Tuesday 7 August 2012

24. SURAH An-Nur

24. SURAH An-Nur
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Satu surah yang Kami turunkan, dan Kami wajibkan hukum-hakamnya. Dan Kami turunkan padanya ayat-ayat keterangan yang jelas supaya kamu beringat.
[2]
Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebatan. Dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap mereka yang berhubung kait dengan agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan hendaklah disaksikan hukuman seksa mereka itu oleh sekumpulan dari kalangan orang-orang yang beriman.
[3]
Lelaki yang berzina tidak akan berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan yang menyekutukan (Allah). Dan perempuan yang berzina itu pula tidak akan berkahwin dengannya melainkan lelaki yang berzina atau lelaki yang menyekutukan (Allah). Dan yang sedemikian itu adalah terlarang bagi orang-orang yang beriman.
[4]
Dan orang-orang yang melontarkan tuduhan kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan. Dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya. Dan mereka adalah orang-orang yang fasik.
[5]
Melainkan orang-orang yang bertaubat sesudah itu dan memperbaiki, maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[6]
Dan orang-orang yang menuduh isterinya, sedang mereka tidak mempunyai saksi-saksi melainkan dirinya, maka persaksian bagi seseorang yang menuduh itu hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa dia dari orang-orang yang benar.
[7]
Dan yang kelima, bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya sekiranya dia termasuk orang-orang yang berdusta.
[8]
Dan bagi menghindarkan hukuman seksa olehnya (isteri), hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah, empat kali, bahawa dia (suami) sesungguhnya termasuk orang-orang yang berdusta.
[9]
Dan yang kelima, bahawa laknat Allah akan menimpa dirinya sekiranya dia (suami) dari orang-orang yang benar.
[10]
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu! Dan bahawa Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Bijaksana,
[11]
Sesungguhnya orang-orang yang membawa penipuan itu adalah dari golongan kamu. Janganlah kamu menyangka itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh apa dari dosa yang dilakukannya, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menghebahkannya di kalangan mereka, akan beroleh azab seksa yang besar.
[Tuduhan zina terhadap isteri Nabi]
[12]
Sepatutnya semasa kamu mendengarnya, orang-orang yang beriman lelaki mahupun perempuan, menaruh prasangka baik kepada golongan mereka sendiri, dan berkata “Ini adalah penipuan yang nyata”
[13]
Sepatutnya mereka mendatangkan empat orang saksi untuknya. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu di sisi Allah adalah orang-orang yang dusta.
[14]
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat, tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan perbicaraan kamu dalam hal tersebut.
[15]
Iaitu semasa kamu menerima itu dari lidah ke lidah, dan memperkatakan dari mulut ke mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Dan kamu menyangkanya perkara kecil, padahal ia di sisi Allah adalah besar.
[16]
Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu berkata “Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini! Maha Suci Engkau! Ini adalah satu fitnah yang besar”
[17]
Allah memberikan amaran kepada kamu, supaya kamu tidak mengulangi perbuatan sedemikian ini selama-lamanya, jika betul kamu orang-orang yang beriman.
[18]
Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan, dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[19]
Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan perkara yang tidak bermoral dalam kalangan orang-orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat. Dan Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui.
[20]
Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu! Dan bahawa Allah Amat melimpah belas kasihanNya!
[21]
Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menuruti jejak langkah syaitan. Dan sesiapa yang menuruti jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya dia sentiasa menyuruh kepada perkara yang tidak bermoral serta keji. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu, nescaya tidak ada seorangpun di antara kamu dibersihkan selama-lamanya. Akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[22]
Dan janganlah orang-orang yang berbudi dan lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberikan kepada kaum keluarga, orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah. Dan hendaklah mereka memaafkan dan mengabaikan (kesalahan) mereka. Tidakkah kamu suka agar Allah mengampuni kamu? Dan Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[23]
Sesungguhnya orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatannya, yang tidak terlintas pada fikirannya, lagi beriman, akan dilaknat di dunia dan di akhirat, dan mereka akan beroleh azab seksa yang besar.
[24]
Hari lidah mereka, tangan mereka, dan kaki mereka menjadi saksi terhadap mereka mengenai apa yang mereka lakukan.
[25]
Pada hari itu, Allah akan menyempurnakan untuk mereka balasan dengan hak, dan mereka pula akan mengetahui bahawa Allah, Dialah Yang Maha Adil, lagi nyata keadilanNya.
[26]
Perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat adalah untuk perempuan-perempuan yang jahat. Dan perempuan-perempuan yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk perempuan-perempuan yang baik. Orang-orang itu bersih dari apa yang mereka katakan. Mereka itu akan beroleh pengampunan dan pengurniaan yang mulia.
[27]
Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang lain, sehingga kamu terlebih dahulu meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat.
[28]
Dan sekiranya kamu tidak mendapati di dalamnya sesiapa, maka janganlah memasukinya sehingga kamu diberikan keizinan. Dan jika dikatakan kepada kamu 'Baliklah' maka baliklah. Ia lebih suci bagi kamu, dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu lakukan.
[29]
Tidaklah menjadi salah, kamu memasuki mana-mana rumah yang tidak didiami, yang padanya terdapat keperluan kamu. Dan Allah mengetahui akan apa yang kamu zahirkan dan apa yang kamu sembunyikan.
[30]
Katakanlah kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka merendahkan pandangan mereka, dan mereka memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya mengenai apa yang mereka kerjakan.
[31]
Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka merendahkan pandangan mereka, dan mereka memelihara kehormatan mereka. Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka melainkan yang zahir daripadanya. Dan hendaklah mereka melabuhkan tudung mereka hingga ke paras dada mereka. Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak saudara-saudara mereka lelaki mahupun perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau apa yang dimiliki oleh tangan kanan mereka (hamba-hamba mereka), atau orang gaji dari lelaki yang tidak berkeinginan lagi kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti mengenai aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki mereka untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka. Dan bertaubatlah kamu semua kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.
[32]
Dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang dari kalangan kamu, dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki mahupun perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.
[33]
Dan orang-orang yang tidak menemui perkahwinan, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya. Dan hamba-hamba kamu yang hendak mengadakan surat perjanjian (untuk memerdekakan dirinya), hendaklah kamu melaksanakan perjanjian tersebut dengan mereka sekiranya kamu mengetahui sebarang kebaikan pada diri mereka. Dan berikanlah kepada mereka dari harta Allah yang telah dikurniakanNya kepada kamu. Dan janganlah kamu memaksa hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri sedang mereka mahu menjaga kehormatannya, disebabkan kamu menghendaki keuntungan sementara kehidupan dunia. Dan sesiapa yang memaksa mereka, maka sesungguhnya Allah sesudah paksaan mereka, Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[34]
Dan sesungguhnya, Kami telah menurunkan kepada kamu, ayat-ayat keterangan yang jelas, dan contoh tauladan orang-orang yang telah lalu sebelum kamu, dan pengajaran bagi orang-orang yang bertakwa.
[35]
Allah menerangi langit dan bumi. Bandingan cahayaNya itu adalah seperti sebuah misykaat yang berisi sebuah lampu. Lampu itu pula di dalam balang kaca. Balang kaca tersebut (menjadi) laksana bintang berkilauan, yang dinyalakan dari pohon yang banyak manfaatnya, pohon zaitun. Tidak di timur dan tidak di barat. Hampir-hampir saja minyaknya itu dengan sendirinya memancarkan cahaya bersinar walaupun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya, Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya kepada cahayaNya itu. Dan Allah mengemukakan berbagai-bagai contoh perbandingan bagi umat manusia. Dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[36]
(Ia bersinar terang) di dalam rumah-rumah (ibadat) yang diperintahkan Allah supaya dimuliakan dan disebutkan namaNya padanya. Di situ jugalah ibadat mensucikanNya pada waktu pagi dan petang.
[37]
(Oleh) mereka yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau jual-beli dari mengingati Allah, mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat. Mereka takut akan hari yang padanya hati dan pandangan menjadi bercelaru.
[38]
Agar Allah membalas mereka dengan sebaik-baiknya bagi apa yang mereka kerjakan, dan menambahkan mereka dari limpah kurniaNya. Dan sememangnya Allah memberikan kepada sesiapa yang dikehendakiNya dengan tidak terhitung.
[39]
Dan orang-orang kafir, amal-amal mereka umpama riak panas di tanah yang rendah, yang disangka air oleh orang yang dahaga, sehingga apabila dia tiba kepadanya, tidak didapatinya jua apapun. Namun dia tetap juga mendapati Allah di hadapannya, kemudian Allah menyempurnakan hitungan amalnya. Dan Allah Amat segera hitungan hisabNya.
[40]
Atau umpama kegelapan di lautan dalam, yang diliputi ombak bertindih ombak. Di sebelah atasnya awan, yang kegelapannya bertindih dengan yang lain. Apabila dia mengeluarkan tangannya, terlalu sukar untuknya melihatnya. Dan sesiapa yang tidak dijadikan Allah untuknya lampu maka tidak ada baginya sebarang cahaya.
[41]
Tidakkah engkau melihat bahawasanya kepada Allah sentiasa bertasbih sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi dan burung-burung yang melebarkan sayapnya? Masing-masing sedia mengetahui cara mengerjakan ibadatnya dan memujinya. Dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.
[42]
Dan bagi Allah jualah kuasa pemerintahan langit dan bumi, dan kepada Allah jualah tempat kembali.
[43]
Tidakkah engkau melihat bahawasanya Allah menggerakkan awan, kemudian mengumpulkan di antaranya, kemudian menjadikannya bertindih-tindih? Lalu engkau akan melihat hujan turun dari celah-celahnya. Dan Dia menurunkan hujan batu dari langit, iaitu dari gunung-ganang (awan) yang ada padanya. Lalu ditimpakanNya dengannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan menjauhkannya daripada sesiapa yang dikehendakiNya. Sinaran kilat yang terpancar dari awan yang sedemikian keadaannya, hampir-hampir saja menghilangkan pandangan.
[44]
Allah menggantikan malam dan siang silih berganti. Sesungguhnya pada yang demikian mengandungi pelajaran bagi orang-orang yang mempunyai penglihatan.
[45]
Dan Allah menciptakan tiap-tiap makhluk yang bergerak daripada air. Maka sebahagian di antaranya menjalar di atas perutnya, dan sebahagian di antaranya berjalan dengan dua kaki, dan sebahagian lagi berjalan dengan empat kaki. Allah menciptakan apa jua yang dikehendakiNya, dan sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
[46]
Demi sesungguhnya, Kami telah menurunkan ayat-ayat yang jelas. Dan Allah memberikan petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus.
[47]
Dan mereka yang berkata “Kami beriman kepada Allah dan kepada RasulNya dan kami taat” Kemudian sepuak dari mereka berpaling sesudah itu, maka tidaklah mereka itu orang-orang yang beriman.
[48]
Dan apabila mereka diajak kepada Allah dan RasulNya untuk menghakimi di antara mereka, maka dengan serta-merta sepuak dari mereka tidak suka.
[Kitab Allah dan Sunnah Rasulullah]
[49]
Dan sekiranya kebenaran itu berada di pihak mereka, mereka segera datang kepadanya dengan taat.
[50]
Adakah kerana hati mereka mengandungi penyakit, atau kerana mereka ragu-ragu, atau kerana mereka takut bahawa Allah dan RasulNya akan berlaku zalim kepada mereka? Bahkan merekalah orang-orang yang zalim.
[51]
Sesungguhnya perkataan orang-orang beriman ketika mereka diajak kepada Allah dan RasulNya, untuk menghakimi di antara mereka, hanyalah mereka berkata “Kami dengar dan kami taat” Dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.
[52]
Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut kepada Allah dan bertakwa kepadaNya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.
[53]
Dan mereka bersumpah dengan nama Allah dengan sebenar-benar sumpahnya, bahawa jika engkau perintahkan mereka, tentulah mereka akan keluar (berjihad). Katakanlah “Janganlah bersumpah taat yang diketahui itu. Sesungguhnya Allah Amat Mendalam pengetahuanNya mengenai apa yang kamu lakukan”
[54]
Katakanlah lagi “Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah. Kemudian jika kamu berpaling, maka sesungguhnya dia hanyalah bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepadanya, dan kamu pula bertanggungjawab akan apa yang ditugaskan kepada kamu. Dan jika kamu taat kepadanya nescaya kamu beroleh petunjuk. Dan tidaklah Rasul Allah itu melainkan menyampaikan dengan cara yang jelas”
[55]
Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan berbuat baik dari kalangan kamu bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang berkuasa di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka, khalifah-khalifah yang berkuasa. Dan Dia akan menetapkan agama mereka yang telah diredhaiNya untuk mereka. Dan Dia juga akan menggantikan untuk mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan. Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu. Dan sesiapa yang ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka.
[56]
Dan dirikanlah sembahyang dan tunaikanlah zakat dan taatlah kamu kepada Rasul Allah supaya kamu beroleh rahmat.
[57]
Janganlah engkau menyangka orang-orang yang kafir itu akan terlepas di bumi, sedang tempat kembali mereka adalah neraka. Dan itulah seburuk-buruk tempat kembali.
[58]
Wahai orang-orang beriman, hendaklah hamba-hamba kamu dan orang-orang yang belum baligh dari kalangan kamu meminta keizinan kamu (sebelum masuk ke tempat kamu) dalam tiga masa, (iaitu) sebelum sembahyang subuh, dan ketika kamu membuka pakaian pada tengah hari, dan sesudah sembahyang Isyak. Itulah tiga masa bagi kamu. Kamu dan mereka tidaklah bersalah selepas itu. Orang-orang yang selalu keluar masuk kepada kamu, kerana kamu masing-masing sentiasa berhubung kait antara satu dengan yang lain. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat keterangan. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[59]
Dan apabila kanak-kanak dari kalangan kamu telah baligh, maka hendaklah mereka meminta keizinan sama seperti orang-orang sebelum mereka. Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayatNya. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
[60]
Dan mana-mana perempuan tua yang telah putus kedatangan haid, yang tidak mempunyai harapan berkahwin lagi, maka tidak ada salahnya mereka menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak mendedahkan perhiasan mereka. Dalam pada itu, perbuatan mereka menjaga kehormatannya adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
[61]
Tidak salah bagi orang buta, tidak salah bagi orang tempang, tidak salah bagi orang sakit, dan tidak salah juga bagi kamu makan di rumah kamu sendiri, atau di rumah ayah kamu, atau di rumah ibu kamu, atau di rumah saudara lelaki mahupun saudara perempuan kamu, atau di rumah ayah atau emak saudara kamu (sebelah ayah), atau di rumah ayah atau emak saudara kamu (sebelah ibu), atau apa yang kamu kuasai kuncinya, atau sahabat kamu. Tidak menjadi salah bagi kamu, makan bersama-sama atau sendiri-sendiri. Dan apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberikan salam kepada diri kamu (sesama manusia) dengan salam yang penuh berkat dari sisi Allah. Demikianlah Allah menerangkan untuk kamu ayat-ayat keterangan, supaya kamu memahaminya.
[62]
Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah mereka yang beriman kepada Allah dan RasulNya, dan apabila mereka turut bersama-samanya (Rasulullah) dalam suatu urusan yang memerlukan perhimpunan ramai, tidaklah mereka pergi sebelum mereka meminta keizinannya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu itu, itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya. Kemudian apabila mereka meminta keizinanmu untuk pergi menjalankan suatu urusan mereka, maka izinkanlah bagi sesiapa yang engkau kehendaki di antara mereka, dan pohonlah keampunan Allah untuk mereka. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[63]
Janganlah kamu jadikan panggilan Rasulullah di kalangan kamu seperti panggilan sesama kamu. Sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang menarik diri keluar secara berselindung. Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, takut akan beroleh cubaan, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.
[64]
Ketahuilah! Sesungguhnya Allah jualah yang menguasai segala yang ada di langit dan di bumi. Dan Dia mengetahui mengenai keadaan kamu. Dan hari mereka kembali kepadaNya, kemudian Dia akan menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah kerjakan. Dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.