula golongan pertama di antara mereka kepada golongan akhir “Bahkan tidak ada bagi kamu sebarang kelebihan atas kami. Oleh itu, rasakanlah kamu azab seksa disebabkan apa yang kamu telah usahakan”
[40]
Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, dan yang angkuh terhadapnya, tidak sekali-kali akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan mereka pula tidak akan memasuki Syurga sehinggalah unta masuk ke dalam lubang jarum, dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang melakukan kesalahan.
[41]
Bagi mereka tikar tidur dari api neraka, dan di atas mereka selimut penutup, dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang zalim.
[42]
Dan orang-orang yang beriman dan berbuat baik, Kami tidak memberati diri seseorang melainkan sekadar yang terdaya olehnya. Merekalah penghuni Syurga, mereka kekal di dalamnya.
[43]
Dan Kami cabut segala dendam dan hasad dengki daripada hati mereka. Mengalir beberapa sungai di bawah masing-masing, dan mereka akan berkata “Segala puji bagi Allah yang telah memberikan petunjuk untuk ini, padahal kami tidak sekali-kali akan beroleh petunjuk sekiranya Allah tidak memimpin kami. Demi sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan kebenaran” Dan mereka diseru “Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan”
[44]
Dan berserulah ahli syurga kepada ahli neraka dengan berkata “Sesungguhnya kami telah mendapat apa yang telah dijanjikan kepada kami oleh Tuhan kami, semuanya benar. Maka adakah kamu juga telah mendapat apa yang telah dijanjikan oleh Tuhan kamu itu semuanya benar?” Mereka menjawab “Benar” Kemudian berserulah penyeru di kalangan mereka mengatakan “Bahawasanya laknat Allah tertimpa atas orang-orang yang zalim”
[45]
Iaitu mereka yang menghalangi dari menuruti jalan Allah, dan mencari-cari helah menjadikan ia bengkok terpesong, sedang mereka tidak percayakan hari akhirat.
[46]
Dan di antara mereka terdapat tembok Al-A’raaf, dan di atasnya terdapat sebilangan orang yang mengenali tiap-tiap orang dengan tanda masing-masing. Dan mereka menyeru penghuni Syurga “Salaamun Alaikum” Sedang mereka sendiri belum lagi memasukinya, sedang mereka mengingininya.
[47]
Dan apabila dialihkan pandangan mereka ke arah penghuni neraka, mereka berkata “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau tempatkan kami bersama orang-orang yang zalim itu”
[48]
Dan orang-orang yang berada di atas tembok Al-A’raaf menyeru beberapa orang yang mereka kenal melalui tandanya dengan berkata “Nampaknya apa yang kamu kumpul dan segala apa yang kamu sombongkan dahulu tidak dapat menolong kamu.
[49]
Itukah orang-orang yang kamu ejek-ejek dahulu dan kamu bersumpah pula bahawa mereka tidak akan beroleh rahmat daripada Allah?" (Kepada yang menanya) “Masuklah kamu ke dalam Syurga, tidak ada kebimbangan terhadap kamu, dan tidak pula kamu bersedih hati”
[50]
Dan penghuni neraka menyeru penghuni Syurga “Limpahkanlah kepada kami sedikit air atau apa yang telah dikurniakan Allah kepada kamu” Mereka menjawab “Sesungguhnya Allah telah mengharamkan kedua-duanya atas orang-orang yang kafir”
[51]
(Iaitu) orang-orang yang menjadikan perkara agama mereka sebagai permainan dan senda gurau, dan juga orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia. Maka pada hari ini, Kami lupakan mereka sebagaimana mereka melupakan pertemuan dengan hari ini, dan juga kerana mereka selalu menolak ayat-ayat keterangan Kami.
[52]
Dan sesungguhnya, Kami telah mendatangkan kepada mereka sebuah Kitab yang Kami telah jelaskan satu persatu berdasarkan pengetahuan untuk menjadi petunjuk dan rahmat bagi orang-orang beriman.
[53]
Tidak ada perkara yang mereka tunggu melainkan akibat atau kesudahan. Pada hari datangnya akibat atau kesudahan itu, berkatalah orang-orang yang telah melupakannya dahulu “Demi sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan kebenaran, maka adakah untuk kami pemberi syafaat supaya mereka memberikan syafaat untuk kami atau kami dikembalikan supaya kami dapat beramal, lain daripada apa yang kami telah kerjakan?” Demi sesungguhnya mereka telah merugikan diri mereka sendiri, dan telah lenyaplah daripada mereka perkara-perkara yang mereka ada-adakan dahulu.
[54]
Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menciptakan langit dan bumi dalam enam masa, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy. Dia melindungi malam dengan siang yang mengiringinya dengan cepat. Dan matahari, dan bulan, dan bintang-bintang, tunduk kepada perintahNya. Ingatlah, kepada Dia jualah tertentu urusan menciptakan dan urusan pemerintahan. Maha Suci Allah yang mencipta dan mentadbir sekalian alam.
[55]
Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendahkan diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Dia tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.
[56]
Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah ia diperelokkan, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang dan dengan perasaan terlalu mengharap. Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.
[57]
Dan Dialah yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum rahmatNya, sehingga apabila ia membawa awan yang berat, Kami halakan ia ke tanah yang mati, lalu Kami turunkan air daripadanya, kemudian Kami keluarkan daripadanya berbagai-bagai jenis buah-buahan. Sedemikian itulah juga Kami mengeluarkan orang-orang yang telah mati supaya kamu beringat.
[58]
Dan tanah yang baik, tanaman-tanamannya tumbuh dengan izin Tuhannya. Dan tanah yang tidak baik, tidak tumbuh melainkan bermasalah. Demikianlah Kami menerangkan tanda-tanda Kami bagi orang-orang yang bersyukur.
[59]
Demi sesungguhnya, Kami telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya, lalu berkatalah dia “Wahai kaumku! Sembahlah Allah, tidak ada Tuhan bagi kamu selain Dia. Sesungguhnya aku bimbang kamu akan ditimpa azab hari yang besar”
[60]
Ketua-ketua dari kaumnya berkata “Sesungguhnya kami melihatmu berada dalam kesesatan yang nyata”
[61]
Dia menjawab “Wahai Kaumku! Tidak ada padaku sebarang kesesatan, tetapi aku adalah seorang Rasul daripada Tuhan sekalian alam.
[62]
Aku menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku, dan memberikan nasihat kepada kamu, sedang aku mengetahui daripada Allah apa yang kamu tidak ketahui.
[63]
Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan mengenai datangnya kepada kamu suatu peringatan daripada Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan kamu, bahawa dia memberi peringatan kepada kamu, dan supaya kamu bertakwa, dan juga supaya kamu beroleh rahmat?”
[64]
Mereka terus mendustakannya, lalu Kami selamatkan dia berserta orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang buta.
[65]
Dan kepada kaum Aad, saudara mereka, Nabi Hud. Dia berkata “Wahai kaumku! Sembahlah Allah, tidak ada Tuhan bagi kamu selain Dia. Oleh itu, tidakkah kamu mahu bertakwa?”
[66]
Ketua-ketua yang kafir dari kaumnya berkata “Sesungguhnya kami melihatmu berada dalam kebodohan, dan sesungguhnya kami menganggap engkau termasuk orang-orang yang berdusta”
[67]
Dia menjawab “Wahai kaumku! Tidak ada padaku sebarang kebodohan, tetapi aku adalah seorang Rasul daripada Tuhan sekalian alam.
[68]
Aku menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku, dan aku adalah pemberi nasihat yang amanah bagi kamu.
[69]
Adakah kamu merasa ragu-ragu dan hairan mengenai datangnya kepada kamu suatu peringatan daripada Tuhan kamu melalui seorang lelaki dari golongan kamu, bahawa dia memberi peringatan kepada kamu? Dan kenangkanlah ketika Dia menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Nabi Nuh, dan Allah telah menambahkan kamu kelebihan pada bentuk tubuh badan. Oleh itu, kenangkanlah akan nikmat-nikmat Allah itu supaya kamu berjaya”
[70]
Mereka berkata “Adakah engkau datang kepada kami supaya kami hanya menyembah Allah semata-mata, dan meninggalkan apa yang pernah disembah datuk nenek kami? Maka datangkanlah apa (azab) yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari kalangan orang-orang yang benar”
[71]
Dia menjawab “Demi sesungguhnya, telah tetaplah kamu akan ditimpa azab dan kemurkaan daripada Tuhan kamu. Adakah kamu hendak berbahas denganku mengenai nama-nama (berhala) yang hanya kamu dan datuk nenek kamu menamakannya, sedang Allah tidak sekali-kali menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya? Oleh itu tunggulah, sesungguhnya aku juga dari kalangan orang-orang yang turut menunggu bersama-sama kamu”
[72]
Lalu Kami selamatkan dia berserta orang-orang yang bersamanya, dengan rahmat daripada Kami, dan Kami putuskan keturunan orang-orang yang mendustakan tanda-tanda Kami. Dan mereka bukanlah orang-orang yang beriman.
[73]
Dan kepada kaum Thamud saudara mereka, Nabi Soleh. Dia berkata “Wahai kaumku! Sembahlah Allah, tiada Tuhan bagi kamu selain Dia. Demi sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti yang nyata daripada Tuhan kamu. Ini adalah seekor unta betina Allah sebagai suatu tanda bagi kamu. Oleh itu, biarkanlah unta itu makan di bumi Allah, dan janganlah kamu menyentuhnya dengan sesuatu yang menyakitkan. Maka kamu akan ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[74]
Dan kenangkanlah ketika Dia menjadikan kamu khalifah-khalifah sesudah kaum Aad, dan ditempatkan kamu di muka bumi untuk kamu mendirikan istana-istana di tanahnya yang rata, dan kamu memahat gunung-ganangnya untuk dijadikan rumah. Oleh itu, kenangkanlah nikmat-nikmat Allah itu, dan janganlah kamu bermaharajalela menyebarkan kerosakan di muka bumi”
[75]
Ketua-ketua sombong dari kaumnya berkata kepada orang-orang yang dipandang lemah, iaitu orang-orang yang telah beriman di kalangan mereka “Tahukah kamu bahawa Soleh itu diutuskan daripada Tuhannya?” Mereka menjawab “Sesungguhnya kami beriman kepada apa yang dia diutuskan untuk menyampaikannya”
[76]
Orang-orang yang sombong itu berkata “Sesungguhnya kami tetap ingkar akan apa yang kamu beriman kepadanya”
[77]
Kemudian mereka menyembelih unta tersebut, dan mereka menderhakai perintah Tuhan mereka sambil mereka berkata “Hai Soleh! Datangkanlah apa yang engkau telah janjikan kepada kami jika betul engkau dari Rasul-rasul yang diutuskan”
[78]
Lalu mereka dibinasakan gempa bumi, maka menjadilah mereka mayat-mayat tersungkur di tempat tinggal masing-masing.
[79]
Kemudian dia meninggalkan mereka sambil dia berkata “Wahai kaumku! Aku telah menyampaikan kepada kamu amanat Tuhanku dan memberikan nasihat kepada kamu, tetapi kamu tidak suka kepada orang-orang yang memberikan nasihat”
[80]
Dan Nabi Lut, tatkala dia berkata kepada kaumnya “Patutkah kamu melakukan perbuatan keji yang tidak pernah dilakukan oleh seseorangpun dari penduduk alam ini sebelum kamu?
[81]
Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan. Bahkan kamu ini, kaum yang melampaui batas”
[82]
Dan tidak ada jawapan daripada kaumnya selain mereka berkata “Usirlah mereka dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang mensucikan diri”
[83]
Lalu Kami selamatkan dia berserta keluarganya melainkan isterinya, dia termasuk orang-orang yang ditinggalkan.
[84]
Dan Kami hujani mereka dengan hujan (batu). Oleh itu, lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang melakukan kesalahan.
[85]
Dan kepada penduduk Madyan saudara mereka, Nabi Syuaib. Dia berkata “Wahai kaumku sembahlah Allah, tiada Tuhan bagi kamu selain Dia. Demi sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti yang nyata daripada Tuhan kamu. Oleh itu, sempurnakanlah sukatan dan timbangan, dan janganlah kamu kurangkan bagi manusia apa-apa yang menjadi haknya. Dan janganlah pula kamu menyebarkan kerosakan di muka bumi sesudah ia diperelokkan. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[86]
Dan janganlah kamu duduk di tiap-tiap jalan dengan menakut-nakutkan dan menghalangi dari jalan Allah, orang-orang yang beriman kepadaNya, dan menghendaki pula supaya ia bengkok terpesong. Dan ingatlah semasa kamu dahulu sedikit bilangannya, lalu Dia menjadikan kamu berkembang ramai, dan perhatikanlah juga kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.
[87]
Dan jika ada segolongan dari kamu beriman kepada apa yang aku telah diutuskan untuk menyampaikannya, dan segolongan lagi tidak beriman, maka bersabarlah sehingga Allah menghakimi di antara kita semua. Dan Dialah jua sebaik-baik hakim”
[88]
Ketua-ketua sombong dari kaumnya berkata “Sesungguhnya kami akan mengusirmu wahai Syuaib berserta orang-orang beriman yang bersamamu dari negeri kami ini, atau kamu kembali kepada agama kami” Dia menjawab “Adakah, sekalipun kami tidak menyukai?
[89]
Demi sesungguhnya, kami berdusta kepada Allah jika kami berpindah kepada agama kamu sesudah Allah menyelamatkan kami daripadanya. Dan tidaklah harus kami berpindah kepadanya sama sekali, kecuali jika Allah Tuhan kami menghendakinya. Pengetahuan Tuhan kami meliputi tiap-tiap sesuatu. Kepada Allah jualah kami bertawakal. Wahai Tuhan kami, berikanlah keputusan antara kami dan kaum kami dengan kebenaran. Dan Engkaulah jua sebaik-baik yang memberikan keputusan”
[90]
Dan berkatalah pula ketua-ketua yang kafir sesama kaumnya “Sesungguhnya jika kamu mengikuti Syuaib, nescaya kamu dengan perbuatan yang demikian menjadi orang-orang yang rugi”
[91]
Lalu mereka dibinasakan gempa, dan menjadilah mereka mayat-mayat tersungkur di tempat tinggal masing-masing.
[92]
Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib, seolah-olah mereka belum pernah mendiami negeri tersebut. Orang-orang yang mendustakan Nabi Syuaib, merekalah orang-orang yang rugi.
[93]
Kemudian dia meninggalkan mereka sambil berkata “Wahai kaumku! Demi sesungguhnya aku telah menyampaikan kepada kamu perintah-perintah Tuhanku, dan menasihati kamu. Oleh itu, bagaimanakah aku hendak bersedih terhadap orang-orang yang kafir”
[94]
Dan tidaklah Kami mengutuskan di dalam sesebuah negeri seorang Nabi, melainkan Kami timpakan mereka dengan kesusahan dan penderitaan supaya mereka tunduk merendah diri.
[95]
Setelah Kami gantikan yang buruk dengan yang baik sehingga mereka berkembang biak dan berkata “Demi sesungguhnya datuk nenek kita juga pernah merasai kesusahan dan kesenangan” Lalu Kami timpakan seksaan atas mereka secara mengejut, sedang mereka tidak menyedarinya.
[96]
Dan jika penduduk negeri itu beriman dan bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka apa yang melimpah-limpah berkatnya dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan, maka Kami timpakan mereka azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.
[97]
Patutkah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dari kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur?
[98]
Atau patutkah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dari kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka leka bermain-main?
[99]
Patutkah mereka sehingga mereka merasa aman akan rancangan yang diaturkan Allah? Kerana sesungguhnya tidak ada yang akan merasa aman dari rancangan yang diaturkan Allah itu melainkan orang-orang yang rugi.
[100]
Adakah belum jelas lagi bagi orang-orang yang mewarisi negeri itu sesudah penduduknya, bahawa jika Kami kehendaki tentulah Kami akan timpakan mereka dengan azab disebabkan dosa-dosa mereka, dan Kami kunci hati mereka sehingga mereka tidak dapat mendengar?
[101]
Negeri-negeri itu, Kami ceritakan sebahagian dari khabar beritanya kepadamu. Dan sesungguhnya telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka dengan bukti-bukti yang nyata. Sesudah itu, mereka tidak juga beriman kepada apa yang mereka telah dustakan sebelumnya. Demikianlah Allah mengunci hati orang-orang yang kafir.
[102]
Dan Kami tidak mendapati kebanyakan mereka memenuhi janji, tetapi Kami mendapati kebanyakan mereka orang-orang yang fasik.
[103]
Kemudian Kami utuskan pula Nabi Musa selepas mereka, dengan membawa tanda-tanda Kami kepada Firaun dan Ketua-ketua kaumnya, lalu mereka berlaku zalim terhadapnya. Maka perhatikanlah kesudahan orang-orang yang berbuat kerosakan.
[104]
Dan berkatalah Nabi Musa “Wahai Firaun! Sesungguhnya aku ini adalah seorang Rasul daripada Tuhan sekalian alam.
[105]
Sudah semestinya aku tidak mengatakan sesuatu terhadap Allah melainkan yang benar. Demi sesungguhnya aku datang kepada kamu dengan membawa tanda nyata daripada Tuhan kamu. Oleh itu, bebaskanlah Kaum Bani Israil menyertai aku"
[106]
Dia menjawab “Kalau betul engkau datang dengan membawa suatu tanda, maka bawakanlah ia jika betul engkau dari kalangan orang-orang yang benar”
[107]
Lalu dia (Nabi Musa) mencampakkan tongkatnya, maka dengan tiba-tiba tongkatnya itu menjadi seekor ular yang nyata.
[108]
Dan dia mengeluarkan tangannya, maka dengan tiba-tiba tangannya itu putih bercahaya bagi orang-orang yang melihatnya.
[109]
Berkatalah Ketua-ketua dari kaum Firaun “Sesungguhnya orang ini seorang ahli sihir yang mahir.
[110]
Dia bertujuan mengeluarkan kamu dari tanah kamu” (Firaun berkata) “Oleh itu, apakah yang kamu syorkan?”
[111]
Mereka berkata “Tangguhkanlah dia berserta saudaranya, dan utuskanlah ke bandar-bandar beberapa orang yang akan mengumpulkan.
[112]
Yang kelak akan membawakan kepadamu semua ahli sihir yang mahir”
[113]
Kemudian datanglah ahli-ahli sihir itu kepada Firaun. Mereka berkata “Sungguhkah kami akan beroleh upah, kalau kamilah yang menang?”
[114]
Dia menjawab “Benar, dan kamu sesungguhnya termasuk orang-orang yang rapat”
[115]
Mereka berkata “Hai Musa! Engkaukah yang akan mencampakkan atau kamikah yang akan mencampakkan?”
[116]
Dia menjawab “Campakkanlah!” Maka apabila mereka mencampakkan, mereka menyilap mata orang ramai, dan menjadikan orang-orang itu merasa gerun, dan telah melakukan sihir yang besar.
[117]
Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa “Campakkanlah tongkatmu!” Lalu dengan tiba-tiba ia menelan apa yang mereka telah ada-adakan.
[118]
Maka nyatalah yang benar, dan batallah apa yang mereka telah lakukan.
[119]
Oleh itu, kalahlah mereka di situ dan kembalilah mereka dengan keadaan yang hina.
[120]
Dan ahli-ahli sihir dengan sendirinya merebahkan diri bersujud,
[121]
Mereka berkata “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam.
[122]
Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun”
[123]
Firaun berkata “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku memberikan keizinan kepada kamu? Sesungguhnya ini adalah perbuatan tipu daya yang kamu rancangkan di dalam bandar ini kerana kamu hendak mengeluarkan penduduknya daripadanya. Oleh itu, kelak kamu akan mengetahui.
[124]
Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu secara bersilang, kemudian aku akan memalang kamu semuanya”
[125]
Mereka menjawab “Sesungguhnya kepada Tuhanlah kami kembali.
[126]
Dan tidaklah engkau memarahi kami melainkan kerana kami beriman kepada tanda-tanda Tuhan kami ketika ia sampai kepada kami” “Wahai Tuhan kami, limpahkanlah sabar kepada kami, dan matikanlah kami dalam keadaan berserah diri (Islam)”
[127]
Dan berkatalah pembesar-pembesar dari kaum Firaun “Adakah engkau hendak membiarkan Musa dan kaumnya melakukan kerosakan di bumi dan meninggalkanmu berserta tuhan-tuhanmu?” Dia menjawab “Kita akan bunuh anak-anak lelaki mereka, dan kita biarkan perempuan mereka, dan sesungguhnya kita berkuasa penuh terhadap mereka”
[128]
Musa berkata kepada kaumnya “Mintalah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah, sesungguhnya bumi ini kepunyaan Allah, diwariskanNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya dari kalangan hamba-hambaNya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa”
[129]
Mereka berkata “Kami telah dianiaya dan diperhambakan sebelum engkau datang kepada kami, dan sesudah engkau datang kepada kami” Dia menjawab “Mudah-mudahan Tuhan kamu akan membinasakan musuh kamu dan menjadikan kamu khalifah di bumi, kemudian memerhatikan pula bagaimana perbuatan kamu?”
[130]
Dan sesungguhnya, Kami telah menimpakan Firaun dan kaumnya musim kemarau dan kekurangan buah-buahan supaya mereka mengambil pengajaran.
[131]
Dan apabila datang kepada mereka kesenangan, mereka berkata “Ini adalah untuk kami” Dan jika pula mereka ditimpa kesusahan, mereka mengatakan nahas dan malang itu disebabkan Nabi Musa berserta pengikut-pengikutnya. Ketahuilah, sesungguhnya nahas dan malang mereka itu hanya tertentu di sisi Allah, akan tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui.
[132]
Dan mereka berkata “Biar apapun tanda yang engkau bawakan kepada kami untuk menjalankan sihirmu kepada kami, maka kami tidak sekali-kali akan beriman kepadamu”
[133]
Lalu Kami hantarkan lagi kepada mereka banjir, dan belalang, dan kutu, dan katak, dan darah, sebagai tanda-tanda yang jelas. Dan mereka tetap jua berlaku sombong. Dan mereka itu kaum yang menderhaka.
[134]
Dan tatkala azab tersebut menimpa mereka, mereka berkata “Wahai Musa! Pohonkanlah kepada Tuhanmu untuk kami dengan apa yang dijanjikanNya kepadamu. Jika engkau hapuskan azab itu daripada kami, tentulah kami akan beriman kepadamu, dan sudah tentu kami akan membebaskan kaum Bani Israil bersamamu”
[135]
Setelah Kami hapuskan azab itu daripada mereka, sehingga ke suatu masa tertentu yang mereka tiba kepadanya, tiba-tiba mereka mencabuli.
[136]
Lalu Kami balas mereka, dan Kami tenggelamkan mereka di dalam laut dengan sebab mereka mendustakan tanda-tanda Kami, dan mereka sentiasa lalai daripadanya.
[137]
Dan Kami wariskan kepada kaum yang telah tertindas itu daerah-daerah bahagian timur bumi dan bahagian baratnya, yang Kami telah limpahkan berkat padanya. Maka telah sempurnalah Kalimah Tuhanmu yang baik kepada kaum Bani Israil disebabkan kesabaran mereka, dan Kami telah hancurkan apa yang telah dilakukan Firaun dan kaumnya berserta apa yang mereka telah dirikan.
[138]
Dan Kami bawakan Bani Israil itu ke sebarang Laut, lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. Mereka berkata “Wahai Musa adakanlah untuk kami satu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan” Dia menjawab “Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.
[139]
Sesungguhnya mereka akan dihancurkan oleh kepercayaan yang mereka anuti, dan akan batallah apa yang selalu mereka kerjakan”
[140]
Dia berkata lagi “Patutkah aku mencari tuhan untuk kamu selain Allah, padahal Dia telah melebihkan kamu di atas muka bumi?”
[141]
Dan juga ketika Kami selamatkan kamu daripada Firaun dan kaumnya, yang menyeksa kamu dengan azab seksa yang seberat-berat dan seburuk-buruknya. Mereka membunuh anak-anak lelaki kamu dan membiarkan perempuan kamu. Dan pada yang demikian itu mengandungi cubaan yang besar daripada Tuhan kamu.
[142]
Dan Kami telah janjikan kepada Nabi Musa selama tiga puluh malam, dan Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh lagi, maka sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam. Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun “Gantikanlah aku dalam kaumku dan perbaikilah, dan janganlah turuti jalan orang-orang yang melakukan kerosakan”
[143]
Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan, dan Tuhannya berkata-kata dengannya. Dia berkata “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku supaya aku dapat melihatMu” Dia berfirman “Engkau tidak sekali-kali akan melihatKu, tetapi pandanglah ke arah gunung itu. Dan jika ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu” Tatkala Tuhannya menzahirkan kemuliaan kepada gunung tersebut, Dia menjadikan gunung tersebut hancur lebur dan Nabi Musa jatuh pengsan. Setelah dia sedar semula, berkatalah dia “Maha Suci Engkau, aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal sekali beriman”
[144]
Dia berfirman “Wahai Musa! Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia dengan membawa perutusanKu dan firman-firmanKu. Oleh itu, berpeganglah kepada apa yang Aku kurniakan kepadamu, dan jadikanlah dirimu dari kalangan orang-orang yang bersyukur”
[145]
Dan Kami tuliskan baginya pada Lauh-lauh itu (Taurat), dari pelbagai jenis nasihat pengajaran dan penjelasan bagi tiap-tiap sesuatu "Oleh itu, berpeganglah kepadanya dengan teguh, dan suruhlah kaummu berpegang dengan sebaik-baiknya. Aku akan perlihatkan kepada kamu tempat tinggal orang-orang yang fasik derhaka”
[146]
Aku akan memalingkan orang-orang yang sombong di muka bumi tanpa alasan yang benar dari tanda-tandaKu. Dan mereka jika melihat sebarang tanda, mereka tidak beriman kepadanya, dan mereka jika melihat jalan yang benar, mereka tidak mahu menempuhnya. Dan sebaliknya mereka jika melihat jalan yang salah, mereka menempuhnya. Yang demikian itu kerana mereka mendustakan tanda-tanda Kami, dan mereka sentiasa lalai daripadanya.
[147]
Dan orang-orang yang mendustakan tanda-tanda Kami dan pertemuan hari akhirat, sia-sialah amal mereka. Mereka akan diberikan balasan melainkan untuk apa yang mereka telah kerjakan.
[148]
Dan kaum Nabi Musa, sesudah pemergiannya, mereka mengambil (menyembah) daripada barang-barang perhiasan mereka, anak lembu yang bertubuh lagi bersuara “Tidakkah mereka memerhatikan bahawa ia tidak dapat berkata-kata kepada mereka, dan tidak juga dapat menunjukkan jalan kepada mereka? Mereka mengambilnya dan sememangnya mereka adalah orang-orang yang melakukan kezaliman”
[149]
Dan setelah mereka menyesal dan mengetahui bahawa mereka telah sesat, berkatalah mereka “Jika Tuhan kami tidak memberikan rahmat kepada kami dan mengampuni kami, nescaya menjadilah kami dari kalangan orang-orang yang rugi”
[150]
Dan apabila Nabi Musa kembali kepada kaumnya dengan kemarahan dan kedukacitaan, berkatalah dia “Amatlah buruk apa yang telah kamu lakukan sepeninggalanku. Apakah kamu tidak sabar dalam urusan Tuhan kamu?” Dan dia meletakkan Lauh-lauh itu, dan memegang kepala saudaranya sambil menarik kepadanya. Dia (Nabi Harun) berkata “Wahai anak ibuku! Sesungguhnya kaum ini memandangku lemah, dan nyaris-nyaris mereka membunuhku. Oleh itu, janganlah jadikan musuh bergembira melihat terhadapku, dan menjadikan daku termasuk dalam golongan orang-orang yang zalim”
[151]
Dia berdoa dengan berkata “Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu. Dan Engkaulah sahaja Yang Maha Penyayang di antara para penyayang”
[152]
Sesungguhnya orang-orang yang mengambil anak lembu itu akan ditimpa kemurkaan Tuhan mereka dan kehinaan dalam kehidupan dunia. Dan demikianlah Kami membalas orang-orang yang mengada-adakan.
[153]
Dan orang-orang yang melakukan kejahatan, kemudian bertaubat sesudah itu dan beriman, sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[154]
Dan apabila kemarahan Nabi Musa itu reda, dia mengambil semula Lauh-lauh itu yang tulisannya terkandung petunjuk dan rahmat bagi orang-orang yang takut kepada Tuhannya.
[155]
Dan Nabi Musa memilih tujuh puluh orang lelaki dari kaumnya pada waktu yang telah Kami tentukan. Maka ketika mereka digegarkan gempa, dia merayu dengan berkata “Wahai Tuhanku! Sekiranya Engkau kehendaki, Engkau boleh saja binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang bodoh di antara kami? Itu hanya cubaanMu. Dengannyalah Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkau berikan petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah pelindung kami, oleh itu ampunilah kami dan berikanlah rahmat kepada kami. Dan Engkaulah jua sebaik-baik Pemberi keampunan.
[156]
Dan tetapkanlah untuk kami kebaikan di dunia ini dan di akhirat, sesungguhnya kami kembali kepadaMu” Dia berfirman “AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu, dan Aku akan tetapkan ia untuk orang-orang yang bertakwa, dan yang menunaikan zakat, dan juga orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.
[157]
Iaitu orang-orang yang mengikut Rasulullah Nabi Ummi, yang mereka dapatinya tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara baik, dan melarang mereka dari melakukan perkara-perkara keji. Dan dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk. Dan dia juga menghapuskan daripada mereka bebanan-bebanan dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, dan mengikut cahaya yang diturunkan kepadanya, mereka itulah orang-orang yang berjaya.
[158]
Katakanlah “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semua. Yang menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan melainkan Dia. Yang menghidupkan dan mematikan. Oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi Ummi yang beriman kepada Allah dan Kalimah-kalimahNya. Dan ikutilah dia supaya kamu beroleh petunjuk”
[159]
Dan di antara kaum Nabi Musa, terdapat satu golongan yang memberikan petunjuk dengan perkara-perkara yang hak, yang dengannya mereka mengadakan keadilan.
[160]
Dan Kami bahagikan mereka menjadi dua belas suku sebagai golongan-golongan besar. Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa ketika kaumnya meminta air kepadanya “Pukullah batu itu dengan tongkatmu” Lalu terpancarlah daripadanya dua belas mata air. Tiap-tiap golongan mengetahui tempat minum masing-masing. Dan Kami naungi pula mereka dengan awan, dan Kami turunkan kepada mereka Mann dan Salwa “Makanlah yang baik-baik dari apa yang Kami telah kurniakan kepada kamu” Dan tidaklah mereka menganiaya Kami, tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.
[161]
Dan ketika dikatakan kepada mereka “Tinggallah di dalam bandar ini dan makanlah daripadanya apa sahaja yang kamu sukai, dan berkata ‘Ampunkanlah’ Dan masuklah melalui pintu itu dengan bersujud, supaya Kami mengampunkan dosa-dosa kamu. Kami juga akan menambahkan orang-orang yang berbuat baik”
[162]
Tetapi orang-orang zalim di antara mereka menukarkan dengan perkataan yang tidak dikatakan kepada mereka, maka Kami turunkan azab dari langit menimpa mereka dengan sebab kezaliman yang mereka lakukan.
[163]
Dan bertanyalah kepada mereka mengenai bandar yang letaknya di tepi laut semasa mereka melanggar larangan pada hari Sabtu, ketika datang kepada mereka pada hari Sabtu ikan-ikan mereka yang kelihatan timbul, sedang pada hari-hari lain, ia tidak datang kepada mereka. Demikianlah Kami menguji mereka disebabkan mereka sentiasa berlaku fasik.
[164]
Dan ketika segolongan di antara mereka berkata “Mengapa kamu menasihati kaum yang Allah akan binasakan mereka atau mengazab mereka dengan azab yang amat berat?” Orang-orang itu menjawab “Supaya kami mempunyai alasan kepada Tuhan kamu, dan supaya mereka bertakwa”
[165]
Dan tatkala mereka melupakan apa yang telah diperingatkan kepada mereka, Kami selamatkan orang-orang yang melarang dari perbuatan jahat berkenaan, dan Kami timpakan orang-orang yang zalim dengan azab seksa yang amat berat disebabkan mereka berlaku fasik.
[166]
Dan setelah mereka berlaku sombong kepada apa yang telah dilarang mereka melakukannya, Kami firmankan kepada mereka “Jadilah kera yang hina”
[167]
Dan ketika Tuhanmu menyatakan, bahawa sesungguhnya Dia akan menghantarkan kepada mereka (kaum Yahudi) sehingga hari kiamat, kaum-kaum yang akan menimpakan mereka dengan azab sengsara seburuk-buruknya. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat menimpakan balasan, dan sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[168]
Dan Kami pecahkan mereka berpuak-puak di dunia ini. Di antara mereka ada yang soleh dan di antaranya juga yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan kebaikan dan keburukan supaya mereka kembali.
[169]
Lalu datanglah sesudah mereka generasi yang mewarisi Kitab, yang mengambil harta benda yang rendah (nilainya) sambil berkata “Akan diampunkan untuk kami” Padahal jika datang kepada mereka harta benda seperti itu lagi, mereka akan mengambilnya juga. Bukankah telah diambil perjanjian setia daripada mereka di dalam Kitab bahawa mereka tidak akan memperkatakan terhadap Allah melainkan yang benar? Dan mereka juga telah mempelajari apa yang terkandung di dalamnya, dan negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Tidakkah kamu mahu mengerti?
[170]
Dan orang-orang yang berpegang teguh dengan Kitab (Allah) dan mendirikan sembahyang, sesungguhnya Kami tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berusaha memperbaiki.
[171]
Dan ketika Kami angkatkan gunung di atas mereka seolah-olah gunung itu awan, dan mereka merasa bahawa ia akan jatuh menimpa mereka “Terimalah dengan bersungguh-sungguh apa yang telah Kami berikan kepada kamu, dan ingatlah apa yang terkandung di dalamnya supaya kamu menjadi orang-orang yang bertakwa kepada Allah”
[172]
Dan ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam daripada sulbi mereka, dan menjadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri “Bukankah Aku tuhan kamu?” Mereka semua menjawab “Benar, kami menjadi saksi” Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak "Sesungguhnya kami adalah orang yang lalai mengenai ini”
[173]
Atau kamu mengatakan “Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik terlebih dahulu, sedang kami ialah keturunan yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau hendak binasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?”
[174]
Dan demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan satu persatu, dan supaya mereka kembali.
[175]
Dan bacakanlah kepada mereka khabar berita seorang yang Kami berikan kepadanya ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti bisikan syaitan, dan menjadi dari kalangan orang-orang yang sesat.
[176]
Dan sekiranya Kami kehendaki, nescaya Kami tinggikan pangkatnya dengan ini. Tetapi dia bermati-matian cenderung kepada dunia dan menuruti hawa nafsunya. Maka bandingannya seperti anjing, jika engkau menyerangnya, ia menghulurkan lidahnya termengah-mengah. Dan jika engkau membiarkannya, ia juga termengah-mengah menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan tanda-tanda Kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah tersebut supaya mereka berfikir.
[177]
Amatlah buruk bandingan orang-orang yang mendustakan tanda-tanda Kami, dan mereka pula berlaku zalim kepada diri mereka sendiri.
[178]
Sesiapa yang diberikan petunjuk oleh Allah, maka dialah yang beroleh petunjuk. Dan sesiapa yang disesatkanNya, maka merekalah orang-orang yang rugi.
[179]
Dan demi sesungguhnya, Kami jadikan untuk neraka Jahannam, kebanyakan dari jin dan manusia yang mempunyai hati, tetapi tidak menggunakannya untuk memahami, dan mempunyai mata tidak menggunakannya untuk melihat dan mempunyai telinga tidak menggunakannya untuk mendengar. Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
[180]
Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik, maka mohonlah kepadaNya dengan menyebutnya, dan pulaukanlah orang-orang yang menyimpang berkaitan nama-namaNya itu. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.
[181]
Dan di kalangan orang-orang yang Kami ciptakan itu, terdapat satu umat yang memberikan petunjuk dengan kebenaran, dan dengannya juga mereka mengadakan keadilan.
[182]
Dan orang-orang yang mendustakan tanda-tanda Kami, Kami akan tarik mereka sedikit demi sedikit, menurut cara yang mereka tidak ketahui.
[183]
Dan Aku berikan tempoh kepada mereka, sesungguhnya rancanganKu amatlah teguh.
[184]
Patutkah mereka tidak mahu memikirkan sahabat mereka yang tidak sekali-kali menghidap penyakit gila, tetapi dia hanyalah seorang pemberi amaran yang jelas.
[185]
Patutkah mereka tidak mahu memerhatikan alam langit dan bumi dan segala yang diciptakan Allah, dan kebarangkalian telah dekat masa mereka? Maka kepada perkataan mana lagikah sesudah itu mereka mahu beriman?
[186]
Sesiapa yang disesatkan Allah, maka tidak ada petunjuk untuknya, dan Dia membiarkan mereka meraba-raba dalam kesesatan mereka.
[187]
Mereka bertanyakan kepadamu mengenai Saat (hari kiamat) “Bilakah masa datangnya?” Katakanlah “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanya di sisi Tuhanku, tidak ada sesiapapun yang dapat menerangkan waktunya melainkan Dia. Ia amatlah berat di langit dan di bumi. Ia tidak datang kepada kamu melainkan secara mengejut” Mereka bertanyakan (lagi) kepadamu seolah-olah engkau benar-benar mengetahuinya. Katakanlah “Sesungguhnya pengetahuan mengenainya ialah di sisi Allah, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”
[188]
Katakanlah “Aku tidak berkuasa mendatangkan manfaat bagi diriku dan tidak juga mudarat melainkan apa yang dikehendaki Allah. Dan kalaulah aku mengetahui perkara-perkara ghaib, tentulah aku akan membuat kebajikan sebanyak-banyaknya, dan aku tidak akan ditimpa kesusahan. Aku ini tidak lain hanyalah pemberi amaran dan pembawa berita gembira bagi orang-orang yang beriman”
[189]
Dialah yang menciptakan kamu semua daripada diri yang satu, dan mengadakan daripadanya pasangannya, supaya dia mungkin hidup bersamanya. Ketika dia mencampurinya, mengandunglah dia dengan kandungan yang ringan, dan teruslah dengan keadaan demikian. Kemudian ketika dia merasa berat, berdoalah mereka berdua kepada Allah Tuhan mereka “Jika Engkau mengurniakan kami nikmat yang baik, tentulah kami menjadi orang-orang yang bersyukur”
[190]
Kemudian apabila Dia mengurniakan kepada keduanya nikmat yang baik, maka mereka menjadikan bagiNya sekutu dalam apa yang Dia kurniakan kepada mereka. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan itu.
[191]
Patutkah mereka sekutukan dengan benda-benda yang tidak dapat menciptakan sesuatupun, sedang merekalah yang diciptakan?
[192]
Dan ia tidak dapat menolong mereka, dan tidak juga dapat menolong dirinya sendiri.
[193]
Dan jika kamu menyerunya untuk memperoleh petunjuk, ia tidak dapat menuruti kamu. Sama saja bagi kamu, sama ada kamu menyerunya atau kamu mendiamkan diri.
[194]
Sesungguhnya benda-benda yang kamu seru selain Allah adalah makhluk-makhluk seperti kamu. Maka serulah ia, dan biarkanlah ia memberikan respon kepada kamu kalau betul kamu orang-orang yang benar.
[195]
Adakah benda-benda itu mempunyai kaki yang dengannya ia dapat berjalan, atau adakah ia mempunyai tangan yang dengannya ia dapat memegang, atau adakah ia mempunyai mata yang dengannya ia dapat melihat, atau adakah ia mempunyai telinga yang dengannya ia dapat mendengar? Katakanlah “Serulah sekutu-sekutu kamu itu, kemudian jalankan tipu daya terhadapku, dan janganlah memberikanku kesempatan.
[196]
Sesungguhnya Pelindungku ialah Allah yang telah menurunkan Kitab, dan Dialah juga pelindung orang-orang yang berbuat kebaikan”
[197]
Dan mereka yang kamu sembah selain Dia, tidak akan dapat menolong kamu, dan tidak juga dapat menolong dirinya sendiri.
[198]
Dan jika kamu menyerunya untuk mendapatkan petunjuk, nescaya mereka tidak dapat mendengarnya. Dan engkau nampak benda-benda itu memandangmu, padahal mereka tidak melihat.
[199]
Berpeganglah kepada kemaafan, dan suruhlah kepada perkara yang baik, dan berpalinglah dari orang-orang yang jahil.
[200]
Dan jika engkau dihasut oleh suatu bisikan dari syaitan, maka mintalah perlindungan Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[201]
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh suatu imbasan bisikan dari syaitan, mereka ingat (Allah) maka dengan itu mereka nampak.
[202]
Sedang saudara teman-teman mereka, mereka (syaitan-syaitan) membenamkan mereka dalam kesesatan, dan mereka tidak henti-henti.
[203]
Dan apabila engkau tidak bawakan kepada mereka suatu tanda, berkatalah mereka “Mengapa engkau tidak mengadakannya sendiri?” Katakanlah “Sesungguhnya aku hanya menuruti apa yang diwahyukan kepadaku daripada Tuhanku. Ini adalah panduan-panduan yang membuka hati daripada Tuhan kamu, dan petunjuk dan menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman”
[204]
Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah, dan tumpukanlah perhatian terhadapnya supaya kamu beroleh rahmat.
[205]
Dan ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri dan perasaan takut, dan dengan tidak menyaringkan suara pada waktu pagi dan petang. Dan janganlah menjadi dari kalangan orang-orang yang lalai.
[206]
Sesungguhnya mereka yang rapat dengan Tuhanmu, mereka tidak bersikap angkuh dari beribadat kepadaNya, dan mereka pula bertasbih bagiNya, dan kepadaNyalah jua mereka bersujud.