Tuesday 7 August 2012

21. SURAH Al-Anbiyaa'

21. SURAH Al-Anbiyaa'
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Telah hampir tiba kepada manusia hari perhitungan amalnya, sedang mereka dalam keadaan lalai, tidak menghiraukan.
[2]
Tidak datang kepada mereka sebarang peringatan yang diturunkan oleh Tuhan mereka selepas satu, satu, melainkan mereka mendengarnya sambil mempermain-mainkan.
[3]
Dengan keadaan hati mereka leka dari memahami, sambil orang-orang yang zalim itu berbisik-bisik sesama sendiri dengan berkata “Bukankah ini hanyalah seorang manusia biasa seperti kamu? Maka patutkah kamu menghampiri sihir tersebut sedang kamu melihat?”
[Al-Quran]
[4]
Dia berkata “Tuhanku mengetahui tiap-tiap perkataan di langit dan di bumi. Dan Dia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”
[5]
Bahkan mereka mengatakan “(Al-Quran itu) mimpi-mimpi bercelaru, dan dialah yang menghasilkannya. Bahkan dia adalah seorang pemuisi. Dan hendaklah dia bawakan kepada kita suatu tanda sebagaimana yang diturunkan kepada orang sebelumnya”
[6]
Tidak jua beriman penduduk sesebuah negeri yang Kami telah binasakan sebelum mereka. Adakah mereka juga akan beriman?
[Sekiranya tanda diturunkan]
[7]
Dan Kami tidak mengutuskan sebelummu melainkan orang-orang lelaki yang Kami wahyukan kepada mereka. Dan bertanyalah kamu kepada orang yang berilmu, sekiranya kamu tidak mengetahui.
[8]
Dan Kami tidak jadikan mereka bertubuh badan yang tidak makan makanan, dan mereka pula tidak akan hidup selama-lamanya.
[9]
Kemudian Kami tepati janji Kami kepada mereka, lalu Kami selamatkan mereka berserta sesiapa yang Kami kehendaki, dan Kami binasakan orang-orang yang melampaui batas.
[10]
Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu sebuah Kitab yang mengandungi sebab-sebab kemuliaan bagi kamu, maka mengapa kamu tidak cuba memahami?
[11]
Dan berapa banyak Kami telah pecah-belahkan (penduduk) negeri yang berlaku zalim, dan Kami jadikan sesudah mereka, kaum yang lain.
[12]
Kemudian ketika mereka merasai azab Kami, mereka dengan serta-merta keluar lari dari negeri tersebut.
[13]
“Janganlah kamu lari, sebaliknya kembalilah kepada apa yang kamu diberikan kemewahan hidup, dan ke tempat-tempat tinggal kamu, supaya kamu dapat ditanya”
[14]
Mereka berkata “Aduhai celakanya kami! Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang berlaku zalim!”
[15]
Dan demikianlah seterusnya tangisan mereka, sehingga Kami jadikan mereka seperti tanaman yang telah dituai, yang mati.
[16]
Dan tidaklah Kami ciptakan langit dan bumi dan segala yang ada di antaranya, sebagai permainan.
[17]
Jika Kami menghendaki bahawa Kami mengadakan suatu permainan, tentulah Kami akan mengadakannya dari sisi Kami, kalaulah Kami hendak melakukannya.
[18]
Dan Kami sentiasa mengarah yang benar menentang yang salah, lalu ia menghancurkan kepalanya, maka dengan serta-merta hilang lenyaplah ia. Dan kehancuranlah bagi kamu disebabkan apa yang kamu sifatkan.
[19]
Dan segala yang ada di langit dan di bumi adalah milikNya. Dan mereka yang ada di sisiNya tidaklah mereka sombong untuk beribadat kepadaNya, dan tidak pula mereka merasa letih.
[20]
Mereka beribadat malam dan siang, dan tidak jua mereka merasa lemah.
[21]
Adakah mereka mengambil (menyembah) dari bumi tuhan-tuhan yang dapat membangkitkan?
[22]
Kalaulah ada di antara keduanya (langit dan bumi) tuhan-tuhan yang lain dari Allah, nescaya binasalah kedua-duanya. Oleh itu, Maha Suci Allah, Tuhan yang mempunyai Arasy, dari apa yang mereka sifatkan.
[23]
Dia tidak boleh ditanya mengenai apa yang Dia lakukan, sedang merekalah yang akan ditanya.
[24]
Adakah mereka mengambil tuhan-tuhan yang lain daripadaNya? Katakanlah “Bawakanlah bukti kamu. Ini (Al-Quran) adalah Peringatan mereka yang bersamaku, juga Peringatan umat-umat yang terdahulu daripadaku” Bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui kebenaran, kerana itulah mereka membenci.
[25]
Dan Kami tidak mengutuskan sebelummu seorang Rasul pun melainkan Kami mewahyukan kepadanya “Bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Aku. Oleh itu, beribadatlah kepadaKu”
[26]
Dan mereka berkata “Tuhan Yang Maha Pemurah mengambil anak” Maha Sucilah Dia. Bahkan (mereka itu) hamba-hamba yang dimuliakan.
[27]
Mereka tidak mendahuluiNya dengan perkataan dan mereka mengerjakan apa sahaja yang diperintahkanNya.
[28]
Dia mengetahui apa yang di hadapan mereka, dan apa yang di belakang mereka. Dan mereka tidak memberikan syafaat melainkan untuk sesiapa yang diredhaiNya. Dan mereka pula sentiasa cemas terhadapNya.
[29]
Dan sesiapa di antara mereka yang berkata “Sesungguhnya aku ialah tuhan selain Dia” Maka yang demikian, Kami akan membalasnya dengan neraka Jahanam. Demikianlah Kami membalas golongan yang zalim.
[30]
Dan tidakkah orang-orang yang kafir itu memerhatikan bahawa langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum, lalu Kami pisahkan keduanya? Dan daripada air, Kami jadikan tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak juga mahu beriman?
[31]
Dan Kami telah jadikan di bumi gunung-ganang yang kukuh, supaya ia tidak bergoncang bersama mereka. Dan Kami jadikan padanya jalan-jalan yang luas, supaya mereka mendapat petunjuk.
[32]
Dan Kami telah jadikan langit sebagai bumbung yang terpelihara, sedang mereka berpaling tidak memerhatikan tanda-tanda yang ada padanya.
[33]
Dan Dialah yang telah menjadikan malam dan siang. Dan matahari dan bulan, tiap-tiap satunya terapung-apung di tempat edaran masing-masing.
[34]
Dan Kami tidak jadikan seorang manusia pun sebelummu dapat hidup kekal. Dan kalaulah engkau meninggal dunia, adakah mereka akan hidup selama-lamanya?
[35]
Tiap-tiap yang bernyawa pasti merasai mati. Dan Kami uji kamu dengan yang buruk dan yang baik sebagai cubaan. Dan kepada Kamilah kamu akan dikembalikan.
[36]
Dan apabila orang-orang yang kafir itu melihatmu, mereka hanya menjadikan engkau ejek-ejekan sahaja “Inikah orang yang mengata tuhan-tuhan kamu?” Sedang mereka kufur juga kepada yang mengata Tuhan Yang Maha Pemurah.
[37]
Manusia dijadikan bertabiat terburu-buru. Aku akan perlihatkan kepada kamu tanda-tandaKu. Maka janganlah kamu meminta kepadaKu disegerakan.
[38]
Dan mereka berkata “Bilakah (berlakunya) janji tersebut, jika betul kamu orang-orang yang benar?”
[39]
Kalaulah orang-orang yang kafir itu mengetahui ketika mereka tidak dapat mengelakkan api neraka dari muka mereka dan tidak juga dari belakang mereka, dan mereka pula tidak akan diberi pertolongan.
[40]
Dan itu akan datang kepada mereka secara mengejut, dan dengan serta-merta membuat mereka panik. Dan mereka tidak terdaya menolaknya, dan tidak pula mereka diberikan tempoh!
[41]
Dan demi sesungguhnya, telah diperolok-olokkan beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengolok-olok di antara mereka, diliputi apa yang mereka olok-olokkan itu.
[42]
Katakanlah “Siapakah yang dapat menjaga keselamatan kamu di malam dan siang hari dari Tuhan Yang Maha Pemurah?” Bahkan mereka tetap jua berpaling dari mengingati Tuhan mereka.
[43]
Adakah bagi mereka tuhan-tuhan yang dapat melindungi mereka dari Kami? Mereka tidak dapat menolong diri mereka sendiri, dan tidak pula mereka dapat dilindungi dari Kami.
[44]
Bahkan Kami berikan orang-orang ini rezeki dan juga datuk nenek mereka sehingga menjadi panjang bagi mereka kehidupan ini. Dan tidakkah mereka melihat bahawa Kami datangi daerah bumi dengan Kami mengurangkannya sedikit demi sedikit dari sempadan-sempadannya? Jika demikian halnya, maka adakah mereka yang akan mengatasi?
[45]
Katakanlah “Sesungguhnya aku hanya memberikan amaran kepada kamu dengan wahyu. Dan sudah tentu orang-orang yang pekak tidak dapat mendengar seruan apabila mereka diberikan amaran.
[46]
Dan jika mereka disentuh sedikit sahaja dari azab Tuhanmu, sudah tentu mereka akan berkata “Aduhai celakanya kami! Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim!”
[47]
Dan Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil pada hari kiamat, maka tidak ada diri yang akan teraniaya sedikitpun. Dan jika terdapat (amal) seberat biji sawi sekalipun, nescaya Kami akan mendatangkannya. Dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.
[48]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah memberikan kepada Musa dan Harun, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan suatu cahaya, dan suatu Peringatan bagi orang-orang yang mahu bertakwa.
[49]
Iaitu mereka yang takut akan Tuhannya semasa tidak dilihat, dan mereka pula cemas akan Saat (Kiamat).
[50]
Dan ini adalah suatu Peringatan yang berkat, yang Kami turunkan. Dan mengapa kamu mengingkarinya?
[Al-Quran]
[51]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah berikan kepada Ibrahim sebelum itu petunjuknya, dan Kami lebih mengetahui akan halnya.
[52]
Ketika dia berkata kepada ayahnya dan kaumnya “Apakah hakikat patung-patung ini yang kamu bersungguh-sungguh memujanya?”
[53]
Mereka menjawab “Kami dapati datuk nenek kami menyembahnya”
[54]
Dia berkata “Sesungguhnya kamu dan datuk nenek kamu adalah dalam kesesatan yang nyata”
[55]
Mereka bertanya “Adakah engkau datang kepada kami dengan kebenaran, atau engkau termasuk mereka yang bermain-main?”
[56]
Dia menjawab “Sebenarnya Tuhan kamu ialah Tuhan langit dan bumi, Dialah yang menciptakannya. Dan aku adalah dari kalangan orang-orang yang menjadi saksi.
[57]
Dan demi Allah, aku akan merancangkan terhadap berhala-berhala kamu, sesudah kamu pergi meninggalkan”
[Ucapan dalam hati]
[58]
Kemudian dia memecahkan kesemuanya berketul-ketul, melainkan yang terbesar di antaranya, supaya mereka kembali kepadanya.
[59]
Mereka bertanya “Siapa yang melakukan perbuatan sedemikian ini terhadap tuhan-tuhan kami? Sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang zalim”
[60]
(Setengah dari) mereka berkata “Kami mendengar seorang anak muda bernama Ibrahim, mengatanya”
[61]
(Ketua-ketua) mereka berkata “Jika demikian, bawakanlah dia di hadapan orang ramai supaya mereka menyaksikan”
[62]
Mereka bertanya “Engkaukah yang melakukan sedemikian itu kepada tuhan-tuhan kami, wahai Ibrahim?”
[63]
Dia menjawab “Bahkan yang melakukannya adalah ketuanya! Maka bertanyalah kamu kepada mereka kalau-kalau mereka dapat berkata-kata”
[64]
Maka kembalilah mereka kepada diri mereka sendiri lalu berkata (sesama sendiri) “Sesungguhnya kamu sendiri orang-orang yang zalim”
[65]
Kemudian mereka berubah fikiran “Sesungguhnya engkau sedia mengetahui bahawa semua ini tidak dapat berkata-kata?”
[66]
Dia berkata “Jika demikian, patutkah kamu menyembah yang lain dari Allah sesuatu yang tidak dapat mendatangkan faedah sedikitpun kepada kamu, dan tidak juga dapat memudaratkan kamu?
[67]
Jijik perasaanku terhadap kamu berserta apa yang kamu sembah selain Allah! Dan mengapa kamu tidak mahu menggunakan akal fikiran?”
[68]
(Setelah tidak dapat berhujah lagi, ketua-ketua) mereka berkata “Bakarlah dia dan belalah tuhan-tuhan kamu, jika betul kamu mahu bertindak!”
[69]
Kami berfirman “Wahai api, jadilah sejuk dan selamat kepada Ibrahim!”
[70]
Dan mereka hendak mengadakan rancangan untuknya, maka Kami jadikan mereka orang-orang yang amat rugi.
[71]
Dan Kami selamatkan dia dan (sepupunya) Lut ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya untuk seluruh dunia.
[72]
Dan Kami kurniakan kepadanya, Ishak (anaknya), dan Yaakub (cucunya) sebagai tambahan. Dan tiap-tiap seorang Kami jadikan orang yang soleh.
[73]
Dan Kami jadikan mereka ketua-ketua ikutan, yang memimpin dengan perintah Kami, dan Kami wahyukan kepada mereka untuk mengerjakan kebaikan, mendirikan sembahyang, dan menunaikan zakat. Dan mereka pula sentiasa beribadat kepada Kami.
[74]
Dan kepada Lut, Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu. Dan Kami selamatkan dia dari bandar yang (penduduknya) melakukan perkara-perkara keji. Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang jahat, lagi derhaka.
[75]
Dan Kami masukkan dia ke dalam rahmat Kami. Sesungguhnya dia termasuk orang-orang yang soleh.
[76]
Dan Nuh, ketika dia menyeru sebelum itu, lalu Kami memberikan respon kepadanya dan Kami selamatkan dia berserta pengikut-pengikutnya dari bencana yang besar.
[77]
Dan Kami membelanya dari angkara kaum yang mendustakan tanda-tanda Kami. Sesungguhnya mereka itu kaum yang jahat, lalu Kami tenggelamkan mereka semuanya.
[78]
Dan Daud dan Sulaiman, ketika mereka berdua memberikan keputusan mengenai tanaman-tanaman semasa ia dirosakkan oleh kambing kaumnya. Dan sememangnya Kamilah yang menjadi saksi terhadap keputusan mereka.
[79]
Dan Kami berikan Sulaiman hak memahaminya. Dan masing-masing Kami berikan hikmat kebijaksanaan dan ilmu. Dan Kami tundukkan pula gunung-ganang dan unggas memuji Kami bersama-sama Daud. Dan sememangnya Kamilah yang melakukan semua itu.
[80]
Dan Kami mengajarinya membuat baju-baju besi untuk kamu, bagi melindungi kamu dalam peperangan kamu, maka hendaklah kamu sentiasa bersyukur?
[81]
Dan untuk Sulaiman angin yang kencang tiupannya, bertiup menurut perintahnya ke negeri yang Kami limpahkan berkat padanya. Dan sememangnya Kami mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[82]
Dan juga sebahagian dari syaitan-syaitan yang menyelam untuknya, dan melakukan kerja-kerja lain selain itu. Dan Kamilah yang mengawal mereka.
[83]
Dan Ayub, ketika dia berdoa kepada Tuhannya “Sesungguhnya aku ditimpa kesusahan, sedang Engkaulah sahaja yang Maha Penyayang dari segala yang penyayang”
[84]
Lalu Kami memberikan respon kepadanya, dan Kami hapuskan kesusahan yang menimpanya, dan Kami kembalikan kepadanya, keluarganya, dan Kami lipat gandakan bilangan mereka sebagai suatu rahmat daripada Kami dan sebagai suatu peringatan bagi orang-orang yang beribadat.
[85]
Dan Ismail, Idris, dan ZulKifli. Semuanya termasuk orang-orang yang sabar.
[86]
Dan Kami masukkan mereka ke dalam rahmat Kami. Sesungguhnya mereka termasuk orang-orang yang soleh.
[87]
Dan Zun-Nun (Nabi Yunus), ketika dia pergi bersama kemarahan, dan dia menyangka bahawa Kami tidak mengenakannya suatu ketentuan. Kemudian dia menyeru di dalam kegelapan bahawa “Tiada Tuhan melainkan Engkau! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku dari kalangan orang-orang yang menzalimi diri sendiri”
[88]
Lalu Kami memberikan respon kepadanya, dan Kami selamatkannya dari kesusahan. Dan sedemikian itulah juga, Kami akan menyelamatkan orang-orang yang beriman.
[89]
Dan Zakaria, ketika dia merayu kepada Tuhannya “Wahai Tuhanku! Janganlah biarkan daku seorang diri. Dan Engkaulah jua sebaik-baik yang mewarisi”
[90]
Lalu Kami memberikan respon kepadanya, dan Kami kurniakan kepadanya (anaknya) Yahya, dan Kami perelokkan keadaan isterinya untuknya. Sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan, dan sentiasa pula berdoa kepada Kami dengan penuh harapan dan takut. Dan mereka sentiasa khusyuk kepada Kami.
[91]
Dan dia (Maryam) yang menjaga kehormatan dan kesuciannya, lalu Kami tiupkan padanya Roh Kami, dan Kami jadikan dia dan anaknya itu sebagai suatu tanda untuk seluruh dunia.
[92]
Sesungguhnya agama kamu ini, agama yang satu, dan Akulah Tuhan kamu. Maka sembahlah Daku.
[93]
Dan mereka berpecah-belah dalam urusan mereka. Mereka semua akan kembali jua kepada Kami.
[94]
Dan barang siapa yang mengerjakan suatu amal kebaikan, sedang dia beriman, maka tidaklah disia-siakan amal usahanya itu. Dan sesungguhnya Kami tetap akan menulisnya.
[95]
Dan mustahil bagi penduduk sesebuah negeri yang Kami binasakan, bahawa mereka tidak akan kembali.
[96]
Sehingga apabila terbuka untuk Yakjuj dan Makjuj, lalu mereka meluru turun dari tiap-tiap tempat yang tinggi.
[97]
Dan hampirlah datangnya janji yang benar, maka dengan serta-merta pandangan mata orang-orang yang kafir terbeliak “Aduhai celakanya kami. Sesungguhnya kami berada dalam keadaan yang melalaikan kami mengenai ini. Bahkan kami adalah orang-orang yang menganiaya diri sendiri”
[98]
Sesungguhnya kamu dan apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah itu, adalah bahan bakar neraka Jahanam. Kamu pasti memasukinya.
[99]
Kalaulah itu tuhan-tuhan, tentulah mereka tidak masuk ke dalamnya. Tetapi semuanya akan kekal dalamnya.
[100]
Mereka merintih di dalamnya, dan mereka di situ tidak dapat mendengar.
[101]
Sesungguhnya orang-orang yang telah tetap dari dahulu lagi beroleh kebaikan daripada Kami, mereka dijauhkan daripadanya.
[102]
Mereka tidak akan mendengar sedikitpun daripadanya, dan mereka akan kekal selama-lamanya di dalam apa yang diingini oleh jiwa mereka.
[103]
Ketakutan yang amat mengerikan itu tidak merunsingkan mereka, dan mereka disambut oleh malaikat-malaikat “Inilah hari kamu yang telah dijanjikan kepada kamu”
[104]
Hari Kami menggulung langit seperti menggulung lembaran kertas. Sebagaimana Kami memulakan ciptaan pertama, Kami akan mengulanginya, sebagai satu janji ke atas Kami. Sesungguhnya Kami, Kami tetap akan melaksanakannya.
[105]
Dan demi sesungguhnya, Kami telah menulis di dalam Kitab Zabur sesudah disebutkan, bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hambaKu yang soleh.
[106]
Sesungguhnya di dalam ini mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang beribadat.
[107]
Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (Muhammad), melainkan sebagai rahmat bagi sekalian alam.
[108]
Katakanlah “Sesungguhnya yang diwahyukan kepadaku, bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan yang Maha Esa, oleh itu adakah kamu mahu berserah diri?”
[109]
Sekiranya mereka berpaling, maka katakanlah “Aku telah menyatakan kepada kamu secara sama-rata. Dan aku tidak mengetahui sama ada apa yang dijanjikan itu, sudah dekat atau masih jauh.
[110]
Sesungguhnya Dia mengetahui akan perkataan yang disebut dengan terang-terangan, dan Dia juga mengetahui akan apa yang kamu sembunyikan.
[111]
Dan aku tidak mengetahui, jangan-jangan (lambatnya) itu merupakan ujian bagi kamu, dan kesenangan hidup hingga ke suatu masa tertentu.
[112]
Dia berkata “Wahai Tuhanku, berikanlah keputusan dengan kebenaran. Dan Tuhan kami adalah Tuhan Yang Maha Pemurah, yang dipohonkan pertolonganNya”