28. SURAH Al-Qasas
Dengan
nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Penyayang
[1]
Taa,
Siin, Miim.
[2]
Ini
adalah ayat-ayat Kitab yang jelas.
[3]
Kami
bacakan kepadamu sebahagian kisah Musa dan Firaun dengan kebenaran bagi
orang-orang yang beriman.
[4]
Sesungguhnya
Firaun telah meninggikan dirinya di bumi, dan dia telah menjadikan penduduknya
berpecah-belah. Menindas sepuak di antaranya dengan membunuh anak-anak lelaki
mereka dan membiarkan hidup perempuan mereka. Sesungguhnya dia termasuk
golongan yang melakukan kerosakan.
[5]
Dan
Kami hendak mengurniakan nikmat kepada kaum yang tertindas di negeri itu, dan
hendak menjadikan mereka sebagai pemimpin-pemimpin, dan hendak menjadikan
mereka orang-orang yang mewarisi.
[6]
Dan
Kami hendak meninggikan mereka di negeri tersebut, dan hendak memperlihatkan
kepada Firaun dan Haman dan orang-orangnya, mengenai apa yang mereka bimbangi.
[7]
Dan
Kami ilhamkan kepada ibu Musa “Susukanlah dia. Jika engkau merasa bimbang
terhadapnya, maka hanyutkanlah dia ke sungai. Dan janganlah engkau merasa
bimbang dan janganlah pula bersedih hati. Sesungguhnya Kami akan
mengembalikannya semula kepadamu, dan menjadikannya salah seorang dari
Rasul-rasul.
[8]
Setelah
itu, dia diambil oleh orang-orang Firaun, supaya dia menjadi musuh dan menjadi
punca kesedihan mereka. Sesungguhnya Firaun, dan Haman, dan orang-orangnya
adalah golongan yang berdosa.
[9]
Dan
berkatalah isteri Firaun “Penyejuk mata bagiku dan bagimu, janganlah
membunuhnya. Mudah-mudahan dia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia
sebagai anak” Padahal mereka tidak menyedari.
[10]
Dan
menjadilah hati ibu Musa kosong. Dan nyaris-nyaris dia berterus-terang
mengenainya jika Kami tidak menguatkan hatinya, supaya dia termasuk dalam
kalangan orang-orang yang beriman.
[11]
Dan
berkatalah dia kepada kakaknya (Nabi Musa) “Ikutilah dia” Kemudian dia
melihatnya dari jauh sedang mereka tidak sedari.
[12]
Dan
Kami haramkan ke atasnya wanita-wanita yang menyusukan sebelum itu. Dia
(kakaknya) berkata “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu, keluarga yang akan
memeliharanya untuk kamu, dan mereka pula akan berlaku baik kepadanya?”
[Tidak
mahu menyusu]
[13]
Maka
Kami kembalikan dia semula kepada ibunya supaya tenang pandangannya dan tidak
lagi dia bersedih hati. Dan supaya dia mengetahui bahawa janji Allah adalah
benar. Namun kebanyakan mereka tidak mengetahui.
[14]
Dan
setelah dia mencapai dewasa dan menjadi matang, Kami berikan kepadanya
kebijaksanaan dan ilmu pengetahuan. Dan demikianlah Kami membalas orang-orang
yang berbuat baik.
[15]
Dan
masuklah dia ke bandar pada masa penduduknya sedang lengah. Lalu didapati di
dalamnya dua orang lelaki yang sedang berkelahi, seorang dari golongannya dan
seorang lagi dari pihak musuhnya. Kemudian yang dari golongannya itu meminta
bantuannya untuk menentang yang dari pihak musuhnya. Maka Musa menumbuknya
dengan penumbuknya lalu membunuhnya. Dia berkata “Ini termasuk perbuatan
syaitan, sesungguhnya dia adalah musuh yang jelas menyesatkan”
[16]
Dia
berkata “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri. Oleh
itu, ampunkanlah dosaku” Lalu Dia mengampunkannya. Sesungguhnya Dia, Dialah jua
Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.
[17]
Dia
berkata lagi “Wahai Tuhanku, demi nikmat-nikmat yang Engkau kurniakan kepadaku,
maka janganlah (biarkan) aku menjadi penyokong golongan yang salah”
[18]
Suatu
pagi semasa dia berada di bandar dalam keadaan takut serta berjaga-jaga, lalu
dengan tiba-tiba orang yang meminta bantuan kepadanya semalam memanggilnya lagi
meminta bantuan. Musa berkata kepadanya “Sesungguhnya engkau ini orang yang
nyata sesatnya!”
[19]
Dan
ketika dia bersedia hendak menumbuk orang yang menjadi musuh bagi mereka
berdua, berkatalah orang tersebut “Wahai Musa, adakah engkau hendak membunuhku
sebagaimana engkau telah membunuh satu jiwa semalam? (Adakah) engkau hanya
bermaksud menjadi seorang yang kejam di muka bumi, dan tidak pula engkau
bermaksud menjadi pendamai”
[20]
Dan
datanglah seorang lelaki dari hujung bandar sambil berlari, dia berkata “Wahai
Musa, sesungguhnya para pembesar sedang mengadakan pakatan terhadapmu, untuk
membunuhmu. Oleh itu pergilah dari sini, sesungguhnya aku adalah pemberi
nasihat yang ikhlas kepadamu”
[21]
Maka
dia keluar dari situ dalam keadaan cemas, sambil berwaspada, dia berkata “Wahai
Tuhanku, selamatkanlah daku dari kaum yang zalim”
[22]
Dan
ketika dia menujukan mukanya ke negeri Madyan, dia berkata “Mudah-mudahan
Tuhanku menunjukkan jalan yang benar kepadaku”
[23]
Dan
ketika dia sampai di sebuah telaga air negeri Madyan, dia mendapati sekumpulan
orang-orang lelaki yang sedang memberikan minuman, dan dia juga mendapati di
sebelah mereka dua orang wanita yang sedang menahan (kambing-kambingnya). Dia
bertanya “Apakah hal kamu berdua?” Mereka menjawab “Kami tidak dapat memberikan
minuman sehinggalah pengembala-pengembala itu pergi, sedang ayah kami seorang
yang telah lanjut usianya”
[24]
Lalu
dia memberikan minuman untuk mereka. Kemudian dia berpaling ke tempat yang
teduh dan berkata “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada
sebarang kebaikan yang Engkau akan berikan”
[25]
Kemudian
salah seorang dari dua wanita itu datang mendapatkannya sambil berjalan dalam
keadaan tersipu malu. Dia berkata “Sesungguhnya ayahku menjemputmu bagi
membalas budimu untuk apa yang engkau memberikan minuman” Maka apabila dia datang
menemuinya dan menceritakan kepadanya mengenai kisah-kisah yang telah berlaku,
berkatalah dia kepadanya “Janganlah bimbang, engkau telah selamat dari kaum
yang zalim itu”
[26]
Salah
seorang dari mereka (wanita) berkata “Wahai ayah, ambillah dia bekerja,
sesungguhnya sebaik-baik orang yang engkau ambil bekerja adalah yang kuat, lagi
boleh dipercayai”
[27]
Dia
(Nabi Syu’aib) berkata “Sesungguhnya aku hendak mengahwinkanmu dengan salah
seorang dari dua orang anak perempuanku ini, dengan syarat engkau akan bekerja
denganku selama lapan tahun. Dalam pada itu, jika engkau genapkan menjadi
sepuluh tahun, maka itu dari (kerelaan)mu. Aku tidak bertujuan hendak
menyusahkanmu dan engkau akan mendapati aku InsyaAllah, termasuk orang-orang
yang benar”
[28]
Dia
menjawab “Itu adalah antaraku denganmu. Yang mana sahaja dari dua tempoh itu
yang aku tunaikan, maka janganlah aku dipersalahkan. Dan Allah jualah menjadi
Saksi atas apa yang kita katakan”
[29]
Setelah
Musa menyempurnakan tempohnya itu dan berangkat bersama keluarganya, dia
terlihat api dari arah Gunung Tursina. Berkatalah dia kepada keluarganya
“Tunggulah di sini. Sesungguhnya aku melihat api, semoga aku dapat bawakan
kepada kamu suatu berita dari situ, atau sepuntung dari api itu supaya kamu
dapat memanaskan diri kamu”
[30]
Dan
ketika dia sampai kepadanya, dia diseru dari tepi lembah sebelah kanan, di
tempat yang dilimpahi berkat, yang datang dari arah pohon kayu “Wahai Musa,
sesungguhnya Akulah Allah Tuhan sekalian alam.
[31]
Dan
campakkanlah tongkatmu” Maka apabila dia melihatnya bergerak seakan-akan ia
seekor ular, berpalinglah dia melarikan diri dengan tidak menoleh lagi “Wahai
Musa, datanglah dekat dan janganlah engkau takut. Sesungguhnya engkau dari
kalangan yang beroleh aman.
[32]
Masukkanlah
tanganmu melalui belahan dadamu (baju), nescaya keluarlah ia putih tanpa
sebarang cacat-cela. Dan dakapkanlah tanganmu ke dadamu sekiranya merasa takut.
Yang demikian adalah dua bukti daripada Tuhanmu kepada Firaun dan kaumnya.
Sesungguhnya mereka itu adalah kaum yang fasik”
[33]
Dia
berkata “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah membunuh seseorang dari kalangan
mereka. Oleh itu, aku takut mereka akan membunuhku.
[34]
Dan
saudaraku Harun, dia lebih fasih lidahnya berbanding aku, maka utuskanlah dia
bersama-samaku sebagai pembantu yang mengesahkan kebenaranku. Sesungguhnya aku
bimbang mereka akan mendustakan daku”
[35]
Dia
berfirman “Kami akan menguatkan lenganmu dengan saudaramu, dan Kami akan
berikan kekuasaan kepada kamu berdua. Oleh itu, mereka tidak akan dapat menyentuh
kamu. Dengan membawa Tanda-tanda Kami itu, kamu berdua berserta
pengikut-pengikut kamu, akan mengatasi”
[36]
Setelah
Musa datang kepada mereka dengan membawa Tanda-tanda Kami yang nyata,
mereka berkata “Ini hanyalah sihir yang dibuat-buat. Dan kami tidak pernah
mendengarkan mengenai ini dalam kalangan datuk nenek kami yang telah lalu”
[37]
Dan
Musa berkata “Tuhanku lebih mengetahui siapakah yang membawa petunjuk dari
sisiNya dan siapa pula yang akan beroleh kesudahan yang baik di akhir nanti.
Sesungguhnya orang-orang yang zalim itu tidak akan berjaya”
[38]
Dan
Firaun berkata pula “Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu
sebarang tuhan yang lain daripadaku. Oleh itu, wahai Haman bakarkanlah untukku
tanah liat, kemudian binakanlah untukku bangunan yang tinggi, agar aku dapat
melihat Tuhan Musa. Dan sesungguhnya, aku percaya bahawa dia dari kalangan
orang-orang yang berdusta”
[39]
Dan
menjadi-jadilah kesombongannya dan tenteranya di negeri tersebut tanpa alasan
yang benar, dan mereka menyangka pula bahawa mereka tidak akan dikembalikan
kepada Kami.
[40]
Dengan
sebab itu, Kami mengepungnya bersama-sama tenteranya dan Kami humban mereka ke
dalam laut. Maka perhatikanlah bagaimana buruknya kesudahan orang-orang yang
zalim.
[41]
Dan
Kami jadikan mereka ketua-ketua yang mengajak ke neraka, dan pada hari kiamat
pula mereka tidak beroleh sebarang pertolongan.
[42]
Dan
Kami susuli mereka dengan laknat di dunia ini, dan pada hari kiamat pula mereka
termasuk orang-orang yang hina.
[43]
Dan
demi sesungguhnya, Kami telah berikan kepada Musa Kitab sesudah Kami
binasakan kaum-kaum yang telah lalu, untuk membuka hati dan menjadi petunjuk,
dan menjadi rahmat untuk manusia, semoga mereka beringat.
[44]
Dan
engkau tidak berada di sebelah barat ketika Kami sempurnakan kepada Musa,
Perintah. Dan engkau juga tidak termasuk orang-orang yang menjadi saksi.
[45]
Iaitu
setelah Kami adakan beberapa umat dan telah berlalu untuk mereka masa yang
panjang. Dan engkau pula tidak pernah tinggal bersama-sama penduduk negeri
Madyan untuk membacakan kepada mereka ayat-ayat keterangan Kami, tetapi Kamilah
yang menghantarkan.
[46]
Dan
engkau juga tidak berada di sebelah Gunung Tursina ketika Kami menyeru. Tetapi
sebagai satu rahmat daripada Tuhanmu supaya engkau berikan amaran kepada kaum
yang telah lama tidak didatangi sebarang pemberi amaran sebelummu, semoga
mereka beringat.
[47]
Kerana
jika tidak, orang-orang itu pasti akan berkata semasa mereka ditimpa bala
bencana disebabkan apa yang dilakukan oleh tangan-tangan mereka “Wahai Tuhan
kami, mengapa Engkau tidak mengutuskan kepada kami seorang Rasul supaya kami
menuruti ayat-ayat keteranganMu, dan menjadi dari kalangan orang-orang yang
beriman”
[48]
Tetapi
ketika datang kepada mereka kebenaran dari sisi Kami, mereka berkata pula
“Mengapa tidak diberikan kepadanya (Kitab yang diturunkan sekaligus) seperti
apa yang diberikan kepada Musa” Bukankah mereka dahulu telah ingkari juga apa
yang diberikan kepada Musa? Mereka berkata lagi “Kedua-duanya (Kitab) adalah
sihir yang saling bantu-membantu“ Dan mereka berkata “Sesungguhnya kami ingkar
terhadap semuanya!”
[49]
Katakanlah
“Maka bawakanlah satu Kitab dari sisi Allah yang dapat memberikan panduan yang
lebih daripada keduanya itu supaya aku menurutinya. Jika betul kamu
orang-orang yang benar”
[50]
Dan
sekiranya mereka tidak dapat memberikan respon kepadamu, maka ketahuilah bahawa
mereka hanyalah menuruti hawa nafsu mereka. Dan tidaklah ada yang lebih sesat
daripada orang yang hanya menuruti hawa nafsunya tanpa petunjuk daripada Allah.
Sesungguhnya Allah tidak memberikan pimpinan kepada kaum yang zalim.
[51]
Dan
demi sesungguhnya, Kami telah menurunkan Perkataan kepada mereka, supaya mereka
beringat.
[52]
Orang-orang
yang Kami berikan Kitab sebelumnya, mereka turut beriman kepadanya.
[53]
Dan
apabila ia dibacakan kepada mereka, mereka berkata “Kami beriman kepadanya,
sesungguhnya ia adalah perkara benar daripada Tuhan kami. Sesungguhnya kami
sebelum ia diturunkan adalah orang-orang yang berserah diri (Islam)”
[54]
Mereka
itu akan beroleh pahala dua kali disebabkan kesabaran mereka, dan juga
disebabkan mereka menolak kejahatan dengan kebaikan, dan mereka pula
mendermakan dari apa yang Kami telah kurniakan kepada mereka.
[55]
Dan
apabila mereka mendengar perkataan sia-sia, mereka berpaling daripadanya sambil
berkata “Bagi kami amal kami dan bagi kamu pula amal kamu. Selamat sejahteralah
ke atas kamu. Kami tidak memerlukan orang-orang yang jahil”
[56]
Sesungguhnya
engkau tidak berkuasa memberikan petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi,
tetapi Allah jualah yang berkuasa memberikan petunjuk kepada sesiapa yang
dikehendakiNya. Dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang
menerima petunjuk.
[57]
Dan
mereka berkata “Kalau kami menyertaimu menuruti petunjuk bersamamu, nescaya
kami akan diusir dari negeri kami” Bukankah Kami telah meneguhkan bagi mereka
daerah Haram (Mekah) yang aman, yang dibawa kepadanya hasil buah-buahan dari
segala jenis, sebagai rezeki pemberian dari sisi Kami? Tetapi kebanyakan mereka
tidak mengetahui.
[58]
Dan
berapa banyak Kami binasakan (penduduk) negeri-negeri yang berlaku sombong
dalam kehidupannya. Dan demikianlah, tempat-tempat tinggal mereka tidak lagi
didiami oleh manusia sesudah mereka, melainkan sedikit. Dan sesungguhnya Kamilah
yang mewarisi.
[59]
Dan
tidaklah bagi Tuhanmu yang membinasakan mana-mana negeri sebelum Dia
mengutuskan ke ibu negeri tersebut seorang Rasul yang membacakan kepada mereka
ayat-ayat keterangan Kami. Dan tidaklah Kami yang membinasakan mana-mana negeri
melainkan setelah penduduknya berlaku zalim.
[60]
Dan
apa jua yang diberikan kepada kamu, maka ia adalah kesenangan hidup di dunia
dan perhiasannya. Sedang apa jua yang ada di sisi Allah adalah lebih baik dan
lebih kekal. Maka mengapa kamu tidak mahu memahami?
[61]
Dan
adakah orang yang Kami janjikan kepadanya dengan janji yang baik lalu dia
menemuinya, sama seperti orang yang Kami kurniakan kesenangan hidup di dunia,
kemudian dia pada hari kiamat termasuk dalam golongan yang diseret?
[62]
Dan
hari Dia menyeru mereka dan bertanya “Manakah sekutu-sekutuKu yang kamu anggap
mereka?”
[63]
Mereka
yang berhak terhadap Perkataan berkata “Wahai Tuhan kami, mereka inilah yang
kami menyebabkan kesesatannya, kami menyebabkan mereka sesat sebagaimana kami
telah sesat. Kami mengakui kepadaMu bahawa kami berlepas diri. Bukanlah kami
yang mereka sembah”
[64]
Dan
dikatakan “Panggillah sekutu-sekutu kamu” Lalu mereka memanggilnya, tetapi
mereka (sekutu-sekutu) tidak memberikan respon kepada mereka. Dan mereka tetap
juga melihat azab dan bercita-cita kalaulah mereka menuruti petunjuk.
[65]
Dan
hari Dia menyeru mereka dan bertanya “Apakah penyataan kamu terhadap
Rasul-rasul?”
[66]
Maka
kaburlah kepada mereka maklumat pada hari itu, kerana itu mereka tidak saling
bertanya-tanyaan.
[67]
Adapun
orang yang bertaubat, beriman dan berbuat baik, maka semoga menjadilah dia dari
kalangan orang-orang yang berjaya.
[68]
Dan
Tuhanmu mengadakan apa yang dirancangkanNya dan memilih. Tidaklah layak bagi
mereka memilih. Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah Dia dari apa yang mereka
sekutukan.
[69]
Dan
Tuhanmu mengetahui akan apa yang terpendam di dalam hati mereka dan apa yang
mereka zahirkan.
[70]
Dan
Dialah Allah, tiada Tuhan melainkan Dia. Segala puji bagiNya, di awal dan di
akhir. Dan bagiNyalah segala penentuan, dan kepadaNya kamu semua dikembalikan.
[71]
Katakanlah
“Bagaimanakah pendapat kamu jika Allah menjadikan malam kepada kamu tetap
selama-lamanya hingga ke hari kiamat. Tuhan manakah yang lain dari Allah yang
dapat membawakan cahaya kepada kamu? Maka mengapa kamu tidak mahu mendengar?”
[72]
Katakanlah
lagi “Bagaimanakah pendapat kamu jika Allah menjadikan siang kepada kamu tetap
selama-lamanya hingga ke hari kiamat. Tuhan manakah yang lain dari Allah yang
dapat membawakan malam kepada kamu untuk kamu berehat padanya? Maka mengapa
kamu tidak mahu melihat?”
[73]
Dan
di antara rahmatNya, Dia menjadikan untuk kamu malam dan siang supaya kamu
berehat padanya dan supaya kamu berusaha mencari limpah kurniaNya, dan juga
supaya kamu bersyukur.
[74]
Dan
hari Dia menyeru mereka dan bertanya “Manakah sekutu-sekutuKu yang kamu anggap
mereka?”
[75]
Dan
Kami datangkan daripada tiap-tiap umat seorang saksi, dan Kami katakan
“Bawakanlah bukti kamu” Maka mereka akan mendapati bahawa kebenaran itu adalah
milik Allah, dan hilang lenyaplah daripada mereka apa yang mereka telah
ada-adakan.
[76]
Sesungguhnya
Qarun adalah dari kaum Musa, dan dia telah berlaku zalim terhadap mereka. Dan
Kami telah mengurniakan kepadanya dari berbagai jenis kekayaan yang anak-anak
kuncinya menjadi bebanan sebilangan orang yang gagah perkasa. Ketika kaumnya
berkata kepadanya “Janganlah bermegah-megah, sesungguhnya Allah tidak suka
kepada orang yang bermegah-megah.
[77]
Dan
carilah tempat tinggal akhirat menggunakan apa yang telah dikurniakan oleh Allah
kepadamu dan janganlah engkau lupakan bahagianmu di dunia. Dan berbuat baiklah
sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu. Dan janganlah pula engkau melakukan
kerosakan di muka bumi. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang
melakukan kerosakan”
[78]
Dia
menjawab “Aku diberikannya disebabkan ilmu yang ada padaku” Tidakkah dia
mengetahui bahawa Allah telah membinasakan sebelumnya, dari umat-umat yang
telah lalu, orang-orang yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak
pengumpulannya? Dan orang-orang yang berdosa itu tidak akan ditanya lagi
mengenai dosa-dosa mereka.
[79]
Kemudian
dia keluar kepada kaumnya sambil memakai perhiasannya. Berkatalah orang-orang
yang inginkan kehidupan dunia “Alangkah baiknya kalaulah bagi kita sepertimana
yang diberikan kepada Qarun! Sesungguhnya dia seorang yang sangat bernasib
baik”
[80]
Dan
berkatalah pula orang-orang yang diberikan ilmu “Kedukaanlah ke atas kamu.
Pahala dari sisi Allah itu lebih baik bagi orang yang beriman dan berbuat baik.
Dan tidak akan menerima itu melainkan orang-orang yang sabar”
[81]
Kemudian
Kami menenggelamkannya berserta tempat tinggalnya ke dalam tanah, maka tidaklah
dia mendapat sebarang golongan pun yang dapat menolonginya selain Allah, dan
tidak pula termasuk mereka yang dapat menolong dirinya sendiri.
[82]
Dan
mulalah berkata orang-orang yang pada masa lalu bercita-cita berada di
tempatnya “Aduhai! Sesungguhnya Allah melapangkan rezeki bagi sesiapa yang
dikehendakiNya dari kalangan hamba-hambaNya, dan menyempitkannya. Kalaulah
tidak kerana Allah merahmati kita, tentulah Dia menyebabkan ia turut menenggelamkan
kita. Aduhai! Sesungguhnya orang-orang yang kafir tidak akan berjaya!”
[83]
Tempat
tinggal akhirat, Kami sediakan untuk orang-orang yang tidak menghendaki
kemegahan dan kerosakan di muka bumi. Dan kesudahan yang baik adalah bagi
orang-orang yang bertakwa.
[84]
Sesiapa
yang datang bersama kebaikan, maka baginya yang lebih baik daripadanya. Dan
sesiapa yang datang bersama kejahatan, maka mereka yang melakukan kejahatan itu
tidak dibalas melainkan dengan apa yang mereka telah kerjakan.
[85]
Sesungguhnya
Dia yang mewajibkan kepadamu Al-Quran, benar-benar akan mengembalikan engkau
semula ke tempat kembali. Katakanlah “Tuhanku amat mengetahui, siapakah yang
membawa petunjuk dan siapa pula yang berada dalam kesesatan yang nyata”
[86]
Dan
engkau tidak pernah menjangka bahawa Kitab akan diturunkan kepadamu melainkan
sebagai rahmat daripada Tuhanmu. Oleh itu, janganlah engkau menjadi penolong
orang-orang yang kafir.
[87]
Dan
janganlah sampai mereka dapat memalingkanmu daripada ayat-ayat Allah sesudah ia
diturunkan kepadamu. Dan ajaklah manusia kepada Tuhanmu. Dan janganlah engkau
menjadi dari orang-orang yang menyekutukan (Allah).
[88]
Dan
janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada Tuhan
melainkan Dia. Segala sesuatu pasti binasa melainkan WajahNya. BagiNyalah kuasa
segala penentuan, dan kepadaNyalah kamu akan dikembalikan.